Friday, January 16, 2015

Bab 4

KISAH CINTA DAYANA

DAYANA masih berdiri di kawasan parkir menanti kehadiran ibunya yang berjanji untuk melawatnya di universiti hari ini. Biarpun sudah dihalang, Maria berkeras, katanya Mikhail yang berkeras untuk melawat anak tirinya itu, maklumlah sejak mula semesta beberapa bulan lalu, Dayana tidak pernah sekali balik ke rumah. Rindu katanya! Dayana hanya mengiakan, malas untuk bertegang urat dengan ibunya.
       Jam di tangan dikerling sekilas, sudah hampir lima belas minit dia berdiri di situ. Kelibat ibu dan bapa tirinya juga belum kelihatan. Selang beberapa minit sebuah kereta perodua masuk di perkarangan tempat parkir kereta, Dayana menghampiri kereta tersebut, wajah ibunya sudah tersenyum dari tempat duduk penumpang, pandangan dari bapa tirinya hanya disambut dengan pandangan kosong. Bukan membenci, Cuma dia masih tidak tahu bagaimana mahu berhadapan dengan lelaki itu.
       “Assalamualaikum mama..” sapa Dayana, segera dia memeluk tubuh ibunya, dia dapat merasakan belaian lembut di rambutnya.
       “Waalaikumussalam, dah lama ke Yana tunggu?” tanya Maria, pipi anaknya dielus lembut.
       “Tak, mama sihat?” Dayana sempat mencuri pandang kearah Bapa tirinya yang hanya memandangnya dengan senyuman.
       “Mama sihat, Cuma babah kamu ni ha..yang tak berapa sihat.” Balas Maria, dia menarik sedikit tangan suaminya yang masih berdiri di belakangnya.
       Dayana hanya menjawab dengan senyuman kecil, langsung tiada hati mahu bertanya selanjutnya.
       “Yana sihat?” tanya Maria lagi, dia bukan tidak tahu bahawa anak perempuannya itu masih tidak dapat menerima kehadiran suaminya itu. Namun, hati Dayana sekeras kerikil, biar sebaik manapun suaminya itu melayannya, Dayana tetap membekukan hati. Akhirnya, Maria mengambil langkah berdiam diri, biarlah Dayana menerima suaminya itu dengan hati yang ikhlas.
       “Sihat.”
       “Mama datang ni nak bagitahu Yana yang mama dan babah nak balik terengganu, jumpa ibu bapa babah di sana. Mungkin dalam seminggu dua.” Ujar Maria.
       “Oh..bila mama nak pergi?”
       “Hujung mimggu ni, Yana nak ikut tak?” pelawa Maria bersungguh-sungguh, dia benar-benar berharap anaknya itu akan turut serta, bukan apa dia ingin mengeratkan lagi hubungan Dayana dengan suaminya., dia sedia maklum juga yang anak gadisnya itu masih kecewa dengan penceraian dia dan bekas suaminya dulu.
       Dayana hanya menggeleng dan lantas mengulum senyum hambar, wajah ibunya yang nyata turut berubah membuatnya serba salah sendiri, pasti hati itu terkilan dengan sikapnya. Maafkan Yana mama, Yana masih belum dapat menerima lelaki itu sebagai bapa, dia memang baik malah lebih bertanggungjawab dari papa. Tapi entah kenapa? Dayana memandang sekilas kearah Mikhail yang hanya berdiri di sisi ibunya. Sabar sungguh lelaki ini.
       “Tak apalah Yana, mama faham. Ni Yana tak ada kelas ke?” soal Maria cuba menyembunyikan rasa kecewanya.
       Belum sempat Dayana menjawab, telefon bimbit ibunya berbunyi, Maria tersenyum sedikit kearah anaknya sebelum berlalu menjawab panggilan telefon. Dayana hanya mengangguk, sempat matanya menangkap pandangan bapa tirinya yang sudah tersenyum kecil.
       “Yana sihat?” tanya Mikhail sambil bergerak setapak menghampiri Dayana.
       Dayana tidak menjawab sebaliknya dia bergerak ke belakang menjauhi bapa tirinya itu.
       “Kenapa lama tak balik?” soal Mikhail lagi berharap anak tirinya itu menjawab soalannya. Sedikit sebanyak dia rasa bersalah dengan Dayana, dia tidak mengharapkan lebih dari Dayana, cukuplah sekadar membalas senyumannya, malah dia tidak pernah mendesak Dayana menerimanya.
       “Bukan urusan kau.” Jawab Dayana dengan kasar.
       Mikhail mengeluh sedikit.
      “Yana, maafkan Babah. Babah cuma risaukan Yana.” Beritahu Mikhail dengan lirih suara yang kecewa.
       Dayana memeluk tubuhnya, dia hanya diam, malas untuk bersoal jawab dengan Mikhail.
       “Emm..Yana tak nak ikut babah dengan mama balik kampung ke? Kebetulan anak babah baru balik dari Rusia. Bolehlah Yana berkenalan dengan anak babah di sana.” Dayana sempat menoleh, anaknya dari Rusia? Khaaliq? Dayana tersenyum sedikit, lelaki itu pernah mendapat tamparan sulung darinya setahun yang lepas. Dia yang cuba membela ibunya dari di serang oleh bekas isteri Mikhail dan Khaaliq yang marah kerana dia cuba mencederakan bekas isteri Mikhail. Akhir sekali, mereka berdua yang bergaduh dan saling bertikam lidah.
       Mikhail sudah tersenyum sendiri.
       “Yana, babah tahu pertemuan terakhir kamu berdua hari tu tak berapa baik. Apa kata, Yana ikut mama dan babah balik kampung. Bolehlah berkawan baik dengan Khaaliq.” Cadang Mikhail dengan senyuman yang meleret.
      Dayana berdehem sedikit. Memandang tajam kearah bapa tirinya itu. Mikhail cuba mendekati Dayana, namun Dayana lantas menjauh.
       “Dayana..” panggil satu suara tiba-tiba dari arah belakang. Dayana dan Mikhail serentak menoleh. Terpana Dayana seketika melihat gerangan yang berada di belakangnya.
                                              **************
SETIN air teh bunga sudah bertukar tangan. Dayana menyambut seraya mengucapkan terima kasih. Kehadiran Faiz yang tiba-tiba sedikit sebanyak menimbulkan tanda tanya. Lelaki itu hadir di saat hatinya resah begini.
       “Kau okey?” soal Faiz tiba-tiba lantas memecah kesunyian di antara mereka.
       “Hmmm..” Dayana hanya menjawab pendek, yang sebenarnya dia malu.
       “Lelaki tu tadi..”
       “Bapa tiri saya.” Jawab Dayana pantas. Sudah semestinya Faiz sudah mendengar semua perbualannya dengan bapa tirinya tadi.
       “Kerana dia ke?” Faiz menyoal lagi.
       Dayana mengeluh sedikit.
       “Bukan sebab dia. Tapi..sebab diri saya sendiri. Dia lelaki baik, Entah kenapa saya tidak mampu menerima dia. Saya masih tidak dapat menerima penceraian mama dengan papa. Dan dia hadir dalam hidup kami, di saat segalanya masih kucar kacir.” Dayana meluah rasa, entah mengapa ringan sungguh mulutnya untuk bercerita. Selama ini, mana pernah dia berkongsi cerita dengan sesiapapun, termasuk Haliza rakan karibnya sendiri.
       “Dayana, terkadang kita tak tahu apa yang kita rasa. Buang sedikit ego kau tu, baru kau mampu melihat dengan jelas siapa yang sebenarnya kau perlukan dalam hidup kau.” Dayana terdiam sejenak. Egokah dia kerana sehingga sekarang dia masih belum dapat melihat kebaikan Mikhail terhadapnya?
       “Boleh tolong saya tak?” pinta Dayana tiba-tiba.
       “Hmm?”
       “Pasang balik handfree awak tu..saya tak nak awak dengar saya nangis.” Dayana sempat menunjuk kearah lilitan handfree dileher lelaki itu.
       “Oh..okey.” Faiz lantas akur, handfree diselitkan kembali ke telinganya. Muzik segera dipasang, tak sampai beberapa saat dia dapat menangkap tangisan Dayana dari arah belakang, biarpun esakkannya kecil namun cukup kedengaran hiba.
       Beberapa ketika hanya sunyi yang mengisi di antara mereka, Dayana kian reda, dia memandang sedikit kearah Faiz di sebelahnya yang diam tak berkutik. Di saat dirinya memerlukan seorang teman, lelaki itu hadir menghulurkan diri untuk menjadi temannya walau seketika. Dayana mengeluh perlahan, esok tarikh penentuan, esok akan menjadi tarikh penamat pertaruhannya dengan Tasya. Kini Dayana akur, Faiz bukan seperti lelaki lain.
       “Aku kalah..” ujar Dayana sendiri.
       Faiz di sebelah hanya mendengar seraya mengukir senyuman kecil.
       “Nah..” hulur Faiz tiba-tiba. Sebelah handfree miliknya sudah diserahkah kepada Dayana.
       “Err..tak pe, saya..”
       “Kita dengar lagu sama-sama..” sambung Faiz lagi.
       Dayana hanya tersenyum pahit sebelum menyambut huluran handfree dari tangan Faiz, kini dia dan lelaki itu berkongsi satu lagu yang sama. Dayana kembali menyandarkan badannya di dahan pokok rendang tersebut, diam sambil mengamati lagu dari yang dipasang dari telefon mudah alih lelaki itu..
       “Faiz..” panggil Dayana.
       Senyap.
       “Faiz, awak dengar saya tak?” panggil Dayana lagi, namun Faiz masih enggan menjawab. Dia mengintai sedikit dibalik belakangnya, lelaki itu sedang asyik mendengar lagu dengan mata tertutup.
       “Awak tidur ke?” tanya Dayana lagi.
       Sekali lagi Faiz hanya diam, akhirnya Dayana mengalah. Nekadnya untuk menceritakan perkara sebenar kepada lelaki itu, kenapa dia mendekati lelaki itu dan tentang pertaruhannya dengan Tasya. Dayana mengeluh sedikit, mungkin lain kali saja, desis Dayana lagi.
       Dayana kembali menyandar kepalanya, lagu Relaku Pujuk dari kumpulan spider mula kedengaran dari corong handfree tersebut.
       “Faiz, lagu ni..lagu ni..untuk awak.” ujar Dayana perlahan seraya terus menundukkan wajahnya, dia tahu Faiz sedang terlena, biarlah hanya dia yang tahu akan perasaannya yang kian bercambah ini. Faiz terlalu baik untuk dirinya yang serba kekurangan ini.
       Faiz di sebelah sudah membuka matanya, demi mendengar kata-kata dari mulut Dayana, dia keresahan sendiri. Apa makna semua ni? Sempat Faiz bermonolog sendiri. Lagu yang dimaksudkan oleh Dayana didengar dengan teliti.
       Ku dikejar bayang-bayang resah,
       Bila hatimu masih tak berubah,
       Enggan dipunya dan dipenjara
       Belaian cintaku ini..

       “Maafkan saya sebab niat saya yang tak jujur sejak mula.” Sambung Dayana lagi, airmatanya tiba-tiba mengalir. Faiz sudah mengenggam kuat jemarinya, benarkah apa yang dia dengar?



3 comments:

  1. bila mau sambung? mencintaimu jurugambar tu pun x sabar mau tnggu smbungn dia. hehe.

    ReplyDelete
    Replies
    1. InsyaAllah saya akan sambung Kisah CInta Dayana ni. Untuk MMP, tidak akan disambung lagi sebab cerita itu sudah terbit di bawah Penerbitan Fajar Pakeer. Maaf ya..Terima kasih atas sokongan.

      Delete
    2. This comment has been removed by the author.

      Delete