Monday, November 9, 2015

Pandu Arah Ke Hati (Bab 11)

Bab 11

Setelah disahkan pulih sepenuhnya, Tan Sri Arman dibenarkan pulang. Hafiyalah orang yang paling gembira. Hampir sebulan dia berulang-alik dari hospital ke rumah demi menjaga datuknya itu, akhirnya dia boleh menarik nafas lega.
Tan Sri Arman pula terlalu sibuk menguruskan urusan kahwin cucunya itu. Tempahan hotel, kad kahwin, hantaran kahwin dan sebagainya hampir separuh siap. Nasib baik ada bantuan Amalin, pembantu peribadi Tan Sri Arman yang sedikit sebanyak membantu menguruskan majlis kahwin cucunya itu. Hendak diharapkan Hafiya, sedikit pun dia tidak campur tangan dalam urusan kahwinnya sendiri.
Hafiya membantu datuknya untuk duduk di sebuah kerusi kayu yang terletak berhampiran pintu gelangsar di bilik Tan Sri Arman. Langsir berwarna putih ditarik dan diikat tepi. Pintu gelangsar terus dibuka. Memberi pengudaraan di bilik datuknya itu. Angin mula masuk dan pemandangan kota mula terlihat.
“Okey, atuk rehat ya. Fiya nak ke dapur kejap. Umi tengah masak tadi.”
Tan Sri Arman hanya angguk.
“Lagi satu. Kalau nak apa-apa, call tau. Fiya letak telefon atuk dekat tepi ni, ya?” Hafiya meletakkan telefon bimbit datuknya di atas laci, bersebelahan tempat datuknya duduk.
“Ya, Fiya. Atuk tahu.”
Hafiya terus senyum, tunduk sekejap dia menyentuh jemari datuknya. “Fiya lupa nak ucapkan terima kasih kat atuk.”
Tan Sri Arman diam, menanti bicara Hafiya sepenuhnya.
“Terima kasih sebab sembuh dan kembali sihat macam ni,” sambung Hafiya.
Tan Sri Arman menyentuh rambut panjang Hafiya dan dielus lembut. “Terima kasih juga sebab Hafiya sudi tunaikan permintaan atuk.”
Hafiya hanya membalas dengan senyuman hambar. Bercakap tentang perkahwinannya, sudah hampir seminggu dia tidak berjumpa dengan lelaki bernama Ariq itu.
“Semalam Ariq ada datang berjumpa dengan atuk.”
Panjang umur, desis hati kecil Hafiya.
Tan Sri Arman menyeluk poket bajunya. Sebuah kotak baldu berwarna merah dibuka dan diserahkan kepada Hafiya. Terkejut Hafiya dibuatnya. Cincin?
“Cincin apa pula ni?” soal Hafiya pelik.
Tan Sri Arman tidak terus menjawab. Kotak baldu berisi cincin tersebut diletak ke dalam genggaman Hafiya. “Ini cincin risik. Keluarga Ariq akan datang lusa untuk risik Fiya. Cincin ni Ariq bagi sebagai tanda.”
Terkejut Hafiya mendengarnya. Kelu lidahnya seketika. Cincin di tangannya hanya dipandang kosong.
“Hafiya...”
“Tuk...”
“Pakai cincin ni sebagai tanda Hafiya hormat dia. Dia beli cincin ni daripada hasil titik peluh dia sendiri. Esok, Fiya dengan Ariq ikut Amalin untuk ukur baju pengantin ya.”
Semakin gusar hati Hafiya mendengarnya. Ya, dia hampir lupa yang perkahwinanya tinggal sebulan sahaja lagi. Hafiya menggenggam kemas cincin di tangannya. “Ya, tuk. Fiya turun dulu. Siap nanti, Fiya panggil turun makan ya.”
Tan Sri Arman mengangguk. Langkah Hafiya yang berlalu dipandang hingga hilang di balik pintu. Hatinya sentiasa berdoa semoga perkahwinan Hafiya dan Ariq berjalan lancar seperti yang dirancang.

HAFIYA tidak berganjak dari kereta Nissan Skyline miliknya. Wajah Ariq yang hanya tenang dijeling tajam. Dia tidak peduli! Mahu ataupun tidak Ariq perlu menuruti kata-katanya. Sudah kira bernasib baik dia setuju untuk pergi ukur baju hari ini. Kalau nak diikutkan rasa hati, dia langsung tidak ingin!
“Sampai bila kita nak berdiri di sini Cik Hafiya?” Ariq sudah bersuara setelah dia hanya menjadi pemerhati pada perangai Hafiya yang seperti kanak-kanak.
“Sampai bila-bila!” Hafiya menjawab kasar.
Ariq mengeluh. “Salah ke guna kereta aku?”
“Saya tak kisah. Tapi awak fikirlah sendiri. Dengan air-cond rosak, tingkap sebelah penumpang tak boleh buka, macam mana nak naik?” Hafiya merungut. Ada sahaja yang tidak kena di matanya.
“Itu saja?”
“Itu saja awak cakap? Eh, helo! Saya tak suka warna kuning, tahu tak?!”
Ariq mahu menghamburkan tawanya. Hanya kerana kereta Kancilnya berwarna kuning, Hafiya menolak untuk naik bersama. Tapi, apalah dayanya. Hafiya bakal isterinya, sudah tentu dia perlu melatih Hafiya untuk hidup dengan cara hidupnya. Guna kereta Kancil, kadang-kadang naik lorinya yang besar gedabak, duduk di bilik kecil dan makan-makanan yang biasa sepertinya. Jika tidak sekarang, bila dia mahu melatih Hafiya?
“Okey, untuk kali ini saja. Aku akan baiki air-cond dan tingkap tu. Pasal warna kereta itu...” Ariq terhenti. Kepalanya digaru.
“Aku tak janji. Tapi, kalau ada duit lebih, aku spray serupa dengan warna Nissan Skyline kau tu. Boleh?” Jari telunjuk Ariq pantas menuding ke arah Nissan Skyline Hafiya yang berwarna merah hati itu.
Hafiya mencebik tanda belum berpuas hati. Namun, dia diam. Tiada tanda mahu membalas kata-kata Ariq. Kasihan pula dia melihat wajah Ariq yang seolah-olah berharap.
“Tapi, tak salah kan kalau naik kereta saya saja?” balas Hafiya masih belum berputus asa.
“Tak salah. Siapa cakap salah? Jadi, tak salah juga untuk kau naik kereta Kancil aku tu.”
Hafiya menghentak kakinya. Ada saja yang dibalas oleh si Ariq ni! Hafiya akhirnya mengalah. Beg tangannya dicapai, segera dia bergerak menghampiri kereta Kancil Ariq yang berwarna kuning terang itu. Bila tangannya ingin membuka pintu, Ariq terlebih dahulu membantunya.
“Pintu sebelah ni memang tak boleh kasar-kasar kalau nak buka.”
“Rosak juga ke?” Hafiya seolah-olah tidak percaya.
“Nampaknya, macam itulah.”
Menggeleng kepala Hafiya dibuatnya.
“Baik buang dalam laut ajelah kereta ni!” omel Hafiya geram.
Ariq hanya senyum. Selepas menutup kembali pintu kereta Hafiya, dia terus ke tempat duduk pemandu. Enjin kereta dihidupkan dan dia mula keluar dari pekarangan rumah banglo Tan Sri Arman.
“Tak elok kau suruh aku buang kereta ni. Kereta ni aku beli cash tau. Murah saja. Second-hand. Sebab aku memang tak suka bayar installment. Kiranya, kereta ni merupakan hasil titik peluh petama akulah. Jadi, memang tak boleh nak buang walau tak boleh berjalan sekalipun. Minta maaflah ya.”
“Ada saya tanya ke?” Sinis soalan Hafiya. Sudahlah dia kepanasan. Terpaksa menyejukkan diri dengan kipas tangan sahaja. Ariq pula sibuk bercerita tentang asal usul keretanya.
“Kan tadi kau suruh aku buang.”
Hafiya mendengus geram. Kalau kereta Kancil ini memang keretanya, sudah lama timbang besi buruk agaknya. Nasib baik bukan dia yang punya.
“Mana jalan nak pergi butik tu?” soal Ariq, malas untuk mengganggu mood Hafiya yang sememangnya tidak elok saat itu.
“Jalan depan sikit. Lepas lampu isyarat tu belok kiri. Hollywood Bridal.”
Setelah hampir 20 minit memandu, kereta Kancil Ariq diparkir kemas di hadapan Hollywood Bridal yang terletak di Kajang. Hafiya keluar dari kereta tersebut setelah Ariq membuka pintu kereta itu untuknya.
“Mana pula Kak Lin ni?” Hafiya menilik jam di tangannya.
“Maaf, Fiya. Akak lambat. Ada hal di ofis tadi.” Amalin muncul tiba-tiba dari arah belakang. Terkocoh-kocoh Amalin berlari menghampiri cucu majikannya itu.
“Jom, kak. Dah lambat ni.” Hafiya cepat melangkah.
“Bakal suami Fiya...” Amalin mergerling sedikit ke arah Ariq yang diam dari tadi.
Hafiya tidak jadi melangkah. Lupa pula nak kenalkan Ariq dengan Amalin. “Ni, Ariq. Ariq, kenalkan, permbantu peribadi atuk, Amalin. Panggil saja Kak Lin.”
Ariq senyum sambil tunduk tanda hormat. Manis juga wajah gadis yang bernama Amalin itu. Bertudung dan berkarisma.
“Jom, Kak Lin.” Hafiya terus melangkah tanpa memperdulikan Ariq dan Amalin yang mengejar langkahnya.
Hafiya membuka pintu kaca butik Hollywood Bridal. Kedatangan mereka disambut oleh Mr. Kay, salah seorang pereka pakaian pengantin yang terkenal di dalam kalangan artis dan orang-orang kenamaan.
Hi. Miss Fiya from Arman Group?” Hafiya hanya mengangguk dan terus mengambil tempat di sebuah kerusi.
Hi, Mr. Kay. Dah siap ke baju yang ditempah hari tu? Itulah bakal pengantin baru tu. Cik Fiya dan Encik Ariq,” kenal Amalin dengan ramah.
Mr. Kay atau nama sebenarnya Kamil terus bergerak ke arah Hafiya dan Ariq. Pantas saja tangan lelaki itu mencapai lengan Ariq.
Wow! Abang sado you all! Mengancam! I like...” Mr. Kay sudah seperti ulat bulu naik daun.
Hafiya hanya ketawa kecil mendengarnya. Mahu tak sado kalau sudah hari-hari angkat tong gas. “Janganlah nak sado-sado sangat, Mr. Kay. Baik you ambil ukuran dulu. Apa-apa nanti boleh ubah saja.”
Ariq menggaru kepalanya. Ini pertama kali dia buat baju di butik. Butik mahal pula tu. Kekok sedikit rasanya.
“Yalah! Miss, you boleh cuba baju yang I dah sediakan tepi sana. Pembantu I akan tolong you. Dan you abang sado, guna fitting room sebelah sana. Ke nak share satu fitting room?”
“Asingkan!” Serentak Ariq dan Hafiya menjawab, membuatkan kedua-duanya saling berpandangan.
“Alahai, so sweet! Macam gula-gula kapas. Memanglah kena asing fitting room sebab you all tak kahwin lagi. Haram! Saja saja nak test tadi.”
Hafiya dan Ariq sama-sama mendengus geram.
“Memang nak kena juga si sotong ni!” Sempat Ariq merengus sebelum meloloskan diri ke dalam bilik persalinan. Sempat lagi mata Ariq memandang ke arah Hafiya yang berlalu dengan baju pengantinnya. Bila pandangan mereka bertaut, Hafiya ukir senyum.

Mr. Kay membantu Ariq memperkemaskan keris di pinggang. Baju pengantin berwarna putih bersih kena betul dengan Ariq yang berkulit sawo matang. Bentuk tubuh badan Ariq nampak segak bila mengenakan sepersalinan baju pengantin ala-ala zaman kesultanan Melayu Melaka itu.
“Eh, Lin. Kena benarlah baju ni. Handsomenya abang sado kita ni!” puji Mr. Kay.
“Gila tak kacak. Pilihan Tan Sri tau.” Amalin membalas gurauan Mr. Kay.
“Pengantin perempuannya mana...”
Tidak sempat ayat Mr. Kay habis, pintu bilik persalinan sebelah kanan terbuka, tiga pasang mata mula terpandang Hafiya yang baru keluar dari bilik persalinan tersebut.
Tergamam Ariq seketika. Hafiya begitu cantik bila mengenakan baju pengantin labuh berwarna putih tersebut. Terlalu cantik sehingga Ariq tidak mampu mengalihkan matanya. Cantiknya...
“Err, tapi Mr. Kay... kasut ni...” Hafiya rasa tidak selesa bila kasut tumit tingginya mula memijak-mijak kaki baju pengantinnya. Entah di mana silapnya, kakinya tersalah pijak, hinggalah dia merasakan dirinya mula melayang.
Namun, ada satu lengan yang menahannya daripada jatuh tersembam ke lantai. Bila Hafiya membuka mata, wajah Ariq mengisi ruang penglihatannya. Kelu lidahnya. Bibirnya seolah-olah terkunci dengan pandangan mata Ariq yang berlainan sungguh saat itu.
Ariq dan Hafiya sama-sama tersedar bila pancaran lensa kamera mengena wajah mereka. Rupa-rupanya Mr. Kay sempat ambil gambar. Itulah gambar pertama mereka bersama!

HAFIRDA menghempas fail yang berisi laporan kewangan di hadapan suaminya. Membuak marah Hafirda tika itu. Jika perkara tersebut sampai ke telinga datuknya, lumat dia dikerjakan. Fail tersebut diserahkan kepada suaminya sebagai tanda meminta penjelasan. Di mana lesapnya wang syarikat sebanyak seratus ribu ringgit yang sepatutunya disalurkan kepada cawangan mereka di Shah Alam? Suaminya pula hanya bekerja sambil lewa!
“Jelaskan pada Fida, mana pergi wang sebanyak seratus ribu ringgit tu?” Hafirda bertanya tegas.
Shahrul hanya buat muka seolah-olah tiada apa yang berlaku. Fail di tangannya pula hanya dipandang sepintas lalu dan diletakkan semula di atas meja.
“Laporan tu salah. Nanti abang arahkan Rozi buat lagi. Fida jangan risau.” Tenang sahaja Shahrul menjawab. Yang berapinya adalah Hafirda.
“Abang, kalau atuk tahu tentang ni, matilah kita. Baik abang terus terang dengan Fida, abang ke yang ambil duit tu?”
Shahrul sudah mencerlung memandang isterinya itu. Merah matanya membalas pandangan tajam Hafirda. “Awak tuduh abang ke?”
Hafirda menarik nafas sebelum menjawab semula pertanyaan suaminya. “Fida tak tuduh abang. Cuma, Fida takut kalau atuk dapat tahu. Abang dengan Fida kena tau nanti.”
Shahrul sudah mencapai fail dari atas meja dan dihempas kuat. Terkejut Hafirda dibuatnya.
“Ini semua salah Fida tau. Kalau Fida tak cuai masa kat hospital hari itu, kita takkan ketakutan macam ni!” Shahrul menengking marah.
“Jadi, betullah abang ambil duit tu?” teka Hafirda.
“Ya! Memang abang ambil. Awak nak repot polis? Buatlah! Sebab semua ni gara-gara kecuaian awak. Abang suruh awak letak habis ubat tu, awak tak dengar. Sekarang, datuk awak sihat walafiat di rumah sana. Dan, tak lama lagi, dia akan bawa cucu dan budak hingusan tu datang ke sini. Padanlah dengan muka kita!”
Hafirda diam mendengar amarah suaminya. Ada betulnya seperti yang dikatakan oleh suaminya itu. Entah esok atau lusa, pasti datuk akan membawa Ariq ke Arman Group dan diberikan jawatan besar. Hafiya pula akan kembali ke tempatnya sebagai pengurus operasi di Arman Group. Dia dan ibu saudaranya akan terus disisihkan.
“Jadi, Fida jangan jadi bodoh. Bila ada kesempatan, kita kena guna. Termasuk...”
“Ambil duit syarikat?” potong Hafirda.
Shahrul terus bergerak menghampiri isterinya. Tangan Hafiya diraih dan digenggam kemas.
“Fida, duit tu ada. Abang simpan. Takkan ada sesiapa yang tahu. Andai apa-apa terjadi pada kita, duit tu ada. Fida jangan risau.”
Hafirda diam mendengar pengakuan suaminya.
“Sekarang Fida tak perlu risau soal ni. Tahulah abang nak uruskan. Cuma, sekarang kita kena fikir macam mana nak halang si pemandu lori tu daripada masuk dalam keluarga kita?!”
“Maksud abang?”

“Kita akan halang perkahwinan mereka.”

No comments:

Post a Comment