BAB 5
PERLAHAN Dayana meleraikan reben yang melilit segulung
kertas putih bersaiz A3 di tangannya. Terbeliak matanya melihat sebuah lukisan
yang terlukis wajahnya, dahinya berkerut sedikit, memutar kembali apa yang
berlaku sepanjang tempoh seminggu dia cuba untuk menawan hati lelaki itu. Pada
hari terakhir ini Faiz hadir dan memberikan sesuatu yang dikatakan oleh lelaki
itu sebagai ‘hadiah’.
Dayana masih
menatap lukisan itu, wajahnya tanpa senyuman yang sedang bersandar di dahan
pokok rendang di tepi tasik itu bukanlah menarik hatinya, tapi entah mengapa
hatinya benar-benar tersentuh. Pandangannya jatuh pada sebaris ayat di hujung
lukisan tersebut.
Dayana..My lady.
Jantung
Dayana mula berdegup kencang, kini dia mula yakin dengan perasaannya.
Airmatanya tiba-tiba mengalir, terbayang akan wajah Faiz ketika menyerahkan
lukisan itu kepadanya tadi. Betapa sekeping hati itu kecewa kerana
permainannya.
“Ini potret
yang kau nak.” Ujar Faiz, segulung kertas lukisan diserahkan kepada Dayana.
“Potret?”
dahi Dayana sudah berkerut seribu. Wajah Faiz dipandang pelik.
“Kau suruh
aku ajar kau lukis potret kan? Ni lah potretnya.”
Dayana
menggeleng perlahan, masih belum memahami maksud lelaki itu. Huluran potret
tersebut disambut perlahan.
“Tapi..saya
tak belajar apa pun.” Dayana menjawab teragak-agak, ada getar dalam nada
suaranya. Pandangan Faiz dibalas, entah kenapa pandangan itu tidak seperti
selalu. Redup!
“Dalam tempoh
seminggu ni aku belajar banyak dari kau. Sebenarnya, aku sendiri tak pandai
lukis potret.” Faiz ketawa kecil.
Dayana sudah
menggigil sendiri, seminggu? Wajah Faiz dipandang lagi.
“Faiz..”
“Dayana, aku
tahu segalanya. Aku tahu yang kau bertaruh dengan Tasya untuk dapatkan aku.”
Ujar Faiz perlahan. Gulungan lukisan di tangan Dayana terus jatuh ke lantai.
Jantungnya berdegup pantas, dia jadi sebak tiba-tiba. Entah kenapa di ruang
yang luas ini dia tidak mampu untuk bernafas dengan baik walau sehela pun.
“Cukuplah
Dayana..seperti yang aku bagitahu kau dulu, kau dah terlalu banyak terluka.
Bagi peluang untuk diri kau untuk merasakan kasih sayang yang sebenarnya.
Takkan sudah kalau kau terus begini.” Sambung Faiz lagi, Dayana dihampiri.
Jemari yang sudah menggigil itu dicapai dan digenggam erat.
Dayana sudah
terkaku sendiri, tidak mampu untuk berbuat apa-apa. Airmatanya terus mengalir,
hanya pandangannya yang masih terpaku pada seraut wajah yang keruh sedari tadi.
“Kau istimewa
Dayana, itu yang manarik hati aku.” Ujar Faiz, genggaman di tangan Dayana
dilepaskan, dia menunduk mencapai kertas lukisan yang terdampar di kaki Dayana.
“Buka hati
kau, dan seseorang akan datang untuk meminta tempat di sana.” Lukisan tersebut
bertukar tangan. Airmata Dayana jatuh lagi, lidahnya kelu tiba-tiba, anggota
badannya yang menjadi kaku dan pandangan matanya saja menghantar langkah Faiz
meninggalkannya dengan seribu persoalan yang masih belum ada jawapannya. Kenapa
dan bagaimana semua ni berlaku?
*************
DAYANA sudah menunduk di hadapan Tasya dan dua orang
kawannya yang sudah menyengih. Inilah masanya! Dayana kalah pada seorang lelaki
bernama Faiz Rafzal!
“Bagaimana
Yana?” soal Tasya dengan angkuhnya. Dia yakin benar yang Dayana belum dapat
menawan hati Faiz, dia sudah mencuba banyak kali dengan pelbagai cara, namun
lelaki itu senang saja menolaknya.
“Ala
Tasya..aku yakin dua ratus peratus yang Yana tak boleh, sepanjang minggu ni kau
bukan tak tahu ke hulu ke hilir dia kejar si Faiz tu, tapi Faiz buat tak tahu aje.”
Sampuk salah seorang sahabat Tasya.
Dayana masih
enggan bersuara, fikirannya bukan di sini, tapi masih lagi bersama dengan Faiz,
masih banyak persoalan yang memerlukan jawapan dari lelaki itu.
Tasya dan dua
orang rakannya sudah ketawa gembira.
“Well..Yana The Killer Eyes, Faiz tak makan dengan pandangan mata kau tu ke?”
sindir Tasya lagi.
“Dayana..kau
harus terima yang zaman kau dah berakhir. Mulai dari sekarang, kau bukan lagi
ratu kat sini.”
“Kau nak aku
buat apa?” Dayana mula bersuara. Jelek melihat ketawa Tasya dan rakannya.
“Wow! Tak
sabar nampaknya. Okeylah...memandangkan kau dah kalah, dah tentu kau kena ikut
cakap aku kan. Jangan risau..tak teruk sangat pun, sekadar pusing padang tu,
sepuluh pusingan cukup Yana?” sinis Tasya.
“Itu aje ke?
Okey.” Balas Dayana dengan senyuman kecil.
“Aku tak
habis cakap lagilah Yana.” Tasya sudah mengisyaratkan rakannya menyerahkan beg
yang dibawa mereka tadi.
“Nah!” beg
tersebut diserahkan pada Dayana.
“Apa ni?”
“Dah tentu
bukan hadiah. Aku nak kau berlari guna barang dalam tu.”
Dayana sudah
mengerutkan dahinya, barang di dalam beg tersebut sudah diselelongkar, hampir
terbeliak matanya. Satu persatu barang tersebut diamati. Kasut tumit tinggi,
gaun panjang berwarna merah jambu terang dan rambut palsu, mata Dayana sempat
menangkap sehelai kad manila yang tertulis perkataan ‘LOSER!’. Dayana sudah
mengetap bibirnya, terus dia memandang tajam kearah Tasya.
“Kau dah gila
ke Tasya?” soal Dayana dengan suara yang sudah meninggi.
“Kau takut
ke?” balas Tasya pantas.
Dayana
terdiam sejenak sebelum bibirnya mengukir senyuman, kehairanan Tasya dibuatnya.
“I’am sorry Tasya” ujar Dayana tiba-tiba.
Tasya di sebelah sudah kehairanan.
“Aku tak
sangka pulak yang kau berdendam sangat dengan aku sebab aku rampas Johan dari
kau dulu. Kasihan kau kan?” Tasya sudah membahang, tajam matanya menjeling
Dayana.
“Dengan apa
yang aku dah buat, tak cukup sekadar berlari sepuluh pusingan dengan
menggunakan kasut tumit tinggi ni. Kau
mesti sakit hati kan sebab Johan tinggalkan kau macam tu aje kerana aku.”
Dayana menunduk seketika mengambil kasut tumit tinggi. Gaun panjang terus
disarungkan di badannya, tak lupa rambut palsu ala allycat turut dipasang di
kepalanya.
“Apa kau
cakap..?!” suara Tasya sudah meninggi, panas hatinya dengan sindiran Dayana.
“Opps! Lupa
pulak..aku dengar sehari selepas aku tinggalkan Johan hari tu, dia terus balik
semula dengan kau kan. Emm..kasihan kau. Johan jadikan kau pilihan kedua.”
Dayana memandang sedikit kearah Tasya, puas hatinya kerana dapat mengenakan
perempuan tu.
“Tasya..agak-agaknya
kalau aku pikat Johan balik, dia akan tinggalkan kau macam dulu tak?” sinis
Dayana dengan senyuman.
“Kau!”
mencerlung mata Tasya memandang Dayana.
“Bye!” Dayana terus berlari meninggalkan
Tasya dan rakannya, lariannya di atur ke tengah padang. Kulitnya mula perit dek
gigitan cuaca yang makin membahang. Matahari menegak di kepala, keluhan
dilepaskan. Padang yang luas terbentang itu dipandang dengan keluhan.
Dayana
termengah-mengah kepenatan, belum habis satu pusingan dia sudah keletihan. Gaun
yang panjang dan kasut tumit tinggi sangat menyukarkan lariannya, sempat Dayana
membuang pandang kearah beberapa kumpulan pelajar yang sudah berdiri di tepi
padang, masing-masing memandangnya penuh dengan ejekan. Dayana jadi akur
sendiri biarpun ada segelintir pelajar yang mula mengeluarkan pelbagai bunyi
untuk mengejeknya.
“Yana..kau
boleh!” Dayana menghela nafas berat. Telinga cuba dipekakkan dari mendengar
ejekan dari pelajar yang lain, kata-kata semangat sudah dihembuskan untuk
dirinya sendiri. Dayana mempercepatkan lariannya, kakinya mula terasa lenguh,
kepalanya pula sudah berdenyut pusing.
“Kau buat apa
ni?!” satu suara yang agak garau sudah menyapa keras dari arah belakang.
Langkah Dayana sudah terhenti, perlahan dia menoleh kearah suara di
belakangnya. Terbeliak matanya bila melihat seraut wajah yang sudah memerah
itu.
“Aku tanya
kau buat apa ni? Kau dah gila ke?!” sergah suara itu lagi dengan mata yang
sudah mencerlung marah, penampilan Dayana dipandang dari atas hingga bawah, dia
sudah berdesit geram. Tajam matanya menjeling Dayana yang kian bermandi peluh.
“Bukan urusan
awak.” Dayana malas untuk memanjangkan cerita, dia memalingkan tubuhnya. Segera
dia mempercepatkan lariannya, tidak sanggup rasanya untuk terus berdepan dengan
seraut wajah itu. Tiba-tiba dia merasakan tubuhnya ditarik kuat dari arah
belakang, sekali lagi Dayana berpaling ke belakang.
“Kau tak ada
maruah ke? Dah tak tahu malu?” marah suara itu dengan nada yang sudah meninggi.
“Awak ni
kenapa? Ini bukan urusan awak, tolong jangan ganggu saya lagi. Cukuplah
sepanjang tempoh ni awak dah cukup huru harakan hidup saya, hati saya. Awak nak
apa lagi?!” Dayana tidak mampu menahan marahnya, sudahlah dia kepenatan, lelaki
itu pula datang dan menengkingnya sesuka hati.
Faiz tidak
mampu mengalihkan pandangannya dari wajah yang sudah membahang merah itu. Masih
terngiang-ngiang kata-kata dari mulut kecil Dayana seketika tadi. Dayana yang
menyedari keterlanjuran katanya lantas menarik tangannya dari pegangan Faiz,
langkahnya diatur dari terus mengadap lelaki itu.
“Dayana..”
sekali lagi Dayana menoleh bila terasa jemarinya dipaut sekali lagi. Pandangan
dari Faiz dibalas buat sekian kali.
No comments:
Post a Comment