Bab 12
DENGAN langkah perlahan, Hafiya merapati kubur arwah Nizam yang terletak tidak
jauh dari bahu jalan. Hatinya yang kian sebak lantas mengundang deraian air
mata di pipinya. Majlis risik sudah menjadi majlis pertunangan. Tidak sampai
sebulan dia mengenali lelaki bernama Ariq yang kini sudah bergelar tunangannya.
Ariq, si pemandu lori itu adalah tunangnya.
Biarpun sukar
untuk Hafiya menerima hakikat yang berada di depan matanya kini, tetapi cincin
bermata satu di jarinya membuktikan segalanya. Ibu Ariq sendiri yang
menyarungkan cincin tersebut di jari manisnya.
Sampai saja dia
hadapan kubur arwah Nizam, Hafiya bersimpuh. Rumput hijau yang mula tumbuh
dicabut. Batu nisan disentuh. Tertera nama Nizam di atas batu tersebut.
Bagaikan sebuah mimpi ngeri bila dia kehilangan Nizam dalam sekelip mata. Lalu
cincin tunang yang melekat kemas di jari manisnya dipandang.
“Zam, hari ni hari
pertunangan Fiya.” Hafiya tersenyum hambar. Namun digagahkan diri untuk
meluahkan isi hatinya.
“Fiya akan
berkahwin bulan depan. Dengan lelaki pilihan atuk. Dia yang selamatkan atuk. Atuk
pun suka sangat dengan dia. Fiya terima dia sebagai suami Fiya demi atuk.” Air
mata Hafiya tiba-tiba mengalir. Satu per satu episod kisahnya diceritakan
kepada Nizam seolah-olah lelaki itu berada di hadapannya.
“Maafkan Fiya
sebab terpaksa mungkir janji kita. Fiya terpaksa. Fiya kena teruskan hidup demi
atuk. Fiya janji, takkan ada sesiapa yang akan gantikan tempat Zam di hati Fiya.
Hanya akan ada Zam seorang di sini.” Hafiya menekan dadanya yang terasa sebak
tiba-tiba. Air matanya semakin deras mengalir.
Kenangan dan
janji-janji yang telah terpatri antara dia dan Nizam semakin menggoncang tembok
ketabahannya. Jika dia tahu ini adalah takdir yang tertulis buatnya, mustahil
dia akan membiarkan dirinya mencintai Nizam dan akhirnya hanya mampu meratapi
pemergian lelaki itu.
Hafiya menundukkan
wajahnya. Cermin mata hitam terus dipasang ke mata. Menutupi matanya yang
sedikit sembap. Air mata yang masih bersisa terus diseka. Selepas membaca surah
Yasin dan beberapa ayat al-Quran, Hafiya bangun dan berlalu meninggalkan kubur
arwah Nizam.
“Fiya pergi dulu.
Fiya akan sentiasa doakan Zam,” ujar Hafiya sebelum terus berlalu.
Sebaik sahaja memasuki
kereta, telefom bimbitnya dicapai. Tergamam seketika Hafiya apabila melihat
gerangan yang menghantar mesej buatnya.
Selamat bertunang.
Semoga Allah memberkati ikatan kita. - Ariq
Hafiya diam.
Setiap bait kata-kata itu hanya dipandang kosong. Perlu ke dia membalas mesej
tersebut?
Terima kasih.
Butang send terus ditekan. Malas untuk
melengahkan masa, Hafiya menghidupkan enjin kereta. Tidak sampai beberapa minit,
telefon pintarnya berbunyi. Kali ini bukan mesej yang datang, tapi panggilan
daripada encik tunang. Sekali deringan. Hafiya masih belum menjawab. Bila Ariq
menelefon buat kali kedua barulah Hafiya menjawab panggilan tersebut. Namun,
kedengaran agak dingin!
“Nak apa? Saya
tengah memandu ni.” Hafiya menekan kasar.
“Aku pun tengah
memandu. Aku pergi Seremban. Mungkin lusa baru balik,” jawab Ariq dari hujung
sana.
“Kenapa nak bagi
tahu saya pula? Awak pergi saja mana awak nak pergi. Saya tak ambil kisah pun.”
Hafiya masih kekal dingin.
“Kau memang tak
ambil kisah. Tapi, kalau atuk tanya pasal aku dengan kau, sekurang-kurangnya
kau tahu nak jawab apa,” tempelak Ariq.
Hafiya diam. Ariq
memang sentiasa ada modal untuk menyindirnya.
“Ibu aku kata, kau
cantik. Cantik sangat,” sambung Ariq tiba-tiba.
Hafiya terpanar.
Ya, tadi ibu Ariq yang menyarungkan cincin di jarinya. Ibu Ariq sempat memeluk
dan mencium dahinya. Hafiya jadi rindu tiba-tiba kepada arwah mummy dan daddynya.
“Terima kasih.”
Hafiya menjawab seringkas mungkin.
Bila status mereka
berubah begini, ada rasa kekok yang bertandang. Untuk seketika hanya senyap
yang mengisi ruang antara mereka. Ariq mahupun Hafiya langsung tiada tanda mahu
memanjangkan perbualan.
“Okeylah, kau kan
tengah memandu. Hati-hati. Assalamualaikum.”
Belum sempat
Hafiya menjawab, Ariq sudah memutuskan talian. Tersenyum sendiri Hafiya
dibuatnya.
LIDIA dan Hafiya sama-sama merehatkan diri setelah penat bertarung dalam
permainan badminton. Itulah aktiviti mereka untuk menghilangkan tekanan setelah
penat berkerja. Gelanggang badminton menjadi tempat mereka melepaskan segala-galanya.
“Huh! Penatnya. Dah
lama kut kita tak bermain badminton ni,” ujar Lidia. Air mineral botol besar
terus diteguk. Menghilangkan rasa dahaganya.
Setelah hampir
setengah jam menghilangkan peluh, Hafiya dan Lidia duduk berehat di sebuah
kerusi yang disediakan khas.
“Lama juga kut,
dekat nak dua bulan rasanya.” Hafiya turut meneguk habis air mineralnya.
“Hilang tekanan
aku. Kau tahulah, kakak kau tu. Ada saja salah aku.” Lidia meluahkan perasaan
selama hampir sebulan bekerja mengantikan tempat Hafiya buat sementara waktu.
Bukan Lidia tidak
tahu yang Hafirda memang anti dia sejak dulu lagi. Sejak mula lagi, Hafirdalah
orang yang menentang kuat bila dia dibawa masuk oleh Hafiya ke Arman Group.
Hafiya senyum.
Bahu Lidia dipaut.
“Maaf ya sebab
susahkan kau. Aku janji, lepas saja aku kahwin nanti, aku akan masuk ofis
semula,” balas Hafiya.
“Aku ni tak kisah,
Fiya. Selagi aku mampu, aku akan tolong kau. Tapi, kakak kau tu... memang seram
aku dibuatnya. Lebih-lebih lagi kalau bergabung dengan mak su kau,” adunya
lagi.
Galak Hafiya
ketawakan Lidia.
“Hesy, kau ni. Tak
elok gelakkan aku. Resign baru tahu.”
Lidia sudah menarik muncung itiknya.
“Alah, gurau saja
pun. Kalau kau resign, aku pun hantar
surat resign tahu.”
“Aku gurau
sajalah! Tapi, kau kena cepat sikit masuk ofis, taklah aku sunyi sangat.
Boringlah kalau kau tak ada.”
Hafiya senyum lagi
sambil membelek-belek telefon di tangannya. “Itu kau jangan risau, selepas saja
aku kahwin nanti, keesokan harinya terus aku masuk ofis.”
Tersedak Lidia
mendengarnya. Wajah sahabatnya itu terus dipandang pelik.
“Dah kenapa muka
kau macam tu?” Hafiya pula menyoal pelik.
“Aku tak salah dengar
kan bila kau kata kau akan masuk ofis awal? Eh, baru kahwin kut. Tak nak honeymoon ke, sayang?” Berkerut dahi
Lidia. Seperti masalah itu masalah besar baginya.
Tiba-tiba
terdengar Hafiya ketawa mengekek.
“Helo, Lia. Aku ni
bukan kahwin kerana cinta tahu. Tak ada maknanya nak honeymoon bagai.” Hafiya masih ketawa sakan.
“Kut ya pun. Si
Ariq tu tak nak honeymoon ke?”
“Entah.” Hafiya
jawab pendek.
“Entah? Itu saja
ke jawapan kau?”
“Dah tu? Kau nak
aku jawab apa? Nak aku pujuk si Ariq tu nak pergi honeymoon sama?” tanya Hafiya.
“Memang itulah
yang kau kena buat. Pasangan pengantin baru ni, paling kurang pun kenalah pergi
honeymoon. Tak romantiklah kau dengan
Ariq ni.”
“Cik Lidia, kalau
Ariq tu nak pergi honeymoon, dia
pergilah sorang-sorang. Aku tak kisah pun. Tak payah ajak aku.”
Mendengar itu, serta-merta
Lidia memukul perlahan bahu Hafiya.
“Aduh! Sakitlah,
Lia!” Hafiya menggosok-gosok bahu kanannya.
“Mana ada istilah honeymoon sorang-sorang. Kau ni betul ke
tidak?”
“Betullah. Kau
ingat aku nak pergi honeymoon dengan
dia ke? Tak nak aku!”
Lidia geleng
kepala. Pening memikirkan perangai sahabatnya itu. Memang degil!
“Kasihan Ariq...”
ujar Lidia tiba-tiba.
“Kenapa pula? Aku
ni yang patut kau kasihan. Aku ni kawan kau, bukan dia.”
“Yalah, kasihan
Ariq sebab dapat isteri degil macam kau ni!”
“Bakal isteri,
okey? Belum jadi isteri lagi.” Hafiya terus mencapai raket badmintonnya. Sempat
lagi dia menggamit Lidia supaya mengikutinya. 10 minit rehat sudah mencukupi.
Sebaik sahaja
Lidia memasuki padang, Hafiya terus mencapai bulu tangkis. Kuat dia memukul
bulu tangkis dan passing kepada
Lidia.
“Tak lama lagi,
kau tetap juga bergelar isteri dia.” Lidia membalas dan memukul kembali bulu
tangkis tersebut.
“Tak lama lagi tu
ada sebulan lagi. Sekarang aku single.
Bukan milik sesiapa.”
“Tapi kau kena
ingat, sekarang kau tu tunang Ariq!”
Bap!!
Hafiya tidak dapat menangkis serangan Lidia. Bulu tangkis jatuh ke tanah.
Hafiya berhenti, cuba mencari nafasnya yang kian tercungap-cungap. Wajah Lidia
terus dipandang. Hilang fokusnya bila mendengar tentang statusnya kini. Hafiya
memejam matanya. Ya, dia kini sudah bergelar tunangan orang!
“APA?” Bulat mata Hafiya memandang Ariq yang sudah berada di depan rumahnya.
Bermodal datuk sebagai jaminannnya, Ariq berani mengajaknya untuk balik ke
kampung keluarganya di Terengganu.
Hafiya mengurut
dadanya supaya dapat menenangkan dirinya yang tengah kepanasan saat ini. Hampir
seminggu tidak bersua dengan wajah itu, kali ini Ariq datang dengan tujuan yang
kononnya sangat penting. Balik ke kampung keluarganya!
“Kenapa?” Ariq
pelik.
“Kenapa awak
tanya? Kenapa tak bagi tahu awal yang awak nak bawa saya pergi jumpa keluarga
awak?” Hafiya melampiaskan rasa tidak puas hatinya.
“Kenapa pula?”
soal Ariq selamba.
Hafiya geleng
kepala.
“Saya tak nak
pergi. Bukan sekarang. Saya tak bersedia lagi,” putus Hafiya, dia terus
berlalu dari taman mini kecil yang terletak di sebelah kanan banglo datuknya.
“Hafiya, 2 dua
minggu lagi kau dengan aku akan berkahwin. Sedia macam mana lagi yang kau nak?”
“Ariq, awak boleh
tak jangan terlalu memaksa saya? Saya perlukan masa untuk terima semua ni. Segalanya
begitu cepat bagi saya. Boleh awak bayangkan yang tak sampai sebulan kita
kenal, awak dan saya terus bertunang. Dan, dua minggu lagi saya akan berkahwin.
Dengan awak, lelaki yang saya baru kenal. Awak fikir tak apa yang saya rasa?!”
Hafiya mula memberontak. Melampiaskan segala rasa yang bermain di mindanya
sejak dulu lagi. Biar Ariq tahu apa yang dia rasa saat ini.
Ariq diam tanpa
sebarang kata. Hanya panahan matanya saja lekat memandang Hafiya. Mata gadis
itu sudah mula berkaca. Terlalu memaksakah dia, andai dia hanya ingin
merapatkan lagi hubungannya dengan Hafiya? Tanpa berlengah, Ariq tunduk
mencapai kunci kereta Kancilnya. Sebelum berpaling sempat dia memandang kejap
wajah itu.
“Aku akan call kau. Pergi solat. Tenangkan diri
tu.” Ariq senyum hambar. Tanpa menunggu balasan daripada Hafiya, Ariq terus
berlalu.
Hafiya terduduk
sebaik sahaja Ariq pulang. Rasa menyesal mula bertandang. Terlalu berkasarkah
dia?
“Eh, Ariq dah
balik ke?” Mak Mah datang menyapa tiba-tiba besama sedulang minuman petang.
“Baru saja balik,
umi. Dia ada kerja sikit,” bohong Hafiya, sedangkan dia tahu yang Ariq mungkin
berkecil hati dengan sikapnya.
“Umi ada bekalkan
dia kek pisang ni. Ariq kata tadi dia suka.”
Mata Hafiya terus
terpandang bungkusan kek pisang yang diletak Mak Mah di atas meja.
“Fiya tolong
hantarkan, ya? Kasihan pula umi tengok dia,” sambung Mak Mah lagi.
Hafiya terus
memandang muka Mak Mah yang tersenyum lebar itu. “Ya, umi. Nanti Fiya tolong
hantarkan.”
“Ni kenapa muka
monyok saja ni?” Mak Mah mencubit sedikit pipi Hafiya.
“Eh, tak ada
apa-apalah, umi. Mungkin penat kut...”
Mak Mah melabuhkan
punggung di sebelah Hafiya. Setelah teh panas dituang ke dalam cawan Hafiya,
cawan tersebut dihulurkan kepada gadis itu. “Fiya, umi ni dah lama kenal Fiya
tahu. Suka, sedih, kecewa di muka Fiya tu, semua umi tahu. Dah terpahat dalam
hati umi ni. Kenapa? Cuba cerita kat umi.”
Hafiya tersenyum
hambar sedikit sebelum menjawab. “Umi ni, memang tak boleh Fiya nak berbohong sikit,
kan?”
“Kenapa? Bagi tahu
umi.”
Hafiya diam
sekejap lalu menghembus nafas kepenatan. “Umi tahu kenapa atuk nak sangat
kahwinkan Fiya dengan dia tu?”
“Kenapa pula? Tak
suka ke dengan Ariq? Hafiya, kalau umi masa muda-muda dulu, memang dah lama umi
jatuh cinta dengan Ariq tu. Budaknya baik, berbudi bahasa. Yang penting,
agamanya. Dia tak tinggal solat tahu.”
Hafiya diam dan
hanya menjadi pendengar.
“Sebab mata tua
kami ni tak pernah menipu, Hafiya. Umi dan Tan Sri nampak keikhlasan dalam mata
Ariq. Dia bukan lelaki yang tamak, yang gilakan harta.”
“Mana umi dan atuk
tahu? Kita baru saja kenal dia, umi.”
“Hafiya,
percayalah. Pilihan orang tua ni, sentiasa yang terbaik. Insya-Allah. Berdoa kepada
Allah. Minta petunjuk daripada-Nya.”
“Insya-Allah,
umi.”
“Jadi, tadi
bergaduh dengan Ariqlah ni?” tukas Mak Mah.
Hafiya terus
menggeleng, menafikan. “Mana ada, umi. Kami okey saja.”
“Tadi, umi dengar
Ariq minta izin atuk nak bawa Hafiya balik kampung dia. Katanya nak kenalkan
Fiya dengan keluarga di sana.”
“Ya, dia ada bagi
tahu,” jawab Hafiya lemah. Rasa serba salahnya mula menyerang.
“Pergilah, Fiya.
Kenal-kenal dengan keluarga dia.”
Hafiya diam. Tiada
tanda mahu membalas. Perlukah dia mengikut Ariq balik ke kampung dan berdepan
dengan keluarga besar lelaki itu? Mengenangkan perkara itu, Hafiya jadi kecut
perut. Kalau nak diikutkan hati, memang dia belum bersedia. Namun, tidak
adillah untuk Ariq nanti.
“Fiya pergi ya.
Tolong umi hantar sekali kek ni untuk Ariq,” pesan Mak Mah lagi.
Jumpa tempat penyanyi
jalanan yang guna topi dekat kaki lima malam nanti. - Hafiya.
Terkeluar balik teh tarik yang baru dihirup oleh
Ariq. Penyanyi jalanan yang guna topi? Siapa lagi? Hanya dia seorang penyanyi
yang menggunakan topi di kaki lima tersebut.
“Pengotornya!”
ujar Basri.
Ariq terus
mencapai tisu. Mulutnya dilap bersih.
“Aku pergi dulu. Bye!” Sempat Ariq menghirup teh tariknya
sebelum berlalu meninggalkan sahabatnya yang hanya terkebil-kebil.
ARIQ memandang dari jauh. Hafiya duduk tepat di hadapan tempat dia selalu
bernyanyi. Tersenyum sendiri Ariq dibuatnya. Entah kenapa dia suka melihat
wajah Hafiya dalam diam. Tanpa membuang masa, Ariq berjalan perlahan
menghampiri Hafiya dari arah belakang.
“Assalamualaikum.”
Ariq menyapa dari belakang. Ucapan salam tersebut dibisikkan dekat di telinga
Hafiya.
Hafiya mengurut
dadanya. Mahu gugur jantungnya. “Waalaikumussalam. Hesy, buat terperanjat
saja.”
Ariq senyum, lalu
melabuhkan punggung di sebelah Hafiya.
“Kau tunggu apa di
sini?” Ariq saja bertanya.
“Tu, penyanyi
jalanan yang selalu bernyanyi di sini. Malam ni tak ada pula,” bebel Hafiya.
Ariq hanya mampu
menyembunyikan senyuman.
“Dia pergi dating
kut. Biasalah.” Selamba saja Ariq menjawab.
“Dating? La... Dah
berpunya ke? Melepaslah saya,” gurau Hafiya.
“Kau berminat
dengan dia ke?”
Hafiya cepat
angguk.
“Minat suaranya
saja.” Cepat-cepat Hafiya menjawab.
“Ni, kenapa nak
jumpa aku malam-malam macam ni?” tanya Ariq apabila melihat Hafiya mula diam.
“Umi, dia minta
saya bagi kek pisang ni kat awak. Awak suka makan kek pisang ke?” Hafiya
menyerahkan bungkusan kek pisang kepada Ariq.
“Oh, umi. Ingat
lagi rupanya dia. Cakap kat umi terima kasih ya.”
Sekali lagi Hafiya
angguk. Suasana mula senyap di antara mereka. Ariq dan Hafiya leka
memerhati pengunjung yang lalu-lalang di hadapan kaki lima tersebut.
“Err, maaf pasal
siang tadi,” ujar Hafiya tiba-tiba.
“Oh, pasal tu. Tak
ada hallah. Benda kecil saja, aku tak ambil hati.”Ariq tenang menjawab.
“Saya pun lupa,
yang awak pun terpaksa dalam perkahwinan ni. Saya saja yang terlebih sikit.”
“Aku ikhlas terima
kau. Istilah terpaksa tu, memang tak ada.” Cepat Ariq menyangkal.
Hafiya menghela nafas
lelah. Sedikit sebanyak, hati kecilnya tersentuh melihat kesungguhan Ariq.
Namun, ada satu sudut dalam hatinya tidak merelakan. “Walaupun awak tahu yang
saya tak cintakan awak?”
Ariq angguk.
“Walaupun sikap
saya akan buat hidup awak huru-hara nanti?”
Ariq angguk lagi.
“Okey, lulus!”
Hafiya bingkas bangun dari kerusi.
Ariq mula
memandang Hafiya pelik. “Lulus?”
“Yup. Esok kita balik kampung awak. Nak
kenalkan saya dengan keluarga awak, kan? Esok, awak datang ambil saya. Okey?”
Ariq sudah senyum
lebar. “Okey, esok pukul 9.00 pagi.”
Ariq dan Hafiya
saling berbalas senyum.
“Ehem, sayangnya
penyanyi tu tak ada malam ni. Kalau tak, boleh saya request lagu.” Hafiya cuba melarikan pandangan. Rasa tidak selesa
pula berlaga pandang dengan lelaki itu. Resah gelisah hati dibuatnya.
“Request lagu? Lagu apa? Aku boleh tolong
nyanyikan.”
Hafiya memandang
Ariq tidak percaya. “Awak nak menyanyi? Tak payahlah!”
No comments:
Post a Comment