Tuesday, August 23, 2016

Bab 5













TEKSI yang dinaiki oleh Yuhana berhenti tepat di hadapan pintu masuk Bukit Impian.       Yuhana menarik nafas panjangnya lantas dihembus perlahan. Tujuannya kemari hanya untuk manjalankan misinya. Bukan atas sebab lain! Ya, Yuhana tetapkan matlamat. Perlahan, Yuhana melangkah ke tepi pagar. Butang ditekan. Memaklumkan kedatangannya.
            Selang beberapa minit, pintu gerbang terbuka luas dengan sendirinya. Yuhana menarik nafas lega. Perlahan dia memasuki ruang halaman tersebut. Mengamati suasana persekitaran di Bukit Impian. Tempat yang indah ini menyimpan seribu satu cerita. Cerita yang akan dia gali untuk bertahan dalam dunia kewartawanan.
            Mata Yuhana terus menangkap deretan rumah tumpangan yang tersergam indah di sebelah kanan Villa. Yuhana meliarkan pandangannya memandang ke sekeliling. Apabila dia yakin tiada sesiapa di situ, Yuhana terus mengatur langkah senyapnya untuk ke rumah tumpangan tersebut. Siapa tahu dia akan mendapat petunjuk di situ? Duga Yuhana sendiri. Belum jauh dia melangkah, Yuhana terkejut apabila namanya dipanggil tiba-tiba.
“Yuhana?” Yuhana terkejut. Pantas dia menoleh. Salmah sedang berdiri di belakangnya sambil tersenyum menyambut kedatangannya.
            “Kak, terkejut Hana,” balas Yuhana dengan senyuman.
            “Maaf, akak tak sengaja. Dari jauh akak tengok Hana sampai. Mari, akak tunjukkan bilik Hana. ” pelawa Salmah kepada pekerja baru majikannya itu. Yuhana hanya mengangguk. Diturutkan sahaja permintaan Salmah. ‘Tak apa, Hana. Kau masih ada masa dua bulan lagi.’ Pujuk hati kecilnya.
            Langkah Salmah dibuntuti hingga ke pintu besar sebuah villa milik Hakim. Jantung Yuhana mula berdegup kuat. Sebaik sahaja dia menginjakkan kaki ke villa tersebut hatinya mula kacau. Di ruang matanya mula membayangkan wajah Hakim yang serius dan bengis. Ya! Sememangnya Hakim seorang lelaki kasar yang kedekut dengan senyuman. Kalau tidak, mana mungkin ada manusia yang hidup dengan mengasingkan diri daripada masyarakat?
            Yuhana berlari kecil menyamai langkah Salmah di hadapannya.
            “Kenapa, Hana?” soal Salmah hairan.
            “Err, akak dah lama ke kerja sini?” soal Yuhana tiba-tiba.
            Salmah senyum sedikit.
            “Lama jugaklah. Dekat 20 tahun rasanya. Yalah, akak ni sekolah pun setakat darjah 3. Kerja apa aje yang akak boleh buat.” Yuhana angguk perlahan. Bermakna, Salmah mungkin tahu tentang rahsia di Bukit Impian. Ya, peluangnya semakin terbuka luas.
            “Kenapa Hana tanya?” soal Salmah.
            “Eh, saja aje. Senanglah Hana nak tahu apa-apa tentang Villa ni, atau apa-apa aje.” jawab Yuhana serba salah.
            “Kak, Hana nak tanya sesuatu, boleh?” Yuhana memulakan visinya.
            “Boleh. Insya-Allah, kalau akak boleh jawab, akak jawab.” Yuhana tersenyum.
            “Rumah Tumpangan sebelah Villa ni, Encik Hakim juga ke yang punya?”
            “Oh, Rumah Tumpangan tu, yalah. Dah tua dah usia Rumah Tumpangan tu. Sejak arwah...”
“Kak!” Hakim menyapa dari belakang. Pandangan tajamnya terus dihalakan ke arah Yuhana dan Salmah.
            Hakim melangkah  perlahan menghampiri Yuhana.
            “Akak ke belakang dulu buatkan air. Hana duduklah,” ujar Salmah pantas lalu meninggalkan Yuhana dengan Hakim.
            “Err, assalamualaikum  Encik Hakim. Apa khabar, sihat ke?” Yuhana cuba berbasa-basi. Pandangan dingin Hakim dibalas sepintas lalu. Hakim tidak menjawab, sebaliknya dia melangkah ke hadapan menghampiri Yuhana yang masih berdiri kaku di ruang tamu. Sampai sahaja di hadapan gadis itu. Hakim menghentikan langkahnya. Dia menunduk sambil mengamati wajah Yuhana.
            “Boleh tahan kau ya,” ujar Hakim tiba-tiba.
            “Huh?” Mata Yuhana sudah terkebil-kebil. Tidak memahami maksud di sebalik kata-kata lelaki itu. Yuhana tunduk. Untuk membalas pandangan itu, Yuhana cuak. Ketakutannya bersisa. Lelaki itu punya kuasa untuk mematahkan setiap sendinya.
            Hakim berdiri tegak. Dia terus membelakangi Yuhana.
            “Kak!” jerit Hakim. Terkocoh-kocoh wanita itu berlari mendapatkan majikannya. Salmah tegak berdiri di hadapan Hakim dan menanti arahan daripada lelaki itu. Yuhana mengerling sedikit. Tidak mahu mencampuri urusan Hakim dan pekerjanya.
            “Ya, Hakim,” balas Salmah.
            “Akak tolong bagi tahu dia apa-apa kerja yang patut dibuat. Lagi satu, jangan lupa ingatkan dia supaya jangan sesekali mendekati dua bilik saya di atas. Faham, kak?” Hakim tegas memberi arahan. Kepala Yuhana spontan mendongak ke atas. Mencari dua bilik yang dimaksudkan oleh Hakim. Agaknya apa yang berada di dalam bilik tersebut ya? Yuhana berteka-teki sendiri.
            “Kau pandang apa?” Yuhana terpana. Sekelip mata sahaja wajah Hakim sudah berada di hadapannya. Yuhana hilang kata. Lidahnya kelu tanpa secara tiba-tiba.  Kening Hakim bertaut. Dia sedia menanti jawapan daripada gadis itu.
            “Err... Encik Hakim, dua bilik tu tak perlu dikemas ke? Yalah...”
            “Tak perlu. Ingat arahan aku. Jangan sesekali kau dekati bilik tu.” Hakim pantas memotong. Pandangan tajamnya sudah dihalakan ke arah Yuhana. Perlahan Yuhana angguk. Hatinya kuat mengatakan ada sesuatu yang disembunyikan di bilik itu.
            “Bagus. Sebelum tu, aku ada kerja untuk kau. Mari ikut aku!” Hakim terus berlalu. Meninggalkan Yuhana dan Salmah yang masih terkulat.


ENCIK HAKIM, biar betul?” Kepala Yuhana mendongak tinggi ke atas. Ya! Ini bukan mimpi. Di hadapannya adalah sebatang pokok kelapa yang tinggi melangit. Yuhana menelan air liurnya yang terasa pahit. Mahu gugur jantungnya dengan arahan gila Hakim.
            Yuhana mengeluh perlahan. Sekali lagi dia mendongak ke atas. Ada berbiji-biji buah kelapa di situ. Kalau dibuat minum masa panas terik ini memang sedap. Tapi, yang tak syoknya bila teringatkan Hakim yang seronok berpeluk tubuh di belakangnya. Yuhana sudah mengelap peluhnya yang sudah mula pecah di dahi, apalah nasibnya. Hendak saja dia meraung sepuasnya. Melahirkan rasa geramnya itu.
            “Macam mana, Yuhana?” suara Hakim kedengaran lagi.
Yuhana terus menoleh. Memandang geram ke arah Hakim yang sudah tersenyum sinis.
“Saya tak nak!” tegas Yuhana dengan lantang. Serentak itu Hakim menoleh memandang ke arah Yuhana.
            “Kau tak nak?” Hakim menyoal lagi sekali.
            Serentak itu Yuhana menggeleng, dia belum gila lagi hendak menurut permintaan gila si Hakim Bukit Impian itu.
            “Okey, keluar dari Bukit Impian!” arah Hakim dengan tegas.
            “Tidak!” Tiba-tiba Yuhana menjerit. Hakim tergamam. Jeritan Yuhana itu mampu menggegarkan Bukit Impian. Yuhana tersedar. Aduh, sempat pula dia melamun saat-saat begini. Perhatiannya kembali tertumpu ke arah Hakim yang masih setia menanti jawapan darinya.
            “Macam mana, Yuhana?” Yuhana tertunduk hampa.
“Encik Hakim nak sangat minum air kelapa tu ke?” Yuhana beralih ke arah Hakim. Sengaja dia melontarkan soalan begitu kepada Hakim. Nampak beria-ia benar si Hakim Bukit Impian itu,
            “Bila masa aku kata aku nak minum air kelapa tu? Aku tak hairanlah dengan buah kelapa tu!” Suara Hakim sudah memecah keheningan di petang itu.
            “Habis tu?” Yuhana sudah berdiri tepat di hadapan Hakim.
            “Suka hati akulah nak suruh buat apa pun!” Hakim bersuara perlahan. Pandangannya dialihkan ke arah lain.
            Yuhana mencebik. Dia sudah agak. Lelaki itu memang sengaja mempermainkannya.
            “Hesy, Encik Hakim ni!” Yuhana mendengus kecil. Punggungnya mula dilabuhkan di atas rumput yang menghijau itu. Mengikat tali kasutnya yang sudah terbuka. Tetapi, belum sempat dia melabuhkan punggung di atas rumput tersebut, suara Hakim bergema lagi. Yuhana mendengus geram. Dasar lelaki senget!
            “Siapa suruh kau duduk? Bangun, bangun! Rumput itupun hak milik aku. Selagi aku tak suruh kau sentuh apa-apa, selagi tu kau jangan nak pandai-pandai ya!” Hmm, kedekut! Yuhana mengomel tidak henti.
            “Hesy, berkira sangat! Bukannya luak pun. Ni ha! Tali kasut saya terbuka” desis Yuhana kasar. Dia bangun lalu menjeling tajam ke arah majikannya itu. Mahu gila dia kalau hari-hari menghadap perangai Hakim begini.
            “Kau cakap apa?” tanya Hakim geram sambil bercekak pinggang.
            “Tak ada apa-apa, saya tanya mana awak import rumput ni? Cantik,” Jari telunjuk Yuhana sudah diarahkan ke arah hamparan rumput yang menghijau di sekitar Bukit Impian.
            “Bukan urusan kau. Kalau aku bagi tahu sekali pun, bukan kau mampu beli. Dah, jom ikut aku,” Lelaki sewel itu terus terusan mengarah. Yuhana mencebik, namun diturutkan juga langkah lelaki itu. Yuhana lantas mengangkat tangan mengacah-acah untuk memukul belakang tubuh Hakim. Cukup sekadar memuaskan rasa sakit hatinya itu. Misinya sudah ditanam kuat ke dlaam hati. Sikap dan perangai Hakim tidak akan mampu melunturkan semangatnya.
            “Kau jangan nak buat sesuatu yang akan mendatangkan kemarahan aku, silap-silap hilang kerja kau hari ni,” ugut lelaki itu tiba-tiba. Yuhana menutup mulutnya. Dia ni dapat baca fikiran orang ke? Gumam Yuhana sendiri.
            “Hesy, dasar Hakim Bukit Impian!” omel Yuhana tidak berhenti. Tanpa dia sedari dahinya sudah terhantuk di belakang tubuh Hakim yang tiba-tiba menghentikan langkahnya.  “Ops, sorry! Dahinya digosok perlahan.
            “Kau cakap apa tadi? Hakim Bukit Impian?” Mencerlung mata Hakim memanah pandangan Yuhana yang tidak berkelip-kelip itu. Yuhana jadi leka seketika. Kacaknya pandangan mata dia. Kalaulah aku tak tahu perangai dia yang tiga suku ni, mahu aku jatuh cinta! Sempat lagi Yuhana memasang angan.
            “Aku up lagi tiga biji. Totalnya...” Hakim menghitung jari jemarinya di hadapan Yuhana. Tidak berkelip matanya melihat Hakim bersahaja di hadapannya.
            “Lima belas biji,” sambung Hakim lantas berlalu meninggalkan Yuhana yang masih terkulat. Lima belas biji?
            Beg sandang yang kemas tersangkut di bahunya, sudah jatuh menyembah bumi. Yuhana masih tergamam tanpa kata.
            “Silakan, Yuhana,” ujar Hakim dengan seulas senyuman yang meleret. Hakim sudah  menunjukkan dua batang lagi pokok kelapa yang terletak di sebelah kanan Rumah Tumpangan miliknya.
            “Biar betul? Lima belas biji? Tiga biji pun belum tentu  dapat. Saya ni perempuan ayu tau!” tungut Yuhana geram. Sengaja meraih simpati lelaki itu.
            “Perempuan ayu? Kau perempuan ayu?” Hakim sudah pecah ketawa, mahu tergoleng-goleng dia ketawa dengan kata-kata Yuhana. Yuhana di sebelah hanya mampu menjeling Hakim dengan pandangan tajamnya. Kalau tidak difikirkan misinya, sudah lama lelaki itu dia ketuk dengan buah kelapa!


5 comments:

  1. Sya suka baca cerpen INI..tolong sambung yer

    ReplyDelete
  2. Sya suka baca cerpen INI..tolong sambung yer

    ReplyDelete
    Replies
    1. Hi, saya akan sambung nanti. Kalau nak cepat, boleh ke page Facebook saya, di sana saya dah share hingga bab 7. Terima kasih dear.

      Delete
  3. Facebook page :Emma Mariam
    Facebook grup:The triplet story.
    Tq.

    ReplyDelete