Saturday, August 20, 2016

Bab 2

YUHANA menutup matanya rapat. Sambil telinganya peka mendengar bunyi sekeliling. Bau dan haruman bunga yang tumbuh subur mula menusuk masuk hingga ke rongga hidungnya. Amat menenangkan!
            Seketika telinganya mula menangkap bunyi derapan kaki yang berjalan perlahan menuju ke arahnya. Yuhana senyum sendiri. Tahu si pemilik sepasang kaki itu. Detik demi detik dia mengharapkan kehadiran insan itu. Saat demi saat dia menanti kepulangan itu.
            Beberapa ketika kemudian, dia merasakan seseorang turut baring di sebelahnya. Sekali lagi bibir itu mengukir senyum. Kehangatan tubuh itu menghadirkan rasa bahagia di hatinya. Kehangatan itulah yang menemani tidur malamnya. Kerana kehangatan itu jugalah dia lena dibuai mimpi yang indah.
            “Hana bahagia, bahagia sangat. Terima kasih sebab kembali kepada Hana,” ujar Yuhana dengan mata yang masih tertutup.
            Kedengaran tawa kecil daripada insan kesayangannya itu. Yuhana turut tersenyum. Sudah lama tawa itu tidak menghiasi hidupnya. ‘Ya Allah, kekalkan kebahagiaan ini. Kekalkan pendengaranku ini agar aku boleh tetap mendengar suara dan tawanya. Kekalkan pandangan mataku...” Yuhana menoleh lantas membuka matanya. Memandang wajah satu-satunya insan yang dia cintai.
            ‘...agar aku boleh melihat senyuman bahagia di wajahnya,’

“HANA!”
            Dapp!! Mimpi indahnya berkecai-kecai ke udara. Tiada satu pun yang melekat di dalam ingatannya.
            “Aduh, sakitnya punggung aku ni,” rungut Yuhana dalam keadaan yang masih mamai. Rambutnya masih terhurai dan hampir menutup separuh mukanya. Yuhana bangkit dari bawah katil. Punggungnya digosok berulang kali. Perit pula. Katil bujang saiz single miliknya terus disepak dengan kaki.
            “Aduh!” Sekali lagi Yuhana mengerang kesakitan. Dia tunduk semula memegang hujung kakinya yang sakit.
            “Hesy, tak guna punya katil. Harapkan
pagar, pagar makan padi. Aku elok-elok aje bela kau berbelas tahun lamanya. Boleh kau tendang aku sampai jatuh kat bawah. Kalau ikutkan rasa marah aku ni, nak aje aku jual kau kat tauke kayu. Biar kau rasa! Tunggulah nanti, bila aku dapat bonus tahun depan,” bebel Yuhana tanpa henti.
            “Hana!” Ha, Mak! Mata Yuhana membuntang besar. Cepat-cepat Yuhana mengemas rambutnya.   
“Ya, mak!” jawab Yuhana dari dalam bilik.
            “Apa yang kau merepek tu? Tauke kayulah! Bonuslah! Kau ingat mak tak tahu, bila dapat bonus aje terus kau habiskan beli makanan yang entah apa-apa,” Suara Marina semakin mendekat. Kelam-kabut Yuhana dibuatnya. Cepat sahaja tangannya mengemas katil bujangnya yang masih bersepah. Tidak sampai satu minit, pintu biliknya terbuka dari luar. Muka maknya sudah terjengul di muka pintu.
            “Ni, mesti jatuh katil lagi? Apa nak jadi dengan kamu ni, Hana. Itulah, mak dah pesan banyak kali, tukar katil buruk kamu tu. Tubuh kau tu pun pandai membesar. Katil tu tak berubah-ubah mak tengok,” Yuhana hanya membatu di tepi katilnya. Bebelan panjang ibunya hanya didengar. Masuk telinga kiri, keluar telinga kanan.
            “Katil ni ha, nak kena jual agaknya,” Yuhana menjawab bersahaja.
            “Kamu jual 10 ringgit pun belum tentu orang nak, Hana. Mak dah pesan...”
            “Eh, mak masak apa pagi ni?” Yuhana menghampiri Marina dengan senyuman manis. Sengaja melekakan maknya itu. Bukan boleh diturut sangat. Mahu berpanjangan hingga ke malam.
            “Makan, makan! Itu aje yang kamu tahu. Tolong maknya tidak. Aduh apa nak jadi dengan kamu ni, Hana? Kalau kamu nikah nanti...” Marina mula menimbulkan soal nikah kahwin. Menggeleng Yuhana dibuatnya. Itulah topik ibunya setiap kali mereka berbalah. Kahwin! Kahwin! Kahwin!
            “Hah? Ya ayah, mak kat sini!” Yuhana tiba-tiba menjerit sambil menjenguk sedikit ke muka pintu.
            “Mak, teman lelaki mak panggil tu. Pergilah cepat,” Yuhana perlahan menolak lembut tubuh Marina dari biliknya. Apabila bab kahwin sudah menjadi topik utama, elok sahaja Yuhana mencipta alasan. Jika dibiarkan, menanah telinganya nanti.
            “Ya, abang! Ni, kamu cepat siap! Tengok, jam tu dah pukul berapa?” Sempat Marina mengingatkan anak daranya itu.
            “Hesy, mak ni mimpi ke apa? Hari ni kan hari sabtu, mana ada kerja,” balas Yuhana dengan yakin.
            “Ya Allah, Hana! Kamu ni betul ke tidak? Cuba kamu cuci betul-betul kepala kamu tu. Hari ni jumaat, sayang, intan payung.” Tidak semena-mena kepala Yuhana menerima ketukkan kecil daripada tangan Marina. Bendul sangat, itulah makanannya!
            “Mak... hah? Jumaat? Aduh, matilah.” Kelam-kabut Yuhana bergerak ke bilik air dan meninggalkan Marina yang hanya mampu menggeleng. Anak daranya itu memang tidak pernah berubah. Perangai kalahkan budak-budak!
            “Kenapa mak tak kejutkan, Hana?” Masih sempat lagi mulut kecil itu membebel dari dalam bilik air. Hanya derusan air yang kedengaran bising.
            “Nak kejut macam mana lagi? Dah nak tercabut anak tekak mak ni kejutkan kamu, Hana. Dah, mandi cepat!” tengking Marina lagi.
            “Mak, bekalkan sarapan ya. Terima kasih,” pinta Yuhana.
            “Hmm.”

YUHANA menopang dagu dengan menggunakan kedua-dua belah tangannya. Matanya lekat memandang skrin komputer yang dihiasi permandangan di sekitar Bukit Impian.
Ya, Bukit Impian. Tiba-tiba Yuhana teringatkan lelaki berkaca mata hitam itu. Lelaki tersebut mendiami Bukit Impian. Yuhana tersenyum kecil. Gara-gara ingin mengenal pasti siapa lelaki tersebut, Yuhana nekad mengekori lelaki itu hingga ke sebuah Villa yang terletak di Bukit Impian. Sebuah tempat yang cantik dan menenangkan.
Penat merenung skrin, dia merebahkan pula kepalanya di atas meja sambil terkebil-kebil memandang dinding. Kerana terlampau banyak sangat kerja yang perlu disiapkan Yuhana terpaksa membatalkan hasratnya untuk balik awal ke rumah. Mujur saja mak dan ayahnya memahami tugasnya sebagai wartawan yang menuntut begitu banyak masa lapangnya.
Yuhana mengeluh perlahan. Tiba-tiba pandangan tajam lelaki itu bermain di ruang matanya. Yuhana terpana. Di saat-saat begini, mengapa wajah itu yang muncul di kotak fikirannya? Siapa sebenarnya lelaki dari Bukit Impian itu? Yuhana berteka-teki sendiri.
Jam di pergelangan tangan dikerling. Hampir menunjukkan pukul 6.00 minit petang. Dengan malas Yuhana mencapai beg sandangnya. Waktu-waktu begini semua pekerja sudah balik ke rumah masing-masing. Cuma, dia yang masih sibuk menyelesaikan kerjanya yang masih belum siap.  Langkah kakinya diatur keluar dari ruang pejabat. Yuhana membuka beg sandangnya. Botol mineral bersaiz kecil ditarik keluar. Kering pula tekaknya. Penutup botol mineral tersebut dibuka. Dia melangkah keluar sambil meneguk air dengan rakusnya. Kering pula tekaknya.
“Yuhana!” Air yang diminum terus tersembur keluar. Terbatuk-batuk Yuhana dibuatnya.
“Awak ke mana semalam? Kenapa tak datang kerja?!” marah Encik Hadi tanpa memberi peluang untuk Yuhana menjelaskan perkara sebenar.
“Saya pergi cari bahan, Encik Hadi,” balas Yuhana. Bijak mencipat seribu alasan.
Encik Hadi bercekak pinggang.
“Yuhana... awak ni memang nak kena dengan saya. Baik, saya bagi awak satu lagi peluang. Kalau dalam tempoh sebulan awak gagal siarkan berita tergempak awak tu...” Encik Hadi bergerak setapak menghampiri Yuhana. Jari telunjuknya sudah naik setaraf dengan pandangan mata Yuhana.
“... you are fired!” sambung Encik Hadi. Yuhana terkebil-kebil. Ini kali pertama Encik Hadi menuturkan ayat tersebut di hadapannya. Fired? Yuhana menggeleng takut. Habislah! Musnahlah masa depannya nanti, desis Yuhana takut. Nafasnya dilepaskan perlahan. Tiba-tiba di ruang matanya terpampang permandangan indah di Bukit Impian. Yuhana diam sejenak. Hilang permandangan Bukit Impian, digantikan pula dengan pandangan lelaki asing itu. Bibir Yuhana terus mengukir senyum. Rasanya, dia tahu bagaimana hendak memenuhi kehendak Encik Hadi?

DASAR Encik Hadi boroi!” Yuhana mendengus marah. Nasi di pinggannya disuap tanpa henti. Memang berangin sungguh dia dengan ketuanya itu. Gara-gara dialah Yuhana terpaksa mengambil keputusan terburu-buru. Tanpa sebarang perancangan, dia harus pergi ke Bukit Impian untuk mendekati lelaki asing itu. Yuhana yakin, lelaki itu memang ada kaitan dengan Tuan Hariz. Kalau tidak, kenapa lelaki itu ada setiap kali Tuan Hariz munculkan diri.
            Sekali lagi Yuhana mengangguk penuh optimis. Di matanya kini terbayang permandangan indah di Bukit Impian. Yang pasti, di sana nanti dia akan bertemu dengan lelaki berkaca mata hitam itu. Yuhana termenung sejenak. Teringat saat pertama kali dia bertentangan mata dengan lelaki itu. Pandangan mata itu mampu mematahkan segala pergerakannya. Bahkan, lidahnya juga terkelu  dengan sendirinya.
            “Emm... macam mana ya nak masuk ke Bukit Impian tu?” Yuhana meletakkan kepalanya di atas bahu kerusi, sambil matanya terkebil-kebil memandang ke sekeliling. Mencari idea untuk mendekati lelaki misteri itu.
            “Astaghfirullah al-azim, budak bertuah ni!” Suara Marina sudah lantang menegur.
            Yuhana lantas mengangkat kepalanya. Memandang wajah Marina yang sudah merenungnya tajam.
            “Terkejut, Hana. Mak ni, lain kali bagi salamlah. Nasib baik anak mak ni tak ada sakit jantung. Kalau tidak mati katak tau. Kempunan mak nak timang menantu,” Panjang lebar Yuhana membebel berserta muncung panjang di bibirnya. Dia hanya memerhati langkah Marina yang ulang alik dari dapur ke meja makan.
            “Ni dah kenapa makan nasi kosong aje? Itulah, malas sangat nak tolong mak bawa lauk dari dapur,” bebel Marina tanpa henti.
            “Mak, Hana dah lapar tahap dewa ni mak. Pening lagi.” rungut Yuhana.
            “Tak ada maknanya, Hana.”
            “Hesy, mak ni. Langsung tak ada rasa sayang dekat anak mak ni. Mak, Hana ni lah satu-satunya anak mak tau.” Pandai saja Yuhana memohon simpati maknya itu.
            “Ayah mana, mak?” tanya Yuhana lagi sambil matanya melilau ke tangga jika ada bayang-bayang ayahnya di situ.
            “Sekejap lagi turunlah tu. Kamu dah solat ke belum ni?” tanya Marina.
            “Dahlah mak. Hana lapar ni, dari tengah hari tak makan.”
            “Ada-ada ajelah kamu ni, Hana. Tak makanlah, apalah. Pening dah kepala mak.” Marina kembali dari dapur dengan membawa sejag air sirap dan tiga biji gelas.
            “Mak, nanti esok Hana nak kena pergi johor. Ada kerja sikit.” beritahu Yuhana.
            “Johor? Siapa temankan kamu?” soal Marina risau.
            “Seoranglah mak. Hana ada kerja sikit kat sana,” jelas Yuhana lagi.
            “Hati-hati nanti, Hana.” Mahmud tiba-tiba muncul dari arah belakang. Terus ayahnya itu mengambil tempat di sebuah kerusi.
            “Okey, ayah. Tak perlu risaulah, Hana kan dah besar. Tahulah jaga diri macam mana,” Pandai saja Yuhana berkata-kata.
            “Kamu tu memang dah besar, tapi perangai kalahkan budak pra sekolah,” omel Marina. Bukan dia tidak kenal dengan perangai anak tunggalnya itu.
            “Hesy, mak ni. Boleh pula samakan Hana dengan budak pra-sekolah. Tak rocklah mak ni.” Muncung Yuhana sudah panjang mengalahkan mulut itik.
            “Hesy, dua beranak ni. Memang tak boleh bertemu. Asyik nak gaduh aje. Depan rezeki pun boleh bertekak,” Mahmud sudah bersuara. Menegur tingkah isteri dan anaknya yang memang tak sebulu. Hidup seperti bermadu pula. Ada saja modal untuk dijadikan bahan gaduh.
            “Hana, balik kamu dari Johor nanti, mak nak kenalkan kamu dengan anak kawan mak. Baik budaknya. Hormat orang tua. Boleh ya, nak?” suara Marina sudah mengendur sambil memandang wajah Yuhana dengan senyuman manis.
            “Siapa lagi ni, mak? Hana sekarang banyak kerjalah. Tak ada masa,” balas Yuhana lemah.
            “Adalah, Hana kenal-kenallah dulu. Mak bukan minta Hana kahwin terus dengan dia.” beritahu Marina lagi.
            “Tengoklah macam mana,” balas Yuhana acuh tak acuh. Dia malas untuk mengambil tahu untuk
            “Tak payah tengok-tengok. Nanti mak uruskan. Hana cuma siapkan diri aje,” putus Marina sambil tangannya mencedok lauk ke pinggan suaminya.
           


No comments:

Post a Comment