Tan Sri Megat Miqdad mengenggam erat tangan anak gadisnya yang masih
terlantar di katil hospital. Sesalnya menggunung. Titis juga airmatanya melihat
anak yang sentiasa ceria terlantar sakit begini, salahkah cara didikannya?
Wajah yang dulu sentiasa dihiasi senyuman kini berubah pucat. Semakin erat
tangan itu digenggam, itulah kelemahannya. Aira adalah kekuatan dan
kelemahannya, sakit Aira, sakit juga dia. Terunduk Tan Sri Megat Miqdad
menangis, lengan Aira yang masih berbalut dipandang penuh simpati. Sedikitpun
dia tidak menyangka Aira sanggup mencederakan dirinya sendiri. Sepatutnya dia
tahu sikap anaknya yang satu itu. Maafkan papa Aira..
“Papa
tahu apa Aira akan buat kalau Aira marah!” Masih terngiang kata-kata anaknya itu seminggu yang
lalu. Bukan sekali Aira bersikap sedemikian, lima belas tahun yang lalu selepas
penceraian dia dan isterinya. Anaknya itu melancarkan mogok beberapa hari
dengan tidak menjamah makanan, hingga pada suatu ketika Aira terpaksa
dikejarkan ke hospital kerana sakit.
Aira menggerakkan tangannya sedikit, rasa bisa
ditangannya membuatkan mukanya berkerut sedikit. Perlahan matanya dibuka,
dinding bewarna biru laut menghiasi ruang matanya. Tan Sri Megat Miqdad segera
bangun dari duduknya, rambut anaknya dibelai lembut. Sayu pandangannya menyapa
setiap inci wajah anak kesayangannya.
“Papa..” panggil Aira lembut.
“Aira anak papa..” Tan Sri Megat Miqdad tidak mampu
berkata apa-apa, hatinya sudah cukup terdera melihat wajah sayu itu.
“Jangan buat papa macam ni sayang, papa sayangkan Aira.”
Ujar Tan Sri Megat Miqdad. Aira mula tenggelam dalam perasaannya, sudah lama
dia tidak melihat wajah penuh kerisauan papanya itu. Airmata yang cuba ditahan
kini jatuh juga. Perlahan tangannya mengelus pipi tua itu. Dia salah, kerana
terlalu mengikut perasaan.
“Maafkan Aira.” Aira masih dengan sendunya. Tangan Tan
Sri Megat Miqdad terus dicapai dan dicium penuh kesal. Jika kerana tidak
terlalu mengikut hati, pasti dia tidak akan mencederakan dirinya. Sejujurnya,
dia bertindak begitu hanya untuk melepaskan diri dari dikurung terus oleh
papanya. Dia tahu, Tan Sri Megat Miqdad tidak akan berdiam diri jika melihat
dirinya tercedera.
Tan Sri Megat Miqdad mengelus lembut rambut anak gadisnya
itu.
“Jangan buat macam tu lagi.” Pesan Tan Sri Megat Miqdad
penuh nada risau.
Aira hanya mengangguk.
“Tapi papa kurung Aira, papa tahukan yang Aira tak suka
dikurung macam tu. Tengok ni, tangan Aira sakit tau..” Aira mencebik. Pantas
lengannya yang kemerahan ditunjukkan kepada Tan Sri Megat Miqdad.
“Maafkan papa, papa janji takkan buat macam tu lagi.”
Ujar Tan Sri Megat Miqdad, tangan anak gadisnya itu digosok lembut.
Lantas Aira tersenyum, ada hikmah juga akan tindakan
nekad yang diambilnya. Jangan salah faham pulak, dia bukan berniat nak bunuh
diri. Dia cuma ingin melepaskan diri dari kurungan ciptaan papanya itu, hanya
torehan kecil pada lengan tangannya mampu melembutkan hati tua itu.
“Papa, Aira lapar..” Aira memegang perutnya, sudah
seminggu perutnya tidak menjamah apa-apa makanan. Gara-gara melancarkan perang
dengan papanya itu, perut pula yang menjadi mangsa.
“Lapar? Nak papa belikan makanan ke?” soal Tan Sri Megat
Miqdad dengan ceria. Suka hatinya bila sikap manja anaknya itu kembali. Hanya
itu yang menceriakan hari tuanya.
Aira mengangguk perlahan. Sudah seminggu dia melancarkan
mogok tak makan,
“Aira nak makan bubur ikan..” balas Aira penuh senyuman.
Cepat saja mulutnya meminta makanan kegemarannya itu.
“Nanti papa belikan, sementara tu Aira makan dulu epal
ni.” Ujar Tan Sri Megat Miqdad.
“Okay.” Balas
Aira. Lantas Tan Sri Megat Miqdad mencapai sebiji epal merah di atas meja.
Pisau kecil diambil, lalu epal itu dikupas. Satu persatu epal yang telah
dikupas dan dihiris kecil disuap ke mulut anaknya itu. Umur yang menjangkau dua
puluh an itu tidak membataskan dia memanjakan Aira, anaknya itu sememangnya
gadis manja sejak kecil. Bahkan bekas isterinya dulu pun sering memanjakan
satu-satunya anak perempuan mereka itu.
Jemy hanya memerhati dari tadi di sebalik pintu. Dasar
manja! Desis Jemy dalam hati. Lega
hatinya bila melihat wajah itu sudah mengukir senyum. Wajah Aira yang pucat itu
diperhati penuh risau, gelihati pun ada melihat gelagat dua beranak itu. Aira
sememangnya anak kesayangan Tan Sri Megat Miqdad, dia dapat melihat dari riak
wajah tua itu. Dia sendiri terpana bila mata itu mengalirkan airmata kerana
sikap degil anaknya sendiri.
“Jemy.” Tegur Mila dari belakang.
“Dia dah sedar..” ujar Jemy lalu mengeluh penuh lega.
Risau sungguh hatinya tadi bila Mila beritahu bahawa Aira dikejarkan ke
hospital, makin walang hatinya bila diberitahu bahawa Aira mencederakan dirinya
sendiri. Dia tak sangka Aira akan bertindak senekad itu.
“Nampaknya dua beranak tu dah berbaik.” Mila memandang
sekilas Aira dan majikannya yang sedang bergelak tawa itu.
Jemy hanya mampu mengukir senyum, itu sudah dia sedia dia
sedia maklum bila melihat betapa manjanya kekasihnya itu dengan Tan Sri Megat
Miqdad.
“Cik Aira memang begitu. Tan Sri tak pernah buat begitu
dengan dia, sebab tu lah bila Tan Sri kurung dia, dia mengamuk sakan.” Beritahu
Mila lagi.
“Dia memang berani cederakan diri dia sendiri ke?” soal
Jemy risau, muka Mila dipandang meminta kepastian.
“Kalau dia terlampau marah macam tu lah. Tan Sri pernah
bagitahu saya dulu, sebab tu Tan Sri terlalu manjakan Cik Aira.” Jelas Mila.
Jemy memandang wajah Mila tanpa riak, risau dia dengan sikap Aira yang satu
itu.
“Okaylah Mila,
saya nak keluar sekejap. Nanti kalau Tan Sri dah balik, awak call saya. Saya nak belikan bubur ikan
untuk dia.” Ujar Jemy, dia memandang kejap kearah Aira sebelum berlalu
meninggalkan hospital tersebut.
******************
DATIN LAILA mengenggam kemas seutas rantai yang berloket bentuk hati. Loket
itu terus dibuka, gambar dirinya dan seorang lelaki yang pernah mengusik
hatinya suatu ketika dulu menghiasi ruang loket berbentuk hati tersebut.
Sehingga sekarang hatinya tidak mampu melupakan lelaki itu, bukan kerana cinta
tapi hanya kerana dendam semata-mata. Langsung tiada cinta lagi buat lelaki
yang betul-betul mengkhianati dirinya itu, cuma hatinya terlalu sakit dengan
perbuatan lelaki itu, sanggup lelaki itu mencuranginya, sedangkan hatinya
begitu setia pada janji setia mereka.
Rantai itu adalah
pemberian darinya. Rantai itu juga kembali pada dirinya dek tragedi hitam itu.
Mustahil untuk dia melupakan. Miqdad, aku tak kan maafkan kau sampai mati pun!
“Laila..” Datin Laila
terkesima, pantas tangannya menyembunyikan rantai tersebut di celah kakinya.
Wajah suami tercinta dipandang, Roslan suaminya begitu sabar meladeni sikapnya
sepanjang perkahwinan mereka.
“Abang baru balik ke?”
tanya Datin Laila lalu menghulurkan tangan dan menyambut salam lelaki itu.
“Lama dah balik, berbual
dengan Naz kat bawah.” Datuk Roslan terus melabuhkan punggungnya di sisi Datin
Laila. Wajah yang sentiasa keruh isterinya itu dikerling seketika, ini tidak
lain tidak bukan mesti melamun tadi. Datuk Roslan menghembus nafas berat, pasti
isterinya itu masih teringatkan bekas kekasihnya merangkap kawan baiknya
sendiri, Miqdad! Teguh sungguh cinta isterinya itu pada cinta pertamanya,
sehingga sukar untuknya membuang nama lelaki itu dari hatinya.
“Laila tak perasan pun..”
“Mana nak perasan, Laila
sibuk duk melamun di sini.” Sedaya upaya Datuk Roslan mengukir senyum, dia
sudah berjanji pada isterinya itu untuk tidak mengungkit kisah lama mereka.
Mengenangkan dosanya pada isterinya itu, Datuk Roslan menelan semua sikap Datin
Laila yang masih tidak dapat menerima dirinya sepenuh hati sebagai suami.
“Mana pulak melamun. Abang
dah makan ke?”
“Belum.”
“Laila pergi siapkan makan
tengah hari dulu lah, Laila tak tahu pulak abang dengan Naz balik awal hari
ni.” Datin Laila bingkas bangun, namun segera Datuk Roslan menahan. Tangan
isterinya itu dipegang kemas, untuk seketika. Segera Datuk Roslan melepaskan
kembali jemari itu bila melihat pandangan isterinya itu mula berubah.
“Abang dengan Naz nak
keluar kejap main golf. Malam nanti mungkin abang lewat balik.” Jelas Datuk
Roslan.
“Malam nanti abang nak
kemana?”
“Abang ingat nak pergi
jumpa Nazmi.” Wajah isterinya dikerling seketika. Berubah muka Datin Laila bila
nama anak sulungnya itu disebut.
“Nak buat apa jumpa dia?”
sengaja dia membetulkan tudung yang membaluti kepalanya, wajah suaminya tidak
berani dipandang.
“Kerana dia anak kita
Laila.” Jujur Datuk Roslan menuturkan ayat itu. Sampai bila isterinya itu
hendak menyingkirkan anak sulung mereka. Biar satu dunia memberitahu bahawa
Nazmi itu bukan anaknya. Tapi, bagi Datuk Roslan Nazmi tetap darah dagingnya,
hanya dia yang tahu hakikat itu!
“Saya cuma ada seorang
anak je. Tu, Nazrul tu aje anak saya.” Bantah Datin Laila keras. Tegang
wajahnya tika itu, pandangan tajamnya dihalakan kearah suaminya yang masih
mendiamkan diri.
Datuk Roslan hanya
menggeleng kepala. Pening dengan sikap keras kepala isterinya itu.
“Dahlah, abang dan Naz nak
pergi main golf dengan Miqdad.” Malas melayan kerenah isterinya terus Datuk
Roslan bangun dari kerusi dan menuju ke penjuru biliknya, topi yang tergantung
kemas diambil dan dilekatkan di kepala.
“Miqdad?” tangan Datin Laila mula menggigil. Mendengar
semula nama itu membuatkan hatinya kembali berdarah.
“Abang buat apa keluar
dengan dia?” soal Datin Laila mula menahan getar di suaanya. Tajam matanya
memandang suaminya itu.
“Nak main golf.” Pantas
Datuk Roslan keluar, dia tahu isterinya itu tidak suka bila nama sahabat baiknya
itu disebut. Dia tahu hati isterinya itu masih terluka, namun itu semua sejarah
silam, sampai bila nak mengenang kenangan silam itu? Biar siapa pun Miqdad pada
isterinya itu, tapi Miqdad tetap sahabat baiknya. Dia takkan mengubah hakikat
itu hanya kerana kisah silam mereka.