Bab 10
Hafiya terduduk setelah diberitahu Tan Sri
Arman masih berada dalam unit kecemasan. Tekanan darah Tan Sri Arman tiba-tiba
naik dan sakit jantungnya tiba-tiba menyerang. Doktor yang ditugaskan untuk
merawat Tan Sri Arman turut hairan kerana selama berada di hospital, kesihatan
Tan Sri Arman semakin pulih.
Hafiya hanya menangis dari tadi. Dia fikirkan yang
datuknya sihat dan boleh dibenarkan pulang bila-bila masa sahaja. Sama sekali
dia tidak menyangka penyakit datuknya menyerang tiba-tiba.
“Sudahlah, Fiya. Datuk tak apa-apa. Nasib baik abang dan Kak
Fida ada tadi,” pujuk Shahrul.
Ariq yang mendengar terus mendongak, memandang sepasang
suami isteri tersebut. Ariq mula mengesyaki sesuatu. Adakah sepasang suami
isteri tersebut berjaya merencanakan rancangan mereka? Dahi Ariq sudah berkerut.
Wajah lelaki yang bernama Shahrul itu dipandang dan seterusnya pandangannya
jatuh kepada Hafirda yang hanya diam di belakang Shahrul. Sah! Memang ada
sesuatu yang tidak kena.
Hafiya diam tidak membalas apa-apa. Hanya rasa sebak yang
bertandang di hatinya.
“Tuk, maafkan Fiya tuk. Ya Allah, Kau sembuhkanlah
datukku, ya Allah. Aku janji yang aku akan menurut segala kemahuannya. Asalkan
Kau selamatkan datukku, Ya ya Allah!” rayu Hafiya bersama tangisan yang
masih bersisa sejak tadi.
Ariq terus memandang tajam Shahrul yang turut membalas
pandangannya. Ya, kini dia amat yakin bahawa sepasang suami isteri itu memang
dalang di sebalik apa yang berlaku kepada Tan Sri Arman hari ini. Ariq terus
melabuhkan punggungnya di sebelah Hafiya. Wajah sembap Hafiya dipandang. Jika
dia tidak bersetuju dengan rancangan Tan Sri Arman, mungkin Hafiya akan menjadi
mangsa seterusnya.
“Hafiya, kau mahu atau tidak. Kau kena kahwin dengan
aku!” ujar Ariq tiba-tiba.
Tergamam Hafirda dan Shahrul dibuatnya. Bulat mata mereka
melihat drama pendek Ariq dan Hafiya.
Hafiya terus memandang jauh ke dalam mata Ariq. Anehnya
kali ini, pandangan mata lelaki itu tidak seperti selalu. Daripada pandangan
mata itu juga, Ariq seolah-olah menghantar satu harapan supaya Hafiya menerima
dirinya.
“Anggap saja ini lamaran. Aku melamar kau sekarang. Kita
kahwin,” sambung Ariq lagi.
Lidah Hafiya menjadi kelu tiba-tiba. Untuk dia mengatakan
tidak, dia langsung tidak dapat untuk membuka mulut. Lamaran yang diucapkan
oleh lelaki itu berjaya menyentuh hatinya. Akhirnya, Hafiya angguk tanpa suara.
Ariq pula menghela nafas lega, lalu wajah pasangan suami
isteri itu dipandang. Sempat senyuman sinisnya diberikan buat Shahrul dan Hafirda.
“Fiya, Fiya buat apa ni? Sanggup Fiya kahwin dengan
pemandu lori ni?!” Hafirda menarik lengan Hafiya.
“Fiya tak nak kecewakan atuk. Kalau perkahwinan ini dapat
bahagiakan atuk, Fiya rela, kak.”
“Hafiya... dia ni
tak setaraf dengan kita.” Laju Hafirda menuding jari telunjuknya ke arah Ariq
yang masih duduk diam di tepi Hafiya.
“Kak, Abang Shahrul pun bukan orang berada. Kita
sekeluarga boleh terima Abang Shahrul. Apa kurangnya Ariq? Dia pilihan atuk.”
Jawapan Hafiya membuatkan Ariq mendongak sekejap.
Terpempan seketika dia mendengar jawapan bijak daripada Hafiya. Lega hatinya
bila Hafiya masih sanggup membelanya di depan Hafirda dan Shahrul.
“Fiya jangan samakan suami kakak dengan pemandu lori ni.”
Hafirda mula naik angin.
“Ini keputusan Fiya, kak, dan Fiya lakukan semua ni demi atuk.”
Hafiya membulatkan kata. Biarlah dia berkorban demi datuk. Dia yakin, datuk ada
sebab sendiri bila meminta dia berkahwin dengan Ariq, lelaki yang telah
menyelamatkan nyawa datuknya.
Hafirda menggeleng seolah-olah tidak percaya. Dia
menjeling Ariq yang duduk tenang duduk di sebelah adiknya. Sungguh, dia
benar-benar terganggu dengan senyuman sinis lelaki itu.
“Abang, jom kita balik!” Hafirda terus berlalu
bertemankan rasa tidak puas hati. Dia mula merencanakan sesuatu. Perkahwinan
Hafiya dan pemandu lori itu tidak boleh berlangsung!
Shahrul terus membuntuti langkah isterinya.
Hafiya hembus nafas lega biarpun di dalam hatinya
berjuta rasa yang bertandang. Tentang perkahwinannya dan datuk yang masih
dirawat.
“Terima kasih,” ucap Ariq tiba-tiba.
Hafiya diam tidak membalas apa-apa.
“Aku...”
“Saya lakukan semua ni demi atuk. Seperti apa yang saya
bagi tahu tadi, saya takkan pernah cintakan awak. Dan awak, jangan harap
apa-apa dalam perkahwinan kita,” ujar Hafiya jujur. Namun, dia hanya tunduk
menekur lantai hospital. Sedikit pun tidak memandang Ariq yang masih memandang.
Ariq hanya mengangguk tanda faham. Tidak sampai beberapa
saat, esakan kecil kedengaran. Suara tangisan itu datang daripada Hafiya yang
masih menunduk.
“Saya setuju kerana atuk, saya takkan pernah mengkhianati
cinta dia,” rintih Hafiya tiba-tiba.
Dahi Ariq mula berkerut. Bila esakan Hafiya masih tidak
henti, dia mendekatkan dirinya. Bahu Hafiya dipaut dan kepala itu direbahkan di
bahunya.
“Aku tak minta kau untuk melupakan dia. Cukup kau lakukan
sesuatu demi diri kau dan masa depan kau,” pujuk Ariq perlahan.
Hafiya semakin sebak menangis. Hatinya kian sebak
mendengar pujukan lelaki bernama Ariq itu. Ya, dia tidak akan mengkhianati
cinta Nizam. Perkahwinan ini hanya untuk membahagiakan datuk.
“YA Allah,
kau mudahkan segalanya. Untuk aku dan dia. Sesungguhnya Kau Maha Mengetahui apa
yang terbaik untuk kami. Andai perkahwinan ini mampu membetulkan apa yang
salah, Kau mudahkan untuk kami. Dan, andainya perkahwinan ini mampu merawat
lukanya, Kau berikanlah jalan-Mu untuk kami meniti setiap ujian dan dugaan-Mu.”
Ariq mengaminkan doanya.
Jam dinding dipandang. Sudah hampir pukul 3.00 pagi. Dari
tadi dia tidak dapat melelapkan mata. Kerisauan di hati dia ubati dengan solat.
Ariq melipat sejadah, songkok di kepala dibuka. Dia melabuhkan punggung di atas
katil bujangnya. Keadaan bilik bujang yang berbentuk segi empat itu dipandang.
Hanya ada sebuah katil bujang, almari kayu lama dan meja berserta kerusi
sederhana besar, cukup untuk dia membaca.
Mujur saja keadaan Tan Sri Arman sudah melepasi tahap
kritikal. Cuma perlu diawasi dari masa ke semasa. Melihatkan Hafiya berkeras
memintanya untuk pulang, Ariq menurut saja walaupun jam sudah hampir pukul 12.00
malam ketika itu. Kalau diikutkan hatinya, dia tidak kisah kalau menemani
Hafiya menjaga datuknya. Cuma, biasalah Hafiya dengan kedegilannya.
Ariq mengeluh perlahan mengenangkan sikap Hafiya yang
begitu dan cara hidup Hafiya yang serba mewah. Dia membandingkan dirinya dan
Hafiya. Di sinikah nanti dia membawa Hafiya tinggal bersama? Rumah flat yang
disewa bersama Man Acong dan Salleh sejak enam tahun lepas. Mahukah Hafiya
tinggal di sini dan hidup susah senang bersamanya?
Ariq mengatur langkah ke hujung almari. Laci dibuka, buku
simpanan dikeluarkan dari laci tersebut. Ariq mengeluh sedikit. Wang simpanan
yang tidak mencapai angka 5k 5K itu mana cukup untuk dia membayar
deposit sebuah rumah. Mustahi juga untuk dia membawa Hafiya tinggal bersama
kedua-dua orang rakannya.
Ariq tersenyum lagi. Hafiya tidaklah sesombong mana.
Mungkin egonya saja tinggi. Buktinya, petang tadi Hafiya mengalah dan bergegas
ke hospital dengan menggunakan lori trelernya.
“What?! Awak nak
saya naik lori besar gedabak ni ke?” Hafiya mendengus marah.
Ariq senyum sambil mempamerkan muka selambanya. Terbakar
Hafiya dibuatnya.
“Nak buat macam mana? Dah ada orang parkir di belakang
kereta kau tu.” Ariq menjawab bersahaja. Kunci kereta ditarik keluar dari poket
seluarnya. H
afiya menghentak kakinya tanda protes. Geramnya bila
melihat kereta Hilux berwarna hitam itu sedang elok parkir di belakang
keretanya.
“Hesy, lesen kopi O agaknya pemandu tu. Otak zombie!” Hafiya merengus sepenuh hati.
Ariq sudah ketawa tanpa disuruh.
“Saya ni sakit hati tahu tak?! Jangan ketawa, boleh?”
“Macam pernah dengar saja ayat kau tu. Itulah yang orang
kata ada lori, ada bas. Ada hari, aku balas. Kau dulu pun parkir macam tu.
Sekarang kau ngaku kan yang kau tu otak zombie?”
Hafiya menghadiahkan jelingan tajam untuk Ariq. Tak
pasal-pasal dia kena sindir!
“Naiklah cepat. Kita nak pergi tengok atuk ni,” arah Ariq
lagi.
Hafiya menggaru kepalanya. Tanpa menunggu, Ariq bergerak
ke sebelah pintu penumpang. Pintu tersebut dibuka. Dengan senyuman dia memperlawa Hafiya
menaiki lorinya.
“Tingginya. Macam mana nak naik?” omel Hafiya.
“La, nak kena dukung ke?” usik Ariq. Suka melihat wajah
merah padam Hafiya.
Cepat-cepat Hafiya menggeleng, lalu dengan kasut tumit
tinggi dia memijak bahagian kaki di tepi lori. Tiba-tiba tangannya terasa kemas
dalam genggaman seseorang. Terkejut Hafiya seketika. Jemari itu terasa hangat
mengalir di segenap urat sarafnya.
“Aku cuma nak tolong. Kita nak cepat, kan?” Ariq cuba
menyembunyikan rasa getarnya. Bukan Hafiya sahaja yang tergamam, dia turut
tidak menyangka yang dia akan bertindak seberani itu.
Hafiya berdeham kecil. Getaran yang hadir dibuang jauh.
Bila dia sudah melabuhkan punggung, Ariq mula menghidupkan enjin. Leka Hafiya
memerhati tingkah lelaki itu, lalu sebaris senyuman terbit di bibir Hafiya.
Ariq kerut dahi sambil keningnya dijongketkan sedikit.
Stereng lori dipusing. Terus dia keluar dari kotak parkir tersebut. Sempat dia
berpesan kepada temannya yang dia terpaksa ke hospital untuk menjenguk Tan Sri
Arman.
“Kenapa?” soal Ariq pelik bila melihat Hafiya yang
tiba-tiba tersenyum tadi.
“Dah lama ke bawa lori treler yang besar gedabak macam
ni?” Hafiya memberanikan diri untuk bertanya.
Ariq senyum. “Adalah, enam tahun.”
“Oh, lama juga. Kenapa tak nak cari kerja lain?”
“Kenapa? Salah ke kerja sebagai pemandu lori treler ni?”
Ariq bertanya pula. Dia tidak nampak salahnya berkerja sebagai pemandu lori.
Apa yang penting dia mencari rezeki yang halal.
“Saya tak cakap salah. Cuma, tak salah kan kalau kita
cari kerja yang lebih baik?”
“Aku ni apa yang ada? Tak berharta. SPM pun sekadar cukup
makan sahaja. Ini sajalah kerja yang dapat aku buat,” ujar Ariq merendah diri.
“You know what...”
“Satu saja yang aku nak bagi tahu. Aku tak pandai
cakap-cakap omputih ni. Guna BM
boleh? Martabatkan bahasa kita,” sampuk Ariq terus.
Hafiya menjeling Ariq sekejap, namun ada senyum di
terbit di bibirnya.
“Tak adalah, saya cuma nak cakap. Best juga naik lori awak ni. Luas saja permandangan di
hadapan. Kereta-kereta lain saya tengok macam kecil saja.”
Giliran Ariq pula yang tersenyum. Tak adalah sombong
sangat si Hafiya ni! gumam hati kecil Ariq.
HAFIYA menyelimuti
tubuh Tan Sri Arman yang masih lena. Setelah diberitahu yang kesihatan Tan Sri
Arman semakin pulih, Hafiya mula menarik nafas lega. Doktor yang merawat Tan
Sri Arman sempat melahirkan rasa hairan. Dia sendiri kurang pasti kenapa Tan
Sri Arman boleh tiba-tiba sesak nafas. Katanya lagi, nasib baik Tan Sri Arman
sempat dirawat, jika tidak pasti Tan Sri Arman terkena strok.
Hafiya mengucap syukur. Nasib bak Hafirda dan Shahrul ada
di hospital, melawat Tan Sri Arman ketika itu.
“Cepat pulih ya, tuk. Atuk kan nak sangat lihat Fiya
kahwin. Fiya akan kahwin kalau atuk sembuh cepat dan kahwinkan Fiya.” Hafiya
tunduk mencium dahi datuknya yang mula berkedut. Sejurus itu dia terus bergerak
ke sofa dan duduk di sebelah Lidia.
“Hafiya, kau yakin ke dengan keputusan kau?” Lidia
tiba-tiba bertanya.
Wajah Hafiya yang kelihatan muram dipandang. Daripada
raut wajah Hafiya sekarang, ada sesuatu yang mengganggu fikiran gadis itu. Dia
kenal benar dengan Hafiya. Biarpun nampak keras dan tegas luarannya, namun Hafiya
juga seperti gadis lain, menangis bila dilukai dan sedih saat hatinya kecewa.
“Apa saja demi datuk aku tu. Aku nak dia bahagia.” Hafiya
bersuara perlahan, antara dengar dengan tidak.
Lidia memegang erat tangan Hafiya dan tersenyum. Sedikit
kekuatan disalurkan buat sahabatnya itu.
“Aku percaya, atuk kau buat semua ni demi kebaikan kau.
Kau kena yakin. Lagipun, Ariq tu pilihan atuk kau. Mesti itu yang terbaik,” sokong
Lidia lagi.
“Kau yakin ke aku boleh bahagia dengan dia? Aku tak kenal
dia, bahkan atuk aku sendiri baru saja kenal dia. Bagaimana kalau perkahwinan
ini tidak seperti apa yang atuk aku harapkan?” Hafiya menyuarakan kebimbangan
hati. Sememangnya itu yang paling dia risaukan. Berkahwin tanpa cinta dengan
orang yang dia tidak kenali.
“Solat istikharah. Minta jawapan daripada Allah,
insya-Allah kau akan jumpa jawapan yang kau nak tu. Allah tak uji hamba-Nya
melebihi kemampuan, Hafiya.”
Setitis air mata mula mengalir di pipi itu.
“Kenapa menangis ni?”
“Nizam. Aku tiba-tiba rindukan dia,” jawab Hafiya
diiringi sebak.
Manitis juga air mata Lidia mendengarnya. Tanpa sebarang
kata, bahu Hafiya dipaut dan dibawa dalam pelukan.
“Shhh...” Lidia memujuk sahabatnya itu.
“Aku dah cuba lupakan dia. Tapi, di saat begini, aku
betul-betul perlukan dia di sisi aku.”
Lidia angguk tanda memahami gelodak yang bermain di jiwa
Hafiya saat itu. Siapa tidak terluka bila insan yang baru sahaja dinikahi pergi
buat selama-lamanya?
Tanpa sedar, dari satu sudut Tan Sri Arman yang mendengar
hanya mampu menahan sebak. Matanya yang masih ditutup rapat. Hanya mampu
mengeluarkan air mata dalam diam. Di saat itu juga dia begitu yakin bahawa keputusannya
mengahwinkan cucunya itu dengan Ariq adalah keputusan yang sangat tepat. Ariq
akan merawat luka Hafiya.
No comments:
Post a Comment