Sunday, October 18, 2015

Pandu Arah ke Hati

Bab 4

PERLAHAN Hafiya menuruni anak tangga. Setiap pelosok banglo tempatnya membesar dipandang sayu. Mungkin untuk tempoh beberapa tahun dia tidak akan kembali ke Malaysia. Banglo ini juga pasti dirindui. Di sinilah tempat dia membesar. Di sini kasih sayang ibu dan bapanya tumpah. Di sini juga dia belajar erti kehidupan. Berat hatinya, namun apalah daya andai dirinya perlu kuat untuk menahan dugaan takdir.
“Cik Fiya?” panggil Rosli, pemandu peribadi datuknya.
“Eh, Pak Cik Rosli tak pergi hantar datuk ke ofis ke?” Hafiya hairan bertanya. Sempat dia menghulur beg pakaiannya kepada Rosli.
“Tan Sri arahkan saya hantar cik ke KLIA.”
Hafiya mengeluh sebentar. Datuknya tidak pernah lupa akan kebajikannya. “Datuk mana?”
“Nampaknya dia berat hati nak menghantar pemergian cik. Tan Sri dah pergi ofis, naik kereta kesayangan dia tu. Katanya, lama dah tak memandu,” jelas Rosli panjang lebar.
Sekali lagi Hafiya diam. Maafkan Fiya, tuk. Fiya janji dengan atuk, Fiya akan kembali demi atuk. Langkah kakinya yang sayu dibawa ke ruang dapur. Aroma nasi goreng sudah menusuk ke hidungnya sejak tadi.
“Pak Cik Rosli, Fiya ke dapur dulu. Macam sedap saja bau nasi goreng umi ni,” ujar Hafiya.
Langkah diatur menuju ke dapur, di bahagian kanan tangga berwarna kuning keemasan itu. Dari jauh Hafiya sudah tersenyum melihat Mak Mah. Wanita yang dipanggilnya umi itu sedang bertungkus lumus menyediakan menu sarapan pagi. Sempat Hafiya berpeluk tubuh di tepi dinding sebelum menghampiri wanita separuh abad itu.
Belum beberapa langkah dia menapak, telinga Hafiya menangkap bunyi esakan kecil. Bahu Mak Mah semakin terenjut. Berkerut kening Hafiya dibuatnya. Mak Mah menangis? bisik hati kecil Hafiya. Keluhan kecil dilepaskan. Dengan langkah perlahan, Hafiya memeluk erat bahu Mak Mah dari belakang. Dagunya direbahkan di atas bahu tua itu.
“Umi,” panggil Hafiya kecil.
Pantas saja Mak Mah menyeka air matanya. Tidak mahu Hafiya melihat kesedihannya. Semalam dia sudah berjanji dengan Hafiya bahawa dia tidak akan menangisi pemergian gadis itu pagi ini. Namun, ternyata dia tidak dapat menahan rasa sebak. Hafiya sudah dianggap seperti anaknya. Dari kecil dia menjaga gadis itu. Tawa dan tangis Hafiya sudah sebati dengan dirinya.
Bukan tidak pernah Hafiya pergi ke luar negara, bahkan setiap tahun gadis itu akan ke luar negara untuk melancong atau atas urusan kerja. Namun, apa yang paling dia kesali pemergian gadis itu kali ini dengan hati yang penuh luka. Mampukah gadis itu mengatasinya? Tanpa seorang teman di sisi?
“Umi, kan Fiya dah pesan, jangan nangis. Kalau umi sedih, Fiya pun sedih nanti.” Sekali lagi Hafiya berpesan. Berkaca sudah matanya.
Semenjak pemergian kedua-dua ibu bapanya, umilah tempatnya menumpang kasih. Dengan umi dia meneguk sedikit kasih sayang daripada insan bergelar ibu.
“Tak, umi tak nangis.” Mak Mah menyeka air matanya lalu memalingkan tubuh. Sebuah senyuman diberikan buat gadis tinggi lampai itu. Dari mata yang berkaca itu, dia dapat melihat kesedihan yang seolah-olah tiada penghujungnya.
Kuatkah gadis itu menghadapi kehilangan insan bergelar suami dalam usia semuda ini?
“Umi ada masakkan nasi goreng kegemaran Fiya. Makan dulu ya sebelum berangkat.” Mak Mah cuba menceriakan suaranya. Semangkuk nasi goreng dibawa ke meja makan.
Hafiya hanya membuntuti. Punggungnya terus dilabuhkan ke sebuah kerusi kayu berukiran tumbuhan. Aroma nasi goreng terus memasuki rongga hidungnya. Masakan Mak Mah memang terbaik.
“Kak Fida...” Senyuman di bibir Hafiya mati tiba-tiba apabila menangkap kelibat Hafirda yang baru muncul di ruang makan.
Hafirda hanya membuat wajah selamba tanpa senyuman, terus duduk di hadapan adiknya itu.
“Mak Mah, tuangkan Milo itu untuk saya,” arah Hafirda dengan lantang.
Mak Mah hanya menurut. Terkocoh-kocoh dia menuang Milo ke dalam gelas cucu sulung majikannya itu. Hafirda memang memanggilnya dengan nama Mak Mah. Berbeza dengan Hafiya yang lebih membiasakan dirinya sebagai umi. Sementelah, dia yang menjaga Hafiya semenjak kematian arwah Puan Kamelia dan Tuan Alias 15 tahun yang lalu kerana terlibat dalam kemalangan jalan raya.
Hafiya hanya menjadi pemerhati.
“Lewat Kak Fida masuk ofis?” Hafiya cuba menimbulkan topik perbualan.
“Kakak lewat bangun.” Hafirda menjawab pendek dan ringkas.
Hafiya angguk.
“Err, mak su mana?” Hafiya bertanya lagi.
“Dah pergi ofis kut,” jawab Hafirda sambil mengoles sedikit jem perisa strawberi di atas roti Gardenia.
Hafiya melepaskan nafas beratnya. Tahulah dia bahawa mood kakaknya memang tidak memuaskan pagi itu.
“Sampai hati Fiya ambil keputusan ke England tanpa bagi tahu kakak terlebih dulu.”
Sudu di tangan terus terlepas. Hafiya mendongak memandang wajah Hafirda. Oh, rupa-rupanya itu yang Hafirda marahkan, gumam Hafiya dalam hati. “Fiya minta maaf kak. Fiya...”
“Tak apa, jaga diri ya. Cuma, apa yang kakak tak puas hati, kenapa atuk suruh Lidia gantikan tempat Fiya?” Hafirda mempamerkan riak tidak puas hati.
itu yang dia risaukan semenjak Tan Sri Arman mengumumkan Lidia sebagai pengurus operasi untuk menggantikan adiknya itu. Bukan dia tidak kenal dengan Lidia. Gadis itu sangat lantang dan tegas orangnya. Prinsip dan kecekapan Lidia dalam melaksanakan tugasan membuatkan dia mampu menjadi pembantu pengurus operasi dalam masa setahun sahaja.
“Oh, pasal tu ke? Sebenarnya, Fiya yang cadangkan pada atuk. Fiya percaya Lidia mampu melaksanakan tugas tu sepanjang Fiya di sana. Lagipun, Lidia dah tahu banyak selok-belok di Arman Group.” Hafiya cuba menjelaskan kelogikannya mencadangkan Lidia sebagai penggantinya. Tidak salah rasanya, asalkan Lidia menjalankan tanggungjawab yang diberi sebaik yang mungkin.
Hafirda mendengus sekejap dengan jelingan tajam di matanya. Sudah dia agak, adiknya itu tidak mungkin memudahkan segala urusannya di Arman Group. Fikirnya setelah Hafiya tiada lagi di Arman Group, pasti mudah untuknya mendapatkan kepercayaan datuk, sekali gus meyakinkan datuk untuk manjawat jawatan yang lebih tinggi.
“Kenapa kak? Ada apa-apa masalah ke?” Hafiya bertanya lagi.
Hafirda menggeleng pantas.
“Kakak bukan apa, Lidia tu kan orang luar.” Hafirda beralasan.
“Tak apa kak, Fiya percayakan dia.”

HAFIYA meletakkan bagasi berwarna hijau terang di tepi kerusi sebelah kanan. Tiba-tiba dia terasa tangannya disentuh lembut oleh seseorang. Terasa hangat kasih yang mengalir daripada sentuhan tersebut. Hafiya membalas pengangan erat tersebut lalu menoleh. Wajah Lidia, sahabat karibnya memenuhi ruang matanya.
Lidialah sahabat dunia dan akhiratnya. Perhubungan yang terjalin sejak zaman universiti mengeratkan lagi ikatan mereka. Biarpun tanpa hubungan darah, persahabatan mereka mengatasi segala-galanya. Bahkan dia lebih rapat dengan Lidia berbanding Hafirda.
Seulas senyuman diukir buat Lidia, gadis kelahiran Johor. Lidia merupakan anak sulung daripada lima beradik. Seorang gadis tabah yang terpaksa berkerja keras demi menyara  empat orang adiknya yang masih belajar.
“Kau kena janji dengan aku, bila kau balik nanti, aku nak kau yang dulu.” Beremosi sungguh Lidia. Titisan air mata mula membasahi pipi itu.
Hafiya hanya tersenyum hambar.
“Jaga diri, jaga kesihatan. Dan, jangan lupa WhatsApp aku,” pesan Lidia lagi.
Hafiya angguk kepala. Ditadahkan telinganya memdengar berbakul-bakul pesanan daripada sahabatnya itu. Dari semalam sampailah ke pagi ini. Sudah beratus pesanan yang diterimanya.
“Makan tu...”
“Ya, Lia. Jangan risaukan aku. Aku cuma nak kau tolong tengok-tengokkan datuk aku tu.” Hafiya pantas memotong.
“Kau jangan risau. Insya-Allah, aku akan tengokkan atuk kau tu. Kau tu yang kena jaga diri baik-baik. Kau duduk negera orang, kena pandai jaga diri.”
Hafiya menggeleng, Lidia... Lidia... Agaknya dia lupa bahawa Hafiya sering ke luar negara sendirian atas urusan kerja. Kadang-kadang, Lidia mengalahkan kakak dan datuknya. Berleter seperti ‘mak-mak’ sahaja. Namun itulah sahabatmya Lidia. Mungkin kerana dia merupakan kakak kepada  empat orang adik yang begitu banyak ragamnya.
“Ya, Lia. Aku ingat.”
Seketika hanya senyap mengisi ruang antara mereka. Hafiya atau Lidia masing-masing memerhati pengunjung yang datang ke KLIA2 itu. Suasana yang sedikit hingar-bingar dan bunyi corong-corong mikrofon yang melontarkan suara penyampai maklumat penerbangan.
Hafiya memejam matanya sambil beristighfar dalam hati. Selamat tinggal semua. Selamat tinggal Nizam. Tanpa sedar air matanya mengalir buat sekian kali. Mungkin ini yang terakhir kalinya. Sampai saja di sana, dia akan merawat lukanya sedikit demi sedikit. Biar lukanya sembuh dan Nizam akan menjadi sejarah lalu dalam hidupnya.
Bila suara yang bergema mengumumkan penerbangan ke England akan bertolak tidak lama lagi, Hafiya lantas membuka matanya. Cepat-cepat dia menyeka air matanya. Jarum jam dipandang. Tepat menunjukkan pukul 10.00 pagi. Pantas Hafiya mencapai bagasinya.
“Aku pergi dulu,” ujar Hafiya pendek.
Lidia mengangguk, lalu tubuh Hafiya didakap seerat yang mungkin.
“Kau pun kena jaga diri ya.” Sempat Hafiya berpesan.
“Kau pun sama,” balas Lidia ringkas.
Hafiya senyum ringkas. Tubuhnya dipaling. Langkah diatur dengan penuh kepayahan. Jika diikutkan hati, dia tidak ingin meninggalkan bumi Malaysia. Bahkan, dia tidak akan sesekali meninggalkan datuknya. Namun, dia tidak punya daya. Jika dengan cara ini dapat membantunya untuk kembali menjadi Hafiya yang dulu, dia rela dalam terpaksa.
“Fiya!”
Suara Lidia yang memekik memanggilnya tiba-tiba membuatkannya terkejut. Pantas dia berpaling. Wajah panik Lidia membuatkan jantungnya berdegup pantas. Langkah Lidia yang pantas menghampirinya semakin mambuatkan Hafiya dilanda risau.
“Fiya...” Lidia menggenggam kemas jemari Hafiya. Pandangan mata Lidia yang berkaca dibalas meminta kepastian. “Tan Sri...”
Duppp! Semakin pantas debaran dada Hafiya mendengar sebaris nama itu. Datuk?
“Kenapa dengan atuk?” pintas Hafiya tidak sabar. Jemari Lidia turut digenggam kemas.
“Amalin baru call. Dia kata...”
“Kenapa dengan atuk?!” Nalurinya mula mengatakan ada sesuatu yang menimpa datuknya itu.
Bila Lidia menyuarakan sebabnya, beg tangannya terus jatuh dan Hafiya seolah-olah tidak dapat untuk berdiri. Tanpa sedar dia berpaut pada lengan sahabatnya itu.

HAFIRDA mengetuk pintu bilik Kuza dengan cemas. Tombol pintu dipulas sebelum mendengar suara ibu saudaranya itu menjemput masuk.
“Mak su...” Hafirda menyapa dengan panik.
“Eh, kenapa ni Fida?” Kuza terus menghampiri anak saudaranya itu. Lengan Hafirda ditarik dan dibawa duduk ke sebuah kerusi. Muka Hafirda yang pucat mengundang rasa hairannya. Apa saja yang mengganggu anak saudaranya itu.
“Atuk...” Hafirda memandang Kuza.
Kuza kerut dahi.
“Kenapa dengan atuk? Dah sampai ke?” Tenang Kuza bertanya.
“Setiausaha atuk baru bagi tahu yang atuk kemalangan dan kini di hospital.”
Berubah terus riak wajah Kuza. Berita tersebut sedikit mencuri ketenangannya.Terduduk terus dia di atas kerusi.
“Mak su...” panggil Hafirda. Tadi dia yang kerisauan. Kini giliran mak saudaranya pula.
“Mak su!” panggil Hafirda sedikit kuat.
“Hah? Err, atuk macam mana?” tanya Kuza tergagap-gagap.
“Fida tak tahu. Pihak hospital yang telefon setiausaha atuk tadi. Kita nak pergi jenguk atuk ke tak?”
Kuza diam tanpa sebarang reaksi.
“Mak su!”
“Ya...”
“Hesy! Mak su ni kenapa? Dari tadi Fida tanya tak nak jawab,” rungut Hafirda.
“Fida,” panggil Kuza tiba-tiba.
“Ya.” Hafirda menjawab malas.
“Hubungi Encik Zakir,” ujar Kuza tiba-tiba.
Berkerut dahi Hafirda dibuatnya. “Mak su, atuk tu tak mati lagilah. Kenapa nak jumpa peguam? Mak su ni biar betul!”
Kuza terus meluru ke arah anak saudaranya itu. Bahu Hafirda dipegang kemas.
“Fida dengar sini, mak su nak bagi tahu. Kita kena cepat sebelum Hafiya yang bertindak. Mak su kenal benar dengan perangai ayah mak su tu. Atuk akan serahkan semua hartanya pada Fiya dan kita gigit jari saja nanti,” jelas Kuza panjang lebar.
Giliran Hafirda untuk diam. Dia mula berfikir panjang. Ada betulnya apa yang diakatakan oleh mak saudaranya itu. Jika mereka lambat bertindak, semua harta akan jatuh di ke tangan adiknya itu. Hafirda membalas pandangan Kuza dengan senyuman.
“Betul juga tu,” sokong Hafirda.
Kuza mengangguk dengan senyuman.
“Tapi mak su, macam mana kalau atuk tak apa-apa?” Hafirda kembali diterjah rasa risau.
Kuza diam.
“Fida rasa apa yang mak su fikir?” soal Kuza dengan senyuman.
Dahi Hafirda berkerut. “Jangan cakap yang mak su nak...”
Pantas kuza menutup mulut anak saudaranya itu dengan tangan.

“Shh, jangan cakap apa-apa. Sekarang ni Fida, dinding pun ada telinga tau,” bisik Kuza

No comments:

Post a Comment