KISAH CINTA DAYANA
BUKU di tangan sudah dihempas kuat di atas meja. Sudah
empat hari berlalu, tempoh seminggu semakin berkurang, namun Faiz masih belum
ditawannya. Sudah pelbagai cara yang dilakukan, tapi seorang Faiz masih degil
dan berhati batu. Dayana meramas kuat rambutnya, buntu, dia benar-benar buntu.
Apa lagi yang perlu dia lakukan untuk melembutkan hati seorang Faiz. Empat hari
berlalu begitu saja tanpa sebarang perubahan.
Dayana
merebahkan kepalanya di bahu kerusi, mata dipejam rapat. Tangannya menyentuh
dadanya yang berdebar kencang. Faiz? Ada apa dengan dia? Kenapa jantung ini
berdegup tak sekata bila bersamanya? Teringat pada hari pertama dia mengambil
langkah untuk mendekati lelaki itu, alasan untuk belajar melukis potret
digunakan sebagai cagaran. Namun jawapan lelaki itu menghadirkan seribu rasa.
“Tipu.” Jawab
Faiz ringkas. Membuntang mata Dayana dibuatnya.
“Apahal
pulak?” Dayana menempelak lantang.
“Kalau kau
sayangkan orang di sekeliling kau, kau akan sayang diri kau sendiri. Lihat apa
yang kau dah buat pada diri kau..” ujar Faiz lagi. Dayana hanya mampu mengetap
bibirnya, entah kenapa kata-kata itu menusuk hingga ke hatinya.
Hari kedua
pula, Dayana menebalkan muka menemui lelaki itu di perpustakaan, dan seperti
biasa kehadirannya tidak diendahkan. Ini bukan dirinya, bukan caranya kesana
kemari menagih perhatian dari seorang lelaki! Hendak mengalah, dia sudah
terlanjur menyahut cabaran yang dibuat oleh Tasya, jika dia kalah teruklah dia
dikerjakan oleh Tasya dan dua orang gengnya itu.
“Hi Faiz.”
Sapa Dayana dengan ramah. Segaris senyuman sudah diukirkan buat lelaki itu.
Sempat dia mengenggam kedua belah jemarinya, entah kenapa dia jadi cuak
tiba-tiba. Faiz hanya memandang sekilas kearah Dayana, pen di tangan
dilepaskan, segera tubuhnya disandarkan di bahu kerusi sambil pandangannya
dihalakan terus kearah Dayana.
“Nak apa
lagi?” Faiz menyoal tegas tapi dengan nada yang perlahan. Dayana mengukir senyum
tiba-tiba, nampaknya umpannya berkesan. Wajah Faiz dipandang lagi dengan
senyuman yang meleret.
“Macam mana?
Setuju ke?” tanya Dayana dengan senyuman.
“Setuju apa?”
“Potret.”
Faiz tersenyum kecil. Geli hati melihat reaksi Dayana di depannya.
“Maaf, aku
tak pandai lukis potret.” Balas Faiz seraya pantas mengemas bukunya di atas
meja.
“Apa pula?
Semalam saya..”
“Cari orang
lain, aku tak pandai. Maaf.” Putus Faiz, sekali lagi Dayana ditinggalkan dalam
keadaan yang terpinga-pinga.
Dayana
mengepal penumbuknya. Panas hati dengan sikap berlagak lelaki itu. Kepalanya
diangkat perlahan dari bahu kerusi, naik risau dirinya bila mengenangkan tempoh
seminggu yang semakin mendekat. Kalau lelaki lain tidak sampai lima belas saat
sudah jatuh di tangannya, tapi dengan lelaki berhati batu tu.. Dayana menggigit
bibir bawahnya. Geram.
Hari ketiga
dia turut menerima layanan yang sama. Dayana lantas merebahkan kepalanya di
meja kuliah, mengumpul seribu satu idea yang akan digunakan dalam masa tidak
kurang tiga hari lagi, jika dia gagal juga, teruklah dia dikenakan oleh
Tasya. Bunyi pintu bilik kuliah yang
dibuka dari luar mengejutkan Dayana, pantas dia memanggung kepala, kelibat Faiz
yang baru memasuki bilik kuliah hanya dipandang tanpa riak.
‘Apahal mamat
ni tak makan umpan aku ya..jangan-jangan dia ni gay kot..’ Dayana menutup mulutnya sambil memikirkan kemungkinan
tersebut. Kepalanya masih direbahkan di atas meja, hanya pandangannya dihalakan
kearah Faiz yang masih leka membaca buku. Keluhan panjang dilepaskan, keadaan
masih lenggang dengan kehadiran mereka berdua, rata-rata pelajar belum sampai.
“ke..dia baru
lepas putus cinta?’ bebel Dayana lagi, namun hanya mampu disuarakan di dalam
hati.
“Fikirkan aku
ke Dayana?” suara Faiz memecah suasana, segera Dayana tersedar, kelam kabut dia
cuba menyembunyikan kegelisahan yang tiba-tiba melanda.
“Siapa
fikirkan awak? Jangan perasan!” jawab Dayana sedikit kasar. Faiz tersenyum
sedikit, hanya gelengan yang mengiringi tawa kecilnya.
“Aku ingatkan
kau akan terus mendekati aku.” Balas Faiz lagi.
Dayana lantas
menoleh, memandang tajam ke arah Faiz. Gila ke apa mamat ni? Kalau bukan kerana
pertaruhan aku dengan Tasya, tak ingin aku nak dekat dengan lelaki sombong
macam tu!
Dayana hanya
menyebikkan bibirnya. Tiba-tiba terselit akalnya membisikkan satu idea nakal,
bagus juga masa ini dia gunakan untuk ‘menawan’ lelaki itu. Dayana mengatur
langkah menuju ke tempat duduk lelaki itu di bahagian belakang, tempoh masa
yang semakin singkat mendesaknya untuk bertindak mengikut rasa.
Terkebil-kebil
mata Faiz melihat Dayana yang sudah duduk menyengih di hadapannya, tercetus
tawa kecil dari bibir lelaki itu, terkadang dia merasakan teletah Dayana
mencuit rasanya, ada-ada saja yang dilakukan oleh gadis itu untuk menarik
perhatiannya. Adakah hatinya terlalu kebal untuk menerimanya? Tidak! Hatinya
turut terpaut, Cuma..
“Apa
ciri-ciri gadis idaman awak?” soalan spontan dari Dayana membuatkan Faiz
tercengang sendiri. Gadis idaman? Faiz hanya mampu menghantar pandangan matanya
ke arah Dayana. Perlukah dia menjawab soalan cepu emas macam tu.
“Tak ada.”
Faiz menjawab ringkas.
“Tak ada?
Awak tak minat perempuan ke? Are
you..gay?” Dayana memandang Faiz dengan pandangan pelik. Faiz hanya
menjungkit bahu sebagai jawapan.
“Terpulanglah..tapi
jujur saya nak tanya ni, awak langsung tak tahu saya siapa ke? Saya
Dayana..dekat universiti ni, tak seorang pun tak kenal saya.” Ujar Dayana.
“Kan aku dah
cakap, siapa tak kenal ‘The Killer Eyes’.
Aku tahu..”
“Oh..awak
tahu, dan saya rasa awak pun tahukan yang saya ni..”
“Kau boleh
pikat mana-mana lelaki dengan mata kau tu je..itu yang aku tahu.” Pintas Faiz
pantas, kata-kata yang berbaur sindirian itu dituturkan dengan senyuman di
bibir dengan mata masih tidak beralih memandang Dayana yang kian membahang.
“So, kenapa awak tidak? Apa kurangnya
saya?” Dayana menyoal pantas.
“Kau tak ada
kurangnya..cuma..” kata-kata Faiz terhenti bila dua orang pelajar memasuki
bilik kuliah, Dayana turut memandang kearah yang sama, buat seketika dia dan
Faiz saling berbalas pandang. Sekali lagi Dayana merasakan degupan jantungnya
kembali berdegup pantas. Dayana bangkit dari tempat duduknya, dibiarkan
pandangan mata dua orang pelajar itu memanah tepat kearahnya. Lantak koranglah
nak fikir yang bukan-bukan, hatiku dah panas ni. Sangat panas! Bebel Dayana
sendiri.
“Dayana..”
langkah Dayana terhenti bila suara Faiz mula kedengaran memanggil namanya.
“Mata kau
memang cantik, tapi sinarnya hilang..” Dayana terus menoleh semula memandang
Faiz, sekali lagi pandangan mata mereka bertemu, masing-masing menghantar
seribu rasa yang sudah mula bercambah.
“Kau dah
terlalu banyak terluka Dayana..” sambung Faiz lagi, serentak itu airmata Dayana
mengalir, buat pertama kalinya dia mengalirkan airmata di hadapan seorang
lelaki bernama Faiz, tidak pernah seorang lelaki pun yang pernah menilainya
seperti lelaki itu. Dayana lantas menyeka airmatanya, langkahnya terus dihantar
keluar dari bilik kuliah tersebut. Faiz yang memandang hanya diam terkaku,
diluar dugaannya bahawa Dayana akan menangis dengan kata-katanya. Benarlah
tekaannya, hati seorang Dayana sedang menanggung begitu banyak luka.
************
WAJAH Dayana yang suram dan dibasahi airmata itu
membuatkan tangan Faiz terhenti melukis. Matanya segera memandang wajah yang
sudah kelihatan sembap itu, dia yang duduk di balik pohon di seberang tasik
hanya mampu memandang Dayana yang menangis sendirian di sebelah sana. Sejak
peristiwa di dalam bilik kuliah semalam, seharian gadis itu hanya mendiam diri,
hari ini tidak pula gadis itu menemuinya. Faiz jadi risau sendiri, mungkin saja
Dayana masih terasa hati dengan kata-katanya.
Lukisan yang
berada di tangannya dipandang lama. Wajah Dayana mengisi ruang mata, lukisan
itu hampir siap sepenuhnya. Sepanjang dia melukis lakaran wajah itu, begitu
banyak sisi Dayana yang dia kenal. Dayana bukan gadis kuat seperti yang dia
lihat sekarang, Dayana bukan gadis yang hanya tahu bermain dengan hati seorang
lelaki seperti yang dia dengar dari pelajar yang lain. Faiz menoleh kembali kearah
Dayana, gadis itu masih lagi berpeluk lutut di bawah pohon itu dengan tangisan
hiba. Itulah Dayana, gadisnya. Gadis yang menghadirkan satu rasa dalam dirinya.
Faiz mencapai pen hitam dari beg sandangnya, terus dia menulis sesuatu di atas
kertas lukisan tersebut.
‘Dayana..My lady’
No comments:
Post a Comment