Sunday, November 1, 2015

Pandu Arah Ke Hati(Bab 9)

Bab 9

TAN SRI ARMAN memandang Hafiya. Dia tahu sukar untuk Hafiya menerima keputusannya ini. Tapi, dia perlu lakukan demi cucunya itu. Hanya Ariq yang dapat melindungi cucunya itu. Ada sesuatu dalam diri anak muda itu, membuatkan Tan Sri Arman begitu mempercayai Ariq.
“Tuk, atuk baru saja kenal dengan dia. Kenapa atuk perlu buat keputusan terburu-buru?” Hafiya masih tidak berputus asa untuk memujuk.
Dia harap Tan Sri Arman berlembut hati dan menarik balik keputusannya itu. Hafiya duduk di tepi katil Tan Sri Arman, sambil jemari lembutnya menggenggam erat tangan datuknya itu.
“Kalau Fiya sayangkan atuk, Fiya kena ikut cakap atuk. Atuk tak nak Fiya terluka nanti.”
Hafiya menggeleng dan mengeluh lembut. Kenapa dia perlu terluka? Siapa yang akan melukakannya? Bahkan perkahwinan ini itu yang akan melukakannya.
“Tuk, Fiya tak cintakan dia. Kenal pun tak dengan dia, tuk. Macam mana Fiya nak duduk serumah dengan orang yang Fiya tak kenal?” luah Hafiya bersungguh-sungguh. Puas dia fikir kenapa datuknya itu begitu memaksa perkahwinan ini sedangkan dia dan Ariq sekali pun tidak bersetuju.
“Cinta bukan isunya, Fiya.”
Hafiya memicit dahinya yang mula pening. “Kami takkan bahagia, tuk. Fiya masih tak boleh lupakan arwah. Fiya tak nak mengkhianati cinta arwah. Tolonglah faham hati dan perasaan Fiya ni tuk.”
Tan Sri Arman membawa jemarinya menyentuh pipi Hafiya yang mula dibasahi air mata. Hatinya turut merasa kasihan. Namun, dia tidak boleh lemah dengan tangisan itu. Dia lebih rela Hafiya menangis sekarang daripada menangis di kemudian hari. Jika soal cinta yang menjadi persoalannya, Tan Sri Arman yakin yang Ariq dan Hafiya pasti akan saling mencintai. Ariq baik budaknya. Tentu tidak susah untuk cucunya itu memupuk rasa cinta.
“Atuk pun nak minta daripada Fiya supaya lupakan arwah. Dia dah tiada, Fiya. Kita yang hidup ni kena teruskan hidup. Atuk yakin, perkahwinan ini akan sembuhkan luka Fiya tu,” ujar Tan Sri Arman penuh yakin.
Air mata Hafiya semakin deras mengalir. Tidak semudah itu untuk dia melupakan lelaki yang teguh bertakhta di hatinya. Nizamlah yang mengajarnya erti cinta dan rindu. Nizam adalah cinta pertamanya.
“Fiya, atuk nak minta maaf kalau permintaan ni membebankan Fiya. Tapi percayalah, atuk buat semua ni demi Hafiya. Dan, Ariq dah pun setuju.”
Hafiya terus memandang datuknya. Ariq setuju?
“Apa tuk? Dia setuju?” Membuntang mata Hafiya. Rasa marah mula menguasai dirinya kini.
Tan Sri Arman hanya mengangguk.
Hafiya pula menggeleng. Tidak! Perkahwinan ini tidak boleh terjadi. Dia harus hentikan perkahwinan mengarut ini!
“Fiya tak nak, tuk!” bantah Hafiya dengan suara yang sedikit meninggi.
“Hafiya...”
Hafiya merenggangkan pegangan. Dia bangun dari katil datuknya.
“Fiya nak ke mana?” soal Tan Sri Arman apabila melihat Hafiya sudah mengatur langkah.
“Fiya akan hentikan perkahwinan ni!” Hafiya terus berlalu tanpa menoleh sedikit ke arah datuknya.

Ariq memetik gitar. Penuh rasa dia mendendangkan lagu nyanyian kumpulan Mojo. Roman Cinta. Antara lagu kegemarannya. Jasad dan badannya berada di ruang kaki lima tersebut, namun jiwanya hanyut bersama rasa yang tidak bertepi. Keputusan mengahwini Hafiya sudah dimaklumkan kepada keluarganya. Ternyata ibu dan ayah terkejut dengan keputusannya yang tiba-tiba itu. Walaupun sedikit kecewa, namun ibu tetap menerima keputusan mengejutnya itu.
Tiba-tiba sepasang mata itu terpandang susuk tubuh yang sejak kebelakangan ini begitu kerap bermain di ruang matanya. Ya, dialah gadis itu. Hafiya! Jika diizinkan Allah, dialah gadis yang akan bergelar isterinya.
Ini bukan pertama kali dia melihat gadis itu di sini. Hafiya juga merupakan pendengar setianya di sini. Namun riak pada wajah itu mendatangkan getar di hatinya. Adakah berita tentang persetujuannya sudah sampai ke telinga Hafiya? Ariq menutup kejap matanya. Mungkin Hafiya akan membencinya kerana tidak menentang keras perkahwinan ini. Maafkan aku Hafiya. Kerana aku juga ada sebab untuk tidak menolak jodoh kita.
Setelah lagu habis dimainkan, Ariq tunduk tanda berterima kasih dengan pengunjung yang sudi memberi sedikit sumbangan kepadanya. Itulah kebiasaan yang dia lakukan setiap kali habis bernyanyi. Tidak lama kemudian, Ariq merasakan getar di dalam poket seluarnya. Telefon bimbit dikeluarkan. Membuntang biji matanya melihat sebaris nama itu. Hafiya!
Ariq terus menoleh ke arah Hafiya yang masih melekapkan telefon pintarnya di telinga. Ariq mula panik. Pantas tangannya menukar profil telefonnya ke silent. Bila panggilan pertama tidak berjawab, Hafiya menghubunginya semula. Ariq semakin cemas dibuatnya.
“Eh, Cik Nissan Skyline?”
Serta-merta Ariq menoleh demi mendengar suara yang menegur dari belakangnya. Man Acong! Ariq menggeleng. Terbongkarlah tembelangnya hari ini.
“Err, awak kawan Ariq, kan?” soal Hafiya teragak-agak.
“Ya, sayalah. Man Acong, panggil saja Man.” Man Acong menjawab ramah.
Hafiya menghembus nafas lega. “Saya nak jumpa Ariq. Dia ada? Saya call dia dari tadi tak dapat.”
Terkebil-kebil mata Man Acong.
“Ariq? Dia bukan...” Serentak itu Man Acong menoleh ke belakang, melihat Ariq yang membelakangkan wajahnya. Man Acong garu kepala. Pelik!
“Dia apa?” Hafiya tidak sabar.
“Err...” Wajah Hafiya dan Ariq yang membelakangi mereka dipandang silih berganti. Man Acong mula terhidu sesuatu.
“Dia... dia tak ada. Balik kampung rasanya. Kenapa?” tanya Man Acong sambil tersengih-sengih.
“Saya nak sangat jumpa dia. Awak tolong bagi tahu dia supaya angkat call saya. Penting!” Hafiya memberi arahan tegas dengan wajah yang langsung tiada senyuman.
“Penting?”
“Ya, dia tahu. Sebab dialah semua ni berlaku,” balas Hafiya pantas. Matanya beralih pula kepada penyanyi jalanan yang hanya tunduk membetulkan gitarnya.
“Cik selalu datang sini ke?” Man Acong menukar topik perbualan.
“Hah? Tak adalah, kadang-kadang. Sebab saya suka dengar penyanyi tu nyanyi.”
Man Acong sudah sengih sampai ke telinga. Dia mengerling sedikit ke arah Ariq yang berpura-pura tunduk itu. Tahulah dia kini yang Ariq menyembunyikan identitinya sebagai penyanyi jalanan daripada Hafiya.
“Oh, suka dengar dia nyanyi. Apa kata cik request satu lagu? Memang dia nyanyi punyalah!” Man Acong sengaja bercakap nyaring supaya suaranya mampu didengar oleh Ariq yang berada tidak jauh daripada mereka.
Hafiya ketawa kecil. “Boleh ke?”
Man Acong mengangguk.
“Apa saja lagu. Kalau untuk gadis cantik macam awak ni, memang dia akan nyanyi.” Man Acong menyakat lagi.
Hafiya senyum. Dia bergerak ke depan, menghampiri Ariq. Hafiya tunduk sekejap sebelum menggamit penyanyi jalanan tersebut.
“Boleh nyanyikan lagu tadi tak? Roman Cinta,” pinta Hafiya lembut.
Ariq yang mendengar hanya mengangguk. Sempat dia melihat Hafiya meletakkan duit not RM50 ke dalam bekas gitarnya.
Hafiya berdiri sambil menghela nafas perlahan.
“Sayang, lagu ni untuk awak” Hafiya memejam matanya sambil memeluk tubuh.
Ariq sempat mendongak bila panggilan sayang itu keluar dari mulut Hafiya. Dia tahu siapa yang Hafiya maksudkan. Sudah tentu Hafiya tujukan lagu tersebut untuk arwah Nizam. Man Acong di belakang sudah senyum mengejek. Ariq malas untuk ambil peduli. Gitar cabuknya terus dipetik. Lagu nyanyian kumpulan Mojo kedengaran lagi. Dan kali ini, lagu ini dia tujukan khas buat Hafiya. Biarpun, Hafiya tidak pernah sekalipun memandangnya.

“KAKAK ipar!” Man Acong tiba-tiba menjerit.
Hampir tersedak Ariq dibuatnya. Bukan apa, sejak diberitahu akan persetujuannya mengahwini Hafiya, gengnya sudah membahasakan Hafiya sebagai kakak ipar. Sekejap! Man Acong panggil kakak ipar? Pantas kepala Ariq berpaling ke belakang. Terbuntang biji matanya melihat Hafiya sudah berpeluk tubuh tidak jauh dari belakangnya. Mimpi indahkah dia semalam kerana melihat Hafiya berada di tempat lepaknya ini?
Man Acong sudah tersengih. Abang Imam, Salleh dan Basri sudah saling berpandangan. Masing-masing meneka siapakah gadis yang mengenakan kasut tumit tinggi dan dipadankan dengan gaun labuh berwarna biru tua itu?
“Ariq, dia ke minah Nissan Skyline kau tu?” Abang Imam tiba-tiba bertanya dengan suara separuh berbisik.
Ariq hanya mendiamkan diri.
Hafiya semakin mendekat dan akhirnya berdiri hampir di belakang Ariq.
“Kita perlu berbincang.” Hafiya ucap sepatah.
Ariq pula diam tanpa sebarang kata. Pandangan Hafiya tepat ke arah Ariq. Sedikit pun tidak mempedulikan kehadiran teman-teman Ariq di situ.
“Kakak ipar, minumlah dulu. Abang ipar yang belanja.” Salleh tiba-tiba menyakat.
Melopong mulut Hafiya mendengarnya. “What?! Kakak ipar? Eh, sejak...”
“Kita bincang kat depan tu.” Ariq tanpa berlengah terus menarik beg tangan Hafiya, terheret Hafiya sekali. Mahu Perang Dunia ke-3 nanti jika dibiarkan teman-temannya menyakat Hafiya.
Ariq menarik Hafiya ke satu tempat yang lengang. Senang untuk mereka berbincang nanti. Dia sedia maklum perkara apa yang akan dilontarkan oleh Hafiya. Tentu sahaja tentang perkahwinan mereka.
“Lepaslah!” Hafiya meronta kuat.
“Okey, relakslah!” Ariq mengangkat kedua-dua belah tangan tanda mengalah.
“Awak suruh saya relaks bila mereka semua panggil saya kakak ipar? Eh, excuse me! Bila masa saya kahwin dengan abang dia orang ni?!” Hafiya menengking marah.
Sempat Ariq memandang keadaan sekeliling bila ada pengunjung yang lalu-lalang mula mencuri pandang ke arah mereka. Ariq geleng kepala. Hafiya memang seorang gadis yang degil. Berbincang dengan nada suara yang besar begini bagi Ariq ini bukanlah perbincangan. Ini cari gaduh namanya! Namun begitu, matanya masih leka memandang keindahan ciptaan Allah di depannya.
Ya, Hafiya sememangnya gadis yang cantik. Tidak berhijab, rambut yang berwarna perang kelihatan cantik dilepaskan begitu saja. Alangkah bagus jika rambut yang cantik itu ditutup dengan tudung dan hanya menjadi santapan mata si suami sahaja! Sempat Ariq mengkritik dalam diam.
“Helo! Awak berkhayal sampai mana ni?” Hafiya menanyangkan kedua-dua belah tangannya.
Ariq mula tersedar. Cepat-cepat dia mengalihkan pandangannya.
“Suka hatilah! Cuma saya nak ingatkan awak. Tolong bagi tahu kawan-kawan awak tu supaya berhenti panggil saya kakak ipar. Tak lucu tahu tak?!”
“Shhh...”Ariq tanpa sedar meletakkan jarinya ke bibir Hafiya.
Terkebil-kebil Hafiya dibuatnya. Untuk seketika mereka saling berpandangan. Hafiya yang tadi garang seperti harimau seolah-olah jinak dengan tingkah Ariq itu.
“Ehem!” Ariq berdeham, pantas melepaskan tangannya.
Hafiya cuba menyembunyikan rasa malunya.
“Kau kalau bercakap perlahan sikit boleh tak?! Satu kaki lima ni boleh dengar suara kau tahu.” Ariq sudah bersuara.
Hafiya mendengus geram. Ariq sudah dijelingnya tajam. “Baik saya terus terang saja. Tujuan saya ke sini kerana saya nak awak jumpa datuk saya dan bagi tahu yang awak tak nak kahwin dengan saya. Habis cerita. Fullstop!”
Ariq angkat kening. “Lepas tu?” soal Ariq ringkas.
“Lepas tu, kita jangan jumpa lagi sampai bila-bila.” Hafiya sudah bercekak pinggang. Matanya tajam menikam mata Ariq yang dari tadi tidak lepas memandang ke arahnya.
Ariq angguk kepala. Tangannya sudah disilangkan ke dada. Wajah putih Hafiya terus dipandang. Ternyata Hafiya lebih cantik bila marah.
“Semudah tu?” Ariq menyoal lagi.
“Yalah! Bukannya susah sangat pun.”
“Kalau kau rasa mudah sangat, kau sajalah yang jumpa atuk dan batalkan perkahwinan ni. Habis cerita.”
Membesar mata Hafiya memandang Ariq yang semudah ABC melawan cakapnya.
“Kalau benda tu senang bagi saya, dah lama saya buat. Tak perlu saya nak datang tempat macam ni dan minta tolong awak,” omel Hafiya.
Ariq senyum sedikit. Kasihan Hafiya. Dia tidak tahu apa yang Tan Sri Arman lakukan adalah demi kebaikannya.
“Kenapa pula awak nak senyum? Seronok nak kahwin dengan saya?” kata Hafiya sinis.
Semakin lebar senyuman Ariq.
“Kalau aku kata aku seronok, kau nak buat apa?” balas Ariq dengan senyuman nakal di bibir.
“Hesy! Susahlah bercakap dengan orang mental macam awak ni!”
Ariq diam dan mula berwajah serius. Pelukan pada tubuhnya dileraikan. Perhatiannya kini ditumpukan sepenuhnya kepada gadis itu. Bagaimana pula untuk dia meyakinkan Hafiya andai Tan Sri Arman sendiri memintanya merahsiakan perkara sebenar?
“Hafiya Binti Alias?” panggil Ariq.
Hafiya mula kerut dahi. Dah kenapa pula pemandu lori treler ini memanggilnya dengan nama penuh?
“Aku nak tanya kau satu soalan.”
Hafiya malas menjawab. Hanya jelingan tajam yang diberikan kepada Ariq.
“Kau percaya pada jodoh dan takdir Allah tak?” tanya Ariq bersungguh-sungguh. Setiap genap wajah Hafiya ditilik.
Diam sekejap Hafiya dibuatnya.
“Kalau kau percaya, kau kena yakin. Kalau dah memang jodoh kau tertulis dengan aku dan bukan dengan lelaki lain, kau nak lari sejauh mana sekalipun, kau akan kembali pada aku juga. Tapi, kalau bukan jodoh kita, biar kita saling mencintai sekalipun, aku takkan dapat memiliki kau juga, Hafiya Binti Alias.” Ariq berucap panjang lebar.
Hafiya diam tidak berkutik. Namun riak wajahnya jelas berubah.
“Aku tak mampu nak tolak takdir Allah andai aku dipertanggungjawabkan untuk menjaga kau.” Ariq menyambung lagi.
“Awak dah habis cakap?” tanya Hafiya pantas. “Sekarang giliran awak untuk dengar apa yang saya nak cakap. Saya tak cintakan awak. Perkahwinan ini hanya akan membuat awak dan saya menderita saja. Saya tak boleh hidup dengan orang yang saya tak cinta. Dan, awak nak ke jadi suami yang dayus sebab menbiarkan isteri awak ni mencintai lelaki lain?”
Soalan Hafiya tidak berjaya merenggut ketenangan pada wajah Ariq.
“Kau cintakan lelaki lain?” soal Ariq pula.
Hafiya angguk dengan pantas.
Ariq diam namun masih memandang ke jauh ke dalam mata Hafiya. “Aku tak peduli siapa yang kau cinta sekarang. Sebab aku tahu, kau akan cintakan aku jugak. Nanti. Suatu hari nanti.”
Hafiya ketawa sinis bila mendengar kata-kata Ariq. Yakin benar bunyinya. “Susahlah bercakap dengan orang yang tak faham bahasa macam awak ni. Macam nilah, biar saya jelaskan pada awak yang saya tak nak kahwin. Bukan dengan awak dan bukan dengan lelaki lain! Faham?”
“Aku serahkan pada Dia, Hafiya.”
“Kalau awak dengan datuk berkeras nak teruskan juga perkahwinan ni, saya akan lari. Awak jangan ingat saya tak berani nak buat.”
Ariq diam. Serta-merta wajahnya berubah riak.
“Larilah. Kau lari saja sejauh mana kau nak lari. Tapi kau kena ingat, kau bukan tinggalkan aku. Tapi, kau tinggalkan datuk kau. Baguslah, jadi orang yang pentingkan diri sendiri!” Ariq terus mengatur langkah untuk berlalu daripada Hafiya.
Terkebil-kebil Hafiya dibuatnya. Kata-kata Ariq itu menusuk jauh ke dalam hatinya. Selang beberapa saat telefon bimbit Hafiya berbunyi. Cepat Hafiya menyambutnya.
“Apa?! Baiklah, saya datang sekarang!” Hafiya dengan cemas memasukkan telefon ke dalam beg tangannya.
“Kenapa?” Ariq pantas bertanya apabila melihat wajah Hafiya yang tiba-tiba pucat.
Hafiya diam sekejap sebelum menjawab pertanyaan Ariq. “Atuk, atuk tiba-tiba susah bernafas...”

No comments:

Post a Comment