Monday, October 26, 2015

Pandu Arah Ke Hati

Bab 7

“PAK CIK tak apa-apa? Kalau tak baik lagi, saya boleh tolong hantarkan ke hospital.” Ariq bertanya lagi selepas beberapa minit dia membantu pak cik tersebut untuk makan ubat kerana tiba-tiba terkena serangan jantung.
Pak cik tersebut hanya mengangguk sambil tangannya masih memegang bahagian dada yang terasa perit.
Ariq memandang penuh kerisauan. Mujur saja mata Ariq cepat menyapa sebuah kereta Mercedes yang sudah tersadai di bahu jalan. Bila Ariq turun untuk membantu, panik dia dibuatnya bila melihat keadaan pak cik tersebut sudah tercungap-cungap mencari nafas. Ariq melirik sedikit ke wajah yang sudah dimamah usia tersebut. Kelihatan tenang walaupun tadi dilanda sesak nafas.
“Pak cik betul-betul dah okey ke?” soal Ariq hanya untuk memanstikan keadaan pak cik tersebut semakin membaik.
“Pak cik okey, nak.”
Ariq menghembus nafas lega bila pak cik tersebut sudah mula bersuara.
“Selepas ini, pak cik kena terus ke hospital. Pak cik nak saya tolong hubungi keluarga pak cik ke?” Ariq sekali lagi menawarkan diri untuk membantu.
Pak cik itu hanya senyum sambil membetulkan duduknya. Terasa lapang sedikit dadanya. Mujur saja tidak banyak kenderaan yang lalu di kawasan itu, kalau tidak dia tidak tahu apa nasibnya.
“Terima kasih sebab tolong pak cik,” ujar pak cik itu bersungguh-sungguh.
“Eh, tak apa pak cik. Saya cuma tolong berikan ubat saja.” Ariq bersikap merendah diri.
“Tak tahu pula tiba-tiba terkena serangan jantung ni. Selalunya sakit pak cik ni tak selalu datang menyerang. Kalaulah cucu pak cik tahu memang tak dapatlah pak cik nak memandu sendiri.”
Ariq tersenyum. Sempat lagi pak cik itu bergurau di saat bagitu. “Terima kasih banyak-banyak ya. Kalau tidak keberatan, jom kita sarapan sama-sama.”
“Tak mengapa pak cik. Lagipun saya tengah berkerja sekarang.” Ariq menolak lembut.
“Kerja?”                     
Ariq angguk, lalu tangannya menunjukkan sebuah lori treler yang penuh berisi tong gas yang masih diparkir di bahu jalan.
Pak cik tersebut hanya mengangguk tanda faham. Tidak lama selepas itu dia mengeluarkan sekeping kad dan dihulurkan kepada Ariq. “Ini kad pak cik. Kalau perlu apa-apa pertolongan atau kerja yang lebih baik, telefon saja pak cik. Insya-Allah, pak cik akan bantu.”
Ariq kehairanan, namun disambut juga huluran kad pak cik tersebut.

ARIQ tersedar bila terasa bahunya dilanggar oleh seseorang. Tangan kirinya terus menggosok bahu kananya yang terasa pedih.
“Eh, buta ke?” Serentak itu juga telinganya menangkap suara nyaring dari arah belakang.
“Apa...” Terlopong kedua-duanya. Hanya pandangan mata yang berbicara.
Gadis itu tersenyum sinis. Riak yang sering dia pamerkan kepada lelaki bernama Ariq itu. “Awak lagi? Buat apa pula ke mari?”
Kali ini giliran Ariq pula yang tersenyum. Soalan jenis apakah yang ditanya oleh perempuan sombong itu? Ariq meliarkan matanya memandang ke sekeliling. Dia kini berada di hospital. Tempat di mana datuk perempuan sombong itu dirawat. Ariq merapatkan sedikit dirinya ke arah gadis tersebut. Bila Ariq merapat, gadis itu pula semakin mengundur.
“Boleh ulang tak soalan kau tadi? Kau tanya, aku buat apa ke sini?” Ariq mencerlungkan biji matanya.
Hafiya mati kata. Dia hampir lupa yang dia menelefon lelaki tersebut semalam.
“Kau nak aku jawab soalan ‘bijak’ kau tu?” Ariq senyum senget. Seronok rasanya melihat riak bersalah gadis itu.
“Tak, maksud saya, kenapa datang hari ini? Saya call awak semalam, kan? Sepatutnya semalam awak kena datang.” Yes! Hafiya ketawa dalam hati. Gembira kerana dapat mencari alasan untuk mengalahkan lelaki itu.
Ariq diam. Jauh pandangannya memandang wajah Hafiya. Tanpa sebarang mekap. Sedikit lesu, namun masih lagi ada serinya. Sempat pula Ariq menilik wajah itu.
“Kenapa diam?” Dengan sombong Hafiya bertanya sambil berpeluk tubuh.
“Aku diam, sebab seingat aku, tak ada pun kau kata nak aku datang dengan segera. Kau cuma cakap, yang datuk kau nak jumpa aku saja. Aku yang pelupa atau kau yang sengaja mencipta alasan nak jumpa aku sangat?”
Membuntang biji mata Hafiya memandang Ariq. Menggeleng Hafiya dibuatnya, sama sekali dia tidak menyangka yang Ariq boleh menuturkan ayat begitu. “Execuse me! Jangan nak perasan boleh tak? Awak tu cuma pemandu lori treler. Siapa yang nak sangat jumpa dengan awak?”
Ariq senyum tenang. Tiada tanda bahawa dia terasa dengan kata-kata Hafiya.
“Kau jangan pandang rendah dengan pemandu treler seperti aku. Sebab, kau tak tahu, yang aku juga boleh pandu hati kau ke hati aku.” Ariq senyum sinis sebelum melangkah laju meninggalkan Hafiya yang masih terkulat.
Terbakar Hafiya dibuatnya. Pandu hati aku ke hati kau? Huh, mimpilah! desis Hafiya geram.
                                                                                     
TERSENYUM Tan Sri Arman melihat Ariq yang sudi datang melawatnya. Rupa-rupanya, dia adalah lelaki sama yang pernah menyelamatkannya setahun yang lalu. Kecil sungguh dunia ini. “Sepatutnya pak cik yang datang jumpa dengan Ariq dan ucapkan terima kasih. Ini terbalik, Ariq pula yang datang jumpa dengan pak cik.”
Ariq yang masih berdiri di kaki katil hanya tunduk mengangguk. Hanya sesekali dia menjawab apabila ditanya oleh lelaki itu.
“Ariq...” panggil Tan Sri Arman lagi.
“Ya, Tan Sri.”
Tan Sri Arman senyum lalu menggeleng perlahan.
“Tak payah nak bertan Sri sangat. Panggil saja macam dulu. Panggil pak cik. Tapi lebih bagus kalau panggil datuk. Mesra sikit.” Rancak sungguh Tan Sri Arman berbual.
Hafiya yang turut berdiri di sebelah kanan katil hanya tersenyum hambar.
“Dah kenal kan dengan Hafiya? Cucu atuk yang bongsu,” soal Tan Sri Arman lagi.
“Ya, dah kenal semalam.”
Tan Sri Arman tersenyum. “Baguslah kalau dah kenal. Ariq, atuk nak ucapkan terima kasih. Masuk kali ini, dah dua kali Ariq selamatkan nyawa atuk. Atuk benar-benar terhutang budi.”
“Tak mengapa...”                               
“Atuk, panggil saja atuk.”
Hafiya menjeling Ariq. Berbulu pula dia melihat layanan mesra datuknya kepada Ariq yang baru sahaja dia kenal.
“Datuk, tak apa. Tak menyusahkan pun. Lagipun, orang lain pun akan berbuat perkara yang sama kalau berada di tempat saya.”
“Ha, betul tu tuk. Sesiapa pun boleh buat begitu. Kan Ariq, kan?” Hafiya sengaja memaniskan mulut.
Tan Sri Arman memegang sekejap jemari Hafiya.
“Fiya, tak elok cakap begitu. Dia dah selamatkan atuk dua kali tau. Fiya kalau sayang atuk, kena banyak-banyak berterima kasih dengan dia,” nasihat Tan Sri Arman.
Hafiya sudah menarik muncung sedepa. Apatah lagi apabila melihat senyuman yang terlirik pada wajah Ariq ketika itu. Macam memerlinya saja.
“Ariq sekarang masih berkerja bawa lori treler tu ke?” tanya Tan Sri Arman lagi.
“Ya, tuk.”
Tan Sri Arman mengangguk lagi. Entah kenapa dia suka dengan perwatakan Ariq. Hormat orang tua. Yang paling utama rajin berkerja. Berkerja sebagai pemandu lori treler bukannya senang. Kadang-kadang siang malam terpaksa bekerja. Apatah lagi bila terpaksa menghantar pesanan di luar kawasan.
“Maaflah kalau atuk nak tanya lagi. Ariq ni dah kahwin ke?”
Melopong Hafiya dan Ariq mendengarnya.

“FIYA tak nak!” Keras Hafiya membantah.
Terkejut juga Tan Sri Arman dibuatmya. Tidak pernah dia melihat Hafiya sekeras itu.
“Fiya,” tegur Tan Sri Arman.
Mendengar suara datuknya itu, Hafiya mengeluh berat. Sedar akan keterlanjurannya.
“Maafkan Fiya tuk. Tapi, Fiya memang tak nak kahwin dengan dia. Atuk boleh minta apa saja dengan Fiya. Tapi, bukan ini. Bukan kahwin dengan pemandu lori tu!” Hafiya mendengus geram sambil menghentak kaki. Nampak sangat dia menentang keras keputusan datuknya itu. Tiba-tiba sahaja. Tidak pernah datuknya bersikap begitu.
“Inilah permintaan atuk Fiya. Atuk nak Fiya bahagia.” Tan Sri Arman masih bertegas dengan keputusannya.
“Tuk... Fiya akan bahagia kalau tidak kahwin dengan dia. Apa ni tuk? Atuk tak sayangkan Fiya ke? Sanggup ke atuk biarkan Fiya kahwin dengan pemandu lori treler tu? Tak naklah tuk!”
Tan Sri Arman mengeluh berat. Bagaimana untuk dia yakinkan cucunya itu bahawa keputusan ini dibuat demi kebaikannya juga? Demi keselamatan dan masa depan Hafiya. Tan Sri Arman yakin bahawa Ariq mampu melindungi cucunya itu nanti. Tidaklah dia susah hati walaupun selepas ketiadaannya nanti.
Tan Sri Arman memandang jauh ke wajah Hafiya yang jelas tidak setuju dengan permintaannya. Atuk lebih rela membiarkan Fiya kahwin dan hidup susah bersama pemandu lori daripada terpaksa hidup penuh dengan harta kekayaan, tetapi nyawa terancam.
“Tuk!” Hafiya sedikit menjerit memandang datuknya.
“Ya, sayang.”
“Atuk dengar tak? Fiya tak nak kahwin dengan pemandu lori tu.”
“Fiya, Fiya percayakan atuk tak? Pernahkah atuk buat keputusan yang menyusahkan hidup Fiya?”
Hafiya diam. Benar. Memang datuknya sentiasa membuat yang terbaik untuknya. Bahkan, setiap apa yang datuknya lakukan, adalah demi kebaikannya. Tetapi, kenapa kali ini, datuknya itu sanggup nak kahwinkannya dengan pemandu lori?
“Jangan pandang rendah pada orang lain Fiya. Kita tidak tahu apa masa depan dia. Atuk percaya, dia mampu bahagiakan Fiya.”
Buat sekian kalinya, Hafiya menggeleng perlahan. Dia memalingkan wajahnya daripada memandang wajah datuknya yang penuh harapan. “Maafkan Fiya tuk. Fiya tak mampu nak terima orang lain dalam hidup Fiya sedangkan hati Fiya ni masih mencintai arwah Nizam.”
Hafiya mencapai beg tangannya lalu berlalu pergi meninggalkan Tan Sri Arman yang kelihatan hampa.

No comments:

Post a Comment