Saturday, August 20, 2016

Bab 3

YUHANA sudah berdiri tegak di hadapan pintu masuk besar di Bukit Impian. Sempat lagi dia memandang sebuah papan tanda yang bertulis: ‘Dilarang Masuk tanpa kebenaran’
            Yuhana menggeleng. Air liurnya ditelan kelat. Tiba-tiba dia mula cuak. Debar di dadanya mula berlagu rancak. Yuhana menarik nafasnya berulang kali. Belum pernah lagi dia buat kerja gila seperti ini. Kebiasaannya, dia punya rakan-rakan yang akan selalu memberikan maklumat yang dia perlukan. Tetapi, lelaki ini? Ahh, Yuhana menggeleng geram. Tiada satu pun maklumat yang dia perolehi berkait rapat dengan lelaki itu. Segalanya bagaikan terkunci teguh di Bukit Impian tersebut.
            Yuhana membetulkan kacamata hitamnya. Panas yang terik seolah-olah membakar kulitnya sedikit demi sedikit. Dia mendongak sedikit memandang pagar besar yang meninggi di hadapannya itu. Yuhana menarik nafasnya buat sekian kali. Sisa keberanian cuba digali. Dia harus kuatkan hati untuk mencapai misinya. Perlahan dia bergerak ke sudut kanan pintu gerbang tersebut. Kotak loceng dibuka. Butang terus ditekan berulang kali dengan kuat.
            “Ya?” jawab satu suara dari hujung sana.
            Yuhana cepat-cepat membetulkan suaranya.
            “Assalamualaikum,” sapa Yuhana perlahan dengan lemah lembut.
            “Waalaikumsalam, kamu dari Agensi Pekerjaan ke?” soal suara itu lagi dengan lembut. Yuhana terdiam sejenak. Di mindanya mula merangka satu rancangan. Agensi Pekerjaan? Bibir Yuhana terus mengukir senyum. Takdir sedang berpihak padanya.
“Ya, saya. Boleh saya masuk?” soal Yuhana bersama rasa cuak yang masih bersisa.
            “Sila tunggu sebentar ya,” balas suara itu lagi. Yuhana angguk. Terus dia bergerak ke arah keretanya yang diparkir tidak jauh dari pintu masuk. Beg sandangnya ditarik keluar.
            Selang beberapa saat, pintu gerbang tersebut terbuka luas dari dalam. Yuhana ikut sama memandang ke arah pintu pagar yang bergerak tersebut. Segera langkahnya diatur masuk ke dalam ruang Bukit Impian. Sebuah kawasan bukit yang dihiasi dengan landskap yang cantik. Seketika, Yuhana tertarik dengan landskap buatan yang berada di Bukit Impian tersebut. Tidak jauh dari tempatnya berdiri, dia melihat deretan rumah tumpangan yang berkonsepkan tradisional Melayu dan turut dihiasi dengan tumbuhan –tumbuhan hutan yang cantik.
            “Wah!” Yuhana terleka seketika. Lupa akan niat asalnya.
            “Cik,” sapa satu suara dari arah belakang. Yuhana menoleh. Di hadapannya berdiri seorang wanita yang berumur 40-an. Bibirnya terus mengukir senyum buat wanita itu.
            “Mari ikut akak. Tuan muda dah tunggu,” beritahu Salmah dengan ramah.
            Yuhana mengangguk perlahan.
‘Tuan muda?’ Entah kenapa debarnya semakin ketara setelah mendengar sebaris panggilan itu. Adakah Tuan muda yang dimaksudkan oleh wanita itu adalah lelaki sama yang dia mahu dekati?
            Sekali lagi Yuhana terpukau apabila wanita itu membawanya ke sebuah Villa tiga tingkat yang terletak di atas Bukit Impian.      
“Jemput masuk,” beritahu Salmah lagi.
            “Terima kasih, kak,” balas Yuhana lembut.
            “Cik duduk dulu. Tuan muda tengah bersiap. Sekejap lagi dia turun,” ujar Salmah lagi. Dia terus berlalu menuju ke dapur untuk menyiapkan minuman.
            Yuhana terus  melabuhkan punggungnya di atas sebuah kerusi kayu antik yang berukir cantik. Matanya meliar memerhati di setiap pelosok Villa mewah tersebut. Hiasan dalaman di Villa itu cukup mewah. Hampir keseluruhan perabot diperbuat daripada kayu-kayu yang bermutu tinggi.
            “Ehem!” Serentak Yuhana menoleh ke arah suara yang berdeham kasar itu. Sekali lagi mata Yuhana terpaku di situ. Di hadapannya berdiri seorang lelaki yang berpakaian santai. Yuhana tidak mampu mengelipkan mata walau sepicing pun. Dadanya berdebar tidak tertahan. Degupan jantungnya pula seakan-akan mengetuk dadanya sehingga pecah. Perasaan apakah ini? Belum pernah lagi dia merasakan rasa yang sebegini.
            “Kau pandang apa?” Suara garau itu lantas mengejutkan Yuhana dari lena. Kelam-kabut Yuhana dibuatnya. Lelaki itu sempat mengukir senyuman kecil. Geli hati dengan tingkah gadis di hadapannya itu. Langkah kakinya terus diatur menuju ke arah sebuah kerusi kayu yang cantik terukir. Punggungnya terus dilabuhkan ke situ. Kaki turut disilangkan. Pandangan tajamnya terus menikam wajah Yuhana.
            Yuhana semakin gelisah. Tidak selesa apabila ada yang memandangnya dengan pandangan begitu. Penampilannya dipandang dari atas hingga ke bawah. Apa yang tidak kena? Omel Yuhana sendiri. Jauh dari sudut hati, dia mula meragui keputusannya untuk datang ke Bukit Impian.
            “So?” tanya lelaki itu lagi.
            Yuhana mendongak. Memandang lelaki itu dengan wajah keliru.
            “So?” balas Yuhana pula.
Sekali lagi bibir itu dihiasi senyuman. Jantung Yuhana tidak tentu arah dibuatnya.
“Okey, kata nak kerja. Nama siapa?” Mulut Yuhana melopong. Dia baru teringat tentang pekerjaan yang dimaklumkan oleh Salmah tadi. Ya, dia ke sini untuk bekerja!
“Emm... nama saya, Hana. Berasal dari KL dan...” Yuhana berusaha untuk menghilangkan debar yang bertandang.
“Hana... Oh, jadi nama kau Hana? Emm... not bad. Dah kahwin?” Tiba-tiba lelaki itu melemparkan soalan cepumas kepadanya.
“Huh?” Yuhana mendongak memandang semula ke arah lelaki itu. Melihat senyuman di wajah itu, Yuhana hilang arah seketika. ‘Kenapa... kenapa senyuman tu buat aku berdebar-debar? Gila, kau tetapkan niat kau, Hana!’ Omel Yuhana di dalam hati.
Lelaki itu hanya mengangguk-anggukkan kepalanya sambil tersenyum. Berkerut dahi Yuhana dibuatnya. Pelik!
“Okey, dah tahu kerja kau apa?” Yuhana pantas menggeleng.
“Agensi tak bagi tahu kerja kau apa?” soal lelaki itu lagi. Riaknya seakan-akan ingin menguji Yuhana.
Yuhana diam tanpa jawapan. Kerja apa? Dia semakin buntu. Matilah dia kalau semuanya terbongkar. Kenapa dia tidak terfikirkan perkara tersebut? Dalam diam, Yuhana memarahi kecuainnya.
“Baiklah, tak apa. Salmah akan bagi tahu apa yang perlu kau buat. Cuma, kau perlu ikut semua peraturan yang ada di sini. Terutama sekali, bila kau lihat amaran-amaran keras yang aku tulis di setiap dinding. Itu bermakna, jangan sesekali cuba untuk langgar setiap amaran aku. Faham?” Hakim bersuara tegas. Memberi peringatan kepada gadis di hadapannya itu.
“Faham,” jawab Yuhana disertakan dengan anggukan kecil. Kecut perut juga dia dengan ketegasan lelaki Bukit Impian ini. Boleh tahan bahangnya.
“Okey, kalau tak ada apa-apa, kau boleh mula kerja esok. Lagi satu, bilik kau Salmah dah sediakan. Nanti kau tanya dengan dia,” beritahunya lagi.
“Bilik?!” Tanpa sedar Yuhana menjerit kecil.
Kening lelaki itu terus terangkat.  Wajah Yuhana pula dipandang pelik.
“Kenapa kau terkejut? Agensi pun tak bagi tahu ke yang kau kena duduk di sini?” soal lelaki itu sinis. Yuhana melopong. Lidahnya kelu tiba-tiba. Reaksinya telah memakan dirinya sendiri!
“Oh! Yang tu. Emm... ada. Tapi, tak boleh ke kalau saya tak duduk sini?” Yuhana memberanikan diri untuk menatap mata itu.
“Boleh. Boleh balik!” jawab lelaki itu bersahaja. Sedikit pun tidak menyedari kekeruhan di wajah Yuhana. Hanya pandangan mata itu sahaja yang masih lekat menatap setiap inci wajah itu.
Akhirnya, dalam keterpaksaan. Yuhana relakan jua. Perlahan dia mengangguk. Di ruang matanya hanya wajah Encik Hadi yang dia bayangkan. Kerana ugutan Encik Hadi, dia turutkan semuanya. Tekadnya, dia harus mengorek segala rahsia yang tersembunyi di Bukit Impian itu.

YUHANA merebahkan badannya yang kepenatan di atas tilam empuk. Berguling-guling dia ke kiri dan ke kanan. Penat. Itulah yang dia rasakan. Kepalanya yang berdenyut dipicit berulang kali. Setelah selesai solat isyak seketika tadi, dia mengambil keputusan untuk berehat saja.
            Dia mengiring ke kanan pula lantas memicit kepalanya yang mula pening. Keluhan diluahkan. Mengiring pula dia ke kiri. Habis ke kiri ke kanan pula. Akhirnya, Yuhana menghadap ke hadapan. Memandang syiling putih yang cantik dihiasi lampu syiling yang berwarna kuning keemasan. Yuhana terkejut. Besar matanya apabila muncul wajah lelaki misteri itu di permukaan syiling itu. Mahu gugur jantungnya! Cepat-cepat Yuhana mengalihkan pandangan. Membuang segala resah yang tiba-tiba datang.
            “Dah kenapa aku rasa macam ni pulak?” Yuhana mengurut dadanya. Nafasnya ditarik berulang kali. Tidak mahu sebarang rasa yang hadir di saat dia sedang menjalankan misinya.
            “Takkan aku syok dekat dia kut?” Yuhana terus menutup mulutnya. Menggeleng berulang kali. Mustahil! Yuhana cepat menafikan perasaannya. Mustahil dia jatuh cinta kepada lelaki misteri itu. Kenal pun tidak! Omel Yuhana sendiri.
            “Cik Yuhana!” panggil Salmah dari luar.
            “Oh mak dia suka aku! Hesy, terkejut aku.” Yuhana mengomel sendiri. Langkah malas diatur menuju ke muka pintu. Tangannya pula mengurut dada, rasa hendak tercabut jantungnya disergah begitu. Kak Salmah ini pun satu, apalah salahnya bagi salam dulu. Ini mesti sudah berjangkit dengan penyakit majikannya tu, bebel Yuhana dalam diam.
            “Yuhana,” panggil Salmah lagi.
            “Ya, kak. Kenapa?” jerit Yuhana.
            “Makan malam dah sedia. Tuan Muda ajak makan sekali,” beritahu Salmah dengan ramah.
            “Err, tak apalah kak. Saya tak lapar lagi,” Tolak Yuhana. Tidak sanggup rasanya untuk makan semeja dengan lelaki itu. Biarlah dia kelaparan. Asalkan dia mampu menenangkan perasaannya buat seketika.
            Krook..Krook
            “Err, alahai masa inilah perut ni tak sporting.” Yuhana sudah menyengih. Memandang Salmah yang hanya menggeleng sambil tersenyum.
            “Dah, mari makan sekali. Nanti merajuk pula perut tu,” sambung Salmah pula.
            “Eh, perut pun boleh merajuk ke kak?” Sengaja Yuhana cuba menyembunyikan rasa malunya.
            “Ingat hati aje ke boleh merajuk? Perut pun boleh tau,” ujar Salmah. Yuhana senyum. Ramah pula orang gaji dia ni. Bukan macam tuannya yang selalu bermuka ketat.
“Hesy, pandai aje akak bergurau ya? Jomlah, perut saya dah berbunyi ni.”
“Dah, Jom.” Ajak Salmah. Yuhana kembali semula ke bilik. Sweater dicapai dan dia keluar dari biliknya dengan ditemani Salmah.


           
YUHANA masih membatu di meja makan besar tersebut. Ketika ini, hanya dia sahaja yang berada di meja makan itu. Salmah pula hilang entah ke mana. Kekok pula Yuhana dibuatnya.  Sesekali matanya memandang ke arah meja makan kayu yang berukir cantik dihadapannya. Mungkin saja diperbuat daripada kayu jati yang mahal. Melihat persekitaran ruang makan Villa tersebut, Yuhana jadi kagum sendiri. Rumah yang hanya dihuni lelaki bujang, namun hiasan dalamannya sangat menakjubkan. Ternyata lelaki itu sememangnya seorang yang mempunyai citarasa yang tinggi. Tiada apa yang kurang dalam ruang Villa tiga tingkat itu. Cuma, kurang serinya. Nampak suram sahaja.
            Hiasan dinding yang berwarna gelap itu turut dipandang. Beberapa keping gambar kanak- kanak yang bergantung kemas di setiap sudut itu membuatnya tersenyum kecil. Daripada pemerhatiannya, lelaki itu seorang yang penyayang dan sukakan kanak-kanak. Sejak petang tadi dia tidak melihat sesiapapun di Bukit Impian itu kecuali Hakim dan Salmah. Maknanya, lelaki misteri itu tinggal sendirian di Villa tiga tingkat ini. Di mana keluarganya? Yuhana mula berteka-teki. Mana ada manusia yang duduk mengasingkan diri daripada masyarakat sekeliling? Dada Yuhana sudah berkocak hebat. Mindanya mula memikirkan perkara yang tidak masuk dek akal.
            “Jangan-jangan dia ni... Vampire?” Yuhana menutup mulutnya. Ya, daripada segi perwatakan dan penampilan lelaki itu memang layak sangat dia digelar Vampire. Patut saja muka pucat bagai tiada darah dan hidup sendiri di atas Bukit Impian ini. Hanya Vampire sahaja yang berperangai macam tu.
            Yuhana menganggukkan kepalanya berulang kali. Dia semakin yakin dengan tekaannya. Mana mungkin manusia biasa mampu hidup sendiri di dalam Villa mewah tiga tingkat ini? Lagi dan lagi Yuhana membuat kesimpulan sendiri. Demi menghilangkan rasa resahnya, Yuhana terus  mencapai gelas putih yang berisi air sirap berwarna merah. Apabila dia ingin meneguk air tersebut, tingkahnya terhenti tiba-tiba. Gelas tersebut digoyang perlahan. Lekat matanya memerhati air berwarna merah tersebut. Dia berdesit sedikit sambil mindanya mula berfikir yang negatif.
            “Jangan-jangan air ni... darah?” Pantas Yuhana meletakkan semula gelas tersebut di atas meja. Dia bukan pontianak jadian. Jadi, minuman ini bukan minumannya.Yuhana menampar lembut pipinya. Bagaimana dia boleh terlibat dengan pontianak jadian ni?
            “Kalau aku Vampire, kau orang pertama yang akan aku gigit.” Setelah sekian lama berpeluk tubuh sambil memerhati olah Yuhana, lelaki itu berjalan perlahan sambil menghampiri gadis itu. Jujur dia terhibur dengan olah gadis itu. Biarpun agak keanak-anakan. Namun, Yuhana nampak comel di matanya.
            “Oh mak Vampire!” Hampir luluh jantung Yuhana mendengar suara itu begitu dekat di belakangnya. Dadanya diurut perlahan. Melalui ekor mata, dia dapat melihat lelaki asing itu sedang berjalan perlahan di belakangnya lalu melabuhkan punggung di sebuah kerusi di hujung meja.
            Napkin di atas meja terus dicapai lalu diletakkan perlahan ke ribanya. Hujung matanya sempat mencuri pandang ke arah Yuhana yang hanya menunduk. Dia tersenyum sedikit. Gelas di sebelahnya pula dicapai. Digoncang perlahan lalu sepasang mata tajamnya menikam seluruh wajah Yuhana.
            “Darah?” Yuhana terus mendongak. Ingin saja dia menyembunyikan dirinya di bawah meja. Malu yang teramat sangat! Lelaki itu mendengar setiap patah bicaranya tadi. Hana! Bodohnya kau! Bagaimana kau boleh percaya dengan kewujudan vampire? Yuhana mengutuk dirinya sendiri.
            “Aku memang minum minuman ni. Setiap hari. Sedap. Minum darah ni memang sedap.”
Lelaki itu sengaja menyembunyikan senyumannya daripada Yuhana. Sengaja dia mengusik gadis itu. Nampaknya, Yuhana benar-benar mempercaya kata-katanya. Okey, lets play! Desisnya lagi.
            “Kau darah jenis apa? A? AB? Atau O? Tapi, aku suka darah jenis O. Berlemak sikit.” Yuhana lantas menutup lehernya. Darah dia jenis O!
            Lelaki itu bergerak menghampiri Yuhana. Sampai saja di tempat duduk gadis itu, dia menunduk. Nafas Yuhana sudah turun naik. Dia dapat merasakan lelaki itu begitu dekat di belakangnya.
            “Encik... Encik buat apa ni?” Dahi Yuhana sudah berpeluh. Tangannya digenggam kuat. Peluh juga turut membasahinya dahinya.
            “Aku dapat cium bau da...”
            “Arghh!!” Yuhana kelam-kabut bangun untuk menjauhi pemilik Bukit Impian itu.
            “Aduh!” jerit lelaki itu sambil memegang dahinya yang sakit akibat terhantuk dengan kepala Yuhana. Langkah Yuhana terhenti, dia menoleh semula ke arah lelaki itu. Perasaan cuaknya seketika tadi perlahan-lahan hilang daripada hatinya.
            “Err, sorry. Saya tak sengaja,” balas Yuhana perlahan. Spontan tangannya menyentuh dahi lelaki itu.
“Maaf, saya tak sengaja. Siapa suruh Encik nak gigit saya?” Kerutan di dahi Yuhana kian ketara. Risau benar dia dengan lelaki itu.
Lelaki yang belum dia ketahui nama itu terus ketawa. Sepasang matanya yang tadi tertutup terus menangkap wajah Yuhana yang begitu rapat dengannya. Dia dapat merasakan sentuhan hangat Yuhana di dahinya.
“Merah ni, baik awak letak ubat cepat-cepat,” sambung Yuhana lagi. Dia lupa seketika. Lupa bahawa lelaki di hadapannya itu adalah lelaki misteri yang baru sahaja dia kenali.
            “Kau dekat-dekat macam ni, tak takut ke aku gigit kau? Hisap darah kau?” ujarnya lagi. Yuhana lantas menjarakkan dirinya. Dia baru tersedar. Tindakannya keterlaluan.
            “Maaf,” Yuhana menggaru kepalanya. Habis kusut rambutnya.
            Lelaki tersebut memeluk tubuhnya. Pandangannya meneroka seluruh wajah Yuhana yang masih membatu. Dahinya pula disentuh sedikit sambil bibir mengukir senyuman.
            “Duduk. Makanlah.” Dia kembali ke tempatnya. Air di dalam gelas terus diteguk dengan rakus.
            “Kau tunggu apa lagi? Makanlah!” Suara itu semakin keras apabila melihat Yuhana yang masih membatu.
            “Encik, saya ada soalan nak tanya.” Setelah sekian lama, barulah Yuhana berani membuka kata. Apa tidaknya, lihat sahaja wajah serius lelaki itu. Terus kecut perutnya.
            “Tanyalah, apa dia?” jawabnya acuh tak acuh.
            “Err... nama Encik siapa?” tanya Yuhana. Hampir 24 jam mereka kenal. Namun, tidak pula dia tahu nama sebenar lelaki itu. Pemilik Bukit Impian itu terus mencuri pandang ke arah Yuhana. Soalan daripada Yuhana tidak terus dijawab. Hanya riak wajah Yuhana yang cuba ditafsir melalui pandangan mata helangnya.
            “Aku ingat kau dah tahu,” duganya lagi. Senyuman kecil terus terukir di bibirnya.
            “Huh?” Yuhana semakin keliru.
            “Tak ada apa-apa. Kau tanya nama aku kan? Nama aku, Hakim. Sekarang, kau makanlah. Aku ada hal.” beritahu lelaki yang bernama Hakim itu. Yuhana tidak membalas. Senyuman lelaki itu seketika memukaunya.
            “Jangan risau. Aku makan nasi. Minum  air. Bukan makan orang dan minum darah orang. Duduklah, makan.” Yuhana mendongak semula. Soal Vampire masih lagi dibangkit oleh lelaki itu. Ah! Malunya dia, desis Yuhana.
            “Makan ajelah! Kalau aku betul-betul Vampire, dah lama kau jadi arwah.” Ketika ini,  Yuhana rasakan kepalanya dihempuk oleh sesuatu yang berat. Mahu sahaja dia sembunyikan dirinya. Malu yang teramat sangat. Vampire? Aduh Hana, kau banyak sangat menonton filem fantasi ni! Desis Yuhana penuh geram.
            “Err, Encik Hakim!” panggil Yuhana tiba-tiba. Langkah Hakim terhenti. Dia menoleh semula memandang Yuhana.
            “Ya? Ada apa lagi?” soal Hakim sedikit keras.
            “Esok saya nak minta kebenaran balik. Sebab mak ayah saya tak tahu yang saya dah dapat kerja. Lagipun, banyak benda yang perlu saya selesaikan. Boleh tak?” pinta Yuhana serba salah.
            “Hmm, bolehlah,” balas Hakim pendek.


No comments:

Post a Comment