DAYANA mengenggam kuat jemarinya. Tajam matanya menjeling ke arah Tasya dan
dua orang rakannya itu. Kenapalah budak tiga orang tu tidak pernah berpuas hati
dengannya? Sekilas dia turut mencuri pandang ke arah lelaki yang dimaksudkan
oleh Tasya seketika tadi. Faiz Rafzal, lelaki yang mencuri perhatian banyak
gadis di universiti mereka, ramai gadis yang cuba untuk mendekati lelaki itu,
entah kenapa sikap Faiz yang serius dan jarang untuk bercampur dengan mana-mana
pelajar menjadikan lelaki itu seorang yang sukar untuk didekati. Dayana
mengeluh perlahan, kepalanya yang mula berdenyut dipicit perlahan. Kenapalah
dia bersetuju dengan rancangan gila Tasya dan rakannya?
“Tak payah dengar diaorang
tu Yana, nanti kau pulak yang susah.” Bebel Haliza sambil mengemas buku-buku
dari atas mejanya.
Dayana enggan mengulas
kembali kata-kata dari Haliza, kini pandangannya jatuh pada wajah seorang
lelaki yang masih tekun melakar sesuatu di atas kertas putih bersaiz A3. Faiz.
Benarkah lelaki itu sesukar seperti yang Tasya katakan? Benarkah Faiz seorang
lelaki yang berhati batu dan sukar untuk didekati. Dayana terimbas kembali
detik pertama dia bertentang mata dengan lelaki itu, buat pertama kali itu juga
dia merasakan keanehan bila memandang seraut wajah itu.
“Yana..kau jangan bagitahu
aku yang kau nak ikut plan si Tasya tu, bahaya Yana..” Haliza merenung sekilas
wajah Dayana yang dari tadi berkerut.
“Kau pernah bersembang
dengan dia ke?” giliran Dayana bersuara, namun matanya masih lekat memandang ke
arah Faiz. Dari tadi lelaki itu masih kekal di tempat duduknya tanpa berbual
dengan sesiapapun.
“Ada jugaklah, tapi
semuanya pasal assigment. Kau bukan
tak tahu anak Puan Umaira tu, memang tak banyak cakap. Serius memanjang aje.”
“Dia tu ada kawan ke di
sini?” soal Dayana lagi seolah-olah berminat.
“Setahu aku dia cuma
berkawan dengan Nazri. Budak nerd tu.
Eh, jap! Apahal kau minat sangat dengan si Faiz tu? Kau jangan Yana..”
“Saja..” Dayana menjawab
bersahaja dengan sebaris senyuman di bibirnya. Tipulah kalau dia tak tercabar
dengan kata-kata Tasya seketika tadi.
‘Kalau kau hebat sangat,
buktikan! Kau kenal Faiz kan? Aku cabar kau,kalau kau berjaya pikat dia dalam
masa seminggu, aku akan akui bahawa kau benar-benar ratu di universiti ni dan
aku akan ikut segala kata-kata kau. Tapi, kalau kau gagal..kau kena ikut cakap
aku.’
“Yana..”
Haliza menyentuh sedikit jemari Dayana, entah kenapa dia risau dengan reaksi
rakannya itu.
“Jangan
risaulah!” Dayana cuba menyenangkan hati Haliza.
“Janji dengan
aku, jangan buat semua tu.” Pinta Haliza bersungguh-sungguh.
“Buat apa?”
“Yana..aku
kenal kau. Kau..”
“Kalau kau
kenal aku, kau akan tahu apa yang aku akan buat.” Balas Dayana, buku segera
dikemaskan, Haliza hanya menghantar langkah Dayana dengan riak wajah risau.
Dayana yang dia kenal? Mata Haliza terus melekat pada wajah Faiz yang masih
khusyuk dengan lukisannya, lelaki itu akan menjadi sasaran Dayana seterusnya!
**************
FAIZ dihampiri. Persetujuan yang dibuat dengan Tasya dua
hari yang lepas membuatkan Dayana nekad mendekati lelaki yang menjadi perbualan
hangat di universiti mereka. Siapa tak kenal Faiz Rafzal? Biarpun baru beberapa
bulan berpindah di universiti mereka, namun Faiz mampu menyaingi pelajar lelaki
yang lain, bukan saja dengan rupa parasnya bahkan juga kerana sikapnya yang
tersendiri.
Langkah
diatur semakin hampir dengan Faiz yang masih melukis sesuatu di kertas kanvas.
Lelaki itu kelihatan asyik duduk di tepi tasik tanpa memperdulikan pelajar lain
yang lalu lalang, dengan berani Dayana terus melabuhkan punggungnya di sisi
Faiz, lelaki itu hanya mendongak seketika memandang kearah sang gadis yang
sudah tersenyum simpul di sebelahnya. Faiz tersenyum sedikit sebelum menumpukan
semula perhatiannya pada kanvas di tangan.
“Hi..” sapa
Dayana dengan ramah.
“Hmm..”
Dayana menyebik sedikit dengan layanan lelaki itu.
“Saya
Dayana.” Dayana lantas menghulurkan tangan untuk bersalam.
“Siapa tak
kenal ‘the killer eyes’ kat
universiti ni.” Jawab Faiz bersahaja tanpa sedikitpun memandang kearah Dayana.
“Ohh..kenal.
Saya..”
“Nak apa?” membuntang
mata Dayana melihat layanan dingin lelaki itu kepadanya. Nak apa? Dayana jadi
panas sendiri. Kalau lelaki lain, sudah tentu dia sudah dilayan bagaikan
puteri.
“Err..” mata
Dayana sempat menangkap sekeping kertas lukisan yang terselit di bawah buku
lelaki itu, pantas saja tangannya mencapai. Terkedu seketika, lukisan yang
menyerupai figura wajah manusia itu
belum siap sepenuhnya.
“Apa ni?!”
Faiz terus merampas kertas lukisan tersebut dari tangan Dayana dengan kasarnya.
“Girlfriend ke?” tanya Dayana, patutlah
tak layan perempuan lain.
“Kau nak
apa?” tanya lelaki itu lagi, kali ini lebih lantang dari tadi.
“Janganlah
marah..”
“Nak apa?”
Dayana menjeling sekilas. Memang hati batu betullah dia ni! Sabar
Dayana..jangan putus asa, ingat pertaruhan kau dengan Tasya.
“Saya nak
belajar lukis potret. Tolong ajarkan saya..” pinta Dayana dengan muka yang cuba
dimaniskan.
“Apa?!” Faiz
menghantar pandangannya kearah gadis bermata bundar tersebut. Lukis potret? Dia
sendiri tidak pernah melukis potret. Cuma, entah kenapa sejak kebelakangan ini,
dia begitu tertarik untuk melakar satu wajah yang mula diminatinya dalam diam.
*************
DARI jauh Faiz masih tekun melakar lukisan di kanvas
kecilnya. Sejak kebelakangan ini, hanya ini yang dia lakukan bila hari menjejak
petang, dia akan mengangkut semua peralatan untuk melukis dan menghabiskan
beberapa jam masa lapangnya di tepi tasik.
Sebaik saja
kakinya menjejak kawasan taman di universiti tersebut, senyumannya mula
terukir. Wajah yang dia harapkan sudah berada di depan mata, dari kejauhan dia
dapat melihat gadis itu sedang membaca di bawah pohon rendang di tepi tasik.
Tanpa memperdulikan insan lain yang lalu lalang di situ, dia terus melakar
figura gadis tersebut, menghabiskan lukisannya yang terbengkalai sejak dua
minggu yang lalu.
“Saya nak
lukis potret orang yang saya sayang.” Serentak itu tangan Faiz segera terhenti.
Teringat perbualannya dengan Dayana beberapa hari yang lepas. Faiz tersenyum
sendiri, orang tersayang? Bolehkah seorang gadis yang gemar mempermainkan
perasaan seorang lelaki menyayangi orang lain?
“Kau minat
kat dia ke?” soal Nazri pada satu petang.
“Siapa?” Faiz
hanya menyembunyikan senyuman dibalik wajah seriusnya.
“Tu.. ‘The killer eyes’. Wajah yang kau lukis
tu.” Nazri memuncungkan mulutnya pada sekepng kanvas kecil milik Faiz.
Faiz hanya
menjawab dengan senyuman yang penuh makna. Minat? Minatkah dia pada gadis itu?
Dia Cuma senang melakar wajah itu dalam lukisannya. Tak lebih dari itu. Dia
juga sedar, biarpun Dayana seorang gadis yang sentiasa dikelilingi oleh lelaki
malahan terkenal dengan sikap ‘playgirl’,
Dayana juga bukanlah seorang yang senang untuk didekati.
“Serius? Kau
minat kat dia ke? Kau jangan Faiz..kau tak kenal lagi dia siapa? Dah ramai dah
lelaki kat universiti kita ni kena dengan dia.” Ujar Nazri, biarpun kedengaran
agak janggal bila seorang gadis mempermainkan hati lelaki, tapi itulah Dayana.
Dayana seorang gadis yang tidak betah bersama lelaki melebihi tempoh satu
bulan, paling lama pun hubungan tersebut akan bertahan selama dua minggu,
seperti biasa, Dayanalah yang akan memutuskan hubungan tanpa sebarang rasa
bersalah sekalipun.
“Nazri,
setiap manusia ada ceritanya sendiri. Pasti ada sebab kenapa dia begitu?” ulas
Faiz.
“Sebab? Sebab
dia permainkan perasaan lelaki? Tak ada maknanya, jangan kerana seorang lelaki,
dia nak hukum semua lelaki dalam dunia ni. Tak adil! Nazri keras membantah.
Seperti biasa Faiz hanya tersenyum. Mungkin saja dia akan sependapat dengan
Nazri jika dia tidak pernah terserampak dengan Dayana dua minggu lalu yang
sedang menangis sendirian di bawah pohon rendang di tepi tasik. Hatinya kuat
mengatakan bahawa mata yang dikatakan sering memikat mata lelaki diluar sana
menyembunyikan sebuah luka yang tak tertanggung.
“Siapa kita
nak mengadili dia? Kita tak berada di tempat dia Naz..” Faiz menepuk lembut
bahu sahabatnya.
Kenapa tak sambung cerita ni? Macam menarik ja.
ReplyDeletenliyate. Terima kasih. Akan disambung. KCD hanya mini sebuah mini nvl. InsyaAllah, saya akan update nnti.
Deletenliyate. Terima kasih. Akan disambung. KCD hanya mini sebuah mini nvl. InsyaAllah, saya akan update nnti.
DeleteKisah Cinta Dayana, sudah update 2bab...sudi2lah baca..
Delete