Friday, October 17, 2014

Bab 36

Mencintaimu Mr.Photographer.

Beberapa gambar di atas meja sempat dikerling oleh Aira. Matilah dia kali ni, papa benar-benar marah! Sempat dia memandang wajah bengis Tan Sri Megat Miqdad di hadapannya, tidak pernah wajah papanya itu begitu.
            “Papa intip Aira?” soal Aira berani, walau apapun yang dia buat, kenapa papanya itu sanggup mengupah orang untuk mengintip setiap gerak gerinya? Tak cukupkah dengan kehadiran Kak Mila yang ditugaskan untuk menjadi pengawal peribadinya, dan sekarang ada pengintip pula!
            Hubungan cintanya bersama Jemy sudah diketahui oleh Tan Sri Megat Miqdad. Aira benar-benar tidak menyangka papanya itu sanggup betindak sejauh itu.
            “Siapa lelaki tu?” Tan Sri Megat Miqdad menyoal keras.
            “Kenapa papa sanggup upah orang untuk intip Aira?”
            “Papa tanya, siapa lelaki tu?” kedegilan anaknya itu terkadang mencabar wibawanya.
            “Papa tak boleh buat Aira macam ni, Aira bukan budak-budak lagi.” Mata Aira sudah merah, sakit hatinya diperlakukan begitu. Kenapa hidupnya perlu dikongkong sebegini rupa. Kenapa dia tak boleh hidup bebas seperti insan lain?
            “Sekali lagi papa tanya, siapa lelaki tu?” suara Tan Sri Megat Miqdad sudah naik senada. Tajam matanya memandang wajah anak perempuannya itu, sedikitpun dia tidak menyangka Aira bermain cinta dengan budak kelas bawahan itu. Photographer? Semakin menanah hatinya bila mengenangkan pekerjaan teman lelaki anaknya itu.
            “Papa tak ada hak nak masuk campur urusan peribadi Aira..” airmata sudah mengalir di pipinya. Pandangan Tan Sri Megat Miqdad turut dibalas.
            “Apa Aira cakap? Papa tak ada hak?” Tan Sri Megat Miqdad sudah berdiri menghadap anak perempuannya itu.
            “Kenapa papa hantar orang untuk intip Aira? Aira tak suka!” bentak Aira lagi.
            “Tak suka? Aira tak suka papa tahu yang Aira ada hubungan cinta dengan jurugambar murahan tu!” tengking Tan Sri Megat Miqdad, menggigil tubuhnya menahan marah. Dia takkan sesekali membenarkan anaknya itu menjalinkan hubungan dengan orang kelas bawahan seperti lelaki itu.
            “Apa? Papa intip dia?” soal Aira tidak percaya, Tan Sri Megat Miqdad sudah bertindak sejauh itu.
            “Papa tak nak Aira rapat dengan budak tu.” Bangkang Tan Sri Megat Miqdad penuh marah.
            “Papa tak boleh masuk campur urusan peribadi Aira.” Tegas Aira lagi.
            “Selagi Aira anak papa, selagi itu papa tak nak Aira berkawan dengan budak tu.”
            Aira menggeleng, hancur hatinya mendengar penolakan Tan Sri Megat Miqdad tanpa mengenali dulu kekasih hatinya itu.
            “Papa tak kenal dia lagi, dia baik. Tolong restui kami papa..” Aira merendahkan suaranya, merayu pada insan yang bergelar ayah.
            “Restu? Siapa lelaki itu? Anak Dato mana? Aira nak papa merestui hubungan Aira dengan jurugambar tu. Takkan Aira!” tegas Tan Sri Megat Miqdad.
            “Aira cintakan dia..”
            “Cinta takkan bawa kemana Aira.”
            “Papa..”
            “Keputusan papa muktamad Aira, putuskan hubungan Aira dengan dia, kalau tidak..”
            “Kalau tidak papa nak buat apa? Maafkan Aira, Aira tak boleh..” Aira menggeleng perlahan, tidak mungkin untuk dia memutuskan hubungannya dengan Jemy, dia benar-benar menyintai lelaki itu.
            “Aira Qaisara!” suara Tan Sri Megat Miqdad mula meninggi, anaknya itu mula melawan katanya.
            “Aira cintakan dia.” Beritahu lagi lagi, kali ini suaranya sudah kedengaran sendu.
            “Papa tak peduli dengan cinta Aira, yang papa tahu putuskan hubungan dengan dia dan bersiap untuk perkahwinan Aira bulan depan.” Putus Tan Sri Megat Miqdad.
            “Kahwin?”
            “Dengan anak Datuk Roslan.”
            “No! Aira tak nak!” airmatanya sudah mengalir buat ke sekian kali.
            “Jangan uji kesabaran papa Aira..”
            “Kenapa papa buat Aira macam ni? Papa tak sayangkan Aira ke?”
            “Kerana papa sayangkan Airalah, papa nak yang terbaik untuk Aira. Aira satu-satunya anak papa.”
            “Satu-satunya anak papa? Papa dah lupa ke pada Abang Akmal? Dia juga anak papa, anak lelaki papa.”
            “Jangan ungkit benda lama Aira, papa nak Aira tinggalkan budak lelaki tu.”  Tan Sri Megat Miqdad menghela nafas perlahan, sesak nafasnya bila nama anak lelakinya itu disebut.
            “Aira tak sangka papa sekejam ni. Sampai bila papa nak buang Abang Akmal? Dia anak papa!”
            “Papa tak pernah buang dia, dia yang nak pergi!”
            “Abang pergi kerana ego papa, perkahwinan papa musnah juga kerana ego papa. Mama..” belum sempat Aira menghabiskan ayatnya satu tamparan kuat mengena pipinya, terjelopok Aira di tepi kerusi. Kuat juga tamparan ayahnya hingga dia terjatuh sebegini.
            Perit. Itulah yang Aira rasakan tika ini, bibirnya mula pecah, cecair merah mula keluar mengalir dari bibirnya. Tan Sri Megat Miqdad  masih termanggu, dia sendiri tidak menyangka dengan tindakannya. Tidak pernah seumur hidupnya mengasari anaknya itu.
            “Aira, papa..”Aira bingkas bangun. Airmatanya makin deras mengalir. Perit di pipinya makin terasa.
            “Aira..” Tan Sri Megat Miqdad mula diselubungi kekesalan. Simpati melihat bibir anaknya yang luka. Tanpa memperdulikan Tan Sri Megat Miqdad Aira lantas meninggalkan ruang rumah agam itu. Terluka benar hatinya.



                                                ***************
JEMY yang baru saja ingin merebahkan kepalanya ke bantal dikejutkan dengan bunyi loceng di pintunya. Jam di dinding dikerling sekilas, pukul sepuluh tiga belas minit malam. Siapa saja tetamu yang datang ke rumahnya malam-malam macam ni. Dengan malas langkah diatur menuju ke pintu rumahnya, tombol dipulas.
            Tergamam Jemy melihat gerangan yang berada di muka pintu rumahnya. Wajah Aira yang kelihatan sembap seperti baru selepas menangis dipandang penuh risau, makin walang hatinya melihat bibir itu terluka. Apa yang dah jadi?
            “Jemy,” panggil Aira, air mata mengalir lagi.
            Tanpa kata Jemy menghampiri gadis itu, pantas tangannya menyentuh bibir yang dibasahi darah itu. Sungguh, dia benar-benar mati kata tika ini. Melihat keadaan Aira begitu, hatinya bermain dengan beribu soalan.
            “Papa dah tahu pasal kita,” Aira mula sebak.
Terpana Jemy seketika, Tan Sri Megat Miqdad sudah tahu tentang hubungan mereka? Wajah Aira dipandang buat sekian kali, luka kecil di bibir wanita itu dipandang penuh simpati. Adakah Aira jadi begini kerana hal mereka? Jemy mendengus geram, dia geram sebab dia tak mampu untuk berbuat apa-apa.
“Jemy, siapa yang datang malam-malam buta ni?” serentak Aira dan Jemy menoleh, wajah mamai Rahim dipandang. Jemy menggeleng seketika, pasti Rahim juga turut dikejutkan dengan bunyi loceng tersebut.
Aira pantas menyembunyikan mukanya dibalik badan sasa Jemy.
“Eh Aira, kenapa dengan muka kau tu?” pantas saja Rahim menghampiri teman wanita bosnya itu, terus segar matanya melihat Aira ada di situ.
“Tak ada apa-apa Rahim, kau pergilah tidur balik,” sampuk Jemy.
Rahim masih mengerutkan dahinya tanda belum berpuas hati.
“Jemy, jangan bagi tahu aku yang kau dera anak dara orang. Aduh, mati nyah! Apa kita nak buat ni. Kau ni Jemy, kut ya pun panas baran, jangan sampai nak bunuh anak dara orang, Ini belum kahwin, kalau dah kahwin mahu lebam sana sini muka Aira tu.” Rahim mengomel tanpa henti dengan riak wajah penuh rasa tidak puas hati.
“Aira, kau tak apa-apa ke?” Rahim mula menyoal Aira yang masih menunduk.
“Rahim, kau nak aku halau kau keluar dari rumah ni ke?” sinis Jemy dengan suara yang sedikit tegas, sesekali matanya dialihkan ke arah Aira yang masih diam.
“Err, janganlah Jemy, tak naklah aku duduk rumah tu sorang-sorang. Azlan tu pulak, tiba-tiba balik kampung,”
“Dah, sekrang kau masuk bilik, sambung tidur kau.” dengan dengusan yang kuat Rahim terus menuju ke biliknya.
“Kau orang jangan buat apa-apa tau, kalau tak aku terus telefon pejabat agama, tangkap kau orang,” Rahim sengaja menyakat bosnya itu.
“Rahim, sekali lagi aku dengar mulut celopar kau tu, aku terus buang semua barang kau kat luar, nak?”
“Eh, berkira sangatlah kau ni. Dah, aku nak sambung tidur. Ngantuk!” Rahim terus bergegas ke biliknya, malas untuk mengacau pasangan sejoli itu, tahu pasti ada sesuatu yang perlu diselesaikan memandangkan muka Aira yang ketat itu.
Jemy menggeleng seketika sebelum sepenuh perhatiannya ditumpukan ke arah kekasih hatinya itu, satu keluhan keluar dari mulutnya. Bagaimana untuk dia membetulkan keadaan yang sudah kucar-kucir ini?
Tangan Aira terus dicapai, lantas dipimpin memasuki rumahnya. Langkah Jemy terhenti bila melihat Aira masih membekukan langkahnya, faham akan riak yang terpamer di wajah itu, Jemy tersenyum hambar seketika.
“Masuk aje, Rahim ada, lagipun pintu bilik dia terbuka tu.” Aira akhirnya akur lalu hanya menurut langkah Jemy.
            “Duduk dulu, saya ambil air.” Pinta Jemy, namun belum sempat dia melangkah tangannya sudah ditahan oleh gadis itu.
            “Sara,” Jemy kembali merebahkan lututnya di hadapan gadis itu. Sejak sampai tadi Aira tidak henti menangis.
            “Papa cepatkan tarikh perkahwinan, dia nak saya kahwin bulan depan.” Esakkan Aira mula kedengaran.
Jemy terkedu. Berkerut dahinya memandang Aira, entah kenapa bicaranya kaku, lidahnya kelu untuk menutur kata. Berita itu benar-benar menyesakkan dadanya.
            “Saya tak nak kahwin dengan sesiapa, saya cintakan awak,” lirih Aira penuh sendu, segera dia merebahkan kepalanya di bahu Jemy, melepaskan sepuas-puasnya rasa sakit di hati.
            “Syy,awak takkan kahwin dengan sesiapa. Don’t cry,” rambut Aira dibelai lembut. Sendu hatinya mendengar lirih suara itu.
            “Saya tak nak kahwin dengan lelaki itu,saya tak nak,”
Jemy jadi mati kata. Apalagi yang perlu dia lakukan untuk menenangkan jiwa gadis itu.
            “Sara,”Jemy melepaskan keluhan. Kedua-dua tangan Aira digenggam kuat, matanya diarahkan tepat memandang wajah Aira yang masih dibasahi air mata.
            “Dengar apa yang nak saya cakap ni,” satu keluhan dilepaskan lagi.
            “Jemy, awak nak suruh saya ikut cakap papa ke? Saya tak nak! Awak tak sayang ke? Awak cakap awak cintakan saya, awak,” Aira sudah menggila, wajah Jemy dipandang tajam. Suaranya pula sudah naik senada.
            “Syy,dengar dulu apa yang saya nak cakap,”
            “Awak nak cakap apa?” air mata yang mengalir diseka buat sekian kali.
            “Kita kahwin!” Ujar Jemy ringkas namun cukup bermakna.
Aira terpana, Jemy mengajaknya berkahwin? Adakah ini mimpi?
            “Kita kahwin, saya tahu saya salah,tapi saya tak nak kehilangan awak.” Sambung Jemy lagi. Wajah Aira dipandang penuh berharap. Biar dia dipersalahkan kerana mengahwini Aira tanpa restu orang tua, namun dia tak mampu mengatasi rasa takut kehilangan gadis itu nanti.
            “Jemy, awak tahu bukan mudah untuk mencintai saya,”
            “Saya sanggup tanggung segala-galanya Aira, demi awak, demi cinta kita.”
            Air mata yang ingin ditahan mengalir lagi, alahai,kenapalah air mata ni tak henti-henti mengalir. Hati yang tadi terluka seolah-olah terubat dek kata-kata cinta dari lelaki itu.
            “Kahwin dengan saya,” pinta Jemy lagi. Aira lantas tersenyum lalu perlahan mengangguk. Apapun yang berlaku atas perhubungan mereka selepas ini, mereka perlu lalui bersama. Demi cinta mereka.
                                                            **************
JEMY duduk bersimpuh di hadapan Aira yang sudah lena tidur di katilnya. Airmata di pipi gadis itu masih belum kering, lantas tangannya menyeka airmata tersebut. Jemy tersenyum sendiri, Aira seorang gadis manja dan sentiasa riang, bila dia melihat pipi itu dibasahi airmata, hatinya sakit! Aira terluka kerana mencintainya.
‘Maafkan saya kerana mencintai awak..’ bisik Jemy sendiri. Tanpa sedar dia mula mengalirkan airmata. Bolehkah Aira mengahadapi susah senang hidup dengannya? Hanya itu yang bermain di fikirannya sedari tadi. Keputusan nekad mengahwini gadis itu dibuat kerana takut akan kehilangan Aira, betulkah keputusannya membelakangkan keluarga Aira? Jemy jadi buntu sendiri.
“Saya nak perkahwinan kita dirahsiakan.” Terngiang-ngiang permintaan Aira seketika tadi. Jemy merebahkan punggungnya di atas sofa. Air digelas dihirup buat sekian kali. Fikirannya benar-benar buntu. Permintaan Aira yang tak masuk akal semakin menyesakkan dadanya. Teringat kembali perbualannya dengan Aira seketika tadi.
“Rahsiakan? Kenapa?” Jemy menyoal hairan. Andai perkahwinan ini mampu menghalang Tan Sri Megat Miqdad dari mengahwinkan Aira dengan lelaki pilihannya, kenapa perlu perkahwinan ini dirahsiakan. Apa yang Aira cuba lakukan sekarang ni? Jemy memandang Aira tidak berkelip.
“Sara, kenapa nak rahsiakan perkahwinan kita? Bukankah dengan cara ini, kita mampu hentikan tindakan papa awak. Kenapa nak rahsiakan?” Jemy menyoal buat sekian kali.
“Sebab..sebab kerjaya saya.” Balas Aira dengan takut.
“Apa?” suara Jemy sudah meninggi.
“Kerjaya saya baru bermula, saya tak nak ia berakhir macam tu je. Maafkan saya Jemy..” Aira mula menangis, dia tahu dia bersalah kerana meminta pekara begitu. Tapi dia tak punya pilihan, dia cintakan Jemy, tapi dia juga sayangkan kerjayanya sebagai model.
“Awak sedar tak apa yang awak buat? Semua ni mengarut Sara!”
“Saya tak nak kehilangan awak, saya cintakan awak! Tapi..”
Then stop from becoming a model!” suara Jemy kian meninggi, pandangannya sudah menentang pandangan redup Aira. Berkerut keningnya memikirkan permintaan Aira kala itu.
“Jemy, tolong faham keadaan saya, saya bekerja di studio awak hari tu pun kerana cita-cita saya ni. Bila dah ada peluang, tak mungkin saya nak lepaskan.” Rayu Aira, wajah Jemy yang mula merah menahan marah ditatap penuh harapan, berharap lelaki itu memahami keadaannya.

Jemy menghela nafas berat. Permintaan gadis itu sukar untuk ditunaikan, bagaimana kehidupan mereka nanti? Bagaimana kehidupan mereka nanti dalam perkahwinan rahsia mereka!

Friday, October 3, 2014

Bab 35

Mencintaimu Mr.Photographer 

Lauk ayam masak merah, tempoyak goreng udang, sayur kailan masak tiram dan telur dadar menjadi santapan hidangan makan malam hari itu. Buah tembikai yang siap dipotong diletakkan dibahagian tepi meja. Aira hanya menurut bila tangannya ditarik oleh Jemy menuju ke meja makan. Sudah berantakan jiwanya tika ini, melihat hidangan yang siap tersedia di atas meja hatinya sudah tak keruan. Matanya dipejam kejap,  ibunya itu masih mengingati setiap kegemarannya.
            “Sara, Jemy makan dulu ya, lepas tu bolehlah rehat. Nak balik pun hujan lebat sangat tu.” Ujar Marlia, tangannya sibuk mencedok nasi kedalam pinggan, satu persatu pinggan yang telah diisi diletakkan dihadapan Jemy dan anak-anaknya.
            “Kita tidur sini ke?” soal Aira hairan. Wajah Jemy dipandang meminta kepastian.
            “Ya, hujan lebat sangat tu. Nak balik pun susah, lagipun dah lewat sangat ni.” Balas Jemy bersahaja.
            “Tapi saya..”
            “Case closed. Lapar..kita makan dulu ya.” Potong Jemy, tahu saja dengan kedegilan Aira, pasti ada saja alasannya nanti.
            “Jemy..”
            “Tak elok bergaduh depan rezeki, makan dulu.” Suara Akmal pula menyampuk. Aira menjeling sekilas ke arah Akmal, hisy..abang Akmal ni, dari dulu tak pernah nak sokong orang! Bentak Aira dalam hati.
            “Lauk ni semua kegemaran Sara, mama tahu Sara pasti suka.” Marlia menyendok ayam masak merah di pinggan anak gadisnya itu. Aira menyambut lantas tersenyum pahit. Terharu dengan layanan ibunya itu.
            “Jemy pun makan juga ya..” ajak Marlia.
            “Tak acilah mama ni, semua lauk kegemaran adik ni, lauk Mal tak ada ke?” usik Akmal, sengaja ingin melihat reaksi adiknya itu.
            “Aci tak aci, mama dah masak lauk kegemaran abang lima belas tahun. Adik cuma ada hari ni.” Balas Aira selamba.  Sayur kailan terus disendok sedikit kepinggan. Akmal, Marlia dan Jemy sudah saling berpandangan. Tak semena-mena mengalir airmata di wajah Marlia. Akhirnya itu anaknya itu bersuara seperti selalunya. Adakah ini satu petanda bahawa Aira sudah memaafkannya?
            “Makan ya nak, mulai hari ni mama akan masak selalu lauk kegemaran Sara.” Ujar Marlia penuh gembira. Aira hanya diam sambil menikmati masakan ibunya itu. Sudah lima belas tahun dia mengimpikannya.
            Jemy lantas tersenyum, segelas air turut disuakan pada Aira.
            “Esok ada shooting lagi ke Jemy?” soal Akmal memecah suasana.
            “Ada, pukul sepuluh. Tinggal sikit je lagi.”
            “Ambil gambar dekat butik Tiara?” Marlia pula menyampuk. Hatinya mula menyanyi lagu riang melihat anak perempuannya begitu berselera dengan masakannya.
            “Ya mak cik.” Balas Jemy sepatah.
            “Lain kali tak payah nak mak cik-mak cik dah, panggil mama pun tak pa. Biasakan diri, nanti dah kahwin tak susah” ujar Marlia tanpa berselindung, dia dapat melihat api cinta di antara Aira dengan jurugambar muda itu. Aira disebelah sudah tersedak mendengarnya, cepat Jemy menyua air pada Aira. Dia sendiri pun terkejut dengan permintaan ibu Aira yang tiba-tiba tu, nasib baik juga dia tidak tersedak.
                                                *******************
AIRA kaku di tepi katil. Bilik yang didakwa sebagai miliknya dipandang sepi, warna dan hiasan dalam bilik itu menepati citarasanya. Ternyata mama tak pernah melupakannya. Dia berjalan menuju ke longgokan hadiah yang terletak di sudut bilik tersebut, kotak hadiah yang dibalut dengan pelbagai warna dan bentuk menarik perhatiannya. Airmatanya jatuh tiba-tiba melihat ucapan hari jadi yang tertulis di salah satu kad tersebut.
                                    Selamat Hari Jadi Sara. Mama always love you!
Aira terduduk, sudah terdengar esak tangisnya. Bertahun sudah dia menanggung rasa rindu, dan kini rasa itu seolah-olah terlerai satu persatu. Melihat betapa sedihnya wajah ibu, membuatkan hatinya berbelah bagi.
            “Sara..” panggil Marlia yang tiba-tiba muncul di muka pintu. Aira sepintas menoleh lalu menerpa mendakap tubuh ibunya itu.
            “Maafkan Sara ma, maafkan Sara..” Aira menangis semahunya di bahu Marlia, segala rasa rindu ditumpahkan di situ. Betapa selama tempoh lima belas tahun dia rindu untuk mendakap tubuh insan bergelar ibu itu.
            “Mama yang patut minta maaf, mama tinggalkan Sara..” Marlia sudah hanyut dibawa arus perasaan. Semakin erat tubuh anaknya didakap. Dia juga turut merinduinya.
            “Sara rindukan mama..”
            “Mama tahu, mama pun rindukan Sara..” lantas pelukkan dileraikan, dahi itu terus dikucup lembut.
            Jemy dan Akmal sudah muncul di muka pintu. Kedua-dua tersenyum bahagia melihat kedua beranak itu yang sudah berpelukkan.
            “Abang tak ada ke?” giliran Akmal menyampuk, tangannya sudah didepangkan. Aira menyeka airmatanya, terus dia mendakap tubuh abangnya itu.
            “Abang rindu dengan adik tau..” ujar Akmal, rambut hitam Sara dibelai lembut.
            “Adik pun rindu sangat dengan abang..” Sempat Aira memandang Jemy yang berdiri dibelakang abangnya itu. Mulutnya sempat mengucapkan terima kasih pada lelaki itu, lelaki itu yang telah menyatukan mereka kembali. Jemy hanya mengenyitkan matanya lantas tersenyum, dia gembira melihat bibir itu tersenyum bahagia.
            “Jemy..” panggil Marlia bila menyedari Jemy mula beredar dari situ.
            “Ya?” Jemy mematikan langkahnya, wajah tiga beranak itu kembali dipandang.
            “Mama nak ucapkan terima kasih sebab bawa Sara ke mari. Mama sangat menghargainya.” Tergamam Jemy dengan bahasa yang digunakan Marlia, tak kurang juga Aira dan Akmal. Masing-masing saling berpandangan.
            “Mama, apa pulak berbahasa macam tu..” Aira mula tersipu malu. Hisy mama ni..boleh pulak berbahasa begitu dengan Jemy. Aira tidak berani menatap pandangan Jemy, sudahlah pagi tadi tanpa segan silunya dia mengajak Jemy berkahwin. Malunya!
            “Tak pa mak cik, pekara kecik je..” Ujar Jemy sekadar berbasa basi. Malu jugak diperlakukan begitu.
            “Apa pulak mak cik. Mama aku dah bagi green light panggil mama, maknanya dah ada restulah tu..” Akmal sengaja mengusik. Muka Aira sudah membahang.
            “Abang!” jerit Aira, ringan saja tangannya memukul bahu Akmal.
            “Salah ke? Kan tak lama lagi adik abang ni nak jadi isteri photographer.” Makin rancak Akmal mengusik. Jemy sudah memalingkan mukanya ke arah lain. Tak pasal-pasal dia jadi bahan usikan hari ni.
            “Pandai je abang ni kan, mama tengoklah abang ni.” Adu Aira.
            “Dahlah Akmal, kamu berdua ni memang tak boleh berjumpa langsung.” Marlia hanya tersenyum senang melihat gelagat anaknya. Akmal memang begitu, sejak dulu suka mengusik adiknya, si anak perempuannya ni pula memang tak boleh diusik langsung, manja sangat!
            “Jemy, mulai hari ni panggil je mak cik mama. Lagipun kalau bukan kerana Jemy entah sampai bila mama dapat jumpa anak kesayangan mama ni, mama berhutang budi dengan Jemy.” Sambung Marlia penuh ikhlas. Berubah air muka Jemy, wanita di hadapannya ini membahasakan dirinya mama. Mama? Sudah lama dia mengidamkan panggilan itu.
            Jemy lantas mengangguk, berbesar hati dia menerimanya. Pandangannya diarahkan ke arah Aira yang juga memandang ke arahnya, Jemy lantas tersenyum lalu mengucapkan terima kasih pada gadis itu, walaupun tanpa suara, gadis itu memahaminya.
                                                            *************
“AKU dah bagitahu kau, aku haramkan mulut kau panggil aku ibu!”
Jemy menghembuskan nafas beratnya, entah kenapa kata-kata itu masih terngiang-ngiang di telinganya, Apalagi dayanya untuk menagih kasih dari ibu kandungnya itu? Dan hari ini hatinya seolah-olah terawat, Marlia ibu kepada kekasih hatinya itu membahasakan dirinya sebagai mama, sejuk hati mendengarnya. Sudah lama dia mengimpikan untuk memanggil nama itu.
            Angin malam berhembus tenang. Jemy masih merenung butiran bintang di dada langit, indah sungguh ciptaan yang esa. Sungguh mendamaikan. Bibir Jemy lantas menguntum senyum bila terasa matanya ditutup dari belakang, tahu akan gerangan si nakal, tiba-tiba Jemy mendapat satu idea untuk mengusik.
            “Emily?” teka Jemy. Berkerut dari Aira, boleh pula masa masa ni tersebut nama model gedik tahap gaban tu.
            “No!” balas Aira ringkas, nada suara sedikit dikasarkan.
            “Mimi?” giat Jemy lagi. Dia boleh membayangkan wajah mencuka Aira sekarang.
            “Salah..” Aira sudah mengekek ketawa. Teringat peristiwa semasa pertunjukkan feshen dulu, teruk juga Jemy diusiknya.
            “Kalau bukan, ini mesti the most beautiful model..Aira.” balas Jemy, tangan Aira sudah digenggamnya, tubuhnya terus dipalingkan menghadap gadis itu. Sebuah senyuman diberikan buat gadis yang semakin terpahat teguh di hatinya itu.
            Aira sudah tersipu malu, Jemy jarang sekali memujinya. Lelaki itu lebih bersikap serius dan bercakap ikut sedap mulut je, semuanya menyakitkan hati. Aira lantas menggeleng, dia lebih gemar Jemy memanggilnya Sara, nama kegemarannya.
            “Bukan Aira? Kalau macam tu, awak adalah Sara..gadis yang paling Jemy cinta..” bisik Jemy rapat ditelinga Aira. Entah kenapa berdebar hebat hati Aira tika ini, bisikkan Jemy sungguh mengasyikkan, perasaannya turut terbuai.
            “I love you so much, Sara..” bisik Jemy lagi, dan kini pandangan matanya tertumpu penuh pada anak mata kekasihnya itu.
            “Err..kenapa awak ti..” Aira semakin hilang kata.
            “I really love you. Terima kasih sebab hadir dalam hidup saya, dan memberikan saya segala-galanya.” Sambung Jemy, wajah Aira yang merona merah dipandang penuh bahagia. Genggaman tangannya dieratkan.
            “Kenapa? Saya tak bagi apa-apa pun.”
            “Tak Sara, awak bagi saya segala-galanya. Saya tak punya apa-apa selain kamera saya tu. Bila awak hadir, awak berikan cinta dan perasaan sayang yang tak pernah saya dapat selama ni, dan hari ni..awak beri saya seorang ibu, seseorang yang begitu saya inginkan. Saya tak punya apa-apa untuk saya beri pada awak, selain cinta dan kesetiaan yang tiada penghujungnya untuk awak, Sara.” Terkedu Aira dengan kata-kata Jemy, kenapa lelaki ini bersikap begini? Apa yang menyentuh hati lelaki itu? Yang pasti hatinya tersentuh mendengarnya, benar-benar tersentuh, begitu sekali Jemy menghargai dirinya.
            “You're making me cry..” ujar Aira, lengan Jemy ditepuk perlahan. Airmata yang kian mengalir diseka dengan belakang tangannya.
            “Sorry..” balas Jemy sambil tersenyum, tangannya terus menyeka airmata Aira.
            “Sorry, but I love you..” sambung Jemy lagi lalu ketawa, seronok rasanya melihat muka Aira yang kemerahan menahan malu. Aira turut tersenyum.
            “Terima kasih sebab temukan saya dengan mama dan Abang Akmal.” Ujar Aira.
            “Kasih diterima.” Usik Jemy lagi.
            “Mana awak kenal Abang Akmal?” soal Aira, sebenarnya itu yang bermain-main difikirannya dari tadi.
            “Dari Tiara.” Jawab Jemy ringkas.
            “Tiara? Perempuan petang tadi tu ke?” Aira mula curiga. Perasaannya mula berbaur cemburu, dari petang tadi dia menahan.
            “Ya, kenapa?”
            “Awak tak cakap pun awak ada model nama Tiara..” duga Aira.
            “Kan dah bagitahu petang tadi, She’s not a model.”
            “Siapa dia?”
            “Dia Tiaralah, siapa lagi?” Jemy sengaja menyakat Aira, seronok pula sekali sekala menegenakan gadis tu.
            “Jemy! I'm serius. Who is she?” tanya Aira, membahang hatinya bila lelaki itu sengaja memutar belitkan soalannya.
            “Okay, janganlah marah! Awak ni cubalah belajar sabar sikit.”
            “Who is she?” tanya Aira lagi, kali ini lebih tegas, suaranya juga sudah naik senada.
            “Cemburu ke?” Jemy sudah ketawa. Aira mendengus geram, hisy! Dia ni, saja nak sakitkan hati aku. Baru tadi buat aku tersentuh, sekarang buat lagi perangai sengal tahap gaban dia tu. Malas memperdulikan Jemy, Aira meleraikan tangannya dari genggaman lelaki itu, tak kira..nak merajuk jugak dengan mamat sengal ni!
            “Eh, nak pergi mana ni?” soal Jemy. Muka mencuka Aira dipandang.
            “Nak tidur!” jawab Aira kasar.
            “Okay, dream of me. Love you.”

            “Tak ingin saya, awak suruhlah si Tiara tu mimpikan awak!” Aira terus berlalu meninggalkan Jemy yang sudah tersenyum sumbing.

Bab 2

Kisah Cinta Dayana

                                         
DAYANA mengenggam kuat jemarinya. Tajam matanya menjeling ke arah Tasya dan dua orang rakannya itu. Kenapalah budak tiga orang tu tidak pernah berpuas hati dengannya? Sekilas dia turut mencuri pandang ke arah lelaki yang dimaksudkan oleh Tasya seketika tadi. Faiz Rafzal, lelaki yang mencuri perhatian banyak gadis di universiti mereka, ramai gadis yang cuba untuk mendekati lelaki itu, entah kenapa sikap Faiz yang serius dan jarang untuk bercampur dengan mana-mana pelajar menjadikan lelaki itu seorang yang sukar untuk didekati. Dayana mengeluh perlahan, kepalanya yang mula berdenyut dipicit perlahan. Kenapalah dia bersetuju dengan rancangan gila Tasya dan rakannya?
            “Tak payah dengar diaorang tu Yana, nanti kau pulak yang susah.” Bebel Haliza sambil mengemas buku-buku dari atas mejanya.
            Dayana enggan mengulas kembali kata-kata dari Haliza, kini pandangannya jatuh pada wajah seorang lelaki yang masih tekun melakar sesuatu di atas kertas putih bersaiz A3. Faiz. Benarkah lelaki itu sesukar seperti yang Tasya katakan? Benarkah Faiz seorang lelaki yang berhati batu dan sukar untuk didekati. Dayana terimbas kembali detik pertama dia bertentang mata dengan lelaki itu, buat pertama kali itu juga dia merasakan keanehan bila memandang seraut wajah itu.
            “Yana..kau jangan bagitahu aku yang kau nak ikut plan si Tasya tu, bahaya Yana..” Haliza merenung sekilas wajah Dayana yang dari tadi berkerut.
            “Kau pernah bersembang dengan dia ke?” giliran Dayana bersuara, namun matanya masih lekat memandang ke arah Faiz. Dari tadi lelaki itu masih kekal di tempat duduknya tanpa berbual dengan sesiapapun.
            “Ada jugaklah, tapi semuanya pasal assigment. Kau bukan tak tahu anak Puan Umaira tu, memang tak banyak cakap. Serius memanjang aje.”
            “Dia tu ada kawan ke di sini?” soal Dayana lagi seolah-olah berminat.
            “Setahu aku dia cuma berkawan dengan Nazri. Budak nerd tu. Eh, jap! Apahal kau minat sangat dengan si Faiz tu? Kau jangan Yana..”
            “Saja..” Dayana menjawab bersahaja dengan sebaris senyuman di bibirnya. Tipulah kalau dia tak tercabar dengan kata-kata Tasya seketika tadi.
            ‘Kalau kau hebat sangat, buktikan! Kau kenal Faiz kan? Aku cabar kau,kalau kau berjaya pikat dia dalam masa seminggu, aku akan akui bahawa kau benar-benar ratu di universiti ni dan aku akan ikut segala kata-kata kau. Tapi, kalau kau gagal..kau kena ikut cakap aku.’
       “Yana..” Haliza menyentuh sedikit jemari Dayana, entah kenapa dia risau dengan reaksi rakannya itu.
       “Jangan risaulah!” Dayana cuba menyenangkan hati Haliza.
       “Janji dengan aku, jangan buat semua tu.” Pinta Haliza bersungguh-sungguh.
       “Buat apa?”
       “Yana..aku kenal kau. Kau..”
      “Kalau kau kenal aku, kau akan tahu apa yang aku akan buat.” Balas Dayana, buku segera dikemaskan, Haliza hanya menghantar langkah Dayana dengan riak wajah risau. Dayana yang dia kenal? Mata Haliza terus melekat pada wajah Faiz yang masih khusyuk dengan lukisannya, lelaki itu akan menjadi sasaran Dayana seterusnya!
                                                            **************
FAIZ dihampiri. Persetujuan yang dibuat dengan Tasya dua hari yang lepas membuatkan Dayana nekad mendekati lelaki yang menjadi perbualan hangat di universiti mereka. Siapa tak kenal Faiz Rafzal? Biarpun baru beberapa bulan berpindah di universiti mereka, namun Faiz mampu menyaingi pelajar lelaki yang lain, bukan saja dengan rupa parasnya bahkan juga kerana sikapnya yang tersendiri.
       Langkah diatur semakin hampir dengan Faiz yang masih melukis sesuatu di kertas kanvas. Lelaki itu kelihatan asyik duduk di tepi tasik tanpa memperdulikan pelajar lain yang lalu lalang, dengan berani Dayana terus melabuhkan punggungnya di sisi Faiz, lelaki itu hanya mendongak seketika memandang kearah sang gadis yang sudah tersenyum simpul di sebelahnya. Faiz tersenyum sedikit sebelum menumpukan semula perhatiannya pada kanvas di tangan.
       “Hi..” sapa Dayana dengan ramah.
       “Hmm..” Dayana menyebik sedikit dengan layanan lelaki itu.
       “Saya Dayana.” Dayana lantas menghulurkan tangan untuk bersalam.
       “Siapa tak kenal ‘the killer eyes’ kat universiti ni.” Jawab Faiz bersahaja tanpa sedikitpun memandang kearah Dayana.
       “Ohh..kenal. Saya..”
       “Nak apa?” membuntang mata Dayana melihat layanan dingin lelaki itu kepadanya. Nak apa? Dayana jadi panas sendiri. Kalau lelaki lain, sudah tentu dia sudah dilayan bagaikan puteri.
      “Err..” mata Dayana sempat menangkap sekeping kertas lukisan yang terselit di bawah buku lelaki itu, pantas saja tangannya mencapai. Terkedu seketika, lukisan yang menyerupai  figura wajah manusia itu belum siap sepenuhnya.
       “Apa ni?!” Faiz terus merampas kertas lukisan tersebut dari tangan Dayana dengan kasarnya.
       “Girlfriend ke?” tanya Dayana, patutlah tak layan perempuan lain.
       “Kau nak apa?” tanya lelaki itu lagi, kali ini lebih lantang dari tadi.
       “Janganlah marah..”
       “Nak apa?” Dayana menjeling sekilas. Memang hati batu betullah dia ni! Sabar Dayana..jangan putus asa, ingat pertaruhan kau dengan Tasya.
       “Saya nak belajar lukis potret. Tolong ajarkan saya..” pinta Dayana dengan muka yang cuba dimaniskan.
       “Apa?!” Faiz menghantar pandangannya kearah gadis bermata bundar tersebut. Lukis potret? Dia sendiri tidak pernah melukis potret. Cuma, entah kenapa sejak kebelakangan ini, dia begitu tertarik untuk melakar satu wajah yang mula diminatinya dalam diam.
                                               
                                                            *************
DARI jauh Faiz masih tekun melakar lukisan di kanvas kecilnya. Sejak kebelakangan ini, hanya ini yang dia lakukan bila hari menjejak petang, dia akan mengangkut semua peralatan untuk melukis dan menghabiskan beberapa jam masa lapangnya di tepi tasik.
       Sebaik saja kakinya menjejak kawasan taman di universiti tersebut, senyumannya mula terukir. Wajah yang dia harapkan sudah berada di depan mata, dari kejauhan dia dapat melihat gadis itu sedang membaca di bawah pohon rendang di tepi tasik. Tanpa memperdulikan insan lain yang lalu lalang di situ, dia terus melakar figura gadis tersebut, menghabiskan lukisannya yang terbengkalai sejak dua minggu yang lalu.
       “Saya nak lukis potret orang yang saya sayang.” Serentak itu tangan Faiz segera terhenti. Teringat perbualannya dengan Dayana beberapa hari yang lepas. Faiz tersenyum sendiri, orang tersayang? Bolehkah seorang gadis yang gemar mempermainkan perasaan seorang lelaki menyayangi orang lain?
       “Kau minat kat dia ke?” soal Nazri pada satu petang.
       “Siapa?” Faiz hanya menyembunyikan senyuman dibalik wajah seriusnya.
       “Tu.. ‘The killer eyes’. Wajah yang kau lukis tu.” Nazri memuncungkan mulutnya pada sekepng kanvas kecil milik Faiz.
       Faiz hanya menjawab dengan senyuman yang penuh makna. Minat? Minatkah dia pada gadis itu? Dia Cuma senang melakar wajah itu dalam lukisannya. Tak lebih dari itu. Dia juga sedar, biarpun Dayana seorang gadis yang sentiasa dikelilingi oleh lelaki malahan terkenal dengan sikap ‘playgirl’, Dayana juga bukanlah seorang yang senang untuk didekati.
       “Serius? Kau minat kat dia ke? Kau jangan Faiz..kau tak kenal lagi dia siapa? Dah ramai dah lelaki kat universiti kita ni kena dengan dia.” Ujar Nazri, biarpun kedengaran agak janggal bila seorang gadis mempermainkan hati lelaki, tapi itulah Dayana. Dayana seorang gadis yang tidak betah bersama lelaki melebihi tempoh satu bulan, paling lama pun hubungan tersebut akan bertahan selama dua minggu, seperti biasa, Dayanalah yang akan memutuskan hubungan tanpa sebarang rasa bersalah sekalipun.
       “Nazri, setiap manusia ada ceritanya sendiri. Pasti ada sebab kenapa dia begitu?” ulas Faiz.
       “Sebab? Sebab dia permainkan perasaan lelaki? Tak ada maknanya, jangan kerana seorang lelaki, dia nak hukum semua lelaki dalam dunia ni. Tak adil! Nazri keras membantah. Seperti biasa Faiz hanya tersenyum. Mungkin saja dia akan sependapat dengan Nazri jika dia tidak pernah terserampak dengan Dayana dua minggu lalu yang sedang menangis sendirian di bawah pohon rendang di tepi tasik. Hatinya kuat mengatakan bahawa mata yang dikatakan sering memikat mata lelaki diluar sana menyembunyikan sebuah luka yang tak tertanggung.
       “Siapa kita nak mengadili dia? Kita tak berada di tempat dia Naz..” Faiz menepuk lembut bahu sahabatnya.