Showing posts with label Mr. Pemandu Hati. Show all posts
Showing posts with label Mr. Pemandu Hati. Show all posts

Thursday, October 15, 2015

Mr. Pemandu Hati

BAB 3

ARIQ melambung-lambung segugus kunci di tangannya. Sudah dilambung ke atas, dia menyambut lagi. Tingkahnya itu diulang-ulang sehingga kakinya sampai di sebuah lori yang diparkir kemas di bahu jalan. Kepalanya dipalingkan ke arah belakang lori. Keningnya terangkat. Rakannya Man Acong yang asyik mendengar lagu dengan menggunakan earphone dipandang kejap. Ariq menggeleng, Man Acong si cina tak jadi ini memang tidak boleh diharap! Gumam Ariq geram. Pintu lori terus diketuk kuat. Mengejutkan rakannya itu.
            “Eh, Ariq.” Cepat Man Acong menanggalkan earphone. Wajah Ariq yang mencuka dipandang. Ada yang tidak kena ke? Muka macam nak telan orang saja. Desis Man Acong.
            “Ni, lesen kopi-o ke?” marah Ariq geram. Tangannya sudah dicekakkan ke pinggang.Man Acong keluar dari lori. Melihat sesuatu yang membuat Ariq berasap sampai ke telinga itu.
            “Ops!” Man Acong melopong, dia tersengih memandang Ariq. Si lelaki berbadan tinggi itu hanya menjeling tajam ke arah Man Acong. Man Acong bukanlah lelaki berbangsa cina seperti namanya. Man Acong hanya berwajah seperti orang cina, putih dan bermata sepet. Nama sebenarnya Muhammad Kamal, cuma dia lebih gemar dipanggil Man Acong. Cina tak jadi!
            “Itulah, aku keluar sekejap saja. Suruh kau tengok, kau tengok benda lain dalam handpone kau tu!” marah Ariq masih tidak berpuas hati. Rambutnya yang sedikit panjang diraup ke belakang, kulitnya terasa perit dek cahaya matahari yang begitu kuat memancar.
            Kereta Nissan Skyline berwarna merah garang di hadapannya ingin sahaja dia hempuk dengan tong gas yang bertimbun dalam lorinya. Langsung tiada adab! Parkir pula tepat di belakang lorinya. Bagaimana pula lorinya mahu keluar dari kotak parkir? Ariq semakin geram. Dia punya satu kelemahan. Kelemahannya adalah, menunggu. Dia memang bukan seorang lelaki suka menunggu. Suruhlah apa saja, cuma jangan suruh dia menunggu.
            Kakinya yang tersalut kasut keselamatan berwarna hitam, pantas saja menyepak tayar kereta tersebut. Sejurus kemudian, dia pula yang megaduh sakit.
            “Gila punya kereta!” Man Acong sudah ketawa terbahak-bahak. Sakit perutnya menahan tawa. Ariq, kalau marah memang gila. Sepanjang dia mengenali lelaki yang bernama Ariq. Ariq bukanlah seorang yang pemarah. Malah Ariq sentiasa tenang mengahadapi sebarang situasi.
            “Ketawa lagi, ini semua salah kau!” jerkah Ariq lantang. Siapalah pemilik Nissan Skyline merah ni? Beranilah tunjuk muka, memang teruk dia kerjakan! Gumam Ariq geram.
            “Tunggu sekejaplah, Riq. Mana tahu, sekejap lagi dia datang.” Man Acong cuba mententeramkan kawannya itu. Ariq memang terkenal dengan angin kus-kusnya. Siapa sahaja yang berani menghampiri lelaki itu bila marah, pasti akan terkena tempias taufannya. Seperti 2 minggu lepas, gara-gara Mr. Alex memotong gajinya, habis cermin kereta Mr. Alex dihancurkannya. Memang menangis tidak berlagu Mr. Alex dibuatnya.
            Ariq melangkah perlahan menghampiri Man Acong . Tangannya dicekakkan ke pinggang, Man Acong dipandang seperti mahu menelannya hidup-hidup.
            “Man, pemilik kereta ni memang otak zombi. ambil lesem kopi-o tu memang aku comfirm 100%. Kau nak tahu, kenapa? sebab aku rasa sekarang ni, aku nak pancitkan saja kereta orang otak zombi ni!” Ariq sudah mengadu geram. Kepada Man Acong dia lepaskan kemarahan.
            “Otak zombi?” satu suara lunak sudah menegur dari belakang.
            Ariq tersenyum sinis. Suara itu kedengaran merdu di telinganya. Tetapi, hatinya tengah walang. Kemarahan menguasai dirinya saat ini. Dia masih belum menoleh, sebaliknya, wajah Man Acong yang dipandangnya. Melihat Man Acong yang sudah melopong itu, lagi senyuman sinis Ariq terlirik. Mulalah Man Acong dengan mata keranjangnya!
            “Awak kata otak saya otak zombi?” suara itu bergema lagi.
            Perempuan. Suara yang merdu di telinga itu jelas milik perempuan. Ariq memandang semula ke arah Man Acong yang seolah-olah terpukau. Ariq dapat menangkap bunyi tumit tinggi itu bergerak hampir ke arah mereka, bunyi tumit itu akhirnya berhenti tepat di belakangnya.
            Man Acong melopong. Ariq pula menggeleng. Memang dasar mata keranjang.
            “Boleh ulang sekali lagi tak? Berani awak kata saya otak zombi. Lesen kopi-o? Oh my, hello! Saya ulang alik belajar kereta, awak kata saya ambil lesen kopi-o?” gadis itu sudah angin. Dia menunggu saja lelaki itu memalingkan wajahnya. Ingin juga dia melihat seraut wajah yang berani memeperlekehkannya.
            Ariq tersenyum sinis. Mendengar suara itu yang sudah berceloteh, tiba-tiba dia jadi panas. Dia yang salah, aku pula yang dipersalahkan?! Menggeleng Ariq dibuatnya.
            Man Acong mengisyaratkan Ariq supaya menoleh ke belakang. Isyarat mata dihantar. Tetapi, Ariq buat tidak tahu.
            “Hoi, Mr. Driver. Tolong jaga sikit bahasa awak, okey?!” Si dia sudah melengking marah. Tadi sempat juga matanya melihat lori treler besar yang diparkir kemas di kotak parking. Pada mulanya dia serba slah untuk parkirkan keretanya di belakang lori tersebut. Oleh kerana tiada tempat parkir lain, dia meletakkan sekejap keretanya di situ sementara dia keluar sekejap membeli sesuatu.
            “Wah, cakap omputihpula dia, guna bahasa melayu...” serentak itu Ariq memusingkan badannya. Kata-katanya terputus di penghujungnya. Mulutnya terlopong. Seraut wajah itu mula mengisi ruang matanya.
            Gadis itu mengangkat keningnya. Memandang Ariq sekejap cuma.
            “Apa?!” gadis tersebut bertanya kasar.
            “Tak payah nak omputih sangatlah kalau otak tu otak zombi!” Ariq berdeham kecil sebelum dia menembak semula gadis yang berdiri di hadapannya.
            “Ariq, kau buat apa ni?” Man Acong menegah. Lengan Ariq dipaut. Ini bukan Ariq. Bukan Ariq sekiranya dia sengaja mencari gaduh dengan gadis cantik bak bidadari di hadapan mereka. Ariq memang seorang yang pemilih di antara ‘Geng Hero’ dikalangan mereka. Tetapi, untuk gadis secantik itu, tidak mungkin Ariq pandang sebelah mata sahaja.
            “Awak...”
            “Kalau otak kau betul, kau takkan parkir kereta lembu kau ni belakang lori aku macam ni.” Ariq menyilangkan tangannya ke belakang, lalu melangkah setapak ke depan menghampiri gadis itu. Si dia panik bila Ariq mara, mulalah dia mengatur langkah ke belakang.
            “Dan, kalau lesen kau tu bukan lesen kopi-o, kau tahukan undang-undang jalan raya?” Ariq jadi polis trafik pula.
            “Ariq, dahlah! Daripada kau cari gaduh, baik kau cari jodoh.” Man Acongsempat mengingatkan moto kumpulan mereka.
            Gadis itu sudah ketawa sinis setelah mendengar kata-kata dari mulut Man Acong. Cari jodoh? Detik itu juga dia memandang Ariq dari bawah hingga atas sebelaum dia memandang lori treler di sebelahnya. Driver lori treler? sekali lagi dia pamer senyum sinis. Penampilan Ariq yang hanya mengenakan jean lusuh dan koyak dilututnya, baju Ariq pula hanya baju T biasa yang berwarna hitam. Bila mata itu berhenti di wajah Ariq, senyum sinisnya mati. Wajah lelaki itu bersih meskipun pakaiannya agak selekeh. Muka memang boleh tahan, tapi dengan barannya itu, si gadis menggeleng, lalu melabelkan Ariq dengan wajah ‘pecah rumah’
            Ariq angkat kening.
            “Jangan pandang aku begitu. Nanti kau jatuh cinta,” Man Acong senyum, mulalah Ariq dengan ayat semanis gulanya.
            Gadis itu mula sedar. Cepat-cepat dia membetulkan rambutnya yang sedikit masai apabila ditiup angin.
            “Awak dan awak, Tunggu sini, tahulah saya nak buat apa.” Gadis itu menunduk. Kasut tumit tinggi di kakinya terus dibuka.
            Ariq dan Man Acong hanya memandang tanpa tahu tindakan gadis itu. Bila si gadis melemparkan senyum dan terus berlalu. Ariq hanya membalas dengan wajah selamba.
            “Ariq, kau rasa dia nak buat apa?” tanya Man Acong pelik.
            “Perempuan, biasalah. Emosi terlebih. Jangan risaulah, dia takkan buat apa-apa punya,” Ariq yakin sambil berpeluk tubuh. Tidak sempat Man Acong menjawab, telinga mereka menangkap bunyi kaca yang pecah. Serentak itu Man Acong dan Ariq saling berpandangan. Bunyi kaca tersebut seperti bunyi...
            Melopong Ariq dan Man Acong bila melihat cermin sisi lorinya sudah berlubang. Gadis itu mempamerkan riak selamba tanpa ada rasa bersalah. Kasut tumit tinggi yang digunakan untuk memecah cermin tersebut dipasang semula ke kakinya.

            “Bye, Mr...” gadis itu terhenti seolah-olah berfikir sesuatu.
“Mr.Pemandu lori,” sambungnya lagi. Ariq menoleh, membalas pandangan perempuan tersebut. Sah, dia memang terjumpa pesakit mental yang terlepas dari hospital Tanjung Rambutan.
            “Kau gila ke? Atau kena tinggal kekasih? Gila semacam aje aku tengok,” sinis Ariq. Senyum sinis dia wajah gadis itu terus mati. Kata-kata lelaki itu tepat mengena batang hidungnya. Dialah kekasih yang ditinggalkan. Dia melangkah perlahan menghampiri keretanya. Hatinya kembali sakit.
            Ariq memandang pelik. Tingkah gadis itu diperhati dengan kerutan di dahi.
            “Kau salah ke, Riq?” tanya Man Acong.
            Wajah Ariq serta merta berubah bila melihat air mata yang tiba-tiba mengalir di pipi itu. Bila gadis itu seolah-olah tidak mampu berdiri dan hanya berpaut di pintu kereta, kaki Ariq pantas melangkah menghampiri gadis itu.
            “Kau okey ke?” tanya Ariq.
            Si gadis memegang dadanya yang tiba-tiba tersa sakit. Dahi Ariq berkerut.
            “Kau okey tak ni?” tanya Ariq lagi. Naik berangin juga dia bila melihat gadis itu hanya buat tidak tahu.
            “Jangan menilai kalau awak tak tahu apa-apa.” Jawab gadis itu lalu memboloskan dirinya ke dalam kereta. Enjin kereta dihidupkan. Tidak sampai beberapa saat, kereta Nissan Skyline itu terus menderum laju di tengah jalan. Kening Ariq bertaut, dia menggosok lehernya. Pelik. Tiba-tiba gadis itu berubah laku.
            “Apa kau dah buat, Ariq? Melepaslah makanan kau.” Man Acong bersuara, ketawa besar dia ketawakan Ariq yang berwajah kelat.
            “Ketawalah, kali ini gaji kau yang akan dipotong. Tu, cermin lori tu.” Ariq memuncungkan mulutnya. Sudah, Man Acong garu kepala. Gaji seciput, di potong nanti, makin seciputlah.
HAFIRDAmenghempas kasar telefon bimbitnya. Dia mendnegus geram. Payah betul bercakap dengan orang yang tak faham bahasa ini. Kalau tidak difikirkan dosa pahala, sudah lama dia mencekik leher suaminya itu. Sudah acapkali diberitahu bahawa jangan ada sebarang kesilapan dalam melaksanakan tugasan yang diberi. Kini stok-stok yang dipesan tidak datang mengikut jadual yang sepatutnya. Dia pula yang kebinggungan. Kalau datuk tahu, memang menanah telinga dia nanti.
            Sekali lagi Hafirda mendengus bila pintu bilik pejabatnya di ketuk. Arahan masuk dikeluarkan dengan kasar. Tahu siapa yang berada di balik pintu.
            “Puan Fida.” Panggil Nolly setiusahanya.
            “Ada apa, Nolly?” Hafirda menyoal malas. Dokumen di atas mejanya dikemaskan. Nampak serabut sama seperti otaknya sekarang. Pening dengan perangai suaminya yang langsung tidak menurut kata.
            “Mesyuarat dah nak mula. Semua lembaga pengarah tengah tunggu Puan di bilik mesyuarat.” Ujar Nolly.
            Hafirda mengeluh sedikit, hampir dia lupa akan menyuaratnya hari ini. Fail hijau di atas meja di capai. Lalu langkah kaki di bawa untuk menghadiri mesyuarat yang dirancang seminggu yang lalu.
            “Tan Sri pun ada sekali, Puan.” Sambung Nolly lagi.
            Langkah Hafirda terhenti, dia menoleh memandang setiausahanya itu.
            “Tan Sri?” dahinya sudah berkerut. Kenapa datuknya turut sekali dalam mesyuarat hari ini, dan kenapa dia tidak diberitahu? Hafirda kian hairan.
            “Kenapa tak bagi tahu saya?” dia terus menyoal setiausahanya itu.
            “Saya baru tahu. Tan Sri tiba-tiba muncul dalam bilik mesyuarat.” Nolly tunduk. Takut juga dia melihat kemarahan ketuanya itu. Hafirda melepas nafas dengan kasar.
            “Fiya? Hafiya ada sekali ke?” Hafirda bertanya pula tentang adiknya.
            Nolly menggeleng. Hafirda memicit dahinya. Entah tujuan apakah datuknya tiba-tiba muncul di Arman Group.
            Hafirda memulas tombol pintu bilik menyuarat. Rata-rata ahli lembaga pemgarah sudah menunggu untuk mensyuarat mingguan. Sempat Hafirda mengerling sedikit ke arah datuknya yang sudah duduk di kerusi penasihat. Hafirda mengambil tempat di sebelah kanan datuknya.
            “Nur Hafirda,” panggil Tan Sri Arman.
            “Ya?”
          “Untuk menjadi seorang pemimpin yang berjaya dan dihormati, kena datang awal ke mesyuarat sebelum yang lain datang,” pesan Tan Sri Arman dengan tegas. Hanya dehaman kecil dia keluarkan. Hafirda pula senyap, hanya menjawab dengan senyuman hambar.
            “Di mana Shahrul?” tanya Tan Sri Arman lagi. Cermin matanya diturunkan sedikit. Hafirda sudah mengepal jemarinya tanda geram.
            “Dia pergi cek branch kita dekat Shah Alam.” Hafirda menjawab tanpa memandang sedikit pun ke arah Datuknya itu. Tan Sri Arman sangat komited soal kerja. Bak kata datuk, kerja dan personal tidak boleh dicampur adukkan. Sesiapun dia, jika sudah diberi tanggungjawab dalam sesebuah syarikat, haruslah melaksanakan tugasnya sebaik yang mungkin.
            “Bukankah mesyuarat ini pihak pengurusan kena ada sekali? Sesiapa tidak maklumkan mesyuarat hari ini ke?” Tan Sri Arman bersuara lagi. Hafirda menggigit bibir. Alasan apa yan perlu dia berikan?
            “Tan Sri, branch kita di Shah Alam, ada masalah sedikit. Dia ke sana untuk selesaikan beberapa hal di sana.” Hafirda beralasan. Cuba untuk menjaga air muka suaminya.
            Tan Sri Arman berdeham sambil membetulkan duduknya.
            “Lain kali, saya tidak mahu perkara begini terjadi lagi.” Pesannya lagi. Hafirda hanya mengangguk sebalum melepaskan nafas lega.
            “Kita mulakan.” Sambung Tan Sri Arman. Rata-rata ahli mesyuarat sudah membuka fail masing-masing.
            “Tujuan saya turut serta mesyuarat mingguan hari ini kerana hendak maklumkan beberapa perkara.” Hafirda mendengar dengan teliti.
            “Pertama, saya hendak maklumkan yang Nur Hafiya akan berhenti seketika untuk melanjutkan pelajarannya ke luar negara.” Hafirda jelas terkejut. Wajah datuknya dipandang. Kenapa dia tidak diberitahu akan berita itu? Setahunya, adiknya itu tidak pernah bercerita hal itu kepadanya. Hafirda menutup kasar failnya. Tan Sri Arman di sebelah sempat mengerling sekejap.
            “Jawatannya sebagai pengurus operasi akan diganti oleh penolongnya, Cik Lidia.” Lidia yang duduk selang dua kerusi dari Tan Sri Arman jelas terkejut. Berkerut dahinya. Kehadirannya dalam mesyuarat bertujuan untuk mengantikan tempat Hafiya yang masih bercuti.
            “Lidia, awak boleh pergi ke jabatan sumber manusia untuk dapatkan surat tawaran dan skop kerja awak.” Lidia mengangguk tanda memahami arahan yang diberi.
            Hafirda hanya mampu menahan rasa geram. Kenapa perkara sebesar ini dirahsiakan darinya? Dia siapa? Dia juga keluarga Tan Sri Arman, kenapa dia menjadi orang yang terakhir tahu? Sungguh dia geram. Dia menjeling sekilas ke arah Lidia. Pembantu adiknya itu. Mereka kawan baik. Lidia sentiasa berada di sebelah Hafiya dalam apa jua keadaan.


Thursday, October 8, 2015

Mr. Pemandu Hati

BAB 2


“MOHD ARIQ BIN AZLAN.”   Lelaki itu terus mendongak bila namanya dipanggil dengan kuat. Wajah Mr.Alex, penyelianya dipandang kejap. Telefon Nokia model lama diletakkan di dalam poket seluar jeannya.  Dia bangun, menghampiri penyelianya yang sudah menunggu.
            “Riq, gaji bulan ni..K.O lah,” Salleh, rakan sekerja yang selalu bersama Ariq sempat menggamit Ariq sambil menepuk dahi. Ariq hanya menggeleng, sempat lagi dia mengerling slip gaji Salleh. Mahu tersembur tawanya. Kerja cukup bulan, tetapi gaji macam kerja berbelasan hari saja. Namun, senyumannya itu cuba disembunyikan di sebalik wajah seriusnya. Tangannya saja yang bergerak menggosok rambut Salleh.
            “Lain kali, jangan banyak sangat advance gaji.” Itulah yang selalu dipesan oleh Ariq kepada rakan-rakannya. Kalau hendak lihat titik peluh kita banyak cukup bulan. Jangan terlalu banyak sangat pinjam duit gaji. Berjimat cermat!
            Salleh mencebik lalu menghampiri rakan-rakannya yang lain.
            “Ha, Ariq. Ini gaji kamu bulan ni.” Mr.Alex menyerahkan sampul surat berisi duit kepada Ariq.
            “Saya sudah potong sekali cermin kereta orang yang kamu langgar hari itu.” Sambung Mr.Alex lagi sambil mencungkil giginya. Dahi Ariq berkerut. Wajah penyelianya dipandang.
            “Aku terlanggar, Mr.Alex. Bukan sengaja.” Tekan Ariq. Sudah berapa kali dia jelaskan yang dia terlanggar cermin kereta hari itu. Ariq mendengus geram. Dia memang sakit hati bercakap dengan orang tidak faham bahasa ini.
            “Sudah, kamu sudah langgar. Saya sudah potong lu punya gajilah.” Ariq menggeleng. Tajam dia menjeling Mr.Alex.
            “Berapa lu potong aku punya gaji?” soal Ariq tiba-tiba. Kasar.
            “500 ratus. Tidak mahal punya.”
            Ariq tersenyum sedikit. Sampul gajinya dibuka. Wang kertas 50 puluh dikeluarkan 5 keping dan diberi kepada Mr.Alex.
            “Eh, ini duit apa pula ni?” tanya Mr.Alex hairan.
            “Ambil duit ni, terima kasih sebab bagi diskaun.” Balas Ariq lalu tersenyum. Mr.Alex memandang hairan. Namun, duit pemberian Ariq tetap diterima dan dimasukkan segera ke dalam poket bajunya. Ariq tersenyum sinis, lantas dia berlalu kerana ada misi yang perlu dia selesaikan. Mr.Alex potong gaji dia ya? Ariq menggigit bibir sambil berlari pantas keluar dari kilang gas tersebut.
            “Ariq!” Salleh memanggil, pantas dia berlari membuntuti langkah Ariq yang laju itu.
            Larian Salleh terhenti. Membuntang matanya melihat Ariq yang sudah memecah cermin sisi kereta Mr.Alex. Kaku langkahnya. Ariq..Ariq, memang baran orangnya. Menggeleng kepala Salleh dibuatnya.
                                                ***********
KERETA terus diberhentikan di hadapan perkuburan islam yang kelihatan agak lengang tersebut. Hafiya menarik nafas yang paling berat, sudah hampir seminggu Nizam meninggalkannya, baru hari ini dia punya kekuatan untuk menziarahi kubur arwah suaminya itu. Sewaktu pengkebumian Nizam seminggu yang lalu, Hafiya langsung tidak menunjukkan muka, dirinya masih belum dapat menerima pemergian arwah suaminya, malah sehingga kehari ini, segalanya terasa bagaikan mimpi ngeri.Dia ingin cepat bangun dari mimpi tersebut.
            Airmata yang ingin ditahan jatuh juga, kubur yang masih merah itu hanya dipandang dari jauh, tangannya masih teragak-agak untuk membuka pintu kereta. Sekali lagi nafas ditarik perlahan, menghembus semangat untuk dirinya.
            “Saya cintakan awak,” Hafiya pantas menoleh ke sisi, bagaikan di hujung telinganya mendengar bisikkan cinta itu, bisikkan dari insan yang paling dia cinta. Airmata Hafiya semakin deras mengalir, bergetar tangannya. Kepalanya segera direbahkan di stereng kereta, menangis semahunya. Inilah kerinduannya, di mana harus dia menumpahkan rasa rindu yang sarat ini, rindu pada gelak tawanya, rindu pada usikkan nakalnya, rindu pada kalimah cintanya.
            “Saya cintakan Nur Hafiya binti Mohd Alias, sudikah tuan puteri mengahwini hamba, sipencinta yang tak punya apa-apa.” Nizam lantas menghulurkan sejambak bunga tulip merah kepada Hafiya, lututnya sudah terpacak ke bumi, berlutut di hadapan sang kekasih hati. Airmata Hafiya mengalir saat itu juga, bagaikan mimpi bila insan yang dicintai melamarnya untuk dijadikan isteri. Tanpa suara Hafiya hanya membalas dengan anggukan, jambangan bunga tersebut diambil dan sebuah senyuman diukirkan buat Nizam. Perkenalan yang memakan usia remajanya ternyata mengukuhkan lagi perasaan mereka, bermula hanya sebagai sahabat, akhirnya mereka harus mengakui rasa cinta yang semakin mekar dalam hati. Nizam hanya tersenyum bahagia, dia bangun seketika tanpa melepaskan pandangan dari menatap wajah jelita milik Hafiya.
            “Terima kasih Fiya,” ujar Nizam lagi, hanya Allah yang tahu betapa dia bersyukur akan penerimaan gadis itu. Mengahwini Hafiya adalah impiannya, memiliki gadis sebaik Hafiya adalah satu anugerah baginya.
            “Saya yang patut ucap terima kasih, sebab cinta dan sayang yang awak berikan pada saya.”Hafiya membalas dalam senyuman yang masih terukir di bibirnya.
            “I love you”
            Hafiya mengenggam kuat stereng kereta. Kepalanya masih tunduk. Dalam diam dia mengutuk dirinya yang lemah. Sehingga sekarang dia masih tidak mampu untuk menjejakkan kaki ke pusara suaminya itu. Tangisannya mula kedengaran. Lemahnya seorang Hafiya kerana langkahnya masih kaku di situ. Akhirnya Hafiya menangis lagi, esakannya dilepaskan semahunya. Kuat tangannya memukul dadanya yang terasa sebak.
            “Maafkan saya, maafkan saya, Nizam.” Hafiya meluah sayu. Akhirnya airmata yang mengalir diseka. Enjin kereta dihidupkan kembali. Sebelum berlalu, pusara Nizam dipandang buat sekian kali. Bukan semalam, bukan juga hari ini. Dia masih Hafiya yang lemah, masih lagi kalah dengan takdir mereka.
            Hafiya memandu laju keretanya membelah jalan raya.  Hatinya mula membuat kata putus. Tidak sudah kalau dia terus menangisi pemergian Nizam seperti ini. Dia harus menjadi seperti dirinya yang dulu.
            “Kalau saya pergi dulu, saya harap awak redha dengan pemergian saya. Biar saya tenang di sana. Saya nak awak mulakan hidup baru. Saya akan tunggu awak di sana.” Airmata Hafiya mengalir, namun cepat-cepat diseka. Dia masih ingat lagi pesan Nizam sehari sebelum mereka dinikahkan.
            Ya, dia akan mulakan hidup baru. Tapi, dia perlu pergi dari kenangan yang pahit ini. Dia harus mencari dirinya yang lama hilang. Hafiya mengangguk yakin. Kelajuan keretanya ditingkatkan. Keputusannya itu akan dimaklumkan kepada datuknya.

TAN SRI ARMAN berdeham kecil sebelum mengambil tongkatnya. Dengan tongkat berwarna hitam yang berukir cantik itu, dia berjalan ke sana ke mari di hadapan cucu perempuannya itu. Sejurus kemudian, cermin mata putihnya dibuka, wajah cucunya dipandang lagi. Wajah itu sudah tiada serinya lagi. Sentiasa sembap dibasahi airmata. Hatinya terluka. Dia turut terluka melihat keadaan cucunya itu.
            “Fiya dah fikir masak-masak?” soal Tan Sri Arman.
            Hafiya hanya mengangguk. Semakin lama dia di sini, semakin sukar untuk dia lari dari kenangan yang hampir merobohkan tembok ketabahannya. Tan Sri Arman memicit dahinya yang sudah ditumbuhi kedutan-kedutan kecil. Jika tiada Hafiya, bagaimana hidupnya nanti? Dia tidak mampu hidup tanpa cucunya itu.
            “Restui Fiya, tuk. Fiya boleh mati kalau Fiya terus begini.” Rayu Hafiya. Pengertian datuknya amat dia perlukan. Dia harap perjalanannya nanti sentiasa di dalam doa dan restu lelaki itu. Ya, dia kini umpama burung kepatahan sayapnya. Pemergian Nizam sudah membawa pergi sebahagian dari seluruh jiwanya. Hafiya tunduk dengan deraian airmata yang masih mengalir.
            “Atuk restu, Fiya. Pergilah. Tapi, janji dengan atuk, bila Fiya balik nanti. Atuk nak cucu atuk yang dulu.” Tan Sri Arman menghampiri cucunya, rambut itu dibelai sebelum dia membawa Hafiya ke dalam dakapannya.
            “Terima kasih, tuk.”Hafiya akhirnya menangis di dalam dakapan datuknya itu.

PETIKAN gitar kedengaran. Si penyanyi lagu mula mengarah jarinya menari di tali gitar tersebut. Suasana malam yang hening di kaki lima itu seolah-olah mengizinkan dia untuk menyampaikan lagu seperti kebiasaannya. Gitar terus dipetik, lagu nyanyian kumpulan Spring didendangkan. Lagu bertajuk romantis itu ternyata berjaya dibawa mengikut caranya sendiri. Lelaki itu mengemas cermin mata hitam yang dipakainya, topi hitam dikepala diperkemaskan, hampir menutupi separuh wajahnya. Siapa saja yang tidak kenal dengan dia yang dikenali sebagai ‘penyanyi misteri’ di kaki lima itu. Hampir 8 tahun dia mencari rezeki dengan menyanyi di kaki lima tersebut.
            Di dalam kepekatan malam yang bising dengan kesibukkan kota. Mata yang ditutupi cermin mata hitam pekat itu dapat menangkap susuk tubuh yang duduk di atas tembok batu di pinggir kaki lima. Seorang gadis yang duduk termenung sambil tangannya memegang sebentuk cincin yang melampiaskan sinar. Dalam nyanyian, lelaki itu dapat melihat airmata yang jatuh menuruni pipi itu.
            Gitar terus dipetik tanpa sepasang mata itu lepas memandang gadis yang menangis sendirian. Lagu Romantis dari kumpulan Spring terus memenuhi segenap ruang di kaki lima itu.

DIA sendirian di kaki lima. Lagu yang didendangkan oleh penyanyi jalanan itu membuai perasaannya. Nizam dulu turut menggemari lagu-lagu lama. Dia juga seringkali mendengar Nizam menyanyikan lagu untuknya. Setiap malam, Hafiya memang selalu meluangkan masa di situ. Penyanyi jalanan yang berkacamata hitam itu sudah menjadi kegemarannya. Suara penyanyi itu cukup menenangkan perasaannya. Sudah hampir satu minggu dia tidak berkunjung, biarlah malam-malam terkakhir dia ada Malaysia, dia membiarkan halwa telinganya dihiburkan oleh penghibur jalanan tersebut.
            Jemarinya lantas membuka cincin perkahwinannya. Angin malam yang bertiup meniupkan semangat baru untuknya. Semangat untuknya membuang kenangan pahit semalam. Cincin permata itu dibuka dan digenggam kemas.
            ‘Saya harus lupakan awak, Nizam. Untuk atuk, untuk keluarga saya. Maafkan saya.’ Semalam akan jadi kenangan. Sekembalinya dia dari England nanti, dia akan menjadi Hafiya yang dulu. Hafiya yang sentiasa ceria. Hafiya yang kuat. Dan Hafiya yang sentiasa memberi semangat kepada datuknya. Itu janjinya.
            Hafiya bangun. Perlahan dia bergerak menghampiri penyanyi jalanan itu. Cincin yang masih dalam genggamannya, perlahan dileraikan. Dia tunduk, sebelum jemari itu meletakkan cincin permata itu ke dalam sebuah beg gitar yang berisi beberapa wang kertas hasil dari pemberian orang ramai yang turut mendengar nyanyian penyanyi misteri itu.
            Petikan gitar terhenti. Penyanyi jalanan yang berkacamata hitam itu hanya memandang langkah gadis itu yang berlalu pergi. Di dalam samar cahaya malam, cincin yang bersinar itu tepat berada dalam pandangan matanya. Dia tunduk, mencapai cincin tersebut. Hatinya terdetik. Wajah gadis itu masih bermain di ruang matanya.

            

Tuesday, October 6, 2015

Mr. Pemandu Hati

BAB 1

Hafiya hanya membiarkan baju pengantin disarung kemas di badannya. Gaun putih panjang yang dipilih sendiri olehnya dan bakal suaminya Mohd Nizam kini sudah melekat cantik di badan. Rasa cinta yang dipupuk sejak zaman sekolah lagi akhirnya dimaknakan dalam ikatan perkahwinan. Perkahwinan yang amat mereka dambakan selama ini.
            Bila Siti, selaku mak andamnya pada waktu itu memalitkan gincu berwarna merah hati di bibirnya, airmatanya jatuh tanpa dipinta. Dalam dia leka dibuai rasa bahagia kerana bakal diijab kabulkan bersama satu-satunya lelaki yang amat dia cintai, hatinya masih dihiris pilu dengan kenyataan yang ada. Bagaimana hidupnya nanti, tanpa lelaki itu di sisinya? Nizam, hanya nama itu yang menjadi sebuatannya sejak tadi.
            “Nur Hafiya, tak elok menangis. Nanti pudar pula mekap tu,” tegur Siti dengan senyuman. Hafiya hanya menyambut dengan senyum hambar, bukan dia tidak nampak mata Siti juga kemerahan menahan tangis. Semua insan yang berada di sisinya seolah-olah berlagak kuat di hadapannya.
            “Fiyakena kuat. Lebih-lebih lagi di hadapan Nizam, dia perlukan Fiyasaat ini,” sambung Siti lagi.
            Mendengar kata-kata itu Hafiya lantas menyeka airmatanya. Ya, dia kena kuat. Demi Nizam. Beberapa saat kemudian Iphonennya mula berdering, Hafiya sekali lagi menyeka sisa airmatanya, nafasnya ditarik perlahan, lalu panggilan itu diangkat dengan senyuman.
            “Ya, sayang,” jawab Hafiya dengan nada suara yang cuba dikawal.
            “Assalamualaikum, pengantinku.” Ucap satu suara dari sebelah sana. Hafiya mula sebak, mendengar suara yang kian lemah itu, membuatkan hatinya terdera hebat.
            “Waalaikumsalam, bakal suamiku.” Hafiya cuba menyahut gurauan Nizam, seperti kebiasaan yang mereka lakukan.
            “Dah siap dah?” Nizam menyoal, cuba menahan rasa sakit yang mencengkam kepalanya sejak akhir-akhir ini.
          “Dah, saya dah bersedia  untuk jadi isteri awak, jaga awak dan menyayangi awak hingga akhir hayat saya,” balas Hafiya, kedengaran bunyi ketawa kecil dari bibir Nizam.
            “Terima kasih, sayang. Saya di sini tunggu awak, semua yang ada dalam wad ni, akan jadi saksi perkahwinan kita.”
            Airmata Hafiya jatuh lagi buat sekian kali.
            “Janji dengan saya, yang awak takkan menangis. Inikan hari bahagia kita.”
            Hafiya menarik nafas panjangnya. Talian lantas dimatikan, bagaimana mungkin dia dapat menahan sebak di saat dia diuji seberat ini. Bagaimana mungkin untuk dia menerima pemberian takdir yang sehebat ini? Hafiya lantas menundukkan wajahnya lalu menangis semahunya, esakan demi esakan mula kedengaran.
                                                            *************
Beberapa bulan yang lalu...

HAFIYA rebah saat dia melihat kekasih tersayang yang terbaring kaku di atas katil hospital, mujur saja Puan Suria ada di sebelahnya. Tak semena-mena dia menangis semahunya. Sebab inikah Nizam beria-ia untuk membatalkan perkahwinan mereka? Sebab inikah Nizam menjauhkan diri darinya? Ya Allah!
            “Masuklah, Fiya,” Pelawa Puan Suria dengan tangis yang masih bersisa di wajahnya. Simpatinya tumpah bila melihat gadis pujaan anak bongsunya itu menangis bila mendapat tahu akan keadaan Nizam.
            “Mak cik masuklah dulu. Fiya nak tenangkan diri.” Jawab Hafiya ringkas. Puan Suria hanya mengangguk faham, lantas anak lelakinya itu dihampiri, ibu mana yang tidak tersentuh melihat anak lelaki yang dulu sihat kini terlantar sakit akibat barah otak peringkat akhir. Nizam, anaknya tega merahsiakan penyakitnya dari pengetahuan keluarga, bahkan Hafiya sendiri tidak diberitahu tentang penyakitnya itu.
            Hafiya tunduk menangis di muka pintu wad. Sedih hatinya melihat tubuh yang terkujur itu. Bukan Nizam seperti itu yang dia kenal, di mana kekasihnya yang seringkali nakal mengusiknya? Di mana kekasihnya yang sentiasa mengucapkan kata cinta padanya? Hafiya teringat kembali kali terakhir mereka bertemu, dia tega melemparkan rasa tidak puas hatinya akan keputusan Nizam yang ingin membatalkan perkahwinan mereka. Fikirnya Nizam sudah tidak mencintainya lagi.
            “Kenapa ibu bawa Fiya kemari? Zam tak nak dia lihat keadaan Zam sekarang.” Nizam mula mempersoalkan tindakan ibunya yang membawa kekasih hatinya itu ke hospital, sekaligus membongkar rahsia yang ingin dia sembunyikan dari pengetahuan gadis itu. Dia rela dibenci dari melihat airmata yang membasahi pipi itu.
            “Ibu tahu Zam rindukan Fiya, sebab itu ibu bawa dia jumpa Zam. Ibu Cuma nak anak ibu bahagia.” Jelas Puan Suria, sejak mendapat tahu akan penyakit anaknya itu, tidak pernah kering airmata di wajah tuanya.
            “Tapi, Zam tak nak Fiya susah hati. Zam..”
            “Zam, bagilah ibu peluang untuk lihat anak ibu ni bahagia. Ibu tahu Zam terseksa sebab terpaksa berjauhan dengan Fiya kan?” Puan Suria mengusap lembut rambut anak terunanya itu.
            Nizam memejam rapat matanya di saat melihat Hafiya mula menapak ke arahnya, tidak sanggup rasanya melihat tangisan di wajah kesayangannya itu. Hafiya seorang gadis nakal yang periang, mana mungkin dia sanggup mengalirkan airmata di pipi itu.
            “Ibu tinggalkan Zam dengan Fiya ya.” Sambung Puan Suria, lantas dia menunduk sedikit untuk mencium dahi anaknya. Sempat Puan Suria memegang bahu Hafiya, memberi kekuatan untuk gadis itu.
            “Kenapa awak tak nak buka mata awak tu? Dah tak nak tengok muka saya?” soal Hafiya sedikit keras, Nizam hanya mendiamkan diri sambil tangannya disilangkan di kepala.
            “Awak, kenapa awak buat saya macam ni? Awak dah tak sayangkan saya ke?” suara Hafiya kembali kedengaran sendu. Hanya tangisan yang mengiringi setiap persoalannya. Hatinya lebih terluka bila melihat Nizam hanya mendiamkan diri tanpa sedikit pun menoleh ke arahnya.
            Hafiya merapatkan dirinya menghampiri tubuh kaku itu, lantas dia berteleku di sisi katil Nizam dengan esakan tangis yang kian berirama.
            “Jahatnya saya kerana masih mencintai awak biarpun awak tolak saya, teganya saya merindui orang yang dah tak perlukan saya di sisinya. Kenapa awak tak bagitahu yang awak sakit supaya saya tak terus menerus salahkan awak?” bertubi-tubi Hafiya melemparkan rasa tidak puas hatinya.
            Nizam membuka mata, lemah sudah segala urat nadinya bila mendengar rayuan dari kekasihnya itu.
            “Sayang,” panggil Nizam dalam suara getarnya. Lantas tangannya yang kian mengusut mencapai dagu itu, wajah Hafiya diangkat untuk memandangnya.
            “Maafkan saya,” sambung Nizam lagi, airmata turut jatuh bila melihat wajah kusut Hafiya. Berdarah sudah hatinya, ini yang ingin dielaknya, dia tidak mahu mengalirkan airmata di pipi itu. Hafiya begitu istimewa di hatinya, Hafiya begitu berharga dalam hidupnya. Biarlah dia merana menanggung rindu sekalipun. Tetapi, dia tidak sanggup melukakan sekeping hati itu.
            “Maafkan saya kerana memungkiri janji kita.”
            Hafiya lantas menggeleng, terus pandangannya dihalakan terus ke wajah Nizam.
            “Apa awak cakap ni? Saya takkan benarkan awak memungkiri janji kita. Takkan Nizam!” beritahu Hafiya tegas, segera jemari Nizam dicapai dan digenggam kemas lalu di bawa ke wajahnya.
            “Awak kena teruskan hidup awak, Fiya. Saya cuma nak awak teruskan hidup awak, walaupun saya dah tak ada. Tolong Fiya, demi saya, supaya saya boleh pergi dengan tenang.” Hafiya menggeleng keras, wajah pucat Nizam sudah mengisi ruang matanya.
            “Tak, saya tak nak. Saya cuma nak awak. Saya tak nak sesiapa. Tolong Nizam, jangan suruh saya buat apa yang saya tak mampu nak buat. Tolonglah,” ujar Hafiya dengan tangisan yang sudah berlagu. Dia tidak boleh membayangkan untuk hidup dengan insan lain selain dari Nizam, lelaki yang sekian lama bertahta di hatinya.
            “Nur Hafiya.” Tegur Nizam dengan suara yang sedikit meninggi.
            “Saya tak nak!” keras Hafiya lagi.
            Nizam melepaskan nafas berat, hanya keluhan yang kedengaran. Kalau diikutkan hati, sememangnya berat untuk dia melepaskan gadis seperti Hafiya, tetapi inilah takdirnya. Jodoh dia dan Hafiya tak panjang. Sejak hari pertama dia disahkan menghidap barah peringkat akhir, jiwanya seolah-olah telah mati. Memikirkan hari perkahwinan dia dan Hafiya yang semakin hampir, benda itu semakin menyesakkan dadanya.
            “Saya nak teruskan perkahwinan kita.” Beritahu Hafiya lagi. Nizam terus mengalihkan pandangannya ke arah Hafiya. Bagaimana mungkin untuk Hafiya mengahwini lelaki yang akan pergi bila-bila masa sahaja.
            “Hafiya, ini bukan perkara yang boleh dibawa main-main.”
            “Saya tak main-main, saya nak awak tunaikan janji awak pada saya. Janji yang awak akan jadikan saya isteri awak.” Seketika dia dan Nizam saling berpandangan. Nizam hanya menggeleng, kedegilan Hafiya kadang-kadang mencabar egonya, namun entah mengapa kali ini hatinya berbunga-bunga mendengar ketegasan gadis itu.
                                                           

“AKU terima nikahnya Nur Hafiya Binti Mohd Alias dengan mas kahwin seratus dua puluh ringgit tunai,” akad nikah dari Nizam sudah termetrai. Hafiya yang duduk di sebuah kerusi di sisi katil Nizam sudah mengalirkan airmata. Tak kurang juga tetamu yang hadir, dan sahabat handai yang ada turut mengalirkan airmata diatas perkahwinan yang dilangsungkan di ruang bilik hospital itu.
            Nizam mengukir senyum hambar, Hafiya terus menghulurkan tangan untuk menyalami tangan Nizam yang baru saja bergelar suaminya.
            “Terima kasih Nur Hafiya kerana sudi tunaikan impian saya. Ingat Hafiya, saya akan sentiasa cintakan awak. Insya-Allah, saya akan tunggu awak di pintu syurga nanti.” Ucap Nizam dengan suara yang mula hilang.
            “Saya akan sentiasa mencintai awak, itu janji saya.” Hafiya menunduk wajahnya, lantas bibir itu menjamah dahi suaminya.
            “Tahniah Fiya. Atuk doakan kebahagian Fiya.” Ucap Tan Sri Arman kepada Hafiya, cucu perempuannya.
            “Terima kasih tuk, sebab merestui perkahwinan Fiya.” Hafiya merangkul kemas tubuh Tan Sri Arman.
            “Dah jadi isteri orang ni, buang sikap degil dan jangan manja sangat.” Pesan Tan Sri Arman. Matanya sempat singgah ke arah Nur Hafirda, cucu sulungnya. Hafirda pula kakak kepada Hafiya. Sudah berkahwin.
            Hafiya mengangguk, sempat dia mengerling ke arahkakaknya dan Kuza yang dari tadi mempamerkan riak tidak puas hatinya. Hafirda dan mak saudaranya tidak pernah suka akan perkahwinannya. Kerana kedegilan dan restu datuknya, Perkahwinan dia dan Nizam berlangsung juga.
            “Nizam!” Panggil Puan Suria dengan cemas bila melihat Nizam yang seolah-olah sukar untuk bernafas. Hafiya lantas mendapatkan suaminya, tubuh Nizam lantas digoncang.
            “Nizam, tolong jangan takutkan saya. Bangun awak!” giliran Hafiya pula cemas, tangisannya mula pecah, pipi Nizam sudah dipegang kemas.
            Nizam enggan bereaksi. Matanya masih tidak lepas memandang ke arah Hafiya yang kian cemas. Nafas yang cuba digapai kini makin menjauh darinya. Dadanya mula turun naik menahan rasa sesak. Inilah masanya, dan dia dapat merasakannya.
            ‘Sayang, maafkan saya kerana memungkiri janji kita’ ujar Nizam sendiri tanpa mampu dia luahkan untuk isterinya itu.
            “Tolong Nizam, jangan tinggalkan saya!” pekik Hafiya.
            Seisi keluarga yang berada di ruang wad sudah mula senyap, masing-masing diam dengan situasi tersebut. Ada di antara mereka sudah mengalirkan airmata. Tragik sungguh perkahwinan cucu Tan Sri Arman, salah seorang jutawan di Malaysia.
            “Hafiya, relakan nak. Nizam dah tak ada.” Ujar Puan Suria dalam tangisan.
            Hafiya menggeleng, masih tidak mampu menerima hakikat yang semakin nyata. Nizam, suami yang baru dinikahinya tidak sampai sejam kini telah pergi meninggalkannya. Hafiya rebah dalam tangisannya, sempat Tan Sri Arman mencapai tubuh cucunya lalu dirangkul erat.
            “Sabar sayang,” pujuk Tan Sri Arman.