Bab 1
YUHANA bersembunyi di sebalik sepohon pokok. Tubuhnya yang
kecil itu tidak kelihatan apabila berdiri di sebalik sepohon pokok yang besar
itu. Dari kejauhan, Yuhana jelas melihat seorang lelaki sedang duduk melutut di
hadapan pusara. Yuhana mula diselubungi sebak. Selama ini, dia tidak pernah
melihat lelaki itu menjadi sebegitu rapuh. Hari ini dan di saat ini, Yuhana
melihat lelaki tua itu menitiskan air mata di hadapan pusara yang tidak ketahui
pemiliknya.
Kamera di tangannya tidak jadi dibuka. Yuhana
mula serba salah. Situasi begini tidak pernah dia jangka. Siapa sangka lelaki
bengis seperti Tuan Hariz akan melutut dan menangis di hadapan pusara. Yuhana
tunduk seketika, memikirkan kemungkinan yang akan terjadi andai dia meneruskan
niatnya untuk menyiarkan cerita tentang ahli perniagaan terkenal itu.
Yuhana memasukkan semula kamera jenama Canon
tersebut ke dalam beg sandangnya, membatalkan hajatnya untuk mengambil gambar
lelaki itu. Langkahnya diatur untuk meninggalkan tanah perkuburan tersebut.
Namun, dia terhenti apabila melihat susuk tubuh seorang lelaki sedang berdiri
tidak jauh daripadanya.
Lelaki yang berkaca mata hitam itu leka memandang
tanah perkuburan tersebut. Dahi Yuhana mula berkerut, cuba mengorek ingatannya.
Siapakah lelaki itu? Apa hubungannya dengan Tuan Hariz?
“Saya tak sangka, hati uncle busuk sangat. Sedarlah uncle,
uncle dah tua. Dah tak ada sesiapa di sisi uncle sekarang. Cuba uncle
tanya diri uncle, kenapa isteri dan
anak uncle pergi daripada hidup uncle? Sebabnya uncle sedikit pun tak ada rasa kasih dan sayang. Uncle tamak. Uncle sanggup buang saudara hanya kerana perasaan tamak uncle tu!”
Yuhana melopong. Jika benar tekaannya, mungkin
sahaja lelaki itu adalah anak Tuan Hariz. Yuhana membatalkan hasratnya untuk
meninggalkan tanah perkuburan tersebut. Dia mengeluarkan semula kamera dari beg
sandangnya. Dia berpaling semula, menoleh ke arah Tuan Hariz yang sedang
berbual dengan seorang lelaki tua.
Ya, dia cukup kenal dengan lelaki itu. Hampir
setengah tahun dia ke hulu ke hilir menyiasat tentang lelaki bernama Tuan Hariz
itu. Dia sudah mengenali sesiapa sahaja yang rapat dengan ahli perniagaan itu.
Kamera diarahkan ke arah Tuan Hariz yang sedang
tunduk menangis itu. Sekelip mata sahaja Yuhana berjaya menangkap gambar
kedua-dua orang sahabat baik tersebut, Tuan Hariz dan Dato’ Fadzil. Dua sahabat
baik yang bersengketa kerana sebuah syarikat.
Setelah selesai menangkap gambar tersebut, Yuhana
palingkan tubuhnya menghadap lelaki yang berkaca mata itu. Kameranya terus
diangkat, lalu merakam figura lelaki tersebut.
Yuhana tersenyum senang. Dia ada misi baru.
Misinya untuk mencari di mana anak Tuan Hariz. Semuanya akan terungkai sebaik
sahaja dia menemui anak Tuan Hariz. Dia akan menulis sebuah artikel yang bakal
menggegarkan Malaysia. Yuhana mula membayangkan namanya yang akan tertulis di
bawah sebuah artikel yang bertajuk ‘Kisah silam di sebalik kejayaan seorang
ahli perniagaan terkenal’.
Sekali lagi bibir Yuhana mengukir senyum. Kariernya
sebagai seorang wartawan akan terjamin sebaik sahaja dia menyiarkan berita
panas itu. Gambar yang telah diambil, ditatap semula. Bibir yang dihiasi
senyuman itu serta-merta berubah apabila terpandang gambar lelaki tersebut.
“Kacaknya dia.” Tanpa sengaja Yuhana memuji
seraut wajah yang serius itu.
Yuhana mendongakkan pandangannya. Serentak
pandangannya bertemu dengan pandangan lelaki berkaca mata itu. Terkebil-kebil
mata Yuhana dibuatnya. Ada debar di dadanya yang membuatkan dia tiba-tiba tidak
keruan. Walaupun dilindungi cermin mata, Yuhana tahu sepasang mata itu sedang
menikam seluruh wajahnya.
YUHANA terkocoh-kocoh berlari sambil menjinjing beg galasnya.
Beberapa fail yang dibawa sejak tadi terus dipeluk kemas. Yuhana mempercepat
lariannya menuju ke pintu lif yang masih terbuka. Sesekali mata itu mengerling
kejap jam di tangannya. Kurang lima minit lagi menunjukkan pukul 8.30 minit
pagi. Matilah dia kalau dia terlewat. Sudahlah dia kerap mendapat amaran keras
daripada ketuanya.
“Tidak!” Yuhana menjerit lantang. Kaki kanannya
terus disilangkan ke arah pintu lif yang semakin tertutup.
Yuhana mengeluh lega. Mujur dia sempat menahan
lif tersebut daripada tertutup. Yuhana melirik senyum sedikit ke arah beberapa
orang pekerja yang turut berada di dalam lif itu. Malunya diletakkan ke tepi.
Yang penting, dia tidak akan dimarahi oleh Encik Hadi jika dia terlambat masuk
kerja lagi.
“Awal kau hari ni?” sapa satu suara wanita dari
arah belakang.
Yuhana terkejut. Cepat-cepat dia menoleh ke arah
suara tersebut. Bibirnya terus mengukir senyum sebaik sahaja terpandang wajah
rakannya, Tini yang turut berdiri di belakangnya.
“Kau ni! Suka kejutkan aku. Aku tak perasan pula
kau ada di sini,” balas Yuhana sambil mengurut dadanya. Nasib baik dia tidak
menghidap penyakit jantung. Kalau tidak, mahu mati katak dibuatnya.
“Mana nak perasan kalau kau sibuk jadi Spiderman
tadi. Itulah, lambat lagi!” marah Tini.
Yuhana pula sudah menayangkan barisan gigi
hadapannya. Tersengih memandang wajah rakan seperjuangannya itu. Ya, Tinilah
rakan seperjuangannya sepanjang dia mula berkhidmat selama dua tahun di salah
sebuah syarikat media cetak dan elektronik.
“Ha, senyum lagi! Padanlah kena marah dengan big boss,” ujar Tini geram.
“Alah, Encik Hadi tu sebenarnya tak faham. Yalah,
kerja dia duduk terperap dalam ofis. Yang nak berjalan ke hulu ke hilir cari
bahan tu, kita. Bukan dia! Dia tahu nak kompelin aje!” desah Yuhana dengan
geram.
Sudah dua hari berturut-turut dia dimarahi Encik
Hadi kerana datang lewat ke tempat kerja. Bukannya Encik Hadi tahu kesusahan
yang dialami semasa bekerja di luar.
Ting!
Yuhana dan Tini serentak mendongak. Pintu lif
sudah terbuka luas. Belum sempat Yuhana dan Tini melangkah keluar, suara deham
Encik Hadi terlebih dahulu mengejutkan mereka.
“Jumpa saya selepas ni, Hana.”
Mata Yuhana sudah membuntang luas. Jantungnya
sudah tercabut daripada tangkainya. Encik Hadi melemparkan senyuman sinis
sebelum keluar dari perut lif. Yuhana dan Tini saling berpandangan. Air liur
yang ditelan terasa pahit melalui saluran kerongkong.
“Hana, matilah kau,” ujar Tini dengan mata yang
masih terkebil-kebil.
“Hmm, aku tahu.” Yuhana pasrah. Nasibnya memang
sentiasa buruk sejak kebelakangan ini.
YUHANA tunduk memandang hujung kakinya. Sepatah perkataan pun
tidak terkeluar dari mulutnya. Tidak pula dia berani mengangkat wajah memandang
muka bengis ketuanya itu. Siapa tidak kenal dengan Encik Hadi, ketua jabatan
yang paling tegas. Lihat sahaja dengan perutnya yang sedikit boroi itu.
“Awak pandang apa, Yuhana?” Suara garau Encik
Hadi bergema tiba-tiba.
Serentak Yuhana mendongakkan wajahnya. Muka bengis
Encik Hadi terus menghiasi matanya. Perlahan-lahan Yuhana menggeleng, tidak
berani menjawab apa-apa.
“Awak kata saya cuma duduk di ofis dan tak tahu
kesusahan kamu semua di luar sana?”
Mata Yuhana terus terpejam rapat. Mengutuk
keterlanjuran kata-katanya.
“Maaf, Encik Hadi. Saya tak sengaja,” pohon
Yuhana.
“Awak tak tahu, bagaimana susahnya saya hendak
menjawab dengan pihak atasan apabila wartawan-wartawan macam awak tak ada
berita untuk disiarkan. Awak juga tak tahu, bagaimana susahnya saya nak jaga
sepuluh orang wartawan yang berperangai macam awak? Tahu tak?” Encik Hadi sinis
dengan soalan-soalan cepumasnya itu.
Yuhana hanya mampu menahan rasa. Hendak menjawab,
lidahnya terasa kelu.
“Okey, beritahu saya berita apa yang awak dapat
setelah berapa hari datang lewat?” Encik Hadi sudah menyandarkan belakang
tubuhnya di bahu kerusi. Tangannya disilangkan ke dada. Wajah wartawannya itu
terus dipanah tajam.
Sekali lagi Yuhana kematian kata. Berita apa yang
hendak dia persembahkan, andai berita yang hendak disiarkan belum lengkap
sepenuhnya?
“Err... Encik Hadi, berita tu...” Yuhana
tergagap-gagap.
“Ya, saya tunggu. Mana berita yang awak kata
gempak sangat tu?” sindir Encik Hadi lagi.
“Sebenarnya, berita tu tak lengkap lagi,”
beritahu Yuhana perlahan. Dia sudah bersedia menerima tembakan demi tembakan
daripada Encik Hadi sekejap lagi.
“Yuhana!”
“Ya, Encik Hadi!”
Semua mata pekerja yang berada di dalam bilik itu
memandang Yuhana dan Encik Hadi. Masing-masing sudah menjangkakan ribut taufan
pasti akan melanda andai Yuhana dan ketua mereka itu bersua muka.
Encik Hadi memegang belakang lehernya yang
tiba-tiba terasa sengal. Naik darahnya dek sikap Yuhana yang sering menguji
kesabarannya itu. Antara semua pekerja yang berada di bawah pengawasannya,
Yuhanalah yang paling banyak mencabar kesabarannya.
“Tak siap? Berapa...”
Tiba-tiba telefon bimbit Yuhana berdering. Tanpa
mempedulikan kemarahan ketuanya itu, dia menjawab panggilan tersebut.
Encik Hadi mula membahang. Keluar asap
berkepul-kepul dari telinga itu.
“Oh, ya. Helo?” jawab Yuhana. Lega kerana berjaya
melepaskan diri daripada mendengar bebelan Encik Hadi.
“Hana, Tuan Hariz serah diri,” beritahu suara
dari hujung sana.
Yuhana terkejut.
“Apa?!” Tanpa sedar, Yuhana menjerit kecil.
Terkejut Encik Hadi dibuatnya.
“Okey! Aku datang sekarang. Balai polis mana?”
Yuhana terus bangun dan mencapai beg sandang dari tempat duduknya. Pantas dia
berlari keluar dari ruang pejabat itu.
“Yuhana! Hana!” Encik Hadi menjerit kuat
memanggil nama Yuhana. Sakit hatinya apabila Yuhana langsung tidak mempedulikan
panggilannya.
KERETA Axia putih
miliknya terus diparkirkan di salah satu kotak parking yang masih kosong. Mata Yuhana liar memandang kawasan di
sekitar balai polis tersebut. Tiba-tiba pandangannya terhenti ke arah sekumpulan
wartawan yang sedang mengerumuni seorang lelaki. Mata Yuhana terus terbuka
luas.
Sekali lagi dia akan menjadi orang yang terakhir
mendapat maklumat. Tanpa menunggu, Yuhana terus mencapai beg sandangnya. Buku
nota dan pen pantas dikeluarkan. Telefon bimbitnya dikeluarkan dari poket
seluarnya. Butang rakaman ditekan. Yuhana pantas meluru ke arah sekumpulan
wartawan yang sedang berasak-asak ingin merakamkan berita sensasi itu.
“Tepi! Tepi!” jerit Yuhana.
Sesekali dia turut menolak beberapa orang wartawan
yang berhimpit-himpit untuk menemu bual seorang ahli perniagaan yang pernah
menerima tuduhan membunuh keluarga sahabatnya sendiri. Yuhana tidak berputus
asa. Sudah hampir setengah tahun dia menyiasat kes lelaki itu. Mustahil detik
kemuncak begini dia lepaskan. Namun, tiba-tiba Yuhana hilang imbangan. Badannya
ditolak kasar. Akhirnya, Yuhana tertolak ke belakang dan jatuh.
“Aduh!” Yuhana menggosok tapak tangannya yang
melecet apabila bergesel dengan permukaan jalan yang kasar.
Yuhana mendongak. Keluhan beratnya terluah
apabila menyedari yang dia kini sudah jauh tertinggal di belakang.
“Aduh, sia-sia aje!” marah Yuhana geram.
Apabila Yuhana cuba untuk bangkit, dia terkejut
melihat huluran tangan daripada seseorang yang tidak dikenali. Terkebil-kebil
mata Yuhana dibuatnya. Dia mengangkat wajahnya, memandang pemilik tangan itu.
Yuhana terkedu. Dunianya seakan-akan terhenti buat seketika. Di hadapan matanya
kini adalah lelaki yang pernah dia jumpa di tanah perkuburan dua hari yang
lepas.
Si dia masih menghulurkan tangan, menanti Yuhana
menyambutnya. Tiada sepatah kata pun yang terkeluar. Hanya pandangan mata yang
dihantar.
Yuhana menarik nafas dalam. Berbekalkan
keberanian yang bersisa, dia turuti juga kata hatinya. Perlahan-lahan Yuhana
menyambut huluran tangan itu. Dia bangun semula dengan bantuan daripada lelaki
asing itu. Sebaik sahaja Yuhana bangun, pandangan matanya dan mata lelaki itu
bertemu. Tanpa sengaja, mereka berbalas pandang. Mata yang dahulunya dilindungi
kaca mata hitam, kini menampakkan rupa. Dan, panahan mata itu seakan-akan menjeratnya
ke dunia yang hanya ada mereka.
Lelaki itu terus mengukir senyum kecil di
bibirnya. Lidah Yuhana pula kelu untuk menjawab. Pegangan erat lelaki itu masih
utuh di jemarinya.
“Hati-hati,” pesan lelaki itu tiba-tiba. Jemari
Yuhana perlahan-lahan dilepaskan. Dia terus berlalu meninggalkan Yuhana yang
masih kematian kata.
Entah kenapa Yuhana seakan-akan hilang upaya
apabila memandang panahan mata itu. Yuhana mula menanam tekad. Lelaki misteri
itu akan didekati. Hanya lelaki itu sahaja yang akan dapat menjawab semua
persoalan yang berlegar dalam kepalanya sekarang. Dan, hanya lelaki itu sahaja
yang akan melengkapkan kes yang sedang ditulis ketika ini.
“Yuhana!”
Yuhana tersentak. Sekilas dia menoleh. Riak wajahnya
terus berubah. Hilang sudah rasa debarnya, diganti pula dengan rasa marah yang
seakan-akan tiada penghujungnya. Yuhana cuba lari daripada keadaan itu.
Langkahnya mati tanpa sebarang halangan apabila namanya meniti semula di bibir
itu. Dunianya turut sekali terbawa pada luka lama yang masih berdarah.
Kepalanya mendongak, memandang semula wajah itu.
Setahun
yang lalu...
BUNYI deringan telefon yang tidak henti-henti sejak tadi
mengganggu tumpuan Yuhana pada novel yang dibacanya. Yuhana hanya pandang
sekilas ke arah telefon bimbit kekasih hatinya itu. Sesekali mata itu meliar
mencari kelibat Wildan yang masih berada di sebuah kedai serbaneka.
Selang beberapa saat, bunyi mesej yang masuk pula
kedengaran. Yuhana berdecit. Novel di tangannya terus diletakkan ke tepi.
Telefon bimbit Wildan yang berada di atas dashboard
dicapai. Satu mesej diterima daripada si pemanggil yang bernama ‘Epal’. Yuhana
terus diterpa rasa hairan. Hatinya mula diselubungi rasa sangsi.
Siapakah ‘Epal’? Yuhana berteka-teki.
Tidak lama kemudian, panggilan telefon daripada
‘Epal’ itu muncul kembali. Yuhana memandang sekejap ke arah Wildan yang masih
berada di dalam kedai. Teragak-agak Yuhana menyentuh tanda hijau pada skrin
telefon tersebut. Perlahan-lahan, Yuhana mendekatkan telefon tersebut ke
telinganya.
Fikirnya, mungkin sahaja ada panggilan kecemasan.
Jika tidak, mengapa si pemanggil asyik menghubungi Wildan sejak tadi? Yuhana
cuba memujuk hati dengan berfikiran positif.
“You! You kat mana ni? Lama I tunggu. Kata
sekejap aje hantar Hana balik. Ni dah dekat sejam dah!”
Yuhana terkedu. Mulutnya melopong. Suara itu...
Suara itu... Tidak! Tak mungkin! Yuhana menggeleng berulang kali, cuba
menidakkan kata hatinya.
“Mulalah tu. Jumpa aje dengan girlfriend kesayangan you tu, terus
lupakan I. You kena ingat, I ni girlfriend
you juga tau!”
Yuhana memegang dadanya yang terasa mahu pecah.
Air mata yang cuba ditahan tiba-tiba mengalir. Kenyataan itu tidak dapat dielak.
Hakikatnya dia benar-benar dikhianati!
“Dilla?” Yuhana memberanikan diri memanggil
sebaris nama itu, berharap tekaannya salah.
Keadaan berubah menjadi sunyi seketika. Tiada
tanda si pemanggil tersebut membalas panggilan Yuhana. Serentak itu, Yuhana
menangkap kelibat Wildan yang baru keluar dari kedai serbaneka itu. Langkah
lelaki itu dipandang. Lelaki yang amat dia cintai. Dan, lelaki itu juga yang
tega mengkhianati cintanya.
Sebaik sahaja Wildan memasuki kereta, Yuhana
terus melemparkan senyuman sinis. Sengaja dia menunjukkan telefon yang masih
melekap di telinganya.
“Maaf, sebab aku angkat panggilan kau. Aku
tertanya-tanya, siapa dia ‘Epal’ yang asyik menghubungi Wildan sejak tadi. Aku
tak tahu pula orang tu kau. Terima kasih, Dilla. Terima kasih atas
segala-galanya.”
Riak wajah Wildan serta-merta berubah. Tidak
lepas dia memandang wajah Yuhana yang kelihatan keruh.
“Hana?” Wildan teragak-agak untuk memanggil
sebaris nama itu.
Yuhana membuang pandang ke sekeliling sebelum dia
menoleh semula ke arah lelaki itu. Yuhana menggeleng, tidak percaya. Wildan dan
Dilla tega mengkhianati kepercayaannya. Wildan kekasih hatinya dan Dilla,
sahabat baiknya!
Dalam mindanya mula berlegar-legar tingkah Wildan
dan Dilla sejak kebelakangan ini. Patutlah Wildan sering tiada masa untuknya.
Malah, Dilla sendiri asyik sibuk saja apabila diajak keluar. Rupa-rupanya
mereka menjalinkan hubungan di belakangnya.
“Terima kasih Wildan, atas hadiah sehebat ni.
Terima kasih banyak-banyak!” Yuhana membuka pintu kereta, lantas berlari pantas
meninggalkan Wildan, meninggalkan kisah cintanya.
No comments:
Post a Comment