Friday, January 16, 2015

Bab 4

KISAH CINTA DAYANA

DAYANA masih berdiri di kawasan parkir menanti kehadiran ibunya yang berjanji untuk melawatnya di universiti hari ini. Biarpun sudah dihalang, Maria berkeras, katanya Mikhail yang berkeras untuk melawat anak tirinya itu, maklumlah sejak mula semesta beberapa bulan lalu, Dayana tidak pernah sekali balik ke rumah. Rindu katanya! Dayana hanya mengiakan, malas untuk bertegang urat dengan ibunya.
       Jam di tangan dikerling sekilas, sudah hampir lima belas minit dia berdiri di situ. Kelibat ibu dan bapa tirinya juga belum kelihatan. Selang beberapa minit sebuah kereta perodua masuk di perkarangan tempat parkir kereta, Dayana menghampiri kereta tersebut, wajah ibunya sudah tersenyum dari tempat duduk penumpang, pandangan dari bapa tirinya hanya disambut dengan pandangan kosong. Bukan membenci, Cuma dia masih tidak tahu bagaimana mahu berhadapan dengan lelaki itu.
       “Assalamualaikum mama..” sapa Dayana, segera dia memeluk tubuh ibunya, dia dapat merasakan belaian lembut di rambutnya.
       “Waalaikumussalam, dah lama ke Yana tunggu?” tanya Maria, pipi anaknya dielus lembut.
       “Tak, mama sihat?” Dayana sempat mencuri pandang kearah Bapa tirinya yang hanya memandangnya dengan senyuman.
       “Mama sihat, Cuma babah kamu ni ha..yang tak berapa sihat.” Balas Maria, dia menarik sedikit tangan suaminya yang masih berdiri di belakangnya.
       Dayana hanya menjawab dengan senyuman kecil, langsung tiada hati mahu bertanya selanjutnya.
       “Yana sihat?” tanya Maria lagi, dia bukan tidak tahu bahawa anak perempuannya itu masih tidak dapat menerima kehadiran suaminya itu. Namun, hati Dayana sekeras kerikil, biar sebaik manapun suaminya itu melayannya, Dayana tetap membekukan hati. Akhirnya, Maria mengambil langkah berdiam diri, biarlah Dayana menerima suaminya itu dengan hati yang ikhlas.
       “Sihat.”
       “Mama datang ni nak bagitahu Yana yang mama dan babah nak balik terengganu, jumpa ibu bapa babah di sana. Mungkin dalam seminggu dua.” Ujar Maria.
       “Oh..bila mama nak pergi?”
       “Hujung mimggu ni, Yana nak ikut tak?” pelawa Maria bersungguh-sungguh, dia benar-benar berharap anaknya itu akan turut serta, bukan apa dia ingin mengeratkan lagi hubungan Dayana dengan suaminya., dia sedia maklum juga yang anak gadisnya itu masih kecewa dengan penceraian dia dan bekas suaminya dulu.
       Dayana hanya menggeleng dan lantas mengulum senyum hambar, wajah ibunya yang nyata turut berubah membuatnya serba salah sendiri, pasti hati itu terkilan dengan sikapnya. Maafkan Yana mama, Yana masih belum dapat menerima lelaki itu sebagai bapa, dia memang baik malah lebih bertanggungjawab dari papa. Tapi entah kenapa? Dayana memandang sekilas kearah Mikhail yang hanya berdiri di sisi ibunya. Sabar sungguh lelaki ini.
       “Tak apalah Yana, mama faham. Ni Yana tak ada kelas ke?” soal Maria cuba menyembunyikan rasa kecewanya.
       Belum sempat Dayana menjawab, telefon bimbit ibunya berbunyi, Maria tersenyum sedikit kearah anaknya sebelum berlalu menjawab panggilan telefon. Dayana hanya mengangguk, sempat matanya menangkap pandangan bapa tirinya yang sudah tersenyum kecil.
       “Yana sihat?” tanya Mikhail sambil bergerak setapak menghampiri Dayana.
       Dayana tidak menjawab sebaliknya dia bergerak ke belakang menjauhi bapa tirinya itu.
       “Kenapa lama tak balik?” soal Mikhail lagi berharap anak tirinya itu menjawab soalannya. Sedikit sebanyak dia rasa bersalah dengan Dayana, dia tidak mengharapkan lebih dari Dayana, cukuplah sekadar membalas senyumannya, malah dia tidak pernah mendesak Dayana menerimanya.
       “Bukan urusan kau.” Jawab Dayana dengan kasar.
       Mikhail mengeluh sedikit.
      “Yana, maafkan Babah. Babah cuma risaukan Yana.” Beritahu Mikhail dengan lirih suara yang kecewa.
       Dayana memeluk tubuhnya, dia hanya diam, malas untuk bersoal jawab dengan Mikhail.
       “Emm..Yana tak nak ikut babah dengan mama balik kampung ke? Kebetulan anak babah baru balik dari Rusia. Bolehlah Yana berkenalan dengan anak babah di sana.” Dayana sempat menoleh, anaknya dari Rusia? Khaaliq? Dayana tersenyum sedikit, lelaki itu pernah mendapat tamparan sulung darinya setahun yang lepas. Dia yang cuba membela ibunya dari di serang oleh bekas isteri Mikhail dan Khaaliq yang marah kerana dia cuba mencederakan bekas isteri Mikhail. Akhir sekali, mereka berdua yang bergaduh dan saling bertikam lidah.
       Mikhail sudah tersenyum sendiri.
       “Yana, babah tahu pertemuan terakhir kamu berdua hari tu tak berapa baik. Apa kata, Yana ikut mama dan babah balik kampung. Bolehlah berkawan baik dengan Khaaliq.” Cadang Mikhail dengan senyuman yang meleret.
      Dayana berdehem sedikit. Memandang tajam kearah bapa tirinya itu. Mikhail cuba mendekati Dayana, namun Dayana lantas menjauh.
       “Dayana..” panggil satu suara tiba-tiba dari arah belakang. Dayana dan Mikhail serentak menoleh. Terpana Dayana seketika melihat gerangan yang berada di belakangnya.
                                              **************
SETIN air teh bunga sudah bertukar tangan. Dayana menyambut seraya mengucapkan terima kasih. Kehadiran Faiz yang tiba-tiba sedikit sebanyak menimbulkan tanda tanya. Lelaki itu hadir di saat hatinya resah begini.
       “Kau okey?” soal Faiz tiba-tiba lantas memecah kesunyian di antara mereka.
       “Hmmm..” Dayana hanya menjawab pendek, yang sebenarnya dia malu.
       “Lelaki tu tadi..”
       “Bapa tiri saya.” Jawab Dayana pantas. Sudah semestinya Faiz sudah mendengar semua perbualannya dengan bapa tirinya tadi.
       “Kerana dia ke?” Faiz menyoal lagi.
       Dayana mengeluh sedikit.
       “Bukan sebab dia. Tapi..sebab diri saya sendiri. Dia lelaki baik, Entah kenapa saya tidak mampu menerima dia. Saya masih tidak dapat menerima penceraian mama dengan papa. Dan dia hadir dalam hidup kami, di saat segalanya masih kucar kacir.” Dayana meluah rasa, entah mengapa ringan sungguh mulutnya untuk bercerita. Selama ini, mana pernah dia berkongsi cerita dengan sesiapapun, termasuk Haliza rakan karibnya sendiri.
       “Dayana, terkadang kita tak tahu apa yang kita rasa. Buang sedikit ego kau tu, baru kau mampu melihat dengan jelas siapa yang sebenarnya kau perlukan dalam hidup kau.” Dayana terdiam sejenak. Egokah dia kerana sehingga sekarang dia masih belum dapat melihat kebaikan Mikhail terhadapnya?
       “Boleh tolong saya tak?” pinta Dayana tiba-tiba.
       “Hmm?”
       “Pasang balik handfree awak tu..saya tak nak awak dengar saya nangis.” Dayana sempat menunjuk kearah lilitan handfree dileher lelaki itu.
       “Oh..okey.” Faiz lantas akur, handfree diselitkan kembali ke telinganya. Muzik segera dipasang, tak sampai beberapa saat dia dapat menangkap tangisan Dayana dari arah belakang, biarpun esakkannya kecil namun cukup kedengaran hiba.
       Beberapa ketika hanya sunyi yang mengisi di antara mereka, Dayana kian reda, dia memandang sedikit kearah Faiz di sebelahnya yang diam tak berkutik. Di saat dirinya memerlukan seorang teman, lelaki itu hadir menghulurkan diri untuk menjadi temannya walau seketika. Dayana mengeluh perlahan, esok tarikh penentuan, esok akan menjadi tarikh penamat pertaruhannya dengan Tasya. Kini Dayana akur, Faiz bukan seperti lelaki lain.
       “Aku kalah..” ujar Dayana sendiri.
       Faiz di sebelah hanya mendengar seraya mengukir senyuman kecil.
       “Nah..” hulur Faiz tiba-tiba. Sebelah handfree miliknya sudah diserahkah kepada Dayana.
       “Err..tak pe, saya..”
       “Kita dengar lagu sama-sama..” sambung Faiz lagi.
       Dayana hanya tersenyum pahit sebelum menyambut huluran handfree dari tangan Faiz, kini dia dan lelaki itu berkongsi satu lagu yang sama. Dayana kembali menyandarkan badannya di dahan pokok rendang tersebut, diam sambil mengamati lagu dari yang dipasang dari telefon mudah alih lelaki itu..
       “Faiz..” panggil Dayana.
       Senyap.
       “Faiz, awak dengar saya tak?” panggil Dayana lagi, namun Faiz masih enggan menjawab. Dia mengintai sedikit dibalik belakangnya, lelaki itu sedang asyik mendengar lagu dengan mata tertutup.
       “Awak tidur ke?” tanya Dayana lagi.
       Sekali lagi Faiz hanya diam, akhirnya Dayana mengalah. Nekadnya untuk menceritakan perkara sebenar kepada lelaki itu, kenapa dia mendekati lelaki itu dan tentang pertaruhannya dengan Tasya. Dayana mengeluh sedikit, mungkin lain kali saja, desis Dayana lagi.
       Dayana kembali menyandar kepalanya, lagu Relaku Pujuk dari kumpulan spider mula kedengaran dari corong handfree tersebut.
       “Faiz, lagu ni..lagu ni..untuk awak.” ujar Dayana perlahan seraya terus menundukkan wajahnya, dia tahu Faiz sedang terlena, biarlah hanya dia yang tahu akan perasaannya yang kian bercambah ini. Faiz terlalu baik untuk dirinya yang serba kekurangan ini.
       Faiz di sebelah sudah membuka matanya, demi mendengar kata-kata dari mulut Dayana, dia keresahan sendiri. Apa makna semua ni? Sempat Faiz bermonolog sendiri. Lagu yang dimaksudkan oleh Dayana didengar dengan teliti.
       Ku dikejar bayang-bayang resah,
       Bila hatimu masih tak berubah,
       Enggan dipunya dan dipenjara
       Belaian cintaku ini..

       “Maafkan saya sebab niat saya yang tak jujur sejak mula.” Sambung Dayana lagi, airmatanya tiba-tiba mengalir. Faiz sudah mengenggam kuat jemarinya, benarkah apa yang dia dengar?



Bab 3

KISAH CINTA DAYANA

BUKU di tangan sudah dihempas kuat di atas meja. Sudah empat hari berlalu, tempoh seminggu semakin berkurang, namun Faiz masih belum ditawannya. Sudah pelbagai cara yang dilakukan, tapi seorang Faiz masih degil dan berhati batu. Dayana meramas kuat rambutnya, buntu, dia benar-benar buntu. Apa lagi yang perlu dia lakukan untuk melembutkan hati seorang Faiz. Empat hari berlalu begitu saja tanpa sebarang perubahan.
       Dayana merebahkan kepalanya di bahu kerusi, mata dipejam rapat. Tangannya menyentuh dadanya yang berdebar kencang. Faiz? Ada apa dengan dia? Kenapa jantung ini berdegup tak sekata bila bersamanya? Teringat pada hari pertama dia mengambil langkah untuk mendekati lelaki itu, alasan untuk belajar melukis potret digunakan sebagai cagaran. Namun jawapan lelaki itu menghadirkan seribu rasa.
       “Tipu.” Jawab Faiz ringkas. Membuntang mata Dayana dibuatnya.
       “Apahal pulak?” Dayana menempelak lantang.
       “Kalau kau sayangkan orang di sekeliling kau, kau akan sayang diri kau sendiri. Lihat apa yang kau dah buat pada diri kau..” ujar Faiz lagi. Dayana hanya mampu mengetap bibirnya, entah kenapa kata-kata itu menusuk hingga ke hatinya.
       Hari kedua pula, Dayana menebalkan muka menemui lelaki itu di perpustakaan, dan seperti biasa kehadirannya tidak diendahkan. Ini bukan dirinya, bukan caranya kesana kemari menagih perhatian dari seorang lelaki! Hendak mengalah, dia sudah terlanjur menyahut cabaran yang dibuat oleh Tasya, jika dia kalah teruklah dia dikerjakan oleh Tasya dan dua orang gengnya itu.
       “Hi Faiz.” Sapa Dayana dengan ramah. Segaris senyuman sudah diukirkan buat lelaki itu. Sempat dia mengenggam kedua belah jemarinya, entah kenapa dia jadi cuak tiba-tiba. Faiz hanya memandang sekilas kearah Dayana, pen di tangan dilepaskan, segera tubuhnya disandarkan di bahu kerusi sambil pandangannya dihalakan terus kearah Dayana.
       “Nak apa lagi?” Faiz menyoal tegas tapi dengan nada yang perlahan. Dayana mengukir senyum tiba-tiba, nampaknya umpannya berkesan. Wajah Faiz dipandang lagi dengan senyuman yang meleret.
       “Macam mana? Setuju ke?” tanya Dayana dengan senyuman.
       “Setuju apa?”
       “Potret.” Faiz tersenyum kecil. Geli hati melihat reaksi Dayana di depannya.
       “Maaf, aku tak pandai lukis potret.” Balas Faiz seraya pantas mengemas bukunya di atas meja.
       “Apa pula? Semalam saya..”
       “Cari orang lain, aku tak pandai. Maaf.” Putus Faiz, sekali lagi Dayana ditinggalkan dalam keadaan yang terpinga-pinga.
       Dayana mengepal penumbuknya. Panas hati dengan sikap berlagak lelaki itu. Kepalanya diangkat perlahan dari bahu kerusi, naik risau dirinya bila mengenangkan tempoh seminggu yang semakin mendekat. Kalau lelaki lain tidak sampai lima belas saat sudah jatuh di tangannya, tapi dengan lelaki berhati batu tu.. Dayana menggigit bibir bawahnya. Geram.
       Hari ketiga dia turut menerima layanan yang sama. Dayana lantas merebahkan kepalanya di meja kuliah, mengumpul seribu satu idea yang akan digunakan dalam masa tidak kurang tiga hari lagi, jika dia gagal juga, teruklah dia dikenakan oleh Tasya.  Bunyi pintu bilik kuliah yang dibuka dari luar mengejutkan Dayana, pantas dia memanggung kepala, kelibat Faiz yang baru memasuki bilik kuliah hanya dipandang tanpa riak.
       ‘Apahal mamat ni tak makan umpan aku ya..jangan-jangan dia ni gay kot..’ Dayana menutup mulutnya sambil memikirkan kemungkinan tersebut. Kepalanya masih direbahkan di atas meja, hanya pandangannya dihalakan kearah Faiz yang masih leka membaca buku. Keluhan panjang dilepaskan, keadaan masih lenggang dengan kehadiran mereka berdua, rata-rata pelajar belum sampai.
       “ke..dia baru lepas putus cinta?’ bebel Dayana lagi, namun hanya mampu disuarakan di dalam hati.
       “Fikirkan aku ke Dayana?” suara Faiz memecah suasana, segera Dayana tersedar, kelam kabut dia cuba menyembunyikan kegelisahan yang tiba-tiba melanda.
       “Siapa fikirkan awak? Jangan perasan!” jawab Dayana sedikit kasar. Faiz tersenyum sedikit, hanya gelengan yang mengiringi tawa kecilnya.
       “Aku ingatkan kau akan terus mendekati aku.” Balas Faiz lagi.
       Dayana lantas menoleh, memandang tajam ke arah Faiz. Gila ke apa mamat ni? Kalau bukan kerana pertaruhan aku dengan Tasya, tak ingin aku nak dekat dengan lelaki sombong macam tu!
       Dayana hanya menyebikkan bibirnya. Tiba-tiba terselit akalnya membisikkan satu idea nakal, bagus juga masa ini dia gunakan untuk ‘menawan’ lelaki itu. Dayana mengatur langkah menuju ke tempat duduk lelaki itu di bahagian belakang, tempoh masa yang semakin singkat mendesaknya untuk bertindak mengikut rasa.
       Terkebil-kebil mata Faiz melihat Dayana yang sudah duduk menyengih di hadapannya, tercetus tawa kecil dari bibir lelaki itu, terkadang dia merasakan teletah Dayana mencuit rasanya, ada-ada saja yang dilakukan oleh gadis itu untuk menarik perhatiannya. Adakah hatinya terlalu kebal untuk menerimanya? Tidak! Hatinya turut terpaut, Cuma..
       “Apa ciri-ciri gadis idaman awak?” soalan spontan dari Dayana membuatkan Faiz tercengang sendiri. Gadis idaman? Faiz hanya mampu menghantar pandangan matanya ke arah Dayana. Perlukah dia menjawab soalan cepu emas macam tu.
       “Tak ada.” Faiz menjawab ringkas.
       “Tak ada? Awak tak minat perempuan ke? Are you..gay?” Dayana memandang Faiz dengan pandangan pelik. Faiz hanya menjungkit bahu sebagai jawapan.
       “Terpulanglah..tapi jujur saya nak tanya ni, awak langsung tak tahu saya siapa ke? Saya Dayana..dekat universiti ni, tak seorang pun tak kenal saya.” Ujar Dayana.
       “Kan aku dah cakap, siapa tak kenal ‘The Killer Eyes’. Aku tahu..”
       “Oh..awak tahu, dan saya rasa awak pun tahukan yang saya ni..”
       “Kau boleh pikat mana-mana lelaki dengan mata kau tu je..itu yang aku tahu.” Pintas Faiz pantas, kata-kata yang berbaur sindirian itu dituturkan dengan senyuman di bibir dengan mata masih tidak beralih memandang Dayana yang kian membahang.
       “So, kenapa awak tidak? Apa kurangnya saya?” Dayana menyoal pantas.
       “Kau tak ada kurangnya..cuma..” kata-kata Faiz terhenti bila dua orang pelajar memasuki bilik kuliah, Dayana turut memandang kearah yang sama, buat seketika dia dan Faiz saling berbalas pandang. Sekali lagi Dayana merasakan degupan jantungnya kembali berdegup pantas. Dayana bangkit dari tempat duduknya, dibiarkan pandangan mata dua orang pelajar itu memanah tepat kearahnya. Lantak koranglah nak fikir yang bukan-bukan, hatiku dah panas ni. Sangat panas! Bebel Dayana sendiri.
       “Dayana..” langkah Dayana terhenti bila suara Faiz mula kedengaran memanggil namanya.
       “Mata kau memang cantik, tapi sinarnya hilang..” Dayana terus menoleh semula memandang Faiz, sekali lagi pandangan mata mereka bertemu, masing-masing menghantar seribu rasa yang sudah mula bercambah.
       “Kau dah terlalu banyak terluka Dayana..” sambung Faiz lagi, serentak itu airmata Dayana mengalir, buat pertama kalinya dia mengalirkan airmata di hadapan seorang lelaki bernama Faiz, tidak pernah seorang lelaki pun yang pernah menilainya seperti lelaki itu. Dayana lantas menyeka airmatanya, langkahnya terus dihantar keluar dari bilik kuliah tersebut. Faiz yang memandang hanya diam terkaku, diluar dugaannya bahawa Dayana akan menangis dengan kata-katanya. Benarlah tekaannya, hati seorang Dayana sedang menanggung begitu banyak luka.
                                      ************
WAJAH Dayana yang suram dan dibasahi airmata itu membuatkan tangan Faiz terhenti melukis. Matanya segera memandang wajah yang sudah kelihatan sembap itu, dia yang duduk di balik pohon di seberang tasik hanya mampu memandang Dayana yang menangis sendirian di sebelah sana. Sejak peristiwa di dalam bilik kuliah semalam, seharian gadis itu hanya mendiam diri, hari ini tidak pula gadis itu menemuinya. Faiz jadi risau sendiri, mungkin saja Dayana masih terasa hati dengan kata-katanya.
       Lukisan yang berada di tangannya dipandang lama. Wajah Dayana mengisi ruang mata, lukisan itu hampir siap sepenuhnya. Sepanjang dia melukis lakaran wajah itu, begitu banyak sisi Dayana yang dia kenal. Dayana bukan gadis kuat seperti yang dia lihat sekarang, Dayana bukan gadis yang hanya tahu bermain dengan hati seorang lelaki seperti yang dia dengar dari pelajar yang lain. Faiz menoleh kembali kearah Dayana, gadis itu masih lagi berpeluk lutut di bawah pohon itu dengan tangisan hiba. Itulah Dayana, gadisnya. Gadis yang menghadirkan satu rasa dalam dirinya. Faiz mencapai pen hitam dari beg sandangnya, terus dia menulis sesuatu di atas kertas lukisan tersebut.
‘Dayana..My lady’