Bab 5
ARIQ dan Man Acong masih lagi duduk di ruang menunggu.
Orang yang diselamatkan oleh mereka tadi masih lagi berada dalam unit
kecemasan. Dalam perjalanan menghantar pesanan tong-tong gas kepada pelanggan,
Ariq dan Man Acong melihat kereta yang tersadai di bahu jalan. Rupa-rupanya,
kereta Mercedes yang dipandu oleh warga emas itu terbabas apabila melanggar
penghadang jalan.
“Riq, Mr. Alex call dari tadi ni.
Macam mana ni?” Man Acong pula tidak senang duduk bila Mr. Alex tidak berhenti
menghubungi mereka dari tadi. Tidak dapat menghubungi Ariq, dia pula yang
menjadi mangsa.
Dahi Ariq masih berkerut dari tadi. Dia masih cuba mengingati di mana dia
pernah jumpa lelaki itu? Wajahnya seperti pernah dia jumpa, tapi lupa pula di mana.
“Ariq!” panggil Man Acong sedikit kuat.
“Ya!” Ariq tiba-tiba menjerit.
“Kita kena gerak sekarang sebelum Mr. Alex bertukar jadi raksasa,” sambung
Man Acong.
“Aku ingat dah.”
Man Acong kerut dahi. Hairan dengan tingkah Ariq.
“Dialah pak cik yang aku cakap dulu,” sambung Ariq lagi.
Dahi Man Acong masih lagi berkerut. “Pak cik mana pula ni, Riq?” Man Acong
garu kepala. Sudahlah dia pening dengan deringan telefon yang tidak berhenti
dari tadi.
“Ingat lagi tak aku pernah bagi tahu yang aku terserempak dengan seorang
pak cik yang terkena serangan jantung? Bagi aku kad dan tawarkan aku kerja yang
lebih baik sebagai tanda terima kasih. Ingat lagi tak?” Ariq cuba mengorek
sejarah setahun yang lalu.
Dia masih ingat lagi wajah ramah lelaki tua yang masih bertarung nyawa
dalam unit kecemasan tersebut. Dialah lelaki sama yang terkena serangan jantung
setahun yang lepas. Patutlah dia rasa dia pernah jumpa lelaki itu.
“Riq, jomlah kita sambung balik kerja kita. Nurse itu pun dah hubungi keluarga dia.” Man Acong berbicara lagi.
Matilah nanti kena dengan penyelia mereka yang cekik darah itu. Ada saja
salah yang dicari untuk memotong gaji mereka. Sudahlah gaji mereka bulan lepas
kena potong dek cermin sisi lori yang dipecah oleh gadis Nissan Skyline yang
cun itu.
“Atuk saya mana? Awak yang bawa atuk saya ke hospital, kan?” Satu suara
cemas mencelah tiba-tiba.
Serentak Ariq dan Man Acong menoleh. Terlopong mulut kedua-duanya.
Man Acong membeliakkan sepasang matanya. Gadis Nissan Skyline, gumam Man
Acong dalam hati.
Begitu juga dengan Hafiya. Wajah cemasnya jelas terkekejut melihat dua raut
wajah di hadapan mereka. Ariq pula beriak selamba walaupun sepasang matanya
tidak dapat dilarikan daripada menatap wajah di hadapannya itu. Hafiya
melepaskan nafas berat.
“Atuk saya mana?” Hafiya bertanya lagi, namun lebih tenang daripada tadi.
Sempat matanya menangkap Man Acong yang menyiku lengan Ariq.
“Atuk? Lelaki dalam tu, atuk awak ke?” Man Acong pantas mencelah.
Alang-alang Ariq tidak menjawab, baik dia yang mengatur langkah untuk mengurat
gadis Nissan Skyline ni.
“Tan Sri mana? Macam mana dengan keadaan dia?” Lidia mencelah apabila melihat
Hafiya seolah-olah begitu lelah bersoal jawab dengan dua jejaka di hadapan
mereka.
“Tan Sri? Atuk? Yang mana satu ni?” Man Acong dengan dungunya bertanya
lagi. Kepalanya digaru tidak henti.
Hafiya sudah berdesit geram.
“Masih dalam ICU. Nurse tak bagi
tahu ke?” tempelak Ariq tiba-tiba.
Sempat Hafiya mendongak membalas pandangan Ariq menikam pandangannya.
Lidia memeluk bahu Hafiya. Menenangkan sahabatnya itu. Tubuh itu terus
ditarik menuju ke sebuah kerusi berhadapan dengan Ariq dan man Acong. Sampai
saja di tempat duduk, Hafiya terus menyandarkan kepalanya ke dinding. Tanpa
sedar air matanya mengalir sedikit demi sedikit. Lelaki asing yang berada di
hadapannya seolah-olah ghaib dalam penglihatannya.
“Fiya, dahlah tu. Insya-Allah, Tan Sri tak apa-apa,” pujuk Lidia sambil menggenggam
erat tangan Hafiya.
“Aku tak sanggup Lia. Aku tak sanggup nak tanggung rasa ini lagi.” Hafiya
mangadu tiba-tiba, seperti anak kecil lagaknya.
Ya, sememangnya itulah yang dia rasakan kini. Bagaimana kalau ada sesuatu
yang menimpa datuknya? Kuatkah dia untuk menerima satu lagi kehilangan dalam
hidupnya? Dia tidak sekuat itu! Tidak selepas dia kehilangan kekasih hatinya!
“Fiya...” Lidia mengelus lembut rambut Hafiya. Dia tahu benar apa yang
Hafiya maksudkan.
“Aku dah kehilangan Nizam dan aku tak sanggup kehilangan atuk.”
“Bawa istighfar banyak-banyak. Insya-Allah, takkan ada apa-apa yang berlaku
pada Tan Sri,” pujuk Lidia lagi.
Ariq hanya tunduk mendengar sambil berpeluk tubuh. Namun setiap bait ayat
yang keluar dari mulut gadis itu meresap jauh ke dalam hatinya. Entah kenapa
rintihan itu turut merenggut sekeping hatinya.
“Riq...” Suara Man Acong berbisik tiba-tiba.
“Hmm...”
“Masa inilah kalau nak masuk daun,” balas Man Acong lagi.
Ariq mula pamer muka pelik.
Man Acong mendekatkan lagi mulutnya ke telinga Ariq. “Orang tua-tua cakap,
perempuan ni, hatinya lembut bila time-time
sedih ni. Kalau kau masuk jarum, pasti menjadilah!”
Sekarang baru Ariq faham. Ariq tersenyum sedikit sebelum menunjukkan
penumbuknya ke arah Man Acong. Masa genting inilah Man Acong buka falsafah
mengarutnya itu.
“Encik?” Lidia memanggil Ariq tiba-tiba.
Ariq mendongak.
“Tak perlu berencik-encik. Panggil saja Ariq. Yang ini kawan saya, Man
Acong.” Ariq memperkenalkan diri. Sempat dia mengerling sedikit ke arah Hafiya yang
masih menyandarkan kepalanya sambil menutup mata. Kasihan pula Ariq melihatnya.
“Maaf saya nak bertanya. Teruk ke kecederaan Tan Sri?” tanya Lidia sopan
dengan seulas senyuman di bibirnya.
“Saya yang turun dulu dari lori bila nampak kereta dia terbabas. Nama cik
adik manis ni apa?” Man Acong pantas saja memintas.
Terkejut juga Lidia dibuatnya. “Lidia Rayana. Panggil Lia pun boleh.”
Man Acong tersengih. “Cantik nama tu, macam rama-rama.”
Gurauan Man Acong membuatkan Lidia ketawa kecil.
Ariq terus menyiku lengan Man Acong. Pantang nampak perempuan cantik sikit!
“Maaf Cik Lia. Kecederaan Tan Sri tak berapa teruk. Kita tunggu dulu doktor
cakap apa,” balas Ariq sambil matanya memandang sedikit ke Hafiya yang langsung
tidak menunjukkan sebarang reaksi.
Secara jujurnya, Ariq tidak dapat memastikan keadaan Tan Sri Arman
memandangkan Tan Sri Aman sudah tidak sedarkan diri setelah dibawa ke hospital.
“Fiya, kau dengar kan dia cakap apa? Insya-Allah, atuk kau tak apa-apa.”
Hafiya hanya mengangguk. Dia mengerling sedikit Ariq yang turut memandangnya.
Pandangan mereka berlaga sebelum masing-masing menoleh ke arah lainn.
Ariq memangang dadanya. Ada sesuatu yang bergetar dalam hatinya.
SELANG hampir sejam Tan Sri Arman berada dalam unit kecemasan,
lampu merah bertukar hijau. Pantas Hafiya menghampiri seorang lelaki yang
mengenakan jubah putih doktor yang baru sahaja kelaur dari bilik tersebut.
“Datuk saya macam mana doktor?” Wajah panik Hafiya jelas kelihatan.
Pegangan tangan Lidia semakin dieratkan.
Ariq dan Man Acong hanya memandang dari kejauhan. Sesekali mata hitam
mengerling wajah putih itu. Ada sesuatu pada wajah itu membuatkan sepasang mata
Ariq tidak mampu lari.
“Cik ni keluarga pesakit ke?” Doktor tersebut sopan bertanya.
“Ya, saya cucunya. Kakak dan mak su saya dalam perjalanan.”
Doktor muda tersebut mengangguk.
“Alhamdulillah, pesakit dan melepasi tahap kritikal. Kami akan pantau
keadaan pesakit dari masa ke semasa. Cuma, degupan jantung pesakit masih lemah,”
jelas doktor itu lagi.
“Alhamdulillah.” Lidia dan Hafiya serentak
mengucap syukur.
“Pesakit belum sedarkan diri. Kami akan pindahkan
dia ke wad biasa. Kamu semua boleh melawatnya nanti. Saya minta diri dulu.”
Hafiya angguk. Mujur tiada apa-apa yang berlaku.
Cuma sakit jantung datuknya itu yang merisaukannya sejak dulu.
“Alhamdulillah Fiya. Kan aku dah cakap atuk kau
tak apa-apa.”
Hafiya senyum. Bila matanya menjamah seraut wajah Ariq,
senyumannya mati. Setapak demi setapak langkahnya diatur menghampiri Ariq dan
Man Acong. Sempat pula Man Acong menyiku lengan Ariq. Petanda baik baginya bila
Hafiya melangkah ke arah mereka.
“Awak kan yang selamatkan atuk saya?” tanya
Hafiya.
Ariq dan Man Acong tidak terus menjawab. Ariq pula
hanya membalas pandangan Hafiya yang tidak menggambarkan sebarang rekasi. Man
Acong menyiku Ariq bila suasana tegang yang mengelilingi mereka.
Hafiya mengeluh sekejap. Pelik pun ada dengan
tingkah Ariq. Memandangnya seolah-olah dia ada berhutang berjuta-juta dengan
lelaki itu.
“Ya, ya. Kami yang selamatkan atuk awak!” Pantas
Man Acong menjawab dengan senyuman.
Hafiya tersenyum sinis. Dia membuka beg tangannya.
Sebuah buku cek dikeluarkan. Laju tangannya menulis sesuatu di atas sekeping
cek.
Tidak berkelip mata Ariq memandang tingkah Hafiya,
lalu kepalanya digelengkan perlahan.
Lidia mula tidak senang hati. Lengan Hafiya
dipegang kejap.
“Fiya kau buat apa ni?” Lidia menegur. Dia dapat
melihat riak tidak senang di pada wajah lelaki yang bernama Ariq itu.
Hafiya enggan mempedulikan sahabatnya itu. Cek
yang siap ditandatangan dihulurkan kepada dua orang lelaki itu.
“Bila saya tanya awak soalan dan awak hanya buat
bodoh saja tanpa menjawab apa-apa, jadi saya anggap, awak tunggu sesuatu daripada
saya. Ini ganjarannya sebab selamatkan atuk saya. Sekarang, atuk saya tak apa-apa.
Kamu berdua bolehlah balik sekarang.”
Melopong mulut Man Acong mendengarnya. Ariq pula
bersahaja sambil tajam matanya memandang Hafiya.
“Fiya...” Lidia kebingungan.
“Kenapa? Tak cukup?”
“Terima kasih kerana selamatkan datuk saya.
Sekurang-kurangnya itu yang patut aku dengar. Bukan soalan dan perangai bodoh
yang pasti kau dah tahu jawapannya.” Sinis Ariq menembak dan kata-kata pedasnya
membuatkan Hafiya jadi kelu.
Man Acong dan Lidia sudah tergamam.
Hafiya dan Ariq sama-sama membalas pandang. Tidak
lama kemudian kedengaran tawa Hafiya memenuhi ruang antara mereka.
“Okey. Saya tahu kenapa. Maaflah, salah saya.”
Ariq tersenyum, dibiarkan saja bila Hafiya membuka satu lagi cek dengan jumlah
yang lebih tinggi.
“Sepatutnya saya faham kenapa awak berperangai macam
tu. Tak cukup jumlah seribu tu kalau dibahagi dua. Tak apa, ini saya naikkan
lagi jumlahnya. 5 Lima ribu ringgit. Cukup, kan?” Sekali lagi Hafiya
menyerahkan cek kepada Ariq.
Tanpa membuang masa, Ariq menyambut huluran cek tersebut.
Itu sudah cukup membuatkan Hafiya tersenyum kemenangan.
“Lima ribu?” Ariq memandang cek tersebut.
“Kenapa? Tak cukup?” Pantas Hafiya menjawab.
Ariq senyum. “Sikit. Terlalu sedikit,” jawab Ariq.
Hafiya kehairanan. “Saya dah agak...”
“Ini saja ke jumlah harga nyawa datuk kau?
Kasihan, harap muka saja cantik, tapi budi bahasa tak ada!” Tanpa sebarang
isyarat, cek tersebut dilempar tepat mengena wajah Hafiya.
Besar mata Hafiya memandang Ariq. Marah mungkin.
“Ariq...” Giliran Man Acong menegur. Dia tahu,
Ariq sekarang tengah panas. Dia kenal benar dengan Ariq. Pantang jika ada orang
merendahkan maruahnya.
Hafiya tersenyum sekejap sebelum tunduk mencapai
cek dari kakinya.
“Kalau tak cukup, bagi tahu saja. Jangan berlagak
macam ni.” Sinis ayat Hafiya, membautkan mata Ariq kemerahan menahan marah.
“Hafiya, datuk kau tak sihat lagi. Janganlah buat
hal,” nasihat Lidia.
“Aku tak hadaplah duit kau!”
Hafiya terus memandang Ariq. Berani sungguh lelaki
ini mencabar kesabarannya.
“Hafiya!” tegur satu suara dari belakang. Serentak
mereka semua menoleh.
SEJURUS selepas Ariq dan rakannya beredar, Hafiya terus
memulas tombol kunci pintu bilik datuknya.
Kuza dan Hafirda pula saling berpandangan. Masing-masing keliru dengan apa
yang menyapa pandangan mereka seketika tadi.
“Apa hubungan Fiya dengan lelaki tu, mak su?” Hafirda masih tidak berpuas
hati selagi belum mendapat jawapan.
Kuza hanya jongket bahu.
“Lelaki itulah yang selamatkan Tan Sri,” sampuk Lidia yang turut mengikuti
langkah Hafiya ke dalam bilik rawatan.
Hafirda mempamer muka muncung, mengajuk kata-kata Lidia, sahabat baik
adiknya itu. Hafirda memang sudah lama tidak berkenan dengan Lidia. Gadis itu
begitu lantang mengkritiknya tanpa peduli siapa dirinya.
“Kenapa Fida nampak dia bagi cek kat lelaki tu, mak su?”
“Manalah mak su tahu. Ganjaran kut,” teka Kuza.
“Jomlah kita jenguk atuk.” Kuza terus menarik lengan anak saudaranya itu.
No comments:
Post a Comment