BAB 2
“MOHD ARIQ BIN AZLAN.” Lelaki itu terus mendongak bila namanya
dipanggil dengan kuat. Wajah Mr.Alex, penyelianya dipandang kejap. Telefon
Nokia model lama diletakkan di dalam poket seluar jeannya. Dia bangun, menghampiri penyelianya yang sudah
menunggu.
“Riq, gaji bulan ni..K.O lah,” Salleh,
rakan sekerja yang selalu bersama Ariq sempat menggamit Ariq sambil menepuk
dahi. Ariq hanya menggeleng, sempat lagi dia mengerling slip gaji Salleh. Mahu
tersembur tawanya. Kerja cukup bulan, tetapi gaji macam kerja berbelasan hari
saja. Namun, senyumannya itu cuba disembunyikan di sebalik wajah seriusnya.
Tangannya saja yang bergerak menggosok rambut Salleh.
“Lain kali, jangan banyak sangat advance gaji.” Itulah yang selalu
dipesan oleh Ariq kepada rakan-rakannya. Kalau hendak lihat titik peluh kita
banyak cukup bulan. Jangan terlalu banyak sangat pinjam duit gaji. Berjimat
cermat!
Salleh mencebik lalu menghampiri
rakan-rakannya yang lain.
“Ha, Ariq. Ini gaji kamu bulan ni.” Mr.Alex
menyerahkan sampul surat berisi duit kepada Ariq.
“Saya sudah potong sekali cermin
kereta orang yang kamu langgar hari itu.” Sambung Mr.Alex lagi sambil
mencungkil giginya. Dahi Ariq berkerut. Wajah penyelianya dipandang.
“Aku terlanggar, Mr.Alex. Bukan
sengaja.” Tekan Ariq. Sudah berapa kali dia jelaskan yang dia terlanggar cermin
kereta hari itu. Ariq mendengus geram. Dia memang sakit hati bercakap dengan
orang tidak faham bahasa ini.
“Sudah, kamu sudah langgar. Saya
sudah potong lu punya gajilah.” Ariq
menggeleng. Tajam dia menjeling Mr.Alex.
“Berapa lu potong aku punya gaji?” soal Ariq tiba-tiba. Kasar.
“500 ratus. Tidak mahal punya.”
Ariq tersenyum sedikit. Sampul
gajinya dibuka. Wang kertas 50 puluh dikeluarkan 5 keping dan diberi kepada Mr.Alex.
“Eh, ini duit apa pula ni?” tanya
Mr.Alex hairan.
“Ambil duit ni, terima kasih sebab
bagi diskaun.” Balas Ariq lalu tersenyum. Mr.Alex memandang hairan. Namun, duit
pemberian Ariq tetap diterima dan dimasukkan segera ke dalam poket bajunya.
Ariq tersenyum sinis, lantas dia berlalu kerana ada misi yang perlu dia
selesaikan. Mr.Alex potong gaji dia ya? Ariq menggigit bibir sambil berlari
pantas keluar dari kilang gas tersebut.
“Ariq!” Salleh memanggil, pantas dia
berlari membuntuti langkah Ariq yang laju itu.
Larian Salleh terhenti. Membuntang
matanya melihat Ariq yang sudah memecah cermin sisi kereta Mr.Alex. Kaku
langkahnya. Ariq..Ariq, memang baran orangnya. Menggeleng kepala Salleh
dibuatnya.
***********
KERETA terus
diberhentikan di hadapan perkuburan islam yang kelihatan agak lengang tersebut.
Hafiya menarik nafas yang paling berat, sudah hampir seminggu Nizam
meninggalkannya, baru hari ini dia punya kekuatan untuk menziarahi kubur arwah suaminya
itu. Sewaktu pengkebumian Nizam seminggu yang lalu, Hafiya langsung tidak
menunjukkan muka, dirinya masih belum dapat menerima pemergian arwah suaminya,
malah sehingga kehari ini, segalanya terasa bagaikan mimpi ngeri.Dia ingin
cepat bangun dari mimpi tersebut.
Airmata yang ingin ditahan jatuh
juga, kubur yang masih merah itu hanya dipandang dari jauh, tangannya masih
teragak-agak untuk membuka pintu kereta. Sekali lagi nafas ditarik perlahan,
menghembus semangat untuk dirinya.
“Saya cintakan awak,” Hafiya pantas
menoleh ke sisi, bagaikan di hujung telinganya mendengar bisikkan cinta itu,
bisikkan dari insan yang paling dia cinta. Airmata Hafiya semakin deras
mengalir, bergetar tangannya. Kepalanya segera direbahkan di stereng kereta,
menangis semahunya. Inilah kerinduannya, di mana harus dia menumpahkan rasa
rindu yang sarat ini, rindu pada gelak tawanya, rindu pada usikkan nakalnya,
rindu pada kalimah cintanya.
“Saya cintakan Nur Hafiya binti Mohd
Alias, sudikah tuan puteri mengahwini hamba, sipencinta yang tak punya
apa-apa.” Nizam lantas menghulurkan sejambak bunga tulip merah kepada Hafiya,
lututnya sudah terpacak ke bumi, berlutut di hadapan sang kekasih hati. Airmata
Hafiya mengalir saat itu juga, bagaikan mimpi bila insan yang dicintai
melamarnya untuk dijadikan isteri. Tanpa suara Hafiya hanya membalas dengan
anggukan, jambangan bunga tersebut diambil dan sebuah senyuman diukirkan buat Nizam.
Perkenalan yang memakan usia remajanya ternyata mengukuhkan lagi perasaan
mereka, bermula hanya sebagai sahabat, akhirnya mereka harus mengakui rasa
cinta yang semakin mekar dalam hati. Nizam hanya tersenyum bahagia, dia bangun
seketika tanpa melepaskan pandangan dari menatap wajah jelita milik Hafiya.
“Terima kasih Fiya,” ujar Nizam
lagi, hanya Allah yang tahu betapa dia bersyukur akan penerimaan gadis itu.
Mengahwini Hafiya adalah impiannya, memiliki gadis sebaik Hafiya adalah satu
anugerah baginya.
“Saya yang patut ucap terima kasih,
sebab cinta dan sayang yang awak berikan pada saya.”Hafiya membalas dalam
senyuman yang masih terukir di bibirnya.
“I
love you”
Hafiya mengenggam kuat stereng
kereta. Kepalanya masih tunduk. Dalam diam dia mengutuk dirinya yang lemah.
Sehingga sekarang dia masih tidak mampu untuk menjejakkan kaki ke pusara
suaminya itu. Tangisannya mula kedengaran. Lemahnya seorang Hafiya kerana
langkahnya masih kaku di situ. Akhirnya Hafiya menangis lagi, esakannya
dilepaskan semahunya. Kuat tangannya memukul dadanya yang terasa sebak.
“Maafkan saya, maafkan saya, Nizam.”
Hafiya meluah sayu. Akhirnya airmata yang mengalir diseka. Enjin kereta
dihidupkan kembali. Sebelum berlalu, pusara Nizam dipandang buat sekian kali.
Bukan semalam, bukan juga hari ini. Dia masih Hafiya yang lemah, masih lagi kalah
dengan takdir mereka.
Hafiya memandu laju keretanya
membelah jalan raya. Hatinya mula
membuat kata putus. Tidak sudah kalau dia terus menangisi pemergian Nizam
seperti ini. Dia harus menjadi seperti dirinya yang dulu.
“Kalau saya pergi dulu, saya harap
awak redha dengan pemergian saya. Biar saya tenang di sana. Saya nak awak
mulakan hidup baru. Saya akan tunggu awak di sana.” Airmata Hafiya mengalir,
namun cepat-cepat diseka. Dia masih ingat lagi pesan Nizam sehari sebelum
mereka dinikahkan.
Ya, dia akan mulakan hidup baru.
Tapi, dia perlu pergi dari kenangan yang pahit ini. Dia harus mencari dirinya
yang lama hilang. Hafiya mengangguk yakin. Kelajuan keretanya ditingkatkan.
Keputusannya itu akan dimaklumkan kepada datuknya.
TAN SRI ARMAN berdeham kecil
sebelum mengambil tongkatnya. Dengan tongkat berwarna hitam yang berukir cantik
itu, dia berjalan ke sana ke mari di hadapan cucu perempuannya itu. Sejurus
kemudian, cermin mata putihnya dibuka, wajah cucunya dipandang lagi. Wajah itu
sudah tiada serinya lagi. Sentiasa sembap dibasahi airmata. Hatinya terluka.
Dia turut terluka melihat keadaan cucunya itu.
“Fiya dah fikir masak-masak?” soal Tan
Sri Arman.
Hafiya hanya mengangguk. Semakin
lama dia di sini, semakin sukar untuk dia lari dari kenangan yang hampir
merobohkan tembok ketabahannya. Tan Sri Arman memicit dahinya yang sudah
ditumbuhi kedutan-kedutan kecil. Jika tiada Hafiya, bagaimana hidupnya nanti?
Dia tidak mampu hidup tanpa cucunya itu.
“Restui Fiya, tuk. Fiya boleh mati
kalau Fiya terus begini.” Rayu Hafiya. Pengertian datuknya amat dia perlukan.
Dia harap perjalanannya nanti sentiasa di dalam doa dan restu lelaki itu. Ya,
dia kini umpama burung kepatahan sayapnya. Pemergian Nizam sudah membawa pergi
sebahagian dari seluruh jiwanya. Hafiya tunduk dengan deraian airmata yang
masih mengalir.
“Atuk restu, Fiya. Pergilah. Tapi,
janji dengan atuk, bila Fiya balik nanti. Atuk nak cucu atuk yang dulu.” Tan
Sri Arman menghampiri cucunya, rambut itu dibelai sebelum dia membawa Hafiya ke
dalam dakapannya.
“Terima kasih, tuk.”Hafiya akhirnya
menangis di dalam dakapan datuknya itu.
PETIKAN gitar
kedengaran. Si penyanyi lagu mula mengarah jarinya menari di tali gitar
tersebut. Suasana malam yang hening di kaki lima itu seolah-olah mengizinkan
dia untuk menyampaikan lagu seperti kebiasaannya. Gitar terus dipetik, lagu
nyanyian kumpulan Spring didendangkan. Lagu bertajuk romantis itu ternyata
berjaya dibawa mengikut caranya sendiri. Lelaki itu mengemas cermin mata hitam
yang dipakainya, topi hitam dikepala diperkemaskan, hampir menutupi separuh
wajahnya. Siapa saja yang tidak kenal dengan dia yang dikenali sebagai
‘penyanyi misteri’ di kaki lima itu. Hampir 8 tahun dia mencari rezeki dengan
menyanyi di kaki lima tersebut.
Di dalam kepekatan malam yang bising
dengan kesibukkan kota. Mata yang ditutupi cermin mata hitam pekat itu dapat
menangkap susuk tubuh yang duduk di atas tembok batu di pinggir kaki lima.
Seorang gadis yang duduk termenung sambil tangannya memegang sebentuk cincin
yang melampiaskan sinar. Dalam nyanyian, lelaki itu dapat melihat airmata yang
jatuh menuruni pipi itu.
Gitar terus dipetik tanpa sepasang
mata itu lepas memandang gadis yang menangis sendirian. Lagu Romantis dari
kumpulan Spring terus memenuhi segenap ruang di kaki lima itu.
DIA sendirian di kaki
lima. Lagu yang didendangkan oleh penyanyi jalanan itu membuai perasaannya.
Nizam dulu turut menggemari lagu-lagu lama. Dia juga seringkali mendengar Nizam
menyanyikan lagu untuknya. Setiap malam, Hafiya memang selalu meluangkan masa
di situ. Penyanyi jalanan yang berkacamata hitam itu sudah menjadi
kegemarannya. Suara penyanyi itu cukup menenangkan perasaannya. Sudah hampir
satu minggu dia tidak berkunjung, biarlah malam-malam terkakhir dia ada
Malaysia, dia membiarkan halwa telinganya dihiburkan oleh penghibur jalanan
tersebut.
Jemarinya lantas membuka cincin
perkahwinannya. Angin malam yang bertiup meniupkan semangat baru untuknya.
Semangat untuknya membuang kenangan pahit semalam. Cincin permata itu dibuka
dan digenggam kemas.
‘Saya harus lupakan awak, Nizam. Untuk
atuk, untuk keluarga saya. Maafkan saya.’ Semalam akan jadi kenangan.
Sekembalinya dia dari England nanti, dia akan menjadi Hafiya yang dulu. Hafiya
yang sentiasa ceria. Hafiya yang kuat. Dan Hafiya yang sentiasa memberi
semangat kepada datuknya. Itu janjinya.
Hafiya bangun. Perlahan dia bergerak
menghampiri penyanyi jalanan itu. Cincin yang masih dalam genggamannya,
perlahan dileraikan. Dia tunduk, sebelum jemari itu meletakkan cincin permata
itu ke dalam sebuah beg gitar yang berisi beberapa wang kertas hasil dari
pemberian orang ramai yang turut mendengar nyanyian penyanyi misteri itu.
Petikan gitar terhenti. Penyanyi
jalanan yang berkacamata hitam itu hanya memandang langkah gadis itu yang
berlalu pergi. Di dalam samar cahaya malam, cincin yang bersinar itu tepat
berada dalam pandangan matanya. Dia tunduk, mencapai cincin tersebut. Hatinya
terdetik. Wajah gadis itu masih bermain di ruang matanya.
No comments:
Post a Comment