Tuesday, May 13, 2014

Bab 25


Jemy meletakkan beg sandangnya di atas sofa. Lehernya yang sedikit penat diregangkan. Seketika matanya ditutup rapat, ingin merehatkan mindanya yang sedikit kusut. Kebelakangan ini banyak pula kerja yang perlu diselesaikan. Kiki pula semakin giat dengan model barunya, semuanya perlu mendapat sentuhan tangannya terlebih dahulu.
            Bunyi panggilan yang tiba-tiba masuk mengejutkan Jemy, segera matanya dibuka. Iphone di dalam poket seluarnya ditarik keluar. Panggilan dari nombor yang tak dikenalinya itu terus dijawab..
            “Hello?” jawab Jemy, kepalanya terus direbahkan semula di atas kepala sofa.
            “Nazmi..” panggil satu suara yang tidak asing lagi. Segera Jemy mengangkat kepalanya, sudah lama nama itu tidak dia gunakan. Atas tujuan apa ayahnya itu tiba-tiba menghubunginya?
            “Ayah..”
            “Nazmi di mana?” soal Datuk Roslan.
            “Masih di studio. Kenapa?” Hati Jemy mula berdebar-debar. Sudah lama Datuk Roslan tidak menghubunginya, rindunya kembali bertandang. Rindu pada keluarga.
            “Ayah nak jumpa Nazmi. Nak ayah pergi studio ke?”
            “Ayah di mana? Biar Nazmi je pergi sana.” Putus Jemy. Kot yang bersidai di tepi sofa digapai. Bergegas dia keluar dari studionya.
                                                ************


JEMY menghentikan keretanya berhampiran dengan Stesen LRT Wangsa Maju. Restoran De Ja Vu yang sudah terang benderang di hadapannya dipandang kosong. Perlu ke aku masuk ke sana berjumpa dengan ayah? Pasti ibu ada sekali. Jemy mula berteka-teki. Berat saja kakinya untuk melangkah, rasa rindu yang sarat bila mendengar suara ayahnya seketika tadi membawa kakinya pantas ke Restoran tersebut. Namun, kenangan lalu seolah-olah mengikat pergerakanannya.
            Pintu kereta terus dibuka. Setelah menekan kunci, kakinya perlahan menuju ke ruang Restoran tersebut. Dari jauh dia dapat melihat ayahnya dan Nazrul berbual rancak. Mana ibu? Mungkin ke bilik air, fikir Jemy. Nafas disela perlahan, meja yang terletak ditengah-tengah meja lain itu kian dihampiri.
            Datuk Roslan memandang wajah anak sulungnya itu penuh rindu. Ingin saja dia memeluk tubuh itu, namun wajah serius dari anaknya menyedarkannya bahawa betapa banyak hati itu terluka kerana insan bergelar keluarga.
            “Duduk Nazmi.” Ujar Datuk Roslan. Jemy hanya mengangguk, segera punggungnya dilabuhkan di sebelah Nazrul, adiknya. Matanya liar seolah-olah mencari kelibat seseorang. Entah kenapa hatinya berdebar-debar tika ini.
            “Ibu tak ikut, dia kurang sihat.” Celah Datuk Roslan, dia dapat membaca riak muka Jemy saat itu. Nazrul sudah memandang wajah ayahnya bila melihat air muka Jemy mula berubah, sudah tentu abangnya itu dapat mengagak bahawa ibu masih membenci dirinya.
            “Nazmi faham. Ayah apa khabar?” Jemy seupaya mungkin cuba mengukir senyum. Berjumpa dengan keluarga sendiri, seolah-olah asing bagi dirinya. Datuk Roslan hanya mampu mengukir senyum hampa bila melihat perubahan wajah anaknya itu.
            Seketika datang seorang pelayan membawa hidangan yang dipesan. Satu mangkuk Stew Parsi, ikan panggang dan humus ayam terhidang. Secawan cappucino panas diletakkan di hadapan Jemy. Pantas Jemy memandang ayahnya yang turut menghirup cappucino yang sama, ternyata Datuk Roslan tidak pernah lupa kegemaran anaknya yang satu itu. Tanpa disangka dia dan Jemy berkongsi minuman kegemaran yang sama, cappucino.
            “Kita makan dulu. Dah lama ayah tak makan dengan Nazmi, Stew Parsi ni sedap.” Datuk Roslan menghulurkan mangkuk Stew Parsi kepada Jemy, perlahan Jemy menyambutnya. Stew Parsi yang diperbuat daripada daging kambing yang dimasak dengan kacang kuda dan bawang itu diletakkan sedikit di tepi pinggannya. Kekok pula dilayan sebegitu sekali.
            “Rasanya belum terlambat, tahniah sebab menang award keempat hari tu.” Ujar Nazrul tiba-tiba. Dia menepuk sedikit bahu Jemy.
            “Biasa je Naz. Tak ada apa-apa pun.” Jemy menghirup cappucino, ayahnya hanya dikerling seketika.
            “Ayah dengar Nazmi jadi photorgapher untuk model.” Sampuk Datuk Roslan.
            “Itu je yang Nazmi tahu buat. Nak buat buisness lain, tak ada pengalaman. Lagipun, Nazmi memang minat photography.” Jemy menjawab ala kadar.
            “Ayah bangga dengan Nazmi sebab boleh berdikari sendiri..” Ujar Datuk Roslan perlahan, kasihan anaknya itu. Bukan dia tidak menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang ayah, setiap bulan beberapa peratus dari keuntungan syarikat turut diberikan kepada anak sulungnya itu. Bahkan saham syarikatnya turut menamakan anaknya itu sebagai pemegang saham, Nazmi mahupun Nazrul mendapat bahagian yang sama. Mungkin juga hati anaknya itu sudah tawar, satu sen pun duit di dalam akaun itu tidak digunakan.
            Jemy hanya tersenyum hambar. Melihat keprihatinan ayahnya itu, hatinya sedikit terubat. Mahu saja dia memeluk badan yang kian dimamah usia itu, namun layakkah dia? Dia bukan anak kandung Datuk Roslan, dia hanya anak luar nikah yang kehadirannya sangat dibenci oleh ibu kandungnya sendiri.
            “Ayah ada hal nak minta tolong Nazmi..” suara Datuk Roslan lagi. Nazmi dan Nazrul saling berpandangan. Mungkin sebab itu ayahnya kuat untuk bertemu dengannya hari ini.
            “Tolong apa?”
            “Minggu depan ayah nak Nazmi datang jumpa ayah di ofis. Ada beberapa dokumen yang perlu Nazmi sign. Nazrul pun jugak,” Pinta Datuk Roslan, Kedua-dua wajah anak terunanya dipandang. Nyata Nazmi mahupun Nazrul masih tidak memahami maksudnya.
            “Maksud ayah?” soal Nazrul.
            “Ayah dah minta Encik Ropi buat dokumen penyerahan saham. Ayah ni dah tua, dah tiba masanya untuk ayah bersara.” Jelas Datuk Roslan. Jemy terpana. Apa kena mengena dengan dirinya? Dia langsung tidak menyumbang apa-apa dalam syarikat ayahnya itu. Kalau ada yang berhak untuk menerajui syarikat tersebut, Nazrul orangnya.
            “Kenapa ayah tiba-tiba nak bersara?” soal Nazrul. Dia tidak kisah sedikitpun kalau terpaksa berkongsi dengan abangnya. Tapi keputusan ayahnya itu diluar jangkaannya.
            “Ayah ni tak berapa nak sihat Naz. Turun naik hospital sebab sakit jantung ayah ni. Apa guna ayah ada anak-anak yang boleh bantu ayah.” Muka Jemy yang tidak beriak diperhati. Setujukah anaknya itu?
            “Nazmi tak boleh terima semua tu.” Jemy memandang kearah Datuk Roslan.
            “Nazmi anak ayah, memang sepatutnya Nazmi dapat semua tu.”
            “Maafkan Nazmi. Nazmi tak nak, lagipun Nazmi dah ada buisness sendiri. Naz lebih berhak.” Putus  Jemy. Bahu adiknya ditepuk perlahan. Datuk Roslan hanya berdehem. Pekara ini memang sudah dijangkanya, anak sulungnya itu memang tidak akan pernah menerima apa-apa darinya.
                                                   **************
AIRA dibenarkan keluar dari hospital setelah tiga hari menginap di hotel sementara itu. Tan Sri Megat Miqdadlah orang yang paling gembira saat itu bila mendapat tahu kesihatan anak perempuannya itu semakin membaik.
            Butang lif ketingkat bawah ditekan. Aira memasuki pintu lif tersebut sambil menekan skrin Iphonenya. Dia ingin ke studio kekasih hatinya, surprise! Jemy tidak tahu yang dia dibenarkan pulang dari hospital semalam. Sengaja dia tidak memberitahu lelaki itu. Dengan senyuman yang masih tidak lekang dibibir, Tan Sri Megat Miqdad yang sedang menikmatai sarapan dihampiri, dengan manja tangannya terus melingkari bahu Tan Sri Megat Migdad.
            “Morning papa!” sapa Aira dengan senyuman. Kak Ti yang kebetulan menghidangkan makanan di atas meja hanya melemparkan senyuman senang melihat kemanjaan anak majikannya itu.
            Tan Sri Megat Miqdad memegang sekejap lengan anaknya yang masih berbalut putih itu. Simpatinya tumpah bila melihat tangan putih itu yang berbalut kemas.
            “Pergi mana awal-awal pagi ni?” soal Tan Sri Megat Miqdad. Anaknya itu pantang kalau diberi kebebasan, memang takkan duduk diam di rumah. Aira melepaskan leher papanya, punggungnya direbahkan di sebuah kerusi bersebelahan papanya. Susu panas dihirup dan sekeping roti berinti kacang dikunyah.
            “Aira nak menikmati keindahan alam sekitar. Seminggu lebih dah tengok dinding, naik sakit dah mata ni.” Ujar Aira penuh ceria. Bukan nak menikmati alam sekitar sangat pun, cuma dah lama tak jumpa kekasih hati. Rindu! Desis hati Aira nakal. Lama tak jumpa? Bukan baru hari tu jumpa ke? Hisy..parah kau ni Aira!
            “Tak sihat sangat tu Aira, rehat je di rumah hari ni.” Nasihat Tan Sri Megat Miqdad. Dikerling sekilas wajah itu melalui hujung matanya. Anaknya yang satu ini bukan boleh berkeras sangat, mahu nanti mogok lapar lagi. Alahai..
            “Aira dah sihatlah papa. Papa jangan risau, Kak Mila kan ada..” pujuk Aira.
            “Baiklah kalau macam tu. Jangan balik lewat!” tegas Tan Sri Megat Miqdad. Aira hanya tersenyum, lantas tangan kananya diangkat menandakan OKAY!
            “Satu lagi.”
            “Ada lagi ke?” soal Aira hairan. Cawan teh yang baru diangkat diletakkan semula di atas priring. Matanya tepat diarahkan kearah Tan Sri Megat Miqdad.
            “ Aira ada masa enam bulan untuk settle kerja-kerja Aira sebagai model. Papa tak nak anak papa terlibat dengan dunia macam tu lagi lepas ni. Ingat Aira, six month!” Cermin mata putih terus ditanggalkan. Wajah Aira sudah berubah. Enam bulan?
            “Tapi papa..”

            “No execuse! Papa dah bertolak ansur dengan Aira pasal ni. Papa takkan kacau kerja Aira dalam tempoh enam bulan tersebut, tapi Aira kena buat apa yang papa nak. Selepas enam bulan tolong papa di Aksara Group.” Aira mencebik. Dia sudah tiada pilihan, nak tak nak dia kena patuh pada arahan papanya itu. Aksara Group? Aira mula rimas. Dia tak suka!

Bab 24


Bubur ikan yang masih panas dipegang kemas. Penuh senyuman Jemy melangkah menuju kebilik Aira. Rasa rindu yang semakin sarat akan terlerai juga bila terpandang wajah gadis yang amat dicintai itu nanti. Laju kakinya diatur.
            “Mila, saya nak balik ofis. Tengokkan Aira.” Pesan Tan Sri Megat Miqdad. Jemy bersembunyi di balik dinding, hanya mendengar suara Tan Sri Megat Miqdad berpesan pada pembantu peribadi anaknya itu.
            “Baik Tan Sri.” Mila menjawab patuh.
            “Kalau ada apa-apa telefon saya. Pastikan dia makan dan minum ikut masa.” Mila hanya mengangguk, dihantar langkah majikannya itu tanpa riak. Seketika terdengar dia menghembus nafas lega bila yakin bayang Tan Sri Megat Miqdad sudah memasuki pintu lif.
            “Breath Mila.” Usik Jemy penuh senyuman. Takut sangat nampaknya si Mila ni dengan Tan Sri Megat Miqdad.
            “Terkejut saya. Tu, Tan Sri baru balik. Bolehlah awak tengok buah hati awak tu.” Ujar Mila.
            “Nak tengoklah ni. Nak marah pun jugak.” Balas Jemy.
            “Marah sikit-sikit bolehlah, kalau marah banyak-banyak saya bagitahu Tan Sri.” Wajah kekasih anak majikannya itu dipandang penuh senyuman.
            “Masuklah, dia tunggu tu.” Sammbung Mila lagi.
            “Awak bagitahu dia ke?” soal Jemy.
            “Iya. Dia minta saya telefon awak tadi.” Jemy tersenyum, ingatkan nak surprisekan kekasihnya itu tadi.
            Pintu bilik berwarna biru terang itu dikuak dari luar. Aira memandang sekilas, pantas saja bibirnya mengukir senyum bila wajah Jemy menghiasi ruang matanya. Epal dan air suam segera diletakkan di tepi.
            “Apa senyum-senyum?” Jemy mengusik. Wajahnya sengaja diseriuskan. Dia ingin mengajar Aira betapa pentingnya nilai sebuah nyawa hari ini. Hatinya marah bila dapat tahu Aira mencederakan dirinya sendiri semata-mata untuk melepaskan diri dari dikurung papanya.
            Aira mencebikkan mukanya apabila terpandang wajah serius Jemy. Sudah..dah tukar jadi harimau jadian balik ke kekasihku ni? Jemy meletakkan bubur ikan yang dibelinya tadi di atas meja. Wajah Aira dipandang tajam sambil bercekak pinggang. Terkebil-kebil mata Aira memandang Jemy yang hanya mendiamkan diri dari tadi. Hisy..mamat sengal ni, tak rindukan aku ke? Aku  ni punyalah setengah mati rindukan dia sampai nekad ni kelar tangan sendiri. Dia boleh pula buat muka harimau jadiannya itu!
            “I miss you..” ujar Aira dalam nada sendu. Berubah terus riak Jemy tika itu. Pandai je dia ni nak cairkan hati aku. Desis Jemy. Jemy melemparkan pandangannya pada lengan kiri Aira yang berbalut. Bagaimana untuk dia melampiaskan rasa tak puas hatinya pada tindakan Aira tu?
            “Jemy..” panggil Aira lembut.
            “Kenapa berperangai macam ni? Tangan ni, kenapa?” soal Jemy keras. Matanya masih lekat memandang wajah kelat Aira.
            “Sorry..” Aira menundukkan wajahnya, dia memang tak suka bila lelaki itu marah. Daripada muka harimau jadian bertukar pula jadi serigala jadian. Sempat lagi Aira mengata kekasihnya itu. Jemy menghela nafas beratnya.
            “Sakit tak?” Jemy melabuhkan punggungnya di birai katil. Tangan Aira yang berbalut diambil dan dipandang penuh simpati.
            “Sikitlah, bukan teruk mana pun. Saja nak bagi papa kalah.” Aira melemparkan senyum paling manis buat Jemy.
            “Janganlah buat macam ni lagi. Kalau marah pun, jangan cederakan diri sendiri. Awak tak sayang saya ke?” pesan Jemy, risau sungguh dia, jemari itu terus digenggam erat.
            “Sorry, janji dah tak buat lagi.” Aira tersenyum, jari kelingkingnya dihulurkan kepada lelaki itu. Berharap lelaki itu menyambutnya sekaligus meghilangkan rasa risau lelaki itu. Jemy menjeling, pantas jarinya menarik hidung Aira.
            “Sakitlah!” marah Aira, marah-marah sayang gitu.
            “Tahu pun sakit. Ini tak sakit?” sengaja Jemy mengangkat tangan kiri gadis itu. Muka masam Aira dipandang dengan senyuman. Jemari Aira semakin dieratkan.
            “I miss you..” Aira mengangkat wajahnya. Jemy yang menunduk memandang tangannya dipandang penuh senyuman. Sejuk hatinya mendengar kata-kata rindu itu.
            “So much.” Sambung jemy. Seketika dia dan Aira saling berpandangan, menumpahkan rasa rindu di situ.
            “Err, awak beli apa tadi?” segan pula Aira, sengaja dia melarikan matanya. Boleh pengsan kali kedua dia bila terpandang renungan maut lelaki itu. Renungan yang sentiasa menambat hatinya. Jemy tersenyum sendiri, tahu gadis itu sudah kalah padanya.
            “Bubur ikan.” Balas Jemy ringkas. Bubur ikan yang dibawanya tadi segera dibuka. Masih berasap dan menyebarkan bau yang menyelerakan.
            “Mana awak tahu..”
            “ Adalah..”
            “Awak dengar saya dan papa bercakap ke?” soal Aira kehairanan. Kalau ya, Jemy sudah bertemu muka dengan papa? Macam mana?
            “Terdengar. Dahlah, awak seminggu tak makan kan. Sekarang kena habiskan semua ni.” Paksa Jemy. Segera sudu dan mangkuk bubur tersebut diserahkan kepada Aira.
            “Susahlah makan dengan satu tangan je ni..ermm” Aira membuat muka kasihannya. Sengaja memancing perhatian jemy.
            “Kenapa? Nak saya suapkan ke?” soal Jemy mengusik.
            “Boleh ke?” Jemy mengecilkan matanya memandang Aira. Macam ada tak kena je. Aira sudah tersenyum menampakkan baris giginya yang putih. Jemy mengambil semula sudu dan mangkuk bubur dari tangan Aira. Bubur yang sedikit panas itu dikacau.
            “Manja!” Desis Jemy, namun mampu didengari Aira.
            “Bukan manja, tapi betul-betul sakit tau.” Bidas Aira. Tajam matanya menjeling Jemy.
            “Sakit yang dicari sendiri.” Ujar Jemy sinis.
            “Tak ikhlaslah awak ni..” Aira sudah mencebik. Muka dipalingkan kearah lain. Merajuk! Hisy, memang sengallah Jemy ni. Jemy mengerling sekilas kearah Aira yang sudah mencuka, bubur ikan tersebut ditiup dan disuakan kepada Aira.
            “Nah!” Perlahan Aira membuka mulutnya, bubur ikan dikunyah perlahan. Lantaklah dia nak mengata aku ke apa, yang penting aku kena makan. Dah lapar tahap dewa ni.
            “Sedaplah..” ujar Aira penuh teruja. Suapan kedua pula dikunyah.
            “Janji dengan saya jangan cederakan diri lagi. Awak tak tahu betapa risaunya saya.” Jemy tidak memandang Aira yang masih menikmati buburnya, hanya tangannya saja masih ligat menyuakan suapan demi suapan untuk gadis itu. Aira sememangnya tak pernah tahu betapa risaunya dia, betapa huru hara hidupnya kerana terlalu rindukan dia.
            Aira sengaja  tidak mendengar kata-kata Jemy, ingatkan dah habis bab tersebut, rupanya masih ada yang tertinggal. Jemy..Jemy, sama saja seperti papanya.
            “Sara..”
            “Dah kenyang.” Tolak Aira, suapan Jemy dibiarkan sepi. Terdengar keluhan dari bibir Jemy, mangkuk diletakkan di tepi, air suam pula disuakan pula Aira.
            “Maafkan saya sebab buat awak risau. Saya tak ada niat sebenarnya nak buat macam tu.” Ujar Aira tiba-tiba. Gelas diserahkan semula kepada Jemy, tangan Jemy segera dicapai lantas digenggam erat.
            “It's okay. Kali ni saya maafkan, tolong jangan buat macam ni lagi.” Pegangan tangan Aira turut dibalas. Aira hanya mengangguk.
            “Walau apa pun yang berlaku, ada atau tak adanya saya..you must take care of yourself. Sayang diri sendiri dulu, supaya kita dapat sayang orang sekeliling kita.” Sambung Jemy.
            “Tapi, awak takkan tinggalkan saya kan?” tanya Aira.

            “Takkan. Saya takkan buat macam tu.” Lantas Aira tersenyum. Lega dengan pengakuan lelaki itu. Cukuplah, hanya itu yang dia harapkan. Dia cuma mengharapkan agar Jemy sentiasa bersamanya.