BAB 1
Hafiya hanya membiarkan baju
pengantin disarung kemas di badannya. Gaun putih panjang yang dipilih sendiri
olehnya dan bakal suaminya Mohd Nizam kini sudah melekat cantik di badan. Rasa
cinta yang dipupuk sejak zaman sekolah lagi akhirnya dimaknakan dalam ikatan
perkahwinan. Perkahwinan yang amat mereka dambakan selama ini.
Bila
Siti, selaku mak andamnya pada waktu itu memalitkan gincu berwarna merah hati
di bibirnya, airmatanya jatuh tanpa dipinta. Dalam dia leka dibuai rasa bahagia
kerana bakal diijab kabulkan bersama satu-satunya lelaki yang amat dia cintai,
hatinya masih dihiris pilu dengan kenyataan yang ada. Bagaimana hidupnya nanti,
tanpa lelaki itu di sisinya? Nizam, hanya nama itu yang menjadi sebuatannya
sejak tadi.
“Nur
Hafiya, tak elok menangis. Nanti pudar pula mekap tu,” tegur Siti dengan
senyuman. Hafiya hanya menyambut dengan senyum hambar, bukan dia tidak nampak
mata Siti juga kemerahan menahan tangis. Semua insan yang berada di sisinya
seolah-olah berlagak kuat di hadapannya.
“Fiyakena
kuat. Lebih-lebih lagi di hadapan Nizam, dia perlukan Fiyasaat ini,” sambung
Siti lagi.
Mendengar
kata-kata itu Hafiya lantas menyeka airmatanya. Ya, dia kena kuat. Demi Nizam.
Beberapa saat kemudian Iphonennya mula berdering, Hafiya sekali lagi menyeka
sisa airmatanya, nafasnya ditarik perlahan, lalu panggilan itu diangkat dengan
senyuman.
“Ya,
sayang,” jawab Hafiya dengan nada suara yang cuba dikawal.
“Assalamualaikum,
pengantinku.” Ucap satu suara dari sebelah sana. Hafiya mula sebak, mendengar
suara yang kian lemah itu, membuatkan hatinya terdera hebat.
“Waalaikumsalam,
bakal suamiku.” Hafiya cuba menyahut gurauan Nizam, seperti kebiasaan yang
mereka lakukan.
“Dah
siap dah?” Nizam menyoal, cuba menahan rasa sakit yang mencengkam kepalanya
sejak akhir-akhir ini.
“Dah,
saya dah bersedia untuk jadi isteri
awak, jaga awak dan menyayangi awak hingga akhir hayat saya,” balas Hafiya,
kedengaran bunyi ketawa kecil dari bibir Nizam.
“Terima
kasih, sayang. Saya di sini tunggu awak, semua yang ada dalam wad ni, akan jadi
saksi perkahwinan kita.”
Airmata
Hafiya jatuh lagi buat sekian kali.
“Janji
dengan saya, yang awak takkan menangis. Inikan hari bahagia kita.”
Hafiya
menarik nafas panjangnya. Talian lantas dimatikan, bagaimana mungkin dia dapat
menahan sebak di saat dia diuji seberat ini. Bagaimana mungkin untuk dia
menerima pemberian takdir yang sehebat ini? Hafiya lantas menundukkan wajahnya
lalu menangis semahunya, esakan demi esakan mula kedengaran.
*************
Beberapa
bulan yang lalu...
HAFIYA rebah saat dia melihat kekasih tersayang yang terbaring
kaku di atas katil hospital, mujur saja Puan Suria ada di sebelahnya. Tak
semena-mena dia menangis semahunya. Sebab inikah Nizam beria-ia untuk
membatalkan perkahwinan mereka? Sebab inikah Nizam menjauhkan diri darinya? Ya
Allah!
“Masuklah,
Fiya,” Pelawa Puan Suria dengan tangis yang masih bersisa di wajahnya.
Simpatinya tumpah bila melihat gadis pujaan anak bongsunya itu menangis bila
mendapat tahu akan keadaan Nizam.
“Mak
cik masuklah dulu. Fiya nak tenangkan diri.” Jawab Hafiya ringkas. Puan Suria
hanya mengangguk faham, lantas anak lelakinya itu dihampiri, ibu mana yang
tidak tersentuh melihat anak lelaki yang dulu sihat kini terlantar sakit akibat
barah otak peringkat akhir. Nizam, anaknya tega merahsiakan penyakitnya dari
pengetahuan keluarga, bahkan Hafiya sendiri tidak diberitahu tentang
penyakitnya itu.
Hafiya
tunduk menangis di muka pintu wad. Sedih hatinya melihat tubuh yang terkujur
itu. Bukan Nizam seperti itu yang dia kenal, di mana kekasihnya yang seringkali
nakal mengusiknya? Di mana kekasihnya yang sentiasa mengucapkan kata cinta
padanya? Hafiya teringat kembali kali terakhir mereka bertemu, dia tega
melemparkan rasa tidak puas hatinya akan keputusan Nizam yang ingin membatalkan
perkahwinan mereka. Fikirnya Nizam sudah tidak mencintainya lagi.
“Kenapa
ibu bawa Fiya kemari? Zam tak nak dia lihat keadaan Zam sekarang.” Nizam mula
mempersoalkan tindakan ibunya yang membawa kekasih hatinya itu ke hospital,
sekaligus membongkar rahsia yang ingin dia sembunyikan dari pengetahuan gadis
itu. Dia rela dibenci dari melihat airmata yang membasahi pipi itu.
“Ibu
tahu Zam rindukan Fiya, sebab itu ibu bawa dia jumpa Zam. Ibu Cuma nak anak ibu
bahagia.” Jelas Puan Suria, sejak mendapat tahu akan penyakit anaknya itu,
tidak pernah kering airmata di wajah tuanya.
“Tapi,
Zam tak nak Fiya susah hati. Zam..”
“Zam,
bagilah ibu peluang untuk lihat anak ibu ni bahagia. Ibu tahu Zam terseksa
sebab terpaksa berjauhan dengan Fiya kan?” Puan Suria mengusap lembut rambut
anak terunanya itu.
Nizam
memejam rapat matanya di saat melihat Hafiya mula menapak ke arahnya, tidak
sanggup rasanya melihat tangisan di wajah kesayangannya itu. Hafiya seorang
gadis nakal yang periang, mana mungkin dia sanggup mengalirkan airmata di pipi
itu.
“Ibu
tinggalkan Zam dengan Fiya ya.” Sambung Puan Suria, lantas dia menunduk sedikit
untuk mencium dahi anaknya. Sempat Puan Suria memegang bahu Hafiya, memberi
kekuatan untuk gadis itu.
“Kenapa
awak tak nak buka mata awak tu? Dah tak nak tengok muka saya?” soal Hafiya
sedikit keras, Nizam hanya mendiamkan diri sambil tangannya disilangkan di
kepala.
“Awak,
kenapa awak buat saya macam ni? Awak dah tak sayangkan saya ke?” suara Hafiya
kembali kedengaran sendu. Hanya tangisan yang mengiringi setiap persoalannya.
Hatinya lebih terluka bila melihat Nizam hanya mendiamkan diri tanpa sedikit
pun menoleh ke arahnya.
Hafiya
merapatkan dirinya menghampiri tubuh kaku itu, lantas dia berteleku di sisi
katil Nizam dengan esakan tangis yang kian berirama.
“Jahatnya
saya kerana masih mencintai awak biarpun awak tolak saya, teganya saya merindui
orang yang dah tak perlukan saya di sisinya. Kenapa awak tak bagitahu yang awak
sakit supaya saya tak terus menerus salahkan awak?” bertubi-tubi Hafiya
melemparkan rasa tidak puas hatinya.
Nizam
membuka mata, lemah sudah segala urat nadinya bila mendengar rayuan dari
kekasihnya itu.
“Sayang,” panggil Nizam dalam suara
getarnya. Lantas tangannya yang kian mengusut mencapai dagu itu, wajah Hafiya
diangkat untuk memandangnya.
“Maafkan saya,” sambung Nizam lagi,
airmata turut jatuh bila melihat wajah kusut Hafiya. Berdarah sudah hatinya,
ini yang ingin dielaknya, dia tidak mahu mengalirkan airmata di pipi itu. Hafiya
begitu istimewa di hatinya, Hafiya begitu berharga dalam hidupnya. Biarlah dia
merana menanggung rindu sekalipun. Tetapi, dia tidak sanggup melukakan sekeping
hati itu.
“Maafkan saya kerana memungkiri
janji kita.”
Hafiya lantas menggeleng, terus
pandangannya dihalakan terus ke wajah Nizam.
“Apa awak cakap ni? Saya takkan
benarkan awak memungkiri janji kita. Takkan Nizam!” beritahu Hafiya tegas,
segera jemari Nizam dicapai dan digenggam kemas lalu di bawa ke wajahnya.
“Awak kena teruskan hidup awak, Fiya.
Saya cuma nak awak teruskan hidup awak, walaupun saya dah tak ada. Tolong Fiya,
demi saya, supaya saya boleh pergi dengan tenang.” Hafiya menggeleng keras,
wajah pucat Nizam sudah mengisi ruang matanya.
“Tak, saya tak nak. Saya cuma nak
awak. Saya tak nak sesiapa. Tolong Nizam, jangan suruh saya buat apa yang saya
tak mampu nak buat. Tolonglah,” ujar Hafiya dengan tangisan yang sudah berlagu.
Dia tidak boleh membayangkan untuk hidup dengan insan lain selain dari Nizam,
lelaki yang sekian lama bertahta di hatinya.
“Nur Hafiya.” Tegur Nizam dengan
suara yang sedikit meninggi.
“Saya tak nak!” keras Hafiya lagi.
Nizam melepaskan nafas berat, hanya
keluhan yang kedengaran. Kalau diikutkan hati, sememangnya berat untuk dia
melepaskan gadis seperti Hafiya, tetapi inilah takdirnya. Jodoh dia dan Hafiya
tak panjang. Sejak hari pertama dia disahkan menghidap barah peringkat akhir,
jiwanya seolah-olah telah mati. Memikirkan hari perkahwinan dia dan Hafiya yang
semakin hampir, benda itu semakin menyesakkan dadanya.
“Saya nak teruskan perkahwinan
kita.” Beritahu Hafiya lagi. Nizam terus mengalihkan pandangannya ke arah Hafiya.
Bagaimana mungkin untuk Hafiya mengahwini lelaki yang akan pergi bila-bila masa
sahaja.
“Hafiya, ini bukan perkara yang
boleh dibawa main-main.”
“Saya tak main-main, saya nak awak
tunaikan janji awak pada saya. Janji yang awak akan jadikan saya isteri awak.”
Seketika dia dan Nizam saling berpandangan. Nizam hanya menggeleng, kedegilan Hafiya
kadang-kadang mencabar egonya, namun entah mengapa kali ini hatinya
berbunga-bunga mendengar ketegasan gadis itu.
“AKU terima nikahnya Nur Hafiya Binti Mohd
Alias dengan mas kahwin seratus dua puluh ringgit tunai,” akad nikah dari Nizam
sudah termetrai. Hafiya yang duduk di sebuah kerusi di sisi katil Nizam sudah
mengalirkan airmata. Tak kurang juga tetamu yang hadir, dan sahabat handai yang
ada turut mengalirkan airmata diatas perkahwinan yang dilangsungkan di ruang
bilik hospital itu.
Nizam mengukir senyum hambar, Hafiya
terus menghulurkan tangan untuk menyalami tangan Nizam yang baru saja bergelar
suaminya.
“Terima kasih Nur Hafiya kerana sudi
tunaikan impian saya. Ingat Hafiya, saya akan sentiasa cintakan awak. Insya-Allah,
saya akan tunggu awak di pintu syurga nanti.” Ucap Nizam dengan suara yang mula
hilang.
“Saya akan sentiasa mencintai awak, itu
janji saya.” Hafiya menunduk wajahnya, lantas bibir itu menjamah dahi suaminya.
“Tahniah Fiya. Atuk doakan
kebahagian Fiya.” Ucap Tan Sri Arman kepada Hafiya, cucu perempuannya.
“Terima kasih tuk, sebab merestui
perkahwinan Fiya.” Hafiya merangkul kemas tubuh Tan Sri Arman.
“Dah jadi isteri orang ni, buang
sikap degil dan jangan manja sangat.” Pesan Tan Sri Arman. Matanya sempat
singgah ke arah Nur Hafirda, cucu sulungnya. Hafirda pula kakak kepada Hafiya.
Sudah berkahwin.
Hafiya mengangguk, sempat dia
mengerling ke arahkakaknya dan Kuza yang dari tadi mempamerkan riak tidak puas
hatinya. Hafirda dan mak saudaranya tidak pernah suka akan perkahwinannya.
Kerana kedegilan dan restu datuknya, Perkahwinan dia dan Nizam berlangsung
juga.
“Nizam!” Panggil Puan Suria dengan
cemas bila melihat Nizam yang seolah-olah sukar untuk bernafas. Hafiya lantas
mendapatkan suaminya, tubuh Nizam lantas digoncang.
“Nizam, tolong jangan takutkan saya.
Bangun awak!” giliran Hafiya pula cemas, tangisannya mula pecah, pipi Nizam
sudah dipegang kemas.
Nizam enggan bereaksi. Matanya masih
tidak lepas memandang ke arah Hafiya yang kian cemas. Nafas yang cuba digapai
kini makin menjauh darinya. Dadanya mula turun naik menahan rasa sesak. Inilah
masanya, dan dia dapat merasakannya.
‘Sayang, maafkan saya kerana
memungkiri janji kita’ ujar Nizam sendiri tanpa mampu dia luahkan untuk
isterinya itu.
“Tolong Nizam, jangan tinggalkan
saya!” pekik Hafiya.
Seisi keluarga yang berada di ruang
wad sudah mula senyap, masing-masing diam dengan situasi tersebut. Ada di
antara mereka sudah mengalirkan airmata. Tragik sungguh perkahwinan cucu Tan
Sri Arman, salah seorang jutawan di Malaysia.
“Hafiya, relakan nak. Nizam dah tak
ada.” Ujar Puan Suria dalam tangisan.
Hafiya menggeleng, masih tidak mampu
menerima hakikat yang semakin nyata. Nizam, suami yang baru dinikahinya tidak
sampai sejam kini telah pergi meninggalkannya. Hafiya rebah dalam tangisannya,
sempat Tan Sri Arman mencapai tubuh cucunya lalu dirangkul erat.
“Sabar sayang,” pujuk Tan Sri Arman.
No comments:
Post a Comment