Wednesday, September 17, 2014

Bab 1

Tiga tahun yang lalu..
Terkocoh-kocoh Dayana berlari sambil menjinjit beg sandangnya, ditangannya pula terkandung tiga buah buku rujukan. Sesekali matanya melingas jam di tangan, sudah hampir pukul tiga petang, sekejap lagi kelas Puan Umaira akan bermula.
“Aduh!” Larian Dayana terhenti seketika, bahunya digosok sedikit. Perit! Matanya sempat menangkap susuk tubuh seorang lelaki yang sudah menunduk mengutip buku-buku yang jatuh.
“Buta ke tak nampak orang?” bebal Dayana, dia turut menunduk mengutip bukunya. Sudahlah dia lambat, hal ni pula yang melengahkan masanya. Bukan tidak kenal dengan angin Puan Umaira, mahu dia dimarah di hadapan pelajar lain. Malu! Dia tidak ingin mengulang semula kejadian pada hari pertama dia lambat menghadiri kelas Puan Umaira, dia dimarahi hanya kerana dia lambat lima minit!
“Lain kali jalan tu pakai mata!” marah Dayana lagi.
“Kalau nak berlari pun, guna mata tu jugak..” Dayana terus mendongak memandang lelaki yang sudah berdiri di hadapannya., rambutnya yang panjang separas pinggang dibetulkan sedikit, pandangannya pantas dihalakan kearah lelaki tersebut, buat seketika bibirnya terkunci, melihat wajah itu hatinya mula berdebar hebat. Secara perlahan tangan kanannya menyentuh dada, merasa sendiri degupan jantungnya.
‘Pada saat kau bertemu dengan seseorang yang mencuri hati kau, kau dapat rasakan kehadiran dia. Tak semena-mena jantung kau tu berdegup kencang umpama kau baru lepas berlari seratus meter’ Dayana menggeleng pantas, matanya masih lekat memandang wajah lelaki berkulit sawo matang di hadapannya.
“Hey!” sapa lelaki itu. Sekali lagi Dayana seolah-olah terbuai. Arrgghh!! lunaknya suara dia..Dayana terkebil sendiri, tangan yang tadi menyentuh dada, jatuh pula pada perutnya.
‘Yang paling tak tahan tu, mendengar suara dia saja, perut kau tiba-tiba kecut seperti ada rama-rama yang berterbangan bebas dalam perut kau tu’ suara Haliza kedengaran lagi.
“Kau okey ke?” suara lelaki itu bergema lagi. Tapi aneh, tidak sepatah pun yang menembusi telinga Dayana, hanya gerakan bibir itu yang dilihatnya.
“Okey ke?” lelaki itu bertanya lagi, tangannya dilayangkan di hadapan Dayana yang masih terleka. Dia ni terkejut sangat ke sebab kena langgar tadi? Lelaki itu mengomel sendiri, sebaris senyuman mula terukir di bibirnya, entah kenapa wajah gadis itu mencuit hati lelakinya.
Dia senyum? Senyum? Dayana sudah mengebilkan matanya, telinganya sudah dapat menangkap bunyi bising dipersekitarannya, wajah lelaki itu masih berada dalam pandangannya. Tadi dia senyumkan? Dia senyum kat aku, atau dia ketawakan aku?
“Okey ke?” lelaki itu mengulang lagi soalan yang sama bila melihat Dayana seolah-olah ‘pulang’ ke alam realiti.
“Hah?”
“Kau okey?” sekali lagi sang jejaka bertanya. Berapa banyak okey yang keluar dari mulutnya sejak tadi. Alahai..hanya kerana gadis bermata bundar di hadapannya.
“Okey.” jawab Dayana ringkas
“Maaf sebab terlanggar kau tadi, tapi kau pun salah jugak. Lain kali kalau nak berlari tu, mata tu pandang depan, bukan menunduk macam tadi. Sayang...”
“Apa?” Dayana membuntangkan matanya. Sayang? Baru pertama kali jumpa dah panggil aku sayang?
“Maksud aku..” lelaki itu yang menyedari pandangan mata Dayana sudah menggaru kepalanya. Bukan itu maksudnya..
“Ulat bulu!” Dayana lantas merampas kasar buku rujukan di tangan lelaki itu, tak semena-mena dia memijak kuat kaki lelaki itu dengan kasut tumit tingginya. Padan muka!
“Aduh!” lelaki itu menunduk memegang hujung kakinya yang terasa perit. Berkerut mukanya menahan sakit, sempat matanya menangkap langkah gadis itu meninggalkannya.
“Sayang..muka cantik! Tapi perangai..” lelaki itu menggeleng perlahan namun akhirnya dia tersenyum. Pantas tangannya mengemas bukunya yang sedikit berserak, dia mengutip beberapa helai kertas lukisan yang berserakan di atas jubin lantai. Tangannya terhenti seketika bila matanya menangkap sebatang pensil berwarna hitam di celahan helaian kertas lukisannya, sekali lagi bibirnya mengukir senyum. Pensil ini pasti milik gadis bermata bundar itu!
*************

DAYANA menyelongkar semua kotak pensilnya, mukanya sudah berkerut seribu, seingatnya dia sudah mengemas semua peralatan untuk melukis di dalam begnya, kenapa tak ada pula? Dayana mengomel sendiri.
“Jumpa tak?” soal Haliza di sebelah.
“Tak..” Dayana menjawab pendek, tangannya masih ligat menyelongkar beg kecilnya.
“Pakai je lah yang aku punya ni.” Haliza menyerahkan kotak pensilnya kepada Dayana.
“Boleh tu memang boleh, tapi pensil tu penting bagi aku. Aku cuma dapat idea melukis dengan pensil tu, sebab tu dia dah jadi kuntut pun aku masih guna.” bebel Dayana. Beg kecil itu dihempas perlahan, dia sudah merengus geram.
“Ala..semua pensil sama ajelah!”
“Tak sama! Pensil tu ada sentimental value tau, kau apa tahu!” Dayana menjeling sekilas
Sentimental value konon..tadi kenapa tak masuk kelas Puan Umaira?” soal Haliza serius. Kertas lukisan terus ditutup, pandangannya terus di halakan kearah sahabatnya itu. Udara petang yang nyaman dihirup perlahan, sememangnya kawasan tepi tasik dan bersandarkan pohon rendang itu menjadi tempat persinggahan dia dan Dayana bila ada kelapangan, selalunya bila kekontangan idea untuk melukis, dia mahupun Dayana akan menghabiskan masa di tepi tasik tersebut sambil melihat keindahan alam semula jadi.
“Gila kau, mahu aku kena hembur depan pelajar lain. Bukan kau tak kenal Puan Umaira tu.” Dayana turut menyandarkan kepalanya di batang pokok tersebut, membelakangi Haliza yang turut menyandar di sebelah.
“Hari ni mud dia okey sangat. Bukan kau sorang aje lambat, ada beberapa orang lagi pelajar lain.” Ujar Haliza.
“Tak kena sembur ke?”
“Tak.” Haliza menjawab ringkas.
Dayana menghempas tangannya di atas rumput hijau di sebelahnya, sambil mengomel geram.
“Puan Umaira tu memang anti dengan aku, bila time aku lambat..mulalah dia buka takzirah dia tu.”
“Bukan pasal tu lah Yana, dia tu happy sebab satu-satunya anak lelaki dia dah mendaftar masuk universiti kita ni. Ambil kelas dia lagi tu, mana dia tak happy..” jelas Haliza.
“Anak lelaki? Aku tak pernah dengar pun Puan Umaira ada anak lelaki”
“Bukan kau aje, semua orang tak tahu. Kami baru aje kenal tadi, Puan Umaira yang kenalkan. Lagi satu kalau kau nak tahu, anak lelaki dia handsome sangat..cair tau!”
Handsome?”
“Aa’a lah, melopong si tiga orang musuh ketat kau tu.”
Dayana sudah hilang dalam dunianya, adakah anak Puan Umaira sekacak lelaki yang dilanggarnya petang tadi? Eee..kacak ke? Dayana menggeleng pantas, tak handsome langsung! Jangan terpengaruh Yana dengan kejadian petang tadi. Jantung kau berdegup pantas sebab kau baru aje lepas berlari, perut kau yang tiba-tiba menggeletek bagaikan rama-rama yang berterbangan tu disebabkan kau memang sakit perut, tak ada kena mengena langsung dengan teori cinta Haliza tu.
“Hoi cik adik! Jauh melamun..” tepukan kuat di bahunya membawa Dayana kembali kealam nyata.
“Hisy! Kau ni buat terperanjat aku aje..” Dayana mengomel marah, wajah Haliza dijeling tajam.
“Yang kau tu melamun panjang sangat kenapa? Ingatkan pakwe kau yang mana satu? Azlan? Johan? Mikael? Atau yang baru kau putus semalam, Jazlee? Mana satu?” Haliza sudah mengangkat keningnya kearah sahabatnya itu yang terkenal dengan gelaran ‘The Killer eyes’ di kalangan pelajar universiti tersebut. Apa tidaknya, Dayana seorang gadis yang bermata bundar dengan anak mata yang berwarna coklat, matanya yang cantik itu mampu memikat hati sang jejaka dalam masa lima saat saja. Bak kata pepatah petik jari pun boleh, tapi dalam kes sahabatnya pula, kenyit mata pun boleh!
“Hoi..hoi..kau jangan sebut pula kisah dioarang tu, sensitif tau!”
“Amboi..sejak bila Yana the crocodile ni pandai sentap?” balas Haliza tidak mahu mengalah.
“Sedapnya mulut kau panggil aku crocodile ya..nak aku cubit ke pipi kau yang kembang setaman tu?” Dayana membesarkan matanya.
“Yalah..kalau lelaki playboy kita panggil buaya tembaga, perempuan playgirl kita nak panggil apa ya..” Haliza makin ligat mengusik rakannya, wajah Dayana sudah merah padam menahan geram. Kawannya yang sorang ni memang mulut longkang betul!
“Aku bukan playgirl okey..” sinis Dayana.
“Eh, bukan ke? Habis tu gelaran apa ya untuk perempuan yang selalu bertukar-tukar lelaki ni? Boyfriend keliling pinggang.”
“Amboi mulut kau sekarang ni..kau tahu aku kan? Walaupun boyfriend keliling pinggang, aku tak pernah lagi serahkan diri aku pada mereka tau. Aku cuma nak ajar mereka cara nak hormat perempuan sikit. Jangan mereka anggap semua perempuan boleh dipermainkan.”
“Ya, aku tahu pendirian kau tu. Tapi ingat Yana, jangan sampai silap langkah. Orang lelaki ni, kau bukan tak tahu..kalau hati dah sakit, macam-macam boleh jadi. Aku cuma tak nak kau menyesal nanti.” Semakin panjang Haliza menasihati rakannya, tidak pernah lekang kata-kata itu dari mulutnya semenjak dia mengenali Dayana, seorang gadis yang menyimpan seribu satu rahsia dalam hidupnya. Entah kenapa Dayana bersikap sangat prejudis terhadap insan bergelar lelaki, dia pun tidak tahu. Setiap kali dia bertanya, Dayana akan mendiamkan diri tanpa mengeluarkan sepatah kata sekalipun.
Dayana menundukkan wajahnya, kepala sudah direbahkan di lututnya. Haliza di sebelah hanya dijeling sekilas. Arrghh!! Apa yang Haliza tahu tentang sejarah hidupnya. Di saat dirinya meningkat dewasa, rumahtangga ibu dan bapanya berantakan, ayah pergi meninggalkan dia dan ibunya terkontang-kanting sendirian. Dua tahun selepas itu, ibu berkahwin dengan seorang lelaki yang sekarang dia panggil babah. Lelaki yang mengambil alih segala tugas papanya, Dayana mengeraskan hatinya, membutakan matanya dari melihat kebaikan yang diberikan oleh bapa tirinya itu. Bukan hatinya tidak terusik setiap kali lelaki itu membahasakan dirinya sebagai Babah kepadanya, tapi dirinya masih belum menerima.
Dayana menyeka sedikit airmatanya. Sakit hatinya cuba dibuang jauh, sakit kerana sikap papanya yang tidak bertanggungjawab, tega meninggalkan dia dan ibunya terkontang kanting sendirian, dan kini mereka terpaksa bergantung hidup pada seorang lelaki yang ibu katakan sangat baik. Ya, Babah memang lelaki yang baik, cuma hatinya menidakkan.
“Yana..kau nangis eh?” Haliza tiba-tiba menegur, berkerut dahinya, tidak pernah lagi dia melihat sahabatnya itu menitiskan airmata.
“Taklah! Aku okey, dahlah..jom balik!” Dayana mencapai beg sandang di sisinya, segera langkah diatur meninggalkan Haliza yang jelas terpinga-pinga.


1 comment: