Friday, October 23, 2015

Pandu Arah Ke Hati

Bab 6

SEPERTI biasa, Ariq memulakan tugasnya sabagai penghibur jalanan di kaki lima tersebut. Kereta kancil 850cc diparkir di tempat biasa. Sebelum keluar dari kereta, topi berwarna hitam dipasang dan cermin mata yang berwarna sama dilekat kemas di matanya. Itulah imejnya sebagai penghibur jalanan.
Ariq mencapai gitar cabuknya dari tempat duduk belakang. Langkah diatur menuju ke satu sudut. Jika diimbas kembali, sudah hampir lima tahun dia menjadi penghibur di kaki lima tersebut. Sebagai pendapatan tambahannya. Mujur saja dia bernasib baik kerana dikurniakan bakat memetik gitar. Jika diikutkan suaranya, tidaklah sesedap mana. Sedap telinga mendengar saja. Buktinya, sepanjang lima tahun dia di sini, belum pernah lagi dia dibaling dengan telur kerana nyanyiannya.
Selang beberapa minit, lagu nyanyian kumpulan ungu Tercipta Untukku mula berkumandang. Barisan lirik lagu mula didendangkan. Tidak sampai beberapa saat, sudah ada pengunjung yang berdiri di sekelilingnya. Itulah kebahagiaannya setelah bergelar penghibur di kaki lima tersebut. Ya, dia bukanlah sesiapa. Sekadar penghibur jalanan yang mendendangkan lagu sebagai punca pendapatan sahaja.
“Sepatutnya saya faham kenapa awak berperangai macam tu. Tak cukup jumlah seribu tu kalau dibahagi dua. Tak apa, ini saya naikkan lagi jumlahnya. Lima ribu ringgit. Cukup, kan?”
Petikan gitar Ariq tiba-tiba terhenti. Jarinya terluka dek tali gitar tersebut. Mata pengunjung mula memandang kepadanya. Tidak pernah lagi dia cuai begini. Entah kenapa, tiba-tiba sahaja wajah angkuh cucu orang kaya tersebut muncul di ruang matanya dan suara angkuh itu membunuh penghayatannya.
Pengunjung mula berpecah. Ariq mengambil kesempatan itu untuk duduk di sebuah bangku. Petikan gitar mula kedengaran, namun sumbang bunyinya. Tanpa sebarang nada.
“Eh, Riq, awal rehat malam ni?” Man Acong menegur.
Ariq menoleh sekejap sebelum memetik kembali gitarnya.
“Yang lain mana?” soal Ariq perlahan.
“Ada, dia orang dekat kedai mamak depan tu.” Man Acong memuncungkan mulutnya ke arah rakan-rakan mereka yang sedang menjamu selera di sebuah kedai mamak di seberang jalan.
“Kau pula tak pergi?” soal Ariq lagi.
Man Acong sengih sampai ke telinga. Melihat wajah itu Ariq terus menggleng kepala.
“Kali ini berapa pula?” tanya Ariq lagi seolah-olah faham dengan senyuman Man Acong itu.
“Kejap ya Riq, aku kira kejap. Milo ais, dua ringgit. Roti kosong empat keping. Dalam 10 ringgit macam tulah.”
Ariq menggeleng. Poket seluarnya diseluk sebelum mengeluarkan dua keping not 10 ringgit dan diserahkan kepada Man Acong.
Pantas saja tangan Man Acong mengambilnya. “Terima kasih Ariq. Kaulah kawan aku dunia dan akhirat. Hujung bulan kira ya.”
“Yalah tu. Yang bulan lepas ada baki lagi tahu.”
“Alah... Ya ke Riq? Ada lagi?” Man Acong pamer muka yang menjengkelkan.
“Kau nak kena hempuk dengan gitar aku ni ke?” Ariq sengaja mengugut.
“Kau ni sensitif sangat kenapa? Teringat kat minah sombong tu ke?”
Ariq terus memandang muka Man Acong.
“Jadi, betullah kau ingat kat dia?” Melopong mulut Man Acong. Matilah jika benar Ariq sudah tangkap cintan dengan minah sombong itu.
“Bagi balik duit aku.”
Man Acong terkebil-kebil.
“Ya? Ha... Tu Salleh panggil aku. Aku pergi dululah!” Man Acong terus berlari pantas menghampiri sekumpulan gengnya. Namun, tidak sampai beberapa langkah dia berhenti semula dan menoleh ke arah Ariq.
“Tapi Riq, perempuan sombong dan angkuh tu memang awesome Riq. Kau tak nak, aku nak!” Sempat lagi Man Acong menyakat. Pantas dia berlari sebelum gitar cabuk Ariq mengena kepalanya.
Ariq menggeleng sebelum meletakkan gitarnya ke tepi. Langsung dia tiada mood untuk menyanyi pada malam itu. Keluhan kedengaran. Di mana pergi semangatnya selama ini? Segalanya semakin kucar-kacir. Akhirnya, Ariq membawa tapak tangannya ke dada sambil menepuk-nepuk perlahan.
“Ada sesuatu yang sedang berlaku di sini,” ujar Ariq sendiri.
Selang beberapa ketika, telefon bimbit jenama Nokia berdering. Ariq terus menyeluk poketnya. Sebaris nombor yang tidak dikenali terpapar pada skrin kecil tersebut.
“Assalamualaikum,” sapa Ariq.
“Waalaikumussalam.”
Mendengar suara itu cukup membuatkan Ariq terjaga daripada ‘lena’ panjangnya.
“Jangan salah faham. Saya dapat nombor ni dari kaunter depan. Datuk saya dah sedar dan dia nak jumpa awak.”
Ariq tersedak. Datuk si sombong ni nak berjumpa dengannya? Tapi, kenapa?
“Saya telefon ni bukan nak minta persetujuan awak atau tak. Datang sini jumpa datuk saya.” Selepas menuturkan ayat tersebut, talian terus dimatikan.
Terkebil-kebil Ariq dibuatnya. Namun, panggilan tersebut membuatkan Ariq tersenyum sendiri. Tanpa sedar, gitar di sebelahnya ditarik ke dalam pelukan, lalu satu per satu tali gitar dipetik.

HAFIYA memandang datuknya yang masih terbaring kaku walaupun sudah sedarkan diri. Melihat keadaan datuknya yang tidak bermaya, Hafiya dirundung rasa sebak. Pipi tua itu disentuh. Sebuah senyuman diberikan buat datuknya itu. Sedikit sebanyak dia menyalahkan dirinya sendiri. Kerana dia datuknya kemalangan. Dia tahu, datuknya menyembunyikan rasa sedih atas keputusannya.
“Tuk...” panggil Hafiya perlahan sambil jemari menyentuh jemari datuknya yang sudah berkedut.
Tan Sri Arman membuka sedikit matanya. Wajah sembap cucunya dipandang. Pasti seharian cucunya itu menangis. Kasihan Hafiya!
“Fiya...” panggil Tan Sri Arman.
“Ya, tuk.”
“Ma... maafkan atuk,” ujar Tan Sri Arman dengan tergagap-gagap.
Hafiya menggeleng. Lantas dia mengusap rambut datuknya. “Fiya yang patut minta maaf.”
“Fiya tak salah.”
“Atuk pun tak salah. Fiya cuma nak atuk sihat semula.” Air mata Hafiya jatuh berderai sebaik sahaja menuturkan ayat tersebut. Sebak hatinya. Apa yang dia pasti, dia tidak mampu untuk harungi kehilangan datuknya itu.
“Tuk, atuk kena kuat. Atuk jangan tinggalkan Fiya. Fiya tak boleh kalau atuk tak ada.” Hafiya merintih lagi.
Tersentuh jiwa tua Tan Sri Arman mendengarnya. Laju jemarinya dibawa menyeka air mata di pipi itu.
“Atuk takkan tinggalkan Fiya. Insya-Allah, atuk takkan tinggalkan Fiya di saat begini.” Hafiya mendongak memandang wajah datuknya.
“Ayah!” Kuza datang tiba-tiba bersama Hafirda.
Tan Sri Arman menoleh, melihat anak dan cucu sulungnya. Berubah terus riak wajahnya.
“Syukurlah ayah dah sedar. Risau Kuza dibuatmya. Maaf Kuza tak dapat jaga ayah semalam. Kuza ada meeting dengan pembekal,” jelas Kuza panjang lebar.
Hafiya bergerak ke tepi, berdiri di sebelah kakaknya.
“Tak apa, ayah pun dah sedar,” jawab Tan Sri Arman ringkas.
“Tuk, kenapa sampai boleh jadi macam ni?” Hafirda pula bertanya.
Tan Sri Arman berdeham sekejap. Sempat lagi matanya menjamah wajah Hafiya yang kepenatan.
“Atuk tak apa-apa Fida. Jangan risau. Tolong jaga syarikat untuk atuk,” pesan Tan Sri Arman. Mendengar itu, Hafirda terus tersenyum lebar sampai ke telinga.
“Atuk jangan risau. Serahkan pada Fida dan mak su. Kan, mak su?” Hafirda menggamit emak saudaranya pula.
“Ya ayah, jangan risaukan Arman Group. Yang penting ayah sihat,” sokong Kuza pula.
“ Eh, Fiya, flight kamu ke England macam mana?” soal Kuza tiba-tiba.
“Fiya tangguhkan, mak su. Fiya nak tunggu sampai atuk benar-benar sihat,” balas Hafiya dengan nada penuh risau.
Kuza dan Hafirda saling berpandangan. Ada riak tidak senang pada wajah mereka. Tan Sri Arman hanya diam, namun sempat mata tuanya menangkap riak wajah anak dan cucu sulungnya.
Kuza bergerak menghampiri anak saudaranya itu.
“Fiya, pasal atuk Fiya janganlah risau. Mak su dan Kak Fida ada. Kami bolehlah tolong tengok-tengokkan atuk. Yang penting Fiya tu, kena pulihkan semangat itu kembali,” jelas Kuza panjang lebar. Tangan Hafiya digenggam erat.
Hafiya memandang wajah datuknya. “Tak apalah mak su, Fiya nak jaga atuk dulu.”
“Tapi, Fiya...”
“Sudahlah tu, Kuza. Kan bagus Fiya nak duduk sini dulu dengan kita? Lagipun ayah memang tak setuju Fiya duduk jauh daripada kita,” bangkang Tan Sri Arman lagi.
Kuza hanya mampu tersenyum dan akur dengan keputusan ayahnya. Memang dari dulu lagi ayahnya itu akan melebihkan Hafiya, cucu kesayangannya!
“Fiya, kamu dah telefon orang yang selamatkan atuk ke?” Tan Sri Arman bertanya tiba-tiba.
Kuza dan Hafirda terus menumpukan perhatian kepada Hafiya.
Hafiya hanya angguk. “Ya, tuk. Insya-Allah, dia akan datang.”
“Siapa yang ayah maksudkan?” Kuza bertanya, langsung tidak tahu hujung pangkal cerita.
“Orang yang selamatkan ayah hari itu. Ayah berhutang nyawa dengan dia. Kalau tiada dia, ayah tak tahu apa yang akan jadi dengan ayah,” jelas Tan Sri Arman dengan perlahan walaupun dalam keadaan sedikit lemah.
“Siapa Fiya?” soal Hafirda pula.
“Entah, kak. Fiya tak pasti siapa. Fiya pun tak berapa kenal. Atuk yang nak sangat jumpa dia.”

“UHUK! Ariq pantas mencapai cawan yang berisi teh tarik. Air yang masih bersisa setengah terus diteguk rakus. Roti canai kosong yang dikunyahnya tadi terasa melekat di kerongkongnya.
“Itulah Ariq, makan tak baca bismillah,” ejek Salleh sambil ketawa besar.
“Mat, kau nak tahu kenapa abang kau ni tersedak? Semuanya gara-gara minah Nissan Skyline yang sombong tu!” sakat Man Acong diiringi gelak tawa besarnya.
“Minah Nissan Skyline yang sombong?” Abang Imam pula menyampuk.
“Abang Iman jangan dengarlah cakap Cina kapur tu. Pandai saja!” sangkal Ariq lagi.
Abang Imam merupakan orang yang paling tua dalam geng mereka. Sudah punya anak dua orang. Dua-dua lelaki. Basri pula muda dua tahun daripada Abang Imam. Sudah berkahwin, tapi belum punya anak. Man Acong dan Salleh pula muda daripada Ariq.
“Tunggu kejap. Aku pun nak tahu siapa minah Nissan Skyline yang sombong tu? Cantik ke? Bolehlah kenalkan kat geng kita. Betul tak Man?” Salleh pula menyampuk dan mengiakan kata-kata Man Acong. Rugi kalau tidak mengorek rahsia sekarang. Bukan selalu mendengar Ariq digosipkan dengan mana-mana perempuan.
“Salleh, jangan percayakan si Man tu. Lebih-lebih saja dia. Bukannya kenal sangat pun dengan perempuan tu,” sangkal Ariq lagi. Namun, figura gadis sombong dan wajah garang Hafiya mula bermain di ruang matanya. Tanpa sedar tersenyum sendiri Ariq dibuatnya.
“Eh, ni senyum-senyum sendiri ni, kenapa? Adalah tu...” sakat Abang Imam. Mula menyertai Man Acong dan yang lain untuk mengusik Ariq. Mencukupkan korum.
“Eh, tak ada apa-apalah Abang Imam.” Ariq sudah garu kepala. Malu pula apabila disergah oleh Abang Imam begitu.
“Ariq, kalau dah suka tu, bagi tahu saja. Nanti melepas, disambar orang, kau juga yang gigit jari.”
Man Acong dan geng yang lain sudah ketawa terbahak-bahak. Selalu Ariqlah yang akan menyakat mereka. Namun, apabila melihat Ariq yang menjadi mangsa lucu pula jadinya. Muka Ariq sudah kemerahan dibuatnya. Tahu malu!
“Tak adalah sampai macam tu sekali, Abang Imam. Si Man Acong ni saja yang lebih-lebih.”
“Tak salah Ariq kalau dah jodoh.”
“Dengar tu Riq, tak salah kalau hati dah berkenan,” sampuk Salleh, memeriahkan lagi suasana.
“Ni Riq, satu soalan saja abang nak tanya kau. Siapa aje si gadis bertuah yang dah berjaya mencairkan hati kau tu?” Abang Imam bertanya lagi.
“Siapa lagi Abang Imam, kalau bukan cucu jutawan yang diselamatkan oleh Ariq tempoh hari,” ujar Man Acong.
Melopong mulut semuanya. Tinggi juga taste si Ariq ni. Bukan calang-calang orang yang dipujanya. Cucu jutawan? Abang Imam hanya mampu menggelengkan kepala.

No comments:

Post a Comment