Bab 1
YUHANA bersembunyi di balik sepohon pokok. Tubuhnya
yang kecil itu tidak kelihatan apabila berdiri di sebalik sepohon pokok yang
besar itu. Dari kejauhan, Yuhana jelas melihat seorang lelaki sedang duduk
melutut di hadapan pusara. Yuhana mula diselubungi sebak. Selama ini, dia tidak
pernah melihat lelaki itu menjadi sebegitu rapuh. Hari ini dan di saat di saat
ini, Yuhana melihat lelaki tua itu menitiskan air mata di hadapan pusara yang
tidak ketahui pemiliknya. Kamera di tangannya tidak jadi dibuka. Yuhana mula serba
salah. Situasi begini tidak pernah dia jangka. Siapa sangka lelaki bengis seperti
Tuan Hariz akan melutut dan menangis di hadapan pusara. Yuhana tunduk seketika.
Memikirkan kemungkinan yang akan terjadi andai dia meneruskan niatnya untuk
menyiarkan cerita tentang ahli perniagaan terkenal itu. Yuhana memasukkan
semula kamera jenama canon tersebut
ke dalam beg sandangnya. Membatalkan hajatnya untuk mengambil gambar lelaki
itu.
Langkahnya diatur untuk meninggalkan tanah perkuburan
tersebut. Namun, dia terhenti apabila melihat susuk tubuh seorang lelaki yang
sedang berdiri tidak jauh daripadanya. Seorang lelaki yang berkaca mata hitam
itu leka memandang ke arah tanah perkuburan tersebut. Dahi Yuhana mula
berkerut. Cuba mengorek ingatannya. Siapakah lelaki itu? Apa hubungannya dengan
Tuan Hariz?
“Saya tak sangka, hati uncle busuk sangat. Sedarlah
uncle, uncle dah tua. Dah tak ada sesiapa di sisi uncle sekarang. Cuba uncle
tanya diri uncle, kenapa isteri dan anak uncle pergi daripada hidup uncle?
Sebabnya uncle sedikit pun tak ada rasa kasih dan sayang. Uncle tamak. Uncle
sanggup buang saudara hanya kerana perasaan tamak uncle tu!”
Yuhana melopong. Jika benar tekaannya, mungkin sahaja
lelaki itu adalah anak kepada Tuan Hariz? Yuhana membatalkan hasratnya untuk
meninggalkan tanah perkuburan tersebut. Dia mengeluarkan semula kamera dari beg
sandangnya. Dia berpaling semula. Menoleh ke arah Tuan Hariz yang sedang
berbual dengan seorang lelaki tua. Ya, dia cukup kenal dengan lelaki itu.
Hampir setengah tahun dia ke hulu ke hilir menyiasat tentang lelaki bernama
Tuan Hariz itu. Dia sudah mengenali sesiapa sahaja yang rapat dengan ahli
perniagaan itu.
Kamera diarahkan ke arah Tuan Hariz yang sedang tunduk
menangis itu. Sekelip mata sahaja Yuhana berjaya menangkap gambar kedua-dua
orang sahabat baik tersebut, Tuan Hariz dan Dato’ Fadzil. Dua sahabat baik yang
bersengketa kerana sebuah syarikat.
Setelah selesai menangkap gambar tersebut, Yuhana
palingkan tubuhnya menghadap ke arah lelaki yang berkaca mata itu. Kameranya
terus diangkat, lalu merakam figura lelaki tersebut. Yuhana tersenyum senang.
Dia ada misi baru. Misinya untuk mencari di mana anak Tuan Hariz? Semuanya akan
terungkai sebaik sahaja dia menemui anak yang kepada Tuan Hariz. Dia akan menulis
sebuah artikel yang bakal menggegarkan malaysia. Yuhana mula membayangkan
namanya yang akan tertulis di bawah sebuah artikel yang bertajuk ‘kisah silam
disebalik kejayaan seorang ahli perniagaan terkenal’. Sekali lagi bibir Yuhana
mengukir senyum. Kariernya sebagai seorang wartawan akan terjamin sebaik sahaja
dia menyiarkan berita panas itu.
Gambar yang telah diambil, ditatap semula. Bibir yang
dihiasi senyuman itu serta merta berubah apabila terpandang gambar lelaki
tersebut.
“Kacaknya dia,” Tanpa sengaja Yuhana memuji seraut wajah
yang serius itu. Yuhana mendongakkan pandangannya. Serentak pandangannya
bertemu dengan pandangan lelaki berkaca mata itu. Terkebil-kebil mata Yuhana
dibuatnya. Ada debar di dadanya yang membuatkan dia tiba-tiba tidak keruan.
Walaupun dilindungi cermin mata, Yuhana tahu sepasang mata itu sedang menikam
seluruh wajahnya.
YUHANA terkocoh-kocoh berlari sambil menjinjing beg
galasnya. Beberapa fail yang dibawanya sejak tadi terus dipeluk kemas. Yuhana
mempercepatkan lariannya menuju ke arah pintu lif yang masih terbuka. Sesekali
mata itu mengerling kejap jam ditangannya. Kurang 5 minit lagi menunjukkan
pukul 8.30 minit pagi. Matilah dia kalau dia terlewat. Sudahlah dia kerap
mendapat amaran keras daripada ketuanya.
“Tidak!” Yuhana menjerit lantang. Kaki kanannya terus
disilangkan ke arah pintu lif yang semakin tertutup. Yuhana mengeluh lega.
Mujur dia sempat menahan lif tersebut daripada tertutup. Yuhana melirik senyum
sedikit ke arah beberapa orang pekerja yang turut berada di dalam lif itu. Malunya
diletakkan ke tepi. Yang penting, dia tidak akan dimarahi oleh Encik Hadi jika
dia terlambat masuk kerja lagi.
“Awal kau hari ni,” sapa satu suara wanita dari arah
belakang.
Yuhana terkejut. Cepat-cepat dia menoleh ke arah suara
tersebut. Bibirnya terus mengukir senyum sebaik sahaja dia terpandang wajah
rakannya, Tini yang turut berdiri di belakangnya.
“Kau ni! Suka kejutkan aku. Aku tak perasan pula kau ada
di sini,” balas Yuhana sambil mengurut dadanya. Nasib baik dia tidak menghidap
penyakit jantung. Kalau tidak, mahu mati katak dibuatnya. Omel Yuhana sendiri.
“Mana nak perasan kalau kau sibuk jadi spiderman tadi. Itulah, lambat lagi!”
marah Tini. Yuhana pula sudah menayangkan barisan gigi hadapannya. Tersengih
memandang wajah rakan seperjuangannya itu. Ya, Tinilah rakan seperjuangannya
sepanjang dia mula berkhimat selama 2 tahun di salah sebuah syarikat media
cetak dan elektronik.
“Ha, senyum lagi! Padanlah kena marah dengan Big Boss,” ujar Tini geram.
“Alah, Encik Hadi tu sebenarnya tak faham. Yalah, kerja
dia duduk aje terperap dalam office.
Yang nak berjalan ke hulu ke hilir cari bahan tu, kita. Bukan dia! Dia tahu nak
komplen aje!” desah Yuhana dengan geram. Sudah dua hari berturut-turut dia
dimarahi Encik Hadi kerana datang lewat ke tempat kerja. Bukannya Encik Hadi
tahu kesusahan yang dialami semasa berkerja di luar.
Ting!
Yuhana dan Tini serentak mendongak. Pintu lif sudah terbuka
luas. Belum sempat Yuhana dan Tini melangkah keluar, suara dehaman Encik Hadi
terlebih dahulu mengejutkan mereka.
“Jumpa saya selepas ni, Hana.” Mata Yuhana sudah
membuntang luas. Jantungnya sudah tercabut daripada tangkainya. Encik Hadi
melemparkan senyuman sinis sebelum keluar dari perut lif. Yuhana dan Tini
saling berpandangan. Air liur yang ditelah terasa pahit melalui saluran
kerongkongnya.
“Hana, matilah kau...” ujar Tini dengan mata yang masih
terkebil-kebil.
“Hmm, aku tahu.” Yuhana pasrah. Nasibnya memang sentiasa
buruk sejak kebelakangan ini.
YUHANA menunduk. Memandang hujung kakinya. Sepatah
perkataan pun tidak terkeluar dari mulutnya. Tidak pula dia berani mengangkat
wajah memandang muka bengis ketuanya itu. Siapa tidak kenal dengan Encik Hadi,
ketua jabatan yang paling tegas. Lihat sahaja dengan perutnya yang sedikit
boroi itu.
“Awak pandang apa, Yuhana?” Suara garau Encik Hadi
bergema tiba-tiba. Serentak Yuhana mendongakkan wajahnya. Muka bengis Encik
Hadi terus menghiasi matanya. Perlahan Yuhana menggeleng. Tidak berani menjawab
apa-apa.
“Awak kata saya cuma duduk di office dan tak tahu kesusahan kamu semua di luar sana?” Mata Yuhana
terus terpejam rapat. Mengutuk keterlanjuran kata-katanya.
“Maaf, Encik Hadi. Saya tak sengaja...” pohon Yuhana.
“Awak tak tahu, bagaimana susahnya saya hendak menjawab
dengan pihak atasan apabila wartawan-wartawan macam awak tak ada berita untuk
disiarkan? Awak juga tak tahu, bagaimana susahnya saya nak jaga sepuluh orang
wartawan yang berperangai macam awak? Tahu tak?” sinis Encik Hadi dengan
soalan-soalan cepumasnya itu. Yuhana hanya mampu menahan rasa. Hendak menjawab,
lidahnya terasa kelu.
“Okey, beritahu saya apa berita yang awak dapat setelah
berapa hari datang lewat?” Encik Hadi sudah menyandarkan belakang tubuhnya di
bahu kerusi. Tangannya disilangkan ke dada. Wajah wartawannya itu terus dipanah
tajam.
Sekali lagi Yuhana kematian kata. Berita apa yang hendak
dia persembahkan, andai berita yang hendak dia siarkan belum lengkap
sepenuhnya.
“Err... Encik Hadi, berita tu...” Yuhana tergagap-gagap.
“Ya, saya tunggu. Mana berita yang awak kata gempak
sangat tu?” sindir Encik Hadi lagi.
“Sebenarnya, berita tu tak lengkap lagi.” beritahu Yuhana
perlahan. Dia sudah bersedia menerima tembakan demi tembakan daripada Encik
Hadi sekejap lagi.
“Yuhana!”
“Ya, Encik Hadi!” Semua mata pekerja yang berada di dalam
bilik itu memandang ke arah Yuhana dan Encik Hadi. Masing-masing sudah
menjangkakan yang ribut taufan pasti akan melanda andai Yuhana dan ketua mereka
itu bersua muka.
Encik Hadi memegang belakang lehernya yang tiba-tiba
terasa sengal. Naik darahnya dek sikap Yuhana yang sering menguji kesabarannya
itu. Antara semua pekerja yang berada di bawah pengawasannya, Yuhanalah yang
paling banyak mencabar kesabarannya.
“Tak siap? Berapa...”
Tiba-tiba telefon bimbit Yuhana berdering. Tanpa mempedulikan
kemarahan ketuanya itu, dia menjawab panggilan tersebut. Encik Hadi mula
membahang. Keluar asap berkepul-kepul dari telinga itu.
“Oh, ya. Hello?” jawab Yuhana. Lega. Kerana berjaya
melepaskan diri daripada mendengar bebelan Encik Hadi.
“Hana, Tuan Hariz serah diri,” beritahu suara dari hujung
sana.
Yuhana terkejut.
“Apa?!” Tanpa sedar, Yuhana menjerit kecil. Terkejut
Encik Hadi dibuatnya.
“Okey! Aku datang sekarang. Balai polis mana?” Yuhana
terus bangun dan mencapai beg sandang dari tempat duduknya. Pantas dia berlari
keluar dari ruang pejabatnya itu.
“Yuhana! Hana!” Encik Hadi menjerit kuat memanggil nama
Yuhana. Sakit hatinya apabila Yuhana langsung tidak mempedulikan panggilannya.
KERETA AXIA putih miliknya terus diparkirkan di salah satu
kotak parking yang masih kosong. Mata Yuhana meliar memandang kawasan di
sekitar balai polis tersebut. Tiba-tiba pandangannya terhenti ke arah
sekumpulan wartawan yang sedang mengerumuni seorang lelaki. Mata Yuhana terus
terbuka luas. Sekali lagi dia akan menjadi orang yang terakhir mendapat
maklumat. Tanpa menunggu, Yuhana terus mencapai beg sandangnya. Buku nota dan
pen pantas dikeluarkan. Telefon bimbitnya pula dikeluarkan semula dari poket
seluarnya. Butang rakaman ditekan. Yuhana pantas melulu ke arah sekumpulan wartawan
yang sedang berasak-asak ingin merakamkan berita sensasi itu.
“Tepi! Tepi!” jerit Yuhana. Sesekali dia turut sekali
menolak beberapa orang wartawan yang berhimpit-himpit untuk menemu bual seorang
ahli perniagaan yang pernah menerima tuduhan membunuh keluarga sahabatnya
sendiri. Yuhana tidak berputus asa. Sudah hampir setengah tahun dia menyiasat
kes lelaki itu, mustahil detik kemuncak begini dia lepaskan. Namun, tiba-tiba
Yuhana hilang imbangan. Badannya ditolak kasar. Akhirnya, Yuhana jatuh dan
tertolak ke belakang.
“Aduh!” Yuhana menggosok tapak tangannya yang melecet
apabila bergesel dengan permukaan jalan yang kasar. Yuhana mendongak. Keluhan
beratnya terluah apabila menyedari yang dirinya kini sudah jauh tertinggal ke
belakang.
“Aduh, sia-sia aje!” marah Yuhana geram.
Apabila Yuhana cuba untuk bangkit, dia terkejut melihat
huluran tangan daripada seseorang yang tidak dikenali. Terkebil-kebil mata
Yuhana dibuatnya. Sekali lagi dia mengangkat wajahnya, memandang ke arah
pemilik tangan itu. Yuhana terpana. Dunianya seakan-akan terhenti buat seketika.
Di hadapan matanya kini adalah lelaki yang pernah dia jumpa di tanah perkuburan
dua hari yang lepas.
Si dia masih
menghulurkan tangan. Menanti Yuhana menyambutnya. Tiada sepatah kata pun yang
terkeluar. Hanya pandangan mata yang dihantar. Yuhana menarik nafas dalamnya.
Berbekalkan keberanian yang bersisa, dia turuti juga kata hatinya. Perlahan
Yuhana menyambut huluran tangan itu. Dia bangun semula dengan bantuan daripada
lelaki asing itu. Sebaik sahaja Yuhana bangun. Pandangan matanya dan mata
lelaki itu bertemu. Tanpa sengaja, mereka berbalas pandang. Mata yang duhulu
dilindungi kaca mata hitam, kini menampakkan rupa. Dan, panahan mata itu
seakan-akan menjeratnya sekali ke dunia yang hanya ada mereka.
Lelaki itu terus mengukir senyum kecil di bibirnya. Lidah
Yuhana pula kelu untuk menjawab. Pegangan erat lelaki itu masih utuh di
jemarinya.
“Hati-hati,” pesan lelaki itu tiba-tiba. Jemari Yuhana perlahan
dilepaskan. Dia terus berlalu meninggalkan Yuhana yang masih kematian kata.
Entah kenapa Yuhana seakan-akan hilang upaya apabila memandang panahan mata
itu. Yuhana mula menanam tekad. Lelaki misteri itu akan dia dekati. Hanya
lelaki itu sahaja yang akan dapat menjawab semua persoalan yang berlegar dalam
kepalanya sekarang. Dan, hanya lelaki itu sahaja yang akan melengkapkan kes
yang sedang dia tulis ketika ini.
“Yuhana!” Yuhana tersentak. Sekilas dia menoleh. Riak
wajahnya terus berubah. Hilang sudah rasa debarnya. Diganti pula dengan rasa
marah yang seakan-akan tiada penghujungnya. Yuhana cuba lari dari keadaan itu.
Langkahnya mati tanpa sebarang halangan. Apabila namanya meniti semula di bibir
itu, dunianya turut sekali terbawa pada luka lama yang masih berdarah.
Kepalanya mendongak, memandang semula ke arah wajah itu.
Setahun yang lalu...
BUNYI deringan telefon yang tidak henti-henti sejak
tadi menganggu tumpuan Yuhana pada novel yang dibacanya. Yuhana hanya pandang
sekilas ke arah telefon bimbit kekasih hatinya itu. Sesekali mata itu meliar
mencari kelibat Wildan yang masih berada di sebuah kedai serbaneka.
Selang beberapa saat, bunyi mesej yang masuk pula
kedengaran. Yuhana berdecit. Novel di tangannya terus diletakkan ke tepi.
Telefon bimbit Wildan yang berada di atas dashboard
dicapai. Satu mesej diterima daripada si pemanggil yang bernama ‘Epal’. Yuhana
terus diterpa rasa hairan. Hatinya mula diselubungi rasa sangsi. Siapakah
‘Epal’? Yuhana berteka-teki. Tidak lama kemudian, panggilan telefon daripada
‘Epal’ itu muncul kembali. Yuhana memandang kejap ke arah Wildan yang masih
berada di dalam kedai. Teragak-agak Yuhana menyentuh tanda hijau pada skrin
telefon tersebut. Perlahan, Yuhana mendekatkan telefon tersebut ke telinganya.
Fikirnya, mungkin sahaja ada panggilan kecemasan. Jika tidak, mengapa si
pemanggil asyik menghubungi Wildan sejak tadi? Yuhana cuba memujuk hati dengan
berfikiran positif.
“You! You kat mana ni? Lama I tunggu. Kata sekejap aje
hantar Hana balik, ni dah dekat sejam dah!” Yuhana terpana. Mulutnya melopong.
Suara itu... Suara itu... ‘Tidak! Tak mungkin!’ Yuhana menggeleng berulang
kali. Cuba menidakkan kata hatinya.
“Mulalah tu. Jumpa aje dengan girlfreind kesayangan you tu, terus lupakan I. You kena ingat, I ni
girlfreind you juga tau!” Yuhana
memegang dadanya yang terasa mahu pecah. Air mata yang cuba ditahan tiba-tiba
mengalir. Kenyataan itu tidak dapat dia elak. Hakikatnya dia benar-benar
dikhianati!
“Dilla?” Yuhana memberanikan diri memanggil sebaris nama
itu. Berharap tekaannya salah.
Keadaan berubah menjadi sunyi seketika. Tiada tanda si
pemanggil tersebut membalas panggilan Yuhana. Serentak itu, Yuhana menangkap
kelibat Wildan yang baru keluar dari kedai serbaneka itu. Langkah lelaki itu
dipandang. Lelaki yang amat dia cintai. Dan, lelaki itu juga yang tega
mengkhianati cintanya. Sebaik sahaja Wildan memasuki kereta, Yuhana terus
melemparkan senyuman sinis. Sengaja dia menunjukkan telefon yang masih melekap
di telinganya.
“Maaf, sebab aku angkat panggilan kau. Aku tertanya-tanya,
siapa dia ‘Epal’ yang asyik menghubungi Wildan sejak tadi. Aku tak tahu pula
orang tu kau. Terima kasih, Dilla. Terima kasih atas segala-galanya.” Riak
wajah Wildan serta merta berubah. Tidak lepas dia memandang wajah Yuhana yang
kelihatan keruh.
“Hana,” Wildan teragak-agak untuk memanggil sebaris nama
itu.
Yuhana membuang pandangnya ke sekeliling sebelum dia
menoleh semula ke arah lelaki itu. Yuhana menggeleng, tidak percaya. Wildan dan
Dilla tega mengkhianati kepercayaannya. Wildan kekasih hatinya dan Dilla,
sahabat baiknya! Di mindanya mula berlegar tingkah Wildan dan Dilla sejak
kebelakangan ini. Patutlah, Wildan sering tiada masa untuknya. Malah, Dilla
sendiri asyik sibuk saja apabila diajak keluar. Rupa-rupanya mereka menjalinkan
hubungan di belakangnya.
“Terima kasih Wildan, atas hadiah sehebat ni. Terima
kasih banyak-banyak!” Yuhana membuka pintu kereta, lantas berlari pantas
meninggalkan Wildan. Meninggalkan kisah cintanya.
P/S Lelaki Seperti Dia selepas pindaan ini telah ditukar hampir 70% jalan cerita. Jom, kita ikuti versi baru LSD
versi lama pun best ...
ReplyDelete