Bab 8
KAHWIN? Ariq tersenyum sendiri. Sesiapa pun pasti ada impian untuk mendirikan rumah
tangga. Dia pun turut sama. Pernah mengimpikan impian itu. Namun, tidak pernah
terlintas di fikirannya untuk menikahi gadis sehebat Hafiya. Cucu seorang
jutawan. Sekali lagi Ariq tersenyum. Dia dan Hafiya, bagai langit dengan bumi.
Enggang dengan pipit.
Bagaimana mungkin
untuk dia setuju menikahi Hafiya dan membiarkan gadis itu hidup dengannya
sebagai isteri pemandu lori? Jangan beranganlah, Ariq!
“Sudikah Ariq
mengambil cucu atuk ni sebagai isteri?” Hampir terjatuh rahang Ariq dibuatnya.
“Tuk!” Serentak
Hafiya dan Ariq bersuara.
Kedua-duanya
terkejut dengan keputusan Tan Sri Arman. Ariq dan Hafiya saling berpandangan
seketika.
“Ariq, atuk harap
Ariq tak terbeban dengan permintaan atuk ni. Ariq fikir dulu. Bila Ariq dah
buat keputusan, bagi tahu saja atuk.”
Hafiya mula panik. Cepat dia menghampiri Ariq. “Tak payah fikir-fikir lagi.
Saya tak nak kahwin dengan awak. Awak balik sekarang dan jangan datang lagi!”
Hafiya terus menolak tubuh Ariq sehingga hilang dari muka pintu.
Serentak itu lamunan
Ariq terhenti bila Abang Imam datang menepuk bahunya. “Tak ada gas nak dihantar
ke, Riq?”
Ariq hanya senyum hambar sambil menghulurkan fail kepada Abang Imam.
“Banyak pula gas kau kali ni. Kena bawa dua orang attendant ni, Riq.”
“Dah, Abang Imam. Aku dah minta Salleh dan Man tu temankan aku.”
“Jauh jugak kali ni. Sampai ke Seremban sana. Bermalamlah nampaknya.”
Ariq senyum lagi tanpa membalas soalan Abang Imam. Kusut. Kusut benar
jiwanya kini.
“Kau ni kenapa, Riq? Muram saja abang tengok.” Abang Imam menegur. Jarang
benar dia melihat Ariq termenung begitu.
“Entahlah Abang Imam. Mak dekat kampung tu membebel aje suruh kahwin.”
Selepas menuturkan ayat itu, Ariq dan Abang Imam sama-sama ketawa.
“Kalau mak tu dah suruh kahwin, kahwin sajalah Riq. Susah apa?” Abang Imam
masih lagi dengan tawanya yang masih bersisa.
Ariq mengeluh. Setiap hari maknya di kampung pasti bising menanyakan
tentang status bujangya.
“Susah-susah Riq, kahwin saja dengan gadis pilihan mak kau tu. Habis
cerita. Pilihan orang tua ni selalunya yang terbaik.”
Alahai, Abang Imam, bukan tak nak kahwin. Macam mana nak kahwin kalau
ekonominya sendiri masih belum stabil. Tinggal pun masih di rumah flat yang
disewa daripada orang. Lebih-lebih lagi berada di zaman GST, semua barang
meningkat. “Tak apalah Abang Imam. Aku saja saja nak main-main. Tak pening pun
soal jodoh. Kalau ada, adalah. Kalu tak ada, Allah kan masih ada.”
“Abang tahu, Riq. Atau kau masih pening dengan gadis pujaan kau tu? Siapa
tu, cucu jutawan?”
Pantas Ariq menoleh. Cucu jutawan dan pemandu lori seperti dia? Sememangnya
tidak layak bergandingan.
“Hesy, ada pula fikir sampai ke situ. Ni, Abang Imam, jangan percaya sangat
budak Man tu. Melebih saja dia!”
“Kalau betul apa salahnya, Riq?” Abang Imam bersuara lagi.
Ariq pula hanya mampu tersenyum. Dengan Hafiya? Rasanya tak tercapai dek
akal. Dia tidak pernah termimipi sejauh itu. Tidak mungkin juga untuk dia
menunaikan permintaan Tan Sri Arman jika cucunya sendiri menentang keras
permintaannya itu. Mahu berantakan rumah tangganya nanti.
TERLEPAS sudah garpu di tangan Kuza bila mendengar kata-kata anak saudaranya itu.
Kahwinkan Hafiya dengan Ariq? Budak pemandu lori treler tu?
“Fida ni biar
betul? Mana Fida dengar cerita tu?” Kuza seolah-olah tidak percaya. Mana
mungkin ayahnya itu sanggup menjodohkan cucu kesayangannya dengan pemandu lori
treler macam itu. Bukan Kuza tidak tahu, betapa sayangnya ayahnya itu kepada
Hafiya.
“Ya mak su. Fida
dengar sendiri dari mulut Fiya. Dia memang tak nak kahwin dengan pemandu lori
tu.” Hafirda meyakinkan lagi. Dia sendiri terkejut bila diberitahu tentang
berita itu.
Kuza terdiam
sekejap seolah-olah berfikir sesuatu. Banyak persoalan yang berlegar dalam
fikirannya sekarang. Kenapa ayahnya itu sanggup membuat keputusan sedrastik
itu?
“Mak su fikir apa
tu?” soal Hafirda. Namun soalannya tidak berjawab. Teh susu yang masih panas
dikacau dan dihirup perlahan. Sempat dia mengunyah roti berinti kacang.
“Kejap, bagi mak
su fikir.”
“Fida?” panggil
Kuza tiba-tiba.
“Ya, mak su.”
“Budak lelaki tu
kerja apa?” soal Kuza seolah-olah berminat.
“La... Kan dah
cakap, dia tu cuma pemandu lori treler. Bukan sesiapa,” tekan Hafirda lagi.
Naik berbuih sudah mulutnya menyebut pemandu lori treler sejak semalam. Ini
semua gara-gara Hafiya yang mengadu bahawa datuk memintanya mengahwini pemandu
lori treler tersebut.
“Keluarga dia?
Tak, maksud mak su, dia tu anak orang ‘ada-ada’ ke?”
“Mak su, kalau dia
anak orang berada, takkan punya dia kerja jadi pemandu lori treler tu.
Tolonglah mak su, kerja tu menjijikkan kut. Angkat tong-tong gas, bawa lori
siang malam. Kalau Fida jadi Fiya, Fida pun tak nak kahwin dengan orang yang
kerja macam tu. Baik Fida kahwin dengan pegawai bank saja. Okey lagi daripada
pemandu lori treler,” bebel Hafirda tiba-tiba.
Kuza ketawa sikit.
Namun, bila difikirkan semula, ada betulnya kata-kata anak saudaranya itu.
“Jadi, mak su
memang tak boleh fikir kenapa atuk nak kahwinkan dia dengan Fiya. Buntu mak su
ni, Fida.” Kuza sudah garu kepala. Malas berfikir panjang dia menyuapkan
kembali bihun goreng ke dalam mulutnya.
“Jangan-jangan
lelaki itu saudara-mara jauh atuk kut,” teka Hafirda.
“Mustahil Fida.
Kalau ya, mak su memang dah tahu.” Kuza pula menyangkal.
Hafirda diam.
“Mak su, Fida ni
sebenarnya tak kisah langsung si Fiya tu nak kahwin dengan lelaki tu. Bagus apa.
Dia akan ikut lelaki itu, hidup susah sebagai isteri pemandu lori treler. Cuma,
apa yang Fida risaukan, atuk tu. Atuk macam... baik sangat dengan lelaki tu.
Sikit-sikit, Ariq. Itu, Ariq. Ini, Ariq! Nanti, silap hari bulan, semuanya
Ariq. Termasuk harta dia.” Hafirda mula meluahkan kerisauannya sejak tadi.
Membuntang mata Kuza memandang anak saudaranya.
“Betul juga tu, Fida. Apa kita nak buat sekarang?” Kuza mula panik.
“Shahrul ada beri rancangan. Dia kata, kita kena cari calon suami untuk
Fiya.”
Kuza melopong mendengarnya. Calon suami? “Siapa pula kita nak cilok ni,
Fida?”
“Itu mak su yang uruskan. Fida mana tahu. Fida dan Shahrul akan uruskan
yang lain.”
“Yang lain?” Kuza mula sangsi.
“Yalah, mak su. Nasib baik tau suami Fida itu sanggup membantu.”
“Bercakap pasal suami kamu. Mak su dari tadi tak nampak dia. Tak masuk ofis
lagi? Atau pergi menyimpang mana-mana.” Kuza mula membebel.
Dia memang tidak ada masalah dengan Shahrul, suami anak saudaranya itu.
Cuma sikap Shahrul yang tidak serius dalam berkerja itu yang menyakitkan
matanya.
“Mak su, Shahrul pergi branch
kita dekat Shah Alam tulah.”
“Ha, mak su memang dah hafal benar dengan jawapan kamu. Bila ditanya, mesti
kamu jawab si tu Shahrul pergi branch
kita dekat Shah Alam. Naik boring dah mak su dengar jawapan kamu.”
Hafirda hanya mencebik. Tidak kisah dengan pandangan ibu saudaranya itu.
“PHEWITTT!!” Man Acong bersiul. Mengusik gadis-gadis
yang baru melintasi meja mereka.
Si Salleh pula
lain cerita. Hanya matanya yang dikenyitkan untuk menyakat gadis-gadis
tersebut. Alahai, memang mata keranjang.
“Fuhyo, Salleh. Gadis-gadis Minangkabau ni memang cantik-cantik,” ujar Man
Acong penuh semangat.
“Itulah pasal. Naik
sakit kening aku ni asyik kenyit-kenyit dari tadi.” Salleh pula menyokong. Sejurus
itu mereka berdua turut sama ketawa.
Salleh dan Man
Acong memang tidak boleh bertemu. Bagai isi dengan kuku. Perangai yang sama. Si
Man Acong memang tidak boleh nampak perempuan dahi licin sikit. Salleh pula,
walaupun pemalu, boleh tahan juga perangai mata keranjangnya itu. Tawa mereka
mati tiba-tiba bila Ariq yang dari tadi bercakap telefon mula mengeluh berat.
Man Acong mengerling sedikit ke arah Salleh.
“Siapa yang call tadi, Riq? Sampai muka kau macam
ayam berak kapur,” tanya Man Acong. Teh tarik terus dihirup sedikit.
“Tan Sri,” jawab
Ariq pendek. Rambutnya diraup ke belakang. Air sirap yang dipesaannya
tadi disisip sedikit sebelum pandangannya dihalakan ke sekeliling, mengamati
kesibukan di kedai tepi jalan tersebut.
“Datuk minah
Nissan Skyline yang sombong tu ke?” Salleh menyampuk. Dia memang tidak pernah
bersua muka dengan gadis yang sering diceritakan oleh Man Acong itu. Namun,
sejak kebelakangan ini semakin kerap pula dia mendengar nama itu.
“Siapa lagi,”
jawab Man Acong.
“Kenapa Tan Sri tu
call kau, Riq?” Cawan teh tarik
diangkat untuk dihirup.
“Dia nak jodohkan
aku dengan cucu dia.” Ariq jawab ringkas.
Namun, teh tarik
yang diminum Man Acong sudah tersembur keluar. Tepat mengena muka Salleh yang
berada di hadapan.
“Oi!
Agak-agaklah!” Salleh sudah naik angin.
Ariq pula hanya
mampu meyembunyikan senyumannya. Memang kena sangatlah Man Acong dan Salleh tu.
“Maaf, maaf, tak
sengaja. Aku terkejut beruk ni, Leh.” Man Acong mencapai tisu dan diberikan
kepada Salleh.
Kasar Salleh meyambut.
Sekitar mukanya yang dimandikan dengan teh tarik Man Acong dilap bersih.
“Sekali lagi, Riq.
Kau kata, Tan Sri, si jutawan tu, nak kau kahwin dengan cucu dia? Yang mana
satu? Yang nombor satu ke minah Nissan Skyline yang sombong tu?” Semakin
berminat pula Man Acong dengan topik tersebut sampai kerusinya ditarik dekat ke
sebelah Ariq.
“Yang nombor satu tu
dah kahwin. Kau nak laki dia sembelih aku ke apa?!” tempelak Ariq. Aduhai, si
Man Acong ni. Sudahlah kepalanya sedia kusut, dia kusutkan lagi keadaan.
“Okey... Maknanya Riq,
kau kena kahwin dengan Minah Nissan Skyline yang sombong tulah?” Salleh
menyampuk setelah selesai kerjanya.
Ariq diam. Angguk
pun tidak, menggeleng pun tidak. Man Acong dan Salleh saling berpandangan.
Tidak lama selepas itu mereka berdua tiba-tiba menjerit.
“Durian runtuh!” Serentak
mereka berdua menjerit.
Terkejut Ariq
dibuatnya. Pengunjung yang datang menjamu selera di kedai tepi jalan tersebut turut
menumpukan perhatian kepada mereka.
“Kau orang ni dah, kenapa?”
“Tak lama lagi, minah Nissan Skyline yang sombong tu jadi kakak ipar
kamilah?” ujar Salleh penuh semangat. Senyum sampai ke telinga lagi.
Ariq geleng kepala.
“Bila masa aku cakap aku setuju nak kahwin dengan dia?” Ariq mendengus
rimas. Boleh sakit jantung dek Man Acong dan Salleh ini.
“Riq, tuah ayam nampak di kaki. Tuah manusia, siapa tahu Riq? Ini rezeki
kau. Jangan tolak rezeki. Bak kata nenek aku, bala jangan dicari, rezeki jangan
ditolak. Eh, betul ke tak peribahasa aku ni?” Man Acong mulalah dengan
falsafahnya.
“Aku tak kahwin dengan dia kerana duit dia yang bertimbun tu.”
“Siapa cakap macam tu? Kami dah tahu, Riq. Kau sebenarnya sudah lama
tangkap cintan dengan minah Nissan
Skyline tu,” sambung Man Acong lagi.
“Bila masa pula aku tangkap cintan
dengan dia? Kau ni kan, memang pandai-pandai buat cerita, kan?”
“Riq, mata tak boleh menipu tau.” Salleh pula bersuara.
“Eh, dahlah. Tak habis kerja aku layan kau orang berdua ni. Jom sambung kerja.
Tinggal satu tempat lagi nak hantar gas-gas tu. Selepas ni, kita balik KL.”
Ariq pantas berjalan menuju ke lori treler yang diparkir di bahu jalan.
Ya, dia akan balik ke KL malam ini dan akan berjumpa dengan Tan Sri Arman
di atas permintaan lelaki itu tadi. Entah kenapa Ariq tidak mampu mengatakan
tidak pada permintaan itu. Sejujurnya, setelah dia menolak permintaan Tan Sri
Arman, hatinya seolah-olah meronta-ronta. Dia sendiri semakin keliru. Namun,
bila mengenangkan dirinya yang tidak punya apa-apa dan tidak layak untuk
bergandingan dengan Hafiya, dia jadi nekad untuk membantah keputusan tersebut.
Ya, aku tak nak. Aku tak nak perkahwinan ni! Ariq membulatkan hati. Tiada
guna memaksa hati dalam perhubungan tanpa cinta.
SHAHRUL tunduk menyelimuti Tan Sri Arman dengan perlahan. Satu senyuman terukir di
bibirnya. Dia yakin Tan Sri Arman sedang tidur dengan lenanya.
“Bang, kenapa
abang bawa Fida ke sini malam-malam macam ni? Jomlah kita balik. Dah lewat
sangat ni. Esok Fida kerja tau.” Hafirda medengus geram. Jam di tangan ditilik.
Sudah hampir menunjukkan pukul 10.00 malam. Tadi dia terpaksa akur bila Shahrul
membawanya ke hospital untuk melawat Tan Sri Arman.
“Kita jenguk
atuklah sayang. Lagipun, sejak atuk kemalangan hari itu. Abang baru sekarang ada
masa nak jenguk,” balas Shahrul dengan senyuman.
Hafirda jadi pelik.
Sejak bila pula suaminya ini jadi penyayang sangat? “Esoklah kita datang balik.
Sekarang ni kita balik tidur saja.”
Shahrul diam
sambil memandnag Tan Sri Arman yang sedang lena tidur. “Kita tak boleh tunggu
esok, sayang.”
Hafirda kerut
dahi.
“Apa maksud abang
ni?” Hafirda menyoal sedikit kasar.
“Datuk serius
dengan rancangannya untuk kahwinkan Fiya dengan budak lori treler tu. Kita kena
cepat bertindak sebelum semuanya musnah,” jelas Shahrul.
Hafirda semakin
buntu. Dia masih tidak dapat menangkap maksud di sebalik kata-kata suaminya. “Maksud
abang?”
“Kalau Fida tak
nak merempat nanti. Fida kena lakukan jugak.”
“Abang, kan Fida
dah cakap, mak su sekarang tengah carikan jodoh untuk Fiya. Kita tak perlu risau.
Fiya takkan kahwin pun dengan budak tu. Mana Fiya nak kahwin dengan pemandu
lori,” ujar Hafirda dengan yakin.
“Sayang, dengar
apa yang abang nak cakap. Fiya akan ikut segala kemahuan atuk. Kerana dia
sayangkan atuk dia ni. Lambat-laun, dia akan setuju jugak. Kita betul-betul tak
ada masa sekarang. Sayang kena buat jugak. Letak ubat ni dalam saluran ni.”
Mulut Hafirda
terlopong. Besar mataya melihat jarum suntikan di tangan suaminya.
“Abang nak bunuh datuk ke?” soal Hafirda separuh berbisik.
“Tak. Gila ke? Datuk tak boleh mati dulu selagi dia belum tukar wasiat dia.
Ubat ni cuma untuk lumpuhkan atuk,” jelas Shahrul.
Hafirda diam seribu bahasa. Tangannya bergetar menahan rasa takut. Tidak
pernah terlintas di fikirannya untuk bertindak sejauh ini.
“Sayang...” panggil Shahrul.
Hafirda geleng kepala. Tidak sanggup!
Shahrul menggeleng kesal. Lengan Hafirda terus dipaut.
“Sayang dengar sini. Kalau kita tak bertindak seperti ini, datuk akan
serahkan semua hartanya kepada cucu kesayangannya tu. Fida dan mak su takkan
dapat apa-apa. Ini untuk masa depan kita, masa depan anak-anak kita nanti.
Abang lakukan semua ni, untuk sayang.” Shahrul cuba meyakinkan isterinya.
“Bagaimana dengan Fiya?” soal Hafirda perlahan.
“Selepas atuk tukar wasiat, baru kita selesaikan Fiya dan datuk. Sayang tak
perlu risau.”
Hafirda diam sekejap. Memikirkan baik buruk apa yang akan dia lakukan.
“Betul ubat ni hanya akan lumpuhkan atuk?” tanya Hafirda.
Shahrul angguk.
Hafirda menarik nafas perlahan lalu dihembus untuk menghilangkan rasa
gentarnya. Perlahan dia menghampiri Tan Sri Arman yang masih berbaring. Maafkan
Fida, tuk.
“Atuk!” Satu suara tiba-tiba menyergah dari belakang.
Cepat-cepat Hafirda memasukkan jarum suntikan berisi ubat itu ke dalam beg
tangannya.
Ariq memandang dua wajah di hadapannya tanpa sebarang riak. Tajam
pandangannya menikam wajah Shahrul yang kemerahan memandangnya.
Hafirda berdeham.
“Kau buat apa di sini?” soal Hafirda takut-takut, namun ada getar di setiap
nafasnya.
Ariq melangkah perlahan sambil mengeluarkan telefon bimbit dari poket
seluarnya.
“Atuk yang telefon aku petang tadi, minta aku datang,” ujarnya sambil
menayangkan telefon bimbit Nokia model lamanya.
Hafirda dan
Shahrul saling berpandangan.
“Atuk dah tidur.
Jangan ganggu dia. Kau boleh datang esok saja,” balas Shahrul lagi.
Ariq mengangguk
faham. “Tak apa, aku boleh tunggu. Lagipun, aku dah lama tak jenguk dia.”
“Tapi...”
“Sayang, jom kita
balik. Lagipun, sayang dah tolong tidurkan atuk tadi, kan?” Shahrul terus
menarik lengan Hafirda mengikutinya.
Ariq hanya
menghantar langkah mereka dengan pandangan yang sukar untuk ditafsirkan. Betul
ke apa yang baru dia dengar seketika tadi? Mereka merancang untuk bunuh Tan Sri
Arman dan Hafiya?
“Sekarang Ariq
faham kenapa atuk berkeras nak Ariq kahwin dengan Hafiya?” Suara Tan Sri Arman
mencelah tiba-tiba.
Mata Ariq terus
memanah segenap ruang wajah Tan Sri Arman yang jelas dengan riak kecewanya.
Siapa tidak kecewa andai keluarga bermusuhan kerana harta duniawi?
Ariq memejam
matanya. Sungguh, dia benar-benar keliru sekarang. Rambut depannya sudah dikuak
ke belakang. Pandangan mata Tan Sri Arman benar-benar menyesakkan jiwanya.
Wajah itu benar-benar mengharapkan sesuatu daripadanya. Perlukah dia menikahi
Hafiya hanya untuk melindungi gadis itu? Bagaimana dengan hati dan perasaan
mereka? Bahagiakan rumah tangga mereka nanti?
Tan Sri Arman
bangun sedikit dan bersandar pada bahu katil. Dia sebenarnya belum tidur
sewaktu Hafirda dan suaminya datang. Ya, dia tahu yang dia telah membahayakan
nyawanya. Andai kata Ariq tiada tadi, sudah semestinya nyawanya sudah bercerai
daripada badan. Sekali lagi Ariq menyelamatkannya.
“Lambat atau cepat
Ariq akan tahu perkara ni. Banyak lagi rahsia dalam keluarga atuk yang Ariq
akan tahu. Buat masa sekarang, dengan keadaan atuk yang tak berapa sihat, atuk
tak boleh nak melindungi Hafiya. Sebab itu bila dulu dia katakan hasrat nak
mengahwini arwah Nizam, atuk terus beri restu. Atuk nak ada seseorang yang
sentiasa berada di sisi dia, untuk jaga dan lindungi dia.” Panjang lebar ujaran
Tan Sri Arman membuatkan Ariq bingung sendiri. Apa yang perlu dia lakukan?
“Hafiya tahu?” Sepatah
Ariq bertanya namun jelas kerutan di dahinya.
Tan Sri Arman
menggeleng perlahan. “Pada Hafiya, dia punya keluarga yang bahagia. Seorang
kakak dan ibu saudara yang sentiasa memberi semangat dan kasih pada dia. Dia
tidak pernah tahu siapa mereka sebenarnya.”
Ariq memejam mata.
Dalam diam dia mengasihani gadis naif bernama Hafiya itu. “Kenapa atuk bezakan
mereka? Maksud saya Hafirda dan Hafiya?”
Tan Sri Arman
berdeham panjang.
“Suatu hari nanti,
Ariq akan tahu kenapa.” Tan Sri Arman masih berteka-teki.
Ariq menghembus nafas panjang. Wajah Tan Sri Arman dipandang tanpa kelip. “Saya
setuju, tuk.”
Ariq menunduk, namun dia
sempat berdoa semoga keputusan itu adalah keputusan yang terbaik dia buat. Bukan
saja demi Hafiya bahkan untuk dirinya juga. Maafkan aku, Hafiya.
No comments:
Post a Comment