Tuesday, August 23, 2016

Bab 4

BUAH RAMBUTAN dan buah manggis yang dibawa balik dari Bukit Impian sudah terletak elok di atas meja Encik Hadi. Yuhana masih menundukkan wajahnya. Hampir 10 minit dia hanya membatu di dalam bilik ketuanya itu. Satu patah ayat pun tidak mampu dia keluarkan apabila melihat wajah Encik Hadi yang kelihatan sangat serius daripada biasa.
            “Nur Yuhana!” jerit Encik Hadi. Geram.
            “Oh mak kau!” Yuhana terkejut. Wajah tegang Encik Hadi tidak berani dibalas. Sungguh dia takut untuk berterus terang dengan ketuanya itu. Sudahlah prestasi kerjanya semakin merosot. Sekarang, dia dengan bersahaja memohon cuti tanpa gaji selama dua bulan. Semuanya gara-gara ingin menyelesaikan misinya.
            “Yuhana,” panggil Encik Hadi lagi. Kali ini lebih lembut.
            “Maafkan saya, Encik Hadi,” balas Yuhana pula.
            Encik Hadi hanya mengeluh berat. Pening dengan olah Yuhana yang semakin menyesakkan dadanya. Pendek umurnya kalau berterusan begini.
“Apa saya nak jawab dengan pihak atasan?” soal Encik Hadi lagi.
“Err... Encik Hadi cakaplah yang saya ada masalah keluarga. Please, Encik Hadi.” pinta Yuhana bersungguh-sungguh.
“Awak ajar saya ke, Yuhana?” Cepat Yuhana menggeleng.
“Mana ada! Encik Hadi juga yang minta pendapat saya. Saya jawab ajelah...” balas Yuhana bersahaja.
“Hesy, awak ni!” Encik Hadi menggeleng geram. Jawapan Yuhana itu benar-benar menguji kesabarannya.
            “Encik Hadi, tolonglah saya,” ujar Yuhana buat sekian kali.
            Encik Hadi sekali lagi mengeluh berat. Mempertimbangkan keputusan pekerjanya itu. Yang sebenarnya, Yuhana adalah seorang wartawan yang berpotensi. Mungkin sahaja, kes yang sedang disiasat oleh Yuhana sekarang terlalu rumit.
            “Encik Hadi...”
            “Awak nak buat apa dengan cuti yang panjang tu? Cuba awak terus terang dengan saya.” tanya Encik Hadi tiba-tiba.
            Yuhana tunduk. Berfikir sama ada mahu memberitahu kepada ketuanya itu atau tidak?
            “Yuhana?” panggil Encik Hadi. Masih enggan berputus asa.
            “Saya ada hal penting. Tolonglah. Encik Hadi... saya benar-benar perlukan cuti tu. Saya janji, balik aje dari bercuti nanti, saya akan siarkan berita terhangat untuk company ni. Janji!” Yuhana mengangkat tangan kananya untuk berjanji.
            “Banyaklah awak punya terhangat. Sekarang ni saya yang kepanasan tau!” desah Encik Hadi. Tali lehernya dilonggarkan sedikit. Keluhan berat dilepaskan. Wajah pekerjanya itu dipandang buat sekian kali.
            Yuhana memanjangkan muncungnya. Wajah Kasihan sengaja ditunjukkan. Dia tahu Encik Hadi akan berlembut hati padanya.
            “Baiklah, saya cuba. Tapi, saya tak janji.” Akhirnya Encik Hadi mengalah. Melihat kesungguhan Yuhana, dia jadi serba salah pula. Yuhana terus mengukir senyum.
            “Terima kasih Encik Hadi, makanlah buah-buah tu. Saya beli khas untuk Encik Hadi,” ujar Yuhana pula.
            “Ini rasuah ke?” sindir Encik Hadi tiba-tiba.
            “Eh, tak elok rasuah-rasuah. Buah ini saya beli ikhlas tau!” Senyuman Yuhana semakin melirik ke bibirnya. Bungkusan buah rambutan dan mangis disorong sedikit rapat ke arah Encik Hadi.




“PAGI, mak, ayah.” Yuhana pantas saja menuruni anak tangga. Menghampiri ibu dan ayahnya yang sedang sarapan pagi. Secawan teh susu yang masih panas terus dihirup.
“Aduh!” Yuhana menjerit kecil. Hampir saja terlepas cawan di tangannya. Dia mula menyengih memandang kedua-dua orang tuanya yang hanya menggeleng kepala.
“Bagus sangat tu,  Hana. Minum sambil berdiri. Nanti sampai ke sudah kamu tak kahwin. Jadilah anak dara tua.” Mulut Marina pula mula membebel. Hampir setiap pagi ada saja yang menjadi topik pergaduhan dua beranak itu. Kalau bukan pasal teh susu, penampilan Yuhana pula yang menjadi topik. Yang pasti akan berakhir dengan isu perkahwinan.
“Apa mak ni? Apa kena-mengena minum berdiri dengan kahwin pulak? Tak ada kaitan langsung,” balas Yuhana.
“Ha, menjawab. Tengok tu, penampilan entah apa-apa. Cubalah sekali-sekali tu, guna baju kurung ke, gaun ke? Ini tak, hari-hari pakai jean dengan baju-T tu. Bila nak dapat jodoh macam tu?” Marina membebel lagi sambil menuang kembali teh susu ke cawan suaminya yang sudah kosong.
Yuhana mencebik. Skrip maknya itu memang sama setiap hari. Kahwin, kahwin dan kahwin! “Mak, tak ada kena-mengena semua tu. Mak percayalah cakap Hana ni mak. Lelaki, kalau betul-betul sukakan kita, dia takkan pandang paras rupa ni mak. Yang penting, hati.” Yuhana bermadah pujangga. Keluar semua ayat-ayat cinta yang dipelajari daripada novel.
Berbaloi juga dia khatam beratus-ratus buah novel. Bolehlah dia berbahas menegakkan hak-hak wanita bujang sepertinya.
“Banyaklah kau punya hati. Kerana prinsip kau tulah kau nak jadi dara tua dah.”
“Hesy, mak ni. Sampai hati doakan yang bukan-bukan. Kalau Hana jadi dara tua, mak juga yang sedih.” Yuhana sudah mengeluarkan muncungnya. Siapa yang tak nak kahwin mak oi? Semua orang nak kahwin. Dah jodoh yang belum sampai, nak buat macam mana?
“Awak ni, Mar, tak habis-habis cerita pasal kahwin. Daripada awak sibuk nak carikan jodoh si Hana ni, baik awak carikan jodoh untuk saya pula. Tak ada awak pening kepala sangat. Saya ni ikut aje pilihan awak.” Mahmud menyampuk tiba-tiba setelah lama menjadi pemerhati dan pendengar setia dua beranak itu. Tak boleh nak disampuk sangat, makin menjadi nanti.
“Amboi, Mahmud oi, ada hati rupanya nak pasang dua. Tu, anak tu. Dah terlajak dah usia, sampai sekarang tak ada ura-ura nak kahwin.” Yuhana menggaru kepalanya. Dari tadi hanya dia yang dijadikan topik.
“Ha! Yang ni kenapa tak siap lagi? Tak kerja ke hari ni?” tegur Marina tiba-tiba. Anak tunggalnya itu dipandang. Yuhana masih belum bersiap-siap untuk ke tempat kerja.  Yuhana terus menghadiahkan senyuman manis buat ibunya. Cawan yang berisi teh susu diletakkan ke tepi. Yuhana bangun dari kerusi dan menuju ke arah ibunya itu.
“Mak...” panggil Yuhana dengan lembut. Bahu ibunya pula dipeluk erat dari belakang.
“Ada apa-apalah ni? Emm, kenapa?!” soal Marina kasar, namun masih ada kelembutannya.
Yuhana menarik nafas panjang sebelum berterus terang dengan kedua-dua orang tuanya itu. Yuhana kena pandai mencipta ayat supaya ibu dan ayahnya tidak membantah.
“Sebenarnya, Hana ditugaskan bekerja di luar kawasan mulai esok,” Yuhana terpaksa berbohong. Ibu dan ayahnya tidak akan bersetuju andai mereka tahu yang dia sebenarnya menjadi orang gaji di rumah seorang lelaki semata-mata untuk mendapatkan maklumat. Mahu kena cincang lumat-lumat oleh ayahnya.
“Hah!” Marina menjerit kecil.
“Terkejut, Hana. Mak ni...” Yuhana mengurut dadanya.
“Luar kawasan tu, di mana, Hana?” soal Mahmud pula. Yuhana terus menggaru kepalanya.
“Di Johor. Sebuah kawasan pedalaman di Johor. Ya, di Johor, ayah.” jawab Yuhana tanpa ragu-ragu.
“Kamu seorang ke yang ditugaskan ke sana?” tanya Marina risau.
“Eh, taklah mak. Ada lagi kawan-kawan Hana yang lain. Mak janganlah risau, 2 bulan aje,” pujuk Yuhana.
Marina dan Mahmud masing-masing mendiamkan diri. Berat untuk melepaskan anak tunggal mereka itu.
“Hmm, hati-hati di tempat orang. Jangan lupa solat. Jangan lupa telefon mak dan ayah.” Akhirnya Marina memberi kata setuju. Anaknya itu sudah dewasa. Sudah tiba masanya dia membiarkan Yuhana berdikari sendiri.

“KAU gila ke, Hana?!” Tanpa sengaja, Tini menjerit kecil. Terkejut dengan keputusan teman baiknya itu. Dia sedikit pun tidak menyangka yang Yuhana akan mengambil keputusan sebegitu. Yuhana sanggup menjadi orang gaji di rumah lelaki misteri di Bukit Impian itu semata-mata untuk menyelesaikan laporannya. Sekali lagi Tini menggeleng tidak percaya. Yuhana benar-benar sudah gila agaknya!
            Yuhana memberi isyarat tangan supaya rakannya itu menutup mulutnya. Mahu didengar dek orang. Gagal rancangannya nanti! Sudahlah dia bersusah payah hendak masuk ke Bukit Impian. Kesalahan-kesalahan kecil akan membuatkan rancangannya berantakan. Tidak! Yuhana tidak sanggup. Dia sudah pergi sejauh ini. Mana mungkin dia mahu mengundur diri di saat-saat akhir.
            “Kau nak cakap aku gila ke, cakaplah. Aku tak peduli. Yang penting, aku kena tamatkan juga laporan aku tu,” balas Yuhana bersahaja.
            Tini di sebelah sudah menggeleng.
            “Habis tu, kau duduk di sana ke?” tanya Tini lagi.
            “Ya. Aku ni kan orang gaji dia. Kenalah duduk sana.” Sekali lagi Tini menggeleng. Yuhana memang benar-benar menempah bahaya.
            “Hana, kau sedar tak apa yang kau buat sekarang? Ini namanya menempah maut. Kau tahu tak?!” Tini menjerit buat sekian kali.
            “Tini, janganlah jerit-jerit. Kau tu perempuan. Mak aku cakap, susah dapat jodoh kalau perempuan suka jerit-jerit macam tu!” Yuhana sengaja mengalih topik. Siapa tidak cuak jika berada di tempatnya sekarang? Cuma, dia yang tiada pilihan.
            “Banyaklah kau punya jodoh! Ni, kau tahu tak kau duduk dengan siapa di Bukit Impian tu? Kalau benar tekaan kau hari tu, lelaki yang bernama Hakim tu berkemungkinan besar adalah anak kepada Tuan Hariz. Anak pembunuh kut!” Nafas Tini turun naik menahan marah. Olah Yuhana memang tidak boleh dijangka. Bukan dia tidak tahu yang Yuhana akan buat apa sahaja untuk dapatkan maklumat.
            “Tini, kau ni janganlah bising sangat! Nanti tak pasal-pasal ada telinga yang mendengar. Benda ni sulit. Jangan sesekali kau bocorkan rahsia aku. Ingat! Biar pecah di perut, jangan pecah di mulut. Mati aku nanti!” pesan Yuhana bersungguh-sungguh. Tini pula hanya mampu mengeluh berat.
            “Kau dah fikir masak-masak ke?” soal Tini kembali mengendur.
            Yuhana hanya angguk.
            “Eh, si Hakim Bukit Impian tu, handsome ke?” Yuhana melopong. Sempat lagi Tini bergurau di saat-saat begini. Tini mula ketawa kecil, begitu juga dengan Yuhana. Akhirnya, kedua-dua sahabat itu mula ketawa. Yuhana terus menaikkan ibu jarinya lalu dibawa ke bawah.
            “Aku dengan ini mengisytiharkan yang si Hakim Bukit Impian itu bukan jenis lelaki pilihan aku. Mana ada handsome. Handsome lagi ayah aku,” Yuhana dan Tini menyambung semula tawa mereka.
            “Kau jangan, jatuh cinta baru tahu!” beritahu Tini lagi.
            “Aku? Jatuh cinta dengan lelaki macam tu? Memang taklah!” ujar Yuhana dengan angkuh. Tiba-tiba dia terbayangkan wajah serius milik Hakim. Debar di dadanya kembali berlagu. Pandangan mata itu yang menjeratnya.
            “Eh, Hana. Semalam ada orang cari kau tau.” Tini bersuara tiba-tiba. Yuhana tersedar. Hilang bayangan Hakim dari  ruang matanya.
            “Hmm, siapa?” soal Yuhana acuh tak acuh.
            “Kau jangan marah kalau aku bagi tahu ya?” Tini mula serba salah.
            “Yalah, jangan kau cakap Hakim Bukit Impian aje. Itu aku memang terkejut. Okey, siapa yang datang?” tanya Yuhana lagi. Sempat dia selitkan nama lelaki itu di dalam gurauannya.
            “Wildan. Wildan Asyfar,” Mendengar sebaris nama itu, serta-merta riak wajah Yuhana berubah. Bibirnya terus mengukir senyum sinis. Untuk apa lelaki itu datang kembali kedalam hidupnya?
            “Okey, dia nak apa?” Yuhana bersahaja. Tidak mahu terkesan dengan kemunculan lelaki itu semula.
            “Dia nak nombor telefon kau,” balas Tini perlahan.
            “Oh, okey. Kau tak berikan?” soal Yuhana lagi. Tini terus mempamerkan riak wajah bersalah. Yuhana menggeleng. Cuba untuk tidak mempercayai hakikat itu.
            “Tini!”
            “Sorry, Hana. Dah dia desak aku. Aku terpaksa.” Yuhana  hanya mampu menggeleng bersama keluhan berat. Tiada guna memarahi sahabatnya itu. Yuhana kenal Wildan. Lelaki itu akan buat apa sahaja untuk dapatkan apa sahaja.







No comments:

Post a Comment