Showing posts with label Kisah Cinta Dayana. Show all posts
Showing posts with label Kisah Cinta Dayana. Show all posts

Friday, October 9, 2015

Kisah Cinta Dayana

BAB 5

PERLAHAN Dayana meleraikan reben yang melilit segulung kertas putih bersaiz A3 di tangannya. Terbeliak matanya melihat sebuah lukisan yang terlukis wajahnya, dahinya berkerut sedikit, memutar kembali apa yang berlaku sepanjang tempoh seminggu dia cuba untuk menawan hati lelaki itu. Pada hari terakhir ini Faiz hadir dan memberikan sesuatu yang dikatakan oleh lelaki itu sebagai ‘hadiah’.
       Dayana masih menatap lukisan itu, wajahnya tanpa senyuman yang sedang bersandar di dahan pokok rendang di tepi tasik itu bukanlah menarik hatinya, tapi entah mengapa hatinya benar-benar tersentuh. Pandangannya jatuh pada sebaris ayat di hujung lukisan tersebut.
                                         
                                                     Dayana..My lady.

       Jantung Dayana mula berdegup kencang, kini dia mula yakin dengan perasaannya. Airmatanya tiba-tiba mengalir, terbayang akan wajah Faiz ketika menyerahkan lukisan itu kepadanya tadi. Betapa sekeping hati itu kecewa kerana permainannya.
       “Ini potret yang kau nak.” Ujar Faiz, segulung kertas lukisan diserahkan kepada Dayana.
       “Potret?” dahi Dayana sudah berkerut seribu. Wajah Faiz dipandang pelik.
       “Kau suruh aku ajar kau lukis potret kan? Ni lah potretnya.”
       Dayana menggeleng perlahan, masih belum memahami maksud lelaki itu. Huluran potret tersebut disambut perlahan.
       “Tapi..saya tak belajar apa pun.” Dayana menjawab teragak-agak, ada getar dalam nada suaranya. Pandangan Faiz dibalas, entah kenapa pandangan itu tidak seperti selalu. Redup!
       “Dalam tempoh seminggu ni aku belajar banyak dari kau. Sebenarnya, aku sendiri tak pandai lukis potret.” Faiz ketawa kecil.
       Dayana sudah menggigil sendiri, seminggu? Wajah Faiz dipandang lagi.
       “Faiz..”
       “Dayana, aku tahu segalanya. Aku tahu yang kau bertaruh dengan Tasya untuk dapatkan aku.” Ujar Faiz perlahan. Gulungan lukisan di tangan Dayana terus jatuh ke lantai. Jantungnya berdegup pantas, dia jadi sebak tiba-tiba. Entah kenapa di ruang yang luas ini dia tidak mampu untuk bernafas dengan baik walau sehela pun.
       “Cukuplah Dayana..seperti yang aku bagitahu kau dulu, kau dah terlalu banyak terluka. Bagi peluang untuk diri kau untuk merasakan kasih sayang yang sebenarnya. Takkan sudah kalau kau terus begini.” Sambung Faiz lagi, Dayana dihampiri. Jemari yang sudah menggigil itu dicapai dan digenggam erat.
       Dayana sudah terkaku sendiri, tidak mampu untuk berbuat apa-apa. Airmatanya terus mengalir, hanya pandangannya yang masih terpaku pada seraut wajah yang keruh sedari tadi.
       “Kau istimewa Dayana, itu yang manarik hati aku.” Ujar Faiz, genggaman di tangan Dayana dilepaskan, dia menunduk mencapai kertas lukisan yang terdampar di kaki Dayana.
       “Buka hati kau, dan seseorang akan datang untuk meminta tempat di sana.” Lukisan tersebut bertukar tangan. Airmata Dayana jatuh lagi, lidahnya kelu tiba-tiba, anggota badannya yang menjadi kaku dan pandangan matanya saja menghantar langkah Faiz meninggalkannya dengan seribu persoalan yang masih belum ada jawapannya. Kenapa dan bagaimana semua ni berlaku?
                                                 *************
DAYANA sudah menunduk di hadapan Tasya dan dua orang kawannya yang sudah menyengih. Inilah masanya! Dayana kalah pada seorang lelaki bernama Faiz Rafzal!
       “Bagaimana Yana?” soal Tasya dengan angkuhnya. Dia yakin benar yang Dayana belum dapat menawan hati Faiz, dia sudah mencuba banyak kali dengan pelbagai cara, namun lelaki itu senang saja menolaknya.
       “Ala Tasya..aku yakin dua ratus peratus yang Yana tak boleh, sepanjang minggu ni kau bukan tak tahu ke hulu ke hilir dia kejar si Faiz tu, tapi Faiz buat tak tahu aje.” Sampuk salah seorang sahabat Tasya.
       Dayana masih enggan bersuara, fikirannya bukan di sini, tapi masih lagi bersama dengan Faiz, masih banyak persoalan yang memerlukan jawapan dari lelaki itu.
       Tasya dan dua orang rakannya sudah ketawa gembira.
       “Well..Yana The Killer Eyes, Faiz tak makan dengan pandangan mata kau tu ke?” sindir Tasya lagi.
       “Dayana..kau harus terima yang zaman kau dah berakhir. Mulai dari sekarang, kau bukan lagi ratu kat sini.”
       “Kau nak aku buat apa?” Dayana mula bersuara. Jelek melihat ketawa Tasya dan rakannya.
       “Wow! Tak sabar nampaknya. Okeylah...memandangkan kau dah kalah, dah tentu kau kena ikut cakap aku kan. Jangan risau..tak teruk sangat pun, sekadar pusing padang tu, sepuluh pusingan cukup Yana?” sinis Tasya.
       “Itu aje ke? Okey.” Balas Dayana dengan senyuman kecil.
       “Aku tak habis cakap lagilah Yana.” Tasya sudah mengisyaratkan rakannya menyerahkan beg yang dibawa mereka tadi.
       “Nah!” beg tersebut diserahkan pada Dayana.
       “Apa ni?”
       “Dah tentu bukan hadiah. Aku nak kau berlari guna barang dalam tu.”
       Dayana sudah mengerutkan dahinya, barang di dalam beg tersebut sudah diselelongkar, hampir terbeliak matanya. Satu persatu barang tersebut diamati. Kasut tumit tinggi, gaun panjang berwarna merah jambu terang dan rambut palsu, mata Dayana sempat menangkap sehelai kad manila yang tertulis perkataan ‘LOSER!’. Dayana sudah mengetap bibirnya, terus dia memandang tajam kearah Tasya.
       “Kau dah gila ke Tasya?” soal Dayana dengan suara yang sudah meninggi.
       “Kau takut ke?” balas Tasya pantas.
       Dayana terdiam sejenak sebelum bibirnya mengukir senyuman, kehairanan Tasya dibuatnya.
       “I’am sorry Tasya” ujar Dayana tiba-tiba. Tasya di sebelah sudah kehairanan.
       “Aku tak sangka pulak yang kau berdendam sangat dengan aku sebab aku rampas Johan dari kau dulu. Kasihan kau kan?” Tasya sudah membahang, tajam matanya menjeling Dayana.
       “Dengan apa yang aku dah buat, tak cukup sekadar berlari sepuluh pusingan dengan menggunakan kasut tumit tinggi ni.  Kau mesti sakit hati kan sebab Johan tinggalkan kau macam tu aje kerana aku.” Dayana menunduk seketika mengambil kasut tumit tinggi. Gaun panjang terus disarungkan di badannya, tak lupa rambut palsu ala allycat turut dipasang di kepalanya.
       “Apa kau cakap..?!” suara Tasya sudah meninggi, panas hatinya dengan sindiran Dayana.
       “Opps! Lupa pulak..aku dengar sehari selepas aku tinggalkan Johan hari tu, dia terus balik semula dengan kau kan. Emm..kasihan kau. Johan jadikan kau pilihan kedua.” Dayana memandang sedikit kearah Tasya, puas hatinya kerana dapat mengenakan perempuan tu.
       “Tasya..agak-agaknya kalau aku pikat Johan balik, dia akan tinggalkan kau macam dulu tak?” sinis Dayana dengan senyuman.
       “Kau!” mencerlung mata Tasya memandang Dayana.
       “Bye!” Dayana terus berlari meninggalkan Tasya dan rakannya, lariannya di atur ke tengah padang. Kulitnya mula perit dek gigitan cuaca yang makin membahang. Matahari menegak di kepala, keluhan dilepaskan. Padang yang luas terbentang itu dipandang dengan keluhan.
       Dayana termengah-mengah kepenatan, belum habis satu pusingan dia sudah keletihan. Gaun yang panjang dan kasut tumit tinggi sangat menyukarkan lariannya, sempat Dayana membuang pandang kearah beberapa kumpulan pelajar yang sudah berdiri di tepi padang, masing-masing memandangnya penuh dengan ejekan. Dayana jadi akur sendiri biarpun ada segelintir pelajar yang mula mengeluarkan pelbagai bunyi untuk mengejeknya.
       “Yana..kau boleh!” Dayana menghela nafas berat. Telinga cuba dipekakkan dari mendengar ejekan dari pelajar yang lain, kata-kata semangat sudah dihembuskan untuk dirinya sendiri. Dayana mempercepatkan lariannya, kakinya mula terasa lenguh, kepalanya pula sudah berdenyut pusing.
       “Kau buat apa ni?!” satu suara yang agak garau sudah menyapa keras dari arah belakang. Langkah Dayana sudah terhenti, perlahan dia menoleh kearah suara di belakangnya. Terbeliak matanya bila melihat seraut wajah yang sudah memerah itu.
       “Aku tanya kau buat apa ni? Kau dah gila ke?!” sergah suara itu lagi dengan mata yang sudah mencerlung marah, penampilan Dayana dipandang dari atas hingga bawah, dia sudah berdesit geram. Tajam matanya menjeling Dayana yang kian bermandi peluh.
       “Bukan urusan awak.” Dayana malas untuk memanjangkan cerita, dia memalingkan tubuhnya. Segera dia mempercepatkan lariannya, tidak sanggup rasanya untuk terus berdepan dengan seraut wajah itu. Tiba-tiba dia merasakan tubuhnya ditarik kuat dari arah belakang, sekali lagi Dayana berpaling ke belakang.
       “Kau tak ada maruah ke? Dah tak tahu malu?” marah suara itu dengan nada yang sudah meninggi.
       “Awak ni kenapa? Ini bukan urusan awak, tolong jangan ganggu saya lagi. Cukuplah sepanjang tempoh ni awak dah cukup huru harakan hidup saya, hati saya. Awak nak apa lagi?!” Dayana tidak mampu menahan marahnya, sudahlah dia kepenatan, lelaki itu pula datang dan menengkingnya sesuka hati.
       Faiz tidak mampu mengalihkan pandangannya dari wajah yang sudah membahang merah itu. Masih terngiang-ngiang kata-kata dari mulut kecil Dayana seketika tadi. Dayana yang menyedari keterlanjuran katanya lantas menarik tangannya dari pegangan Faiz, langkahnya diatur dari terus mengadap lelaki itu.

       “Dayana..” sekali lagi Dayana menoleh bila terasa jemarinya dipaut sekali lagi. Pandangan dari Faiz dibalas buat sekian kali.         

Friday, January 16, 2015

Bab 4

KISAH CINTA DAYANA

DAYANA masih berdiri di kawasan parkir menanti kehadiran ibunya yang berjanji untuk melawatnya di universiti hari ini. Biarpun sudah dihalang, Maria berkeras, katanya Mikhail yang berkeras untuk melawat anak tirinya itu, maklumlah sejak mula semesta beberapa bulan lalu, Dayana tidak pernah sekali balik ke rumah. Rindu katanya! Dayana hanya mengiakan, malas untuk bertegang urat dengan ibunya.
       Jam di tangan dikerling sekilas, sudah hampir lima belas minit dia berdiri di situ. Kelibat ibu dan bapa tirinya juga belum kelihatan. Selang beberapa minit sebuah kereta perodua masuk di perkarangan tempat parkir kereta, Dayana menghampiri kereta tersebut, wajah ibunya sudah tersenyum dari tempat duduk penumpang, pandangan dari bapa tirinya hanya disambut dengan pandangan kosong. Bukan membenci, Cuma dia masih tidak tahu bagaimana mahu berhadapan dengan lelaki itu.
       “Assalamualaikum mama..” sapa Dayana, segera dia memeluk tubuh ibunya, dia dapat merasakan belaian lembut di rambutnya.
       “Waalaikumussalam, dah lama ke Yana tunggu?” tanya Maria, pipi anaknya dielus lembut.
       “Tak, mama sihat?” Dayana sempat mencuri pandang kearah Bapa tirinya yang hanya memandangnya dengan senyuman.
       “Mama sihat, Cuma babah kamu ni ha..yang tak berapa sihat.” Balas Maria, dia menarik sedikit tangan suaminya yang masih berdiri di belakangnya.
       Dayana hanya menjawab dengan senyuman kecil, langsung tiada hati mahu bertanya selanjutnya.
       “Yana sihat?” tanya Maria lagi, dia bukan tidak tahu bahawa anak perempuannya itu masih tidak dapat menerima kehadiran suaminya itu. Namun, hati Dayana sekeras kerikil, biar sebaik manapun suaminya itu melayannya, Dayana tetap membekukan hati. Akhirnya, Maria mengambil langkah berdiam diri, biarlah Dayana menerima suaminya itu dengan hati yang ikhlas.
       “Sihat.”
       “Mama datang ni nak bagitahu Yana yang mama dan babah nak balik terengganu, jumpa ibu bapa babah di sana. Mungkin dalam seminggu dua.” Ujar Maria.
       “Oh..bila mama nak pergi?”
       “Hujung mimggu ni, Yana nak ikut tak?” pelawa Maria bersungguh-sungguh, dia benar-benar berharap anaknya itu akan turut serta, bukan apa dia ingin mengeratkan lagi hubungan Dayana dengan suaminya., dia sedia maklum juga yang anak gadisnya itu masih kecewa dengan penceraian dia dan bekas suaminya dulu.
       Dayana hanya menggeleng dan lantas mengulum senyum hambar, wajah ibunya yang nyata turut berubah membuatnya serba salah sendiri, pasti hati itu terkilan dengan sikapnya. Maafkan Yana mama, Yana masih belum dapat menerima lelaki itu sebagai bapa, dia memang baik malah lebih bertanggungjawab dari papa. Tapi entah kenapa? Dayana memandang sekilas kearah Mikhail yang hanya berdiri di sisi ibunya. Sabar sungguh lelaki ini.
       “Tak apalah Yana, mama faham. Ni Yana tak ada kelas ke?” soal Maria cuba menyembunyikan rasa kecewanya.
       Belum sempat Dayana menjawab, telefon bimbit ibunya berbunyi, Maria tersenyum sedikit kearah anaknya sebelum berlalu menjawab panggilan telefon. Dayana hanya mengangguk, sempat matanya menangkap pandangan bapa tirinya yang sudah tersenyum kecil.
       “Yana sihat?” tanya Mikhail sambil bergerak setapak menghampiri Dayana.
       Dayana tidak menjawab sebaliknya dia bergerak ke belakang menjauhi bapa tirinya itu.
       “Kenapa lama tak balik?” soal Mikhail lagi berharap anak tirinya itu menjawab soalannya. Sedikit sebanyak dia rasa bersalah dengan Dayana, dia tidak mengharapkan lebih dari Dayana, cukuplah sekadar membalas senyumannya, malah dia tidak pernah mendesak Dayana menerimanya.
       “Bukan urusan kau.” Jawab Dayana dengan kasar.
       Mikhail mengeluh sedikit.
      “Yana, maafkan Babah. Babah cuma risaukan Yana.” Beritahu Mikhail dengan lirih suara yang kecewa.
       Dayana memeluk tubuhnya, dia hanya diam, malas untuk bersoal jawab dengan Mikhail.
       “Emm..Yana tak nak ikut babah dengan mama balik kampung ke? Kebetulan anak babah baru balik dari Rusia. Bolehlah Yana berkenalan dengan anak babah di sana.” Dayana sempat menoleh, anaknya dari Rusia? Khaaliq? Dayana tersenyum sedikit, lelaki itu pernah mendapat tamparan sulung darinya setahun yang lepas. Dia yang cuba membela ibunya dari di serang oleh bekas isteri Mikhail dan Khaaliq yang marah kerana dia cuba mencederakan bekas isteri Mikhail. Akhir sekali, mereka berdua yang bergaduh dan saling bertikam lidah.
       Mikhail sudah tersenyum sendiri.
       “Yana, babah tahu pertemuan terakhir kamu berdua hari tu tak berapa baik. Apa kata, Yana ikut mama dan babah balik kampung. Bolehlah berkawan baik dengan Khaaliq.” Cadang Mikhail dengan senyuman yang meleret.
      Dayana berdehem sedikit. Memandang tajam kearah bapa tirinya itu. Mikhail cuba mendekati Dayana, namun Dayana lantas menjauh.
       “Dayana..” panggil satu suara tiba-tiba dari arah belakang. Dayana dan Mikhail serentak menoleh. Terpana Dayana seketika melihat gerangan yang berada di belakangnya.
                                              **************
SETIN air teh bunga sudah bertukar tangan. Dayana menyambut seraya mengucapkan terima kasih. Kehadiran Faiz yang tiba-tiba sedikit sebanyak menimbulkan tanda tanya. Lelaki itu hadir di saat hatinya resah begini.
       “Kau okey?” soal Faiz tiba-tiba lantas memecah kesunyian di antara mereka.
       “Hmmm..” Dayana hanya menjawab pendek, yang sebenarnya dia malu.
       “Lelaki tu tadi..”
       “Bapa tiri saya.” Jawab Dayana pantas. Sudah semestinya Faiz sudah mendengar semua perbualannya dengan bapa tirinya tadi.
       “Kerana dia ke?” Faiz menyoal lagi.
       Dayana mengeluh sedikit.
       “Bukan sebab dia. Tapi..sebab diri saya sendiri. Dia lelaki baik, Entah kenapa saya tidak mampu menerima dia. Saya masih tidak dapat menerima penceraian mama dengan papa. Dan dia hadir dalam hidup kami, di saat segalanya masih kucar kacir.” Dayana meluah rasa, entah mengapa ringan sungguh mulutnya untuk bercerita. Selama ini, mana pernah dia berkongsi cerita dengan sesiapapun, termasuk Haliza rakan karibnya sendiri.
       “Dayana, terkadang kita tak tahu apa yang kita rasa. Buang sedikit ego kau tu, baru kau mampu melihat dengan jelas siapa yang sebenarnya kau perlukan dalam hidup kau.” Dayana terdiam sejenak. Egokah dia kerana sehingga sekarang dia masih belum dapat melihat kebaikan Mikhail terhadapnya?
       “Boleh tolong saya tak?” pinta Dayana tiba-tiba.
       “Hmm?”
       “Pasang balik handfree awak tu..saya tak nak awak dengar saya nangis.” Dayana sempat menunjuk kearah lilitan handfree dileher lelaki itu.
       “Oh..okey.” Faiz lantas akur, handfree diselitkan kembali ke telinganya. Muzik segera dipasang, tak sampai beberapa saat dia dapat menangkap tangisan Dayana dari arah belakang, biarpun esakkannya kecil namun cukup kedengaran hiba.
       Beberapa ketika hanya sunyi yang mengisi di antara mereka, Dayana kian reda, dia memandang sedikit kearah Faiz di sebelahnya yang diam tak berkutik. Di saat dirinya memerlukan seorang teman, lelaki itu hadir menghulurkan diri untuk menjadi temannya walau seketika. Dayana mengeluh perlahan, esok tarikh penentuan, esok akan menjadi tarikh penamat pertaruhannya dengan Tasya. Kini Dayana akur, Faiz bukan seperti lelaki lain.
       “Aku kalah..” ujar Dayana sendiri.
       Faiz di sebelah hanya mendengar seraya mengukir senyuman kecil.
       “Nah..” hulur Faiz tiba-tiba. Sebelah handfree miliknya sudah diserahkah kepada Dayana.
       “Err..tak pe, saya..”
       “Kita dengar lagu sama-sama..” sambung Faiz lagi.
       Dayana hanya tersenyum pahit sebelum menyambut huluran handfree dari tangan Faiz, kini dia dan lelaki itu berkongsi satu lagu yang sama. Dayana kembali menyandarkan badannya di dahan pokok rendang tersebut, diam sambil mengamati lagu dari yang dipasang dari telefon mudah alih lelaki itu..
       “Faiz..” panggil Dayana.
       Senyap.
       “Faiz, awak dengar saya tak?” panggil Dayana lagi, namun Faiz masih enggan menjawab. Dia mengintai sedikit dibalik belakangnya, lelaki itu sedang asyik mendengar lagu dengan mata tertutup.
       “Awak tidur ke?” tanya Dayana lagi.
       Sekali lagi Faiz hanya diam, akhirnya Dayana mengalah. Nekadnya untuk menceritakan perkara sebenar kepada lelaki itu, kenapa dia mendekati lelaki itu dan tentang pertaruhannya dengan Tasya. Dayana mengeluh sedikit, mungkin lain kali saja, desis Dayana lagi.
       Dayana kembali menyandar kepalanya, lagu Relaku Pujuk dari kumpulan spider mula kedengaran dari corong handfree tersebut.
       “Faiz, lagu ni..lagu ni..untuk awak.” ujar Dayana perlahan seraya terus menundukkan wajahnya, dia tahu Faiz sedang terlena, biarlah hanya dia yang tahu akan perasaannya yang kian bercambah ini. Faiz terlalu baik untuk dirinya yang serba kekurangan ini.
       Faiz di sebelah sudah membuka matanya, demi mendengar kata-kata dari mulut Dayana, dia keresahan sendiri. Apa makna semua ni? Sempat Faiz bermonolog sendiri. Lagu yang dimaksudkan oleh Dayana didengar dengan teliti.
       Ku dikejar bayang-bayang resah,
       Bila hatimu masih tak berubah,
       Enggan dipunya dan dipenjara
       Belaian cintaku ini..

       “Maafkan saya sebab niat saya yang tak jujur sejak mula.” Sambung Dayana lagi, airmatanya tiba-tiba mengalir. Faiz sudah mengenggam kuat jemarinya, benarkah apa yang dia dengar?



Bab 3

KISAH CINTA DAYANA

BUKU di tangan sudah dihempas kuat di atas meja. Sudah empat hari berlalu, tempoh seminggu semakin berkurang, namun Faiz masih belum ditawannya. Sudah pelbagai cara yang dilakukan, tapi seorang Faiz masih degil dan berhati batu. Dayana meramas kuat rambutnya, buntu, dia benar-benar buntu. Apa lagi yang perlu dia lakukan untuk melembutkan hati seorang Faiz. Empat hari berlalu begitu saja tanpa sebarang perubahan.
       Dayana merebahkan kepalanya di bahu kerusi, mata dipejam rapat. Tangannya menyentuh dadanya yang berdebar kencang. Faiz? Ada apa dengan dia? Kenapa jantung ini berdegup tak sekata bila bersamanya? Teringat pada hari pertama dia mengambil langkah untuk mendekati lelaki itu, alasan untuk belajar melukis potret digunakan sebagai cagaran. Namun jawapan lelaki itu menghadirkan seribu rasa.
       “Tipu.” Jawab Faiz ringkas. Membuntang mata Dayana dibuatnya.
       “Apahal pulak?” Dayana menempelak lantang.
       “Kalau kau sayangkan orang di sekeliling kau, kau akan sayang diri kau sendiri. Lihat apa yang kau dah buat pada diri kau..” ujar Faiz lagi. Dayana hanya mampu mengetap bibirnya, entah kenapa kata-kata itu menusuk hingga ke hatinya.
       Hari kedua pula, Dayana menebalkan muka menemui lelaki itu di perpustakaan, dan seperti biasa kehadirannya tidak diendahkan. Ini bukan dirinya, bukan caranya kesana kemari menagih perhatian dari seorang lelaki! Hendak mengalah, dia sudah terlanjur menyahut cabaran yang dibuat oleh Tasya, jika dia kalah teruklah dia dikerjakan oleh Tasya dan dua orang gengnya itu.
       “Hi Faiz.” Sapa Dayana dengan ramah. Segaris senyuman sudah diukirkan buat lelaki itu. Sempat dia mengenggam kedua belah jemarinya, entah kenapa dia jadi cuak tiba-tiba. Faiz hanya memandang sekilas kearah Dayana, pen di tangan dilepaskan, segera tubuhnya disandarkan di bahu kerusi sambil pandangannya dihalakan terus kearah Dayana.
       “Nak apa lagi?” Faiz menyoal tegas tapi dengan nada yang perlahan. Dayana mengukir senyum tiba-tiba, nampaknya umpannya berkesan. Wajah Faiz dipandang lagi dengan senyuman yang meleret.
       “Macam mana? Setuju ke?” tanya Dayana dengan senyuman.
       “Setuju apa?”
       “Potret.” Faiz tersenyum kecil. Geli hati melihat reaksi Dayana di depannya.
       “Maaf, aku tak pandai lukis potret.” Balas Faiz seraya pantas mengemas bukunya di atas meja.
       “Apa pula? Semalam saya..”
       “Cari orang lain, aku tak pandai. Maaf.” Putus Faiz, sekali lagi Dayana ditinggalkan dalam keadaan yang terpinga-pinga.
       Dayana mengepal penumbuknya. Panas hati dengan sikap berlagak lelaki itu. Kepalanya diangkat perlahan dari bahu kerusi, naik risau dirinya bila mengenangkan tempoh seminggu yang semakin mendekat. Kalau lelaki lain tidak sampai lima belas saat sudah jatuh di tangannya, tapi dengan lelaki berhati batu tu.. Dayana menggigit bibir bawahnya. Geram.
       Hari ketiga dia turut menerima layanan yang sama. Dayana lantas merebahkan kepalanya di meja kuliah, mengumpul seribu satu idea yang akan digunakan dalam masa tidak kurang tiga hari lagi, jika dia gagal juga, teruklah dia dikenakan oleh Tasya.  Bunyi pintu bilik kuliah yang dibuka dari luar mengejutkan Dayana, pantas dia memanggung kepala, kelibat Faiz yang baru memasuki bilik kuliah hanya dipandang tanpa riak.
       ‘Apahal mamat ni tak makan umpan aku ya..jangan-jangan dia ni gay kot..’ Dayana menutup mulutnya sambil memikirkan kemungkinan tersebut. Kepalanya masih direbahkan di atas meja, hanya pandangannya dihalakan kearah Faiz yang masih leka membaca buku. Keluhan panjang dilepaskan, keadaan masih lenggang dengan kehadiran mereka berdua, rata-rata pelajar belum sampai.
       “ke..dia baru lepas putus cinta?’ bebel Dayana lagi, namun hanya mampu disuarakan di dalam hati.
       “Fikirkan aku ke Dayana?” suara Faiz memecah suasana, segera Dayana tersedar, kelam kabut dia cuba menyembunyikan kegelisahan yang tiba-tiba melanda.
       “Siapa fikirkan awak? Jangan perasan!” jawab Dayana sedikit kasar. Faiz tersenyum sedikit, hanya gelengan yang mengiringi tawa kecilnya.
       “Aku ingatkan kau akan terus mendekati aku.” Balas Faiz lagi.
       Dayana lantas menoleh, memandang tajam ke arah Faiz. Gila ke apa mamat ni? Kalau bukan kerana pertaruhan aku dengan Tasya, tak ingin aku nak dekat dengan lelaki sombong macam tu!
       Dayana hanya menyebikkan bibirnya. Tiba-tiba terselit akalnya membisikkan satu idea nakal, bagus juga masa ini dia gunakan untuk ‘menawan’ lelaki itu. Dayana mengatur langkah menuju ke tempat duduk lelaki itu di bahagian belakang, tempoh masa yang semakin singkat mendesaknya untuk bertindak mengikut rasa.
       Terkebil-kebil mata Faiz melihat Dayana yang sudah duduk menyengih di hadapannya, tercetus tawa kecil dari bibir lelaki itu, terkadang dia merasakan teletah Dayana mencuit rasanya, ada-ada saja yang dilakukan oleh gadis itu untuk menarik perhatiannya. Adakah hatinya terlalu kebal untuk menerimanya? Tidak! Hatinya turut terpaut, Cuma..
       “Apa ciri-ciri gadis idaman awak?” soalan spontan dari Dayana membuatkan Faiz tercengang sendiri. Gadis idaman? Faiz hanya mampu menghantar pandangan matanya ke arah Dayana. Perlukah dia menjawab soalan cepu emas macam tu.
       “Tak ada.” Faiz menjawab ringkas.
       “Tak ada? Awak tak minat perempuan ke? Are you..gay?” Dayana memandang Faiz dengan pandangan pelik. Faiz hanya menjungkit bahu sebagai jawapan.
       “Terpulanglah..tapi jujur saya nak tanya ni, awak langsung tak tahu saya siapa ke? Saya Dayana..dekat universiti ni, tak seorang pun tak kenal saya.” Ujar Dayana.
       “Kan aku dah cakap, siapa tak kenal ‘The Killer Eyes’. Aku tahu..”
       “Oh..awak tahu, dan saya rasa awak pun tahukan yang saya ni..”
       “Kau boleh pikat mana-mana lelaki dengan mata kau tu je..itu yang aku tahu.” Pintas Faiz pantas, kata-kata yang berbaur sindirian itu dituturkan dengan senyuman di bibir dengan mata masih tidak beralih memandang Dayana yang kian membahang.
       “So, kenapa awak tidak? Apa kurangnya saya?” Dayana menyoal pantas.
       “Kau tak ada kurangnya..cuma..” kata-kata Faiz terhenti bila dua orang pelajar memasuki bilik kuliah, Dayana turut memandang kearah yang sama, buat seketika dia dan Faiz saling berbalas pandang. Sekali lagi Dayana merasakan degupan jantungnya kembali berdegup pantas. Dayana bangkit dari tempat duduknya, dibiarkan pandangan mata dua orang pelajar itu memanah tepat kearahnya. Lantak koranglah nak fikir yang bukan-bukan, hatiku dah panas ni. Sangat panas! Bebel Dayana sendiri.
       “Dayana..” langkah Dayana terhenti bila suara Faiz mula kedengaran memanggil namanya.
       “Mata kau memang cantik, tapi sinarnya hilang..” Dayana terus menoleh semula memandang Faiz, sekali lagi pandangan mata mereka bertemu, masing-masing menghantar seribu rasa yang sudah mula bercambah.
       “Kau dah terlalu banyak terluka Dayana..” sambung Faiz lagi, serentak itu airmata Dayana mengalir, buat pertama kalinya dia mengalirkan airmata di hadapan seorang lelaki bernama Faiz, tidak pernah seorang lelaki pun yang pernah menilainya seperti lelaki itu. Dayana lantas menyeka airmatanya, langkahnya terus dihantar keluar dari bilik kuliah tersebut. Faiz yang memandang hanya diam terkaku, diluar dugaannya bahawa Dayana akan menangis dengan kata-katanya. Benarlah tekaannya, hati seorang Dayana sedang menanggung begitu banyak luka.
                                      ************
WAJAH Dayana yang suram dan dibasahi airmata itu membuatkan tangan Faiz terhenti melukis. Matanya segera memandang wajah yang sudah kelihatan sembap itu, dia yang duduk di balik pohon di seberang tasik hanya mampu memandang Dayana yang menangis sendirian di sebelah sana. Sejak peristiwa di dalam bilik kuliah semalam, seharian gadis itu hanya mendiam diri, hari ini tidak pula gadis itu menemuinya. Faiz jadi risau sendiri, mungkin saja Dayana masih terasa hati dengan kata-katanya.
       Lukisan yang berada di tangannya dipandang lama. Wajah Dayana mengisi ruang mata, lukisan itu hampir siap sepenuhnya. Sepanjang dia melukis lakaran wajah itu, begitu banyak sisi Dayana yang dia kenal. Dayana bukan gadis kuat seperti yang dia lihat sekarang, Dayana bukan gadis yang hanya tahu bermain dengan hati seorang lelaki seperti yang dia dengar dari pelajar yang lain. Faiz menoleh kembali kearah Dayana, gadis itu masih lagi berpeluk lutut di bawah pohon itu dengan tangisan hiba. Itulah Dayana, gadisnya. Gadis yang menghadirkan satu rasa dalam dirinya. Faiz mencapai pen hitam dari beg sandangnya, terus dia menulis sesuatu di atas kertas lukisan tersebut.
‘Dayana..My lady’




Friday, October 3, 2014

Bab 2

Kisah Cinta Dayana

                                         
DAYANA mengenggam kuat jemarinya. Tajam matanya menjeling ke arah Tasya dan dua orang rakannya itu. Kenapalah budak tiga orang tu tidak pernah berpuas hati dengannya? Sekilas dia turut mencuri pandang ke arah lelaki yang dimaksudkan oleh Tasya seketika tadi. Faiz Rafzal, lelaki yang mencuri perhatian banyak gadis di universiti mereka, ramai gadis yang cuba untuk mendekati lelaki itu, entah kenapa sikap Faiz yang serius dan jarang untuk bercampur dengan mana-mana pelajar menjadikan lelaki itu seorang yang sukar untuk didekati. Dayana mengeluh perlahan, kepalanya yang mula berdenyut dipicit perlahan. Kenapalah dia bersetuju dengan rancangan gila Tasya dan rakannya?
            “Tak payah dengar diaorang tu Yana, nanti kau pulak yang susah.” Bebel Haliza sambil mengemas buku-buku dari atas mejanya.
            Dayana enggan mengulas kembali kata-kata dari Haliza, kini pandangannya jatuh pada wajah seorang lelaki yang masih tekun melakar sesuatu di atas kertas putih bersaiz A3. Faiz. Benarkah lelaki itu sesukar seperti yang Tasya katakan? Benarkah Faiz seorang lelaki yang berhati batu dan sukar untuk didekati. Dayana terimbas kembali detik pertama dia bertentang mata dengan lelaki itu, buat pertama kali itu juga dia merasakan keanehan bila memandang seraut wajah itu.
            “Yana..kau jangan bagitahu aku yang kau nak ikut plan si Tasya tu, bahaya Yana..” Haliza merenung sekilas wajah Dayana yang dari tadi berkerut.
            “Kau pernah bersembang dengan dia ke?” giliran Dayana bersuara, namun matanya masih lekat memandang ke arah Faiz. Dari tadi lelaki itu masih kekal di tempat duduknya tanpa berbual dengan sesiapapun.
            “Ada jugaklah, tapi semuanya pasal assigment. Kau bukan tak tahu anak Puan Umaira tu, memang tak banyak cakap. Serius memanjang aje.”
            “Dia tu ada kawan ke di sini?” soal Dayana lagi seolah-olah berminat.
            “Setahu aku dia cuma berkawan dengan Nazri. Budak nerd tu. Eh, jap! Apahal kau minat sangat dengan si Faiz tu? Kau jangan Yana..”
            “Saja..” Dayana menjawab bersahaja dengan sebaris senyuman di bibirnya. Tipulah kalau dia tak tercabar dengan kata-kata Tasya seketika tadi.
            ‘Kalau kau hebat sangat, buktikan! Kau kenal Faiz kan? Aku cabar kau,kalau kau berjaya pikat dia dalam masa seminggu, aku akan akui bahawa kau benar-benar ratu di universiti ni dan aku akan ikut segala kata-kata kau. Tapi, kalau kau gagal..kau kena ikut cakap aku.’
       “Yana..” Haliza menyentuh sedikit jemari Dayana, entah kenapa dia risau dengan reaksi rakannya itu.
       “Jangan risaulah!” Dayana cuba menyenangkan hati Haliza.
       “Janji dengan aku, jangan buat semua tu.” Pinta Haliza bersungguh-sungguh.
       “Buat apa?”
       “Yana..aku kenal kau. Kau..”
      “Kalau kau kenal aku, kau akan tahu apa yang aku akan buat.” Balas Dayana, buku segera dikemaskan, Haliza hanya menghantar langkah Dayana dengan riak wajah risau. Dayana yang dia kenal? Mata Haliza terus melekat pada wajah Faiz yang masih khusyuk dengan lukisannya, lelaki itu akan menjadi sasaran Dayana seterusnya!
                                                            **************
FAIZ dihampiri. Persetujuan yang dibuat dengan Tasya dua hari yang lepas membuatkan Dayana nekad mendekati lelaki yang menjadi perbualan hangat di universiti mereka. Siapa tak kenal Faiz Rafzal? Biarpun baru beberapa bulan berpindah di universiti mereka, namun Faiz mampu menyaingi pelajar lelaki yang lain, bukan saja dengan rupa parasnya bahkan juga kerana sikapnya yang tersendiri.
       Langkah diatur semakin hampir dengan Faiz yang masih melukis sesuatu di kertas kanvas. Lelaki itu kelihatan asyik duduk di tepi tasik tanpa memperdulikan pelajar lain yang lalu lalang, dengan berani Dayana terus melabuhkan punggungnya di sisi Faiz, lelaki itu hanya mendongak seketika memandang kearah sang gadis yang sudah tersenyum simpul di sebelahnya. Faiz tersenyum sedikit sebelum menumpukan semula perhatiannya pada kanvas di tangan.
       “Hi..” sapa Dayana dengan ramah.
       “Hmm..” Dayana menyebik sedikit dengan layanan lelaki itu.
       “Saya Dayana.” Dayana lantas menghulurkan tangan untuk bersalam.
       “Siapa tak kenal ‘the killer eyes’ kat universiti ni.” Jawab Faiz bersahaja tanpa sedikitpun memandang kearah Dayana.
       “Ohh..kenal. Saya..”
       “Nak apa?” membuntang mata Dayana melihat layanan dingin lelaki itu kepadanya. Nak apa? Dayana jadi panas sendiri. Kalau lelaki lain, sudah tentu dia sudah dilayan bagaikan puteri.
      “Err..” mata Dayana sempat menangkap sekeping kertas lukisan yang terselit di bawah buku lelaki itu, pantas saja tangannya mencapai. Terkedu seketika, lukisan yang menyerupai  figura wajah manusia itu belum siap sepenuhnya.
       “Apa ni?!” Faiz terus merampas kertas lukisan tersebut dari tangan Dayana dengan kasarnya.
       “Girlfriend ke?” tanya Dayana, patutlah tak layan perempuan lain.
       “Kau nak apa?” tanya lelaki itu lagi, kali ini lebih lantang dari tadi.
       “Janganlah marah..”
       “Nak apa?” Dayana menjeling sekilas. Memang hati batu betullah dia ni! Sabar Dayana..jangan putus asa, ingat pertaruhan kau dengan Tasya.
       “Saya nak belajar lukis potret. Tolong ajarkan saya..” pinta Dayana dengan muka yang cuba dimaniskan.
       “Apa?!” Faiz menghantar pandangannya kearah gadis bermata bundar tersebut. Lukis potret? Dia sendiri tidak pernah melukis potret. Cuma, entah kenapa sejak kebelakangan ini, dia begitu tertarik untuk melakar satu wajah yang mula diminatinya dalam diam.
                                               
                                                            *************
DARI jauh Faiz masih tekun melakar lukisan di kanvas kecilnya. Sejak kebelakangan ini, hanya ini yang dia lakukan bila hari menjejak petang, dia akan mengangkut semua peralatan untuk melukis dan menghabiskan beberapa jam masa lapangnya di tepi tasik.
       Sebaik saja kakinya menjejak kawasan taman di universiti tersebut, senyumannya mula terukir. Wajah yang dia harapkan sudah berada di depan mata, dari kejauhan dia dapat melihat gadis itu sedang membaca di bawah pohon rendang di tepi tasik. Tanpa memperdulikan insan lain yang lalu lalang di situ, dia terus melakar figura gadis tersebut, menghabiskan lukisannya yang terbengkalai sejak dua minggu yang lalu.
       “Saya nak lukis potret orang yang saya sayang.” Serentak itu tangan Faiz segera terhenti. Teringat perbualannya dengan Dayana beberapa hari yang lepas. Faiz tersenyum sendiri, orang tersayang? Bolehkah seorang gadis yang gemar mempermainkan perasaan seorang lelaki menyayangi orang lain?
       “Kau minat kat dia ke?” soal Nazri pada satu petang.
       “Siapa?” Faiz hanya menyembunyikan senyuman dibalik wajah seriusnya.
       “Tu.. ‘The killer eyes’. Wajah yang kau lukis tu.” Nazri memuncungkan mulutnya pada sekepng kanvas kecil milik Faiz.
       Faiz hanya menjawab dengan senyuman yang penuh makna. Minat? Minatkah dia pada gadis itu? Dia Cuma senang melakar wajah itu dalam lukisannya. Tak lebih dari itu. Dia juga sedar, biarpun Dayana seorang gadis yang sentiasa dikelilingi oleh lelaki malahan terkenal dengan sikap ‘playgirl’, Dayana juga bukanlah seorang yang senang untuk didekati.
       “Serius? Kau minat kat dia ke? Kau jangan Faiz..kau tak kenal lagi dia siapa? Dah ramai dah lelaki kat universiti kita ni kena dengan dia.” Ujar Nazri, biarpun kedengaran agak janggal bila seorang gadis mempermainkan hati lelaki, tapi itulah Dayana. Dayana seorang gadis yang tidak betah bersama lelaki melebihi tempoh satu bulan, paling lama pun hubungan tersebut akan bertahan selama dua minggu, seperti biasa, Dayanalah yang akan memutuskan hubungan tanpa sebarang rasa bersalah sekalipun.
       “Nazri, setiap manusia ada ceritanya sendiri. Pasti ada sebab kenapa dia begitu?” ulas Faiz.
       “Sebab? Sebab dia permainkan perasaan lelaki? Tak ada maknanya, jangan kerana seorang lelaki, dia nak hukum semua lelaki dalam dunia ni. Tak adil! Nazri keras membantah. Seperti biasa Faiz hanya tersenyum. Mungkin saja dia akan sependapat dengan Nazri jika dia tidak pernah terserampak dengan Dayana dua minggu lalu yang sedang menangis sendirian di bawah pohon rendang di tepi tasik. Hatinya kuat mengatakan bahawa mata yang dikatakan sering memikat mata lelaki diluar sana menyembunyikan sebuah luka yang tak tertanggung.
       “Siapa kita nak mengadili dia? Kita tak berada di tempat dia Naz..” Faiz menepuk lembut bahu sahabatnya.