Mencintaimu Mr.Photographer.
Selesai sesi pengambaran Aira hanya mangikut Jemy. Kereta yang dipandu
berhenti di sebuah rumah satu tingkat. Wajah Jemy yang serius dipandang
sekilas, rumah siapa pulak ni? Rumah kawan dia ke? Tidak pernah pula Jemy
beritahu yang dia ada kawan di Johor.
“Rumah siapa ni?” malas
berteka-teki Aira menyoal terus. Jemy lantas tersenyum, enjin kereta dimatikan,
nafasnya dihembus perlahan. Aira yang nak bertemu dengan keluarganya, dia pulak
yang panik semacam.
“Kawan” jawab Jemy
sepatah, dia sudah keluar dari perut kereta. Selang beberapa saat muncul Akmal
di muka pintu, kehadiran Jemy dan adiknya di situ memang dalam perancangan
mereka. Dari kejauhan dia dapat melihat adiknya yang masih berada di dalam
kereta. Tak sabar rasanya untuk mendakap tubuh itu. Rindunya menggunung, tak
larat rasanya untuk menanggung.
Nafas Aira sudah turun
naik di dalam kereta. Walaupun tempoh masa lima belas tahun memisahkan mereka,
Aira tidak lupa pada raut muka abang kandungnya itu. Beribu persoalan yang
bernain di kotak fikirannya. Wajah Jemy yang sudah berada di luar kereta dan
wajah abangnya dipandang silih berganti.
Perlahan Aira keluar dari
kereta. Matanya tidak lepas memandang wajah abangnya yang masih ralit
memadangnya. Adakah ini satu kebetulan mahupun sudah dirancang dari awal? Jemy
mengenali abangnya? Apa semua ni?
“Adik..”panggil Akmal.
Ingin dihampiri tubuh itu, namun langkah kakinya terkaku di situ. Bagai nak
gugur jantung Aira mendengar panggilan yang sudah lima belas tahun hilang dari
hidupnya. Mata Jemy masih tidak lepas memandang kekasih hatinya itu, dia
berharap dia tidak tersilap langkah dengan mempertemukan Aira dengan keluarganya.
Aira menggeleng perlahan,
dia memang rindu, tapi..ada sesuatu yang masih berbekas di hatinya. Lantas dia
memusing badannya, dia ingin pergi dari situ. Airmata sudah mula jatuh di
pipinya.
“Sara..”satu suara
mematikan langkah Aira. Suara yang amat dirinduinya. Ahh, kenapa Jemy
membawanya ke sini? Dan sekarang, hatinya telah luka berdarah! Tidak ingin
membiarkan hatinya terluka, tanpa menoleh Aira menyambung semula langkahnya.
Biar dia merehatkan hatinya sedikit, semua ini terlalu pantas untuknya. Dia belum
bersedia untuk berdepan dengan dua insan itu.
Disaat tangannya ingin membuka pintu kereta, ada satu
tangan menghalang tindakannya, kepalanya didongakkan, wajah Jemy yang
merenungnya tajam dipandang tanpa riak. Makin deras airmatanya memohon simpati
Jemy supaya membawanya pergi dari situ. Dia ingin pergi dari situ secepat yang
mungkin!
“ Ini rumah kawan saya, tak elok kita pergi macam tu je.”
Nasihat Jemy. Jemari Aira digapai kembali, gadis itu memerlukan masa untuk
menerima kebetulan ini dalam hidupnya. Mungkin juga dia boleh guna kaedah ini,
bisik Jemy. Dia membawa Aira kembali ke rumah itu.
“Jemy, saya..” Aira menahan tangan Jemy, dia belum kuat
untuk berdepan dengan semua ini.
“We're here because
of my friend. Just relax..okay? I'm here with you.” Pujuk Jemy. Bila tiba
di hadapan Akmal dan Marlia segera Jemy berbisik sesuatu, lantas Akmal hanya
mengangguk bersetuju.
“Masuklah..” ajak Akmal, tangan ibunya terus digapai.
Kasihan melihat wajah tua itu yang begitu berharap dapat mendakap anak yang
amat dirindui setelah sekian lama. Aira hanya menundukkan wajahnya, semakin
kuat dia memegang tangan Jemy. Melihat wajah murung ibunya hatinya sedikit
terusik.
“Masuklah Jemy, Sara..” ajak Marlia penuh sendu. Tidak
lepas matanya memandang wajah Aira. Rindunya mama pada Sara, lirih Marlia dalam
hati.
“Terima kasih mak cik.” Jawab Jemy bersahaja. Ini kali
kedua dia menjejaki rumah itu, dan kali ini bersama Aira.
“Duduklah dulu, mak cik nak ke dapur siapkan minum
petang. Kebetulan mak cik ada buatkan cucur udang..” Aira menoleh sekilas ke
arah ibunya. Cucur udang? Itu kegemarannya. Marlia turut menoleh ke arah anak
perempuannya. Ya, cucur udang memang kegemaran anaknya itu. Dia sengaja
menyediakan makanan kegemaran Aira.
Akmal dan Jemy hanya menjadi pemerhati. Kedua beranak itu
sama-sama memendam rasa.
“Awak tak nak tolong mak cik ke?” soal Jemy sengaja
menduga reaksi Aira ketika itu.
“Nak tolong apa? Saya tak pandailah..”
“Tak apalah Jemy, Sara ni memang tak tahu nak buat kerja
dapur dari kecil lagi.” Balas Akmal, Aira sudah menjeling abangnya itu. Malunya
‘dipuji’ begitu di hadapan Jemy.
“Ya ke ?” usik Jemy.
Aira sudah memaparkan muka
rajuknya. Dua lawan satu, mana adil! Mendengar tawa Jemy yang sudah memecah,
pantas saja tangannya mencubit lengan lelaki itu. Berani ya ketawakan
aku..rasakan!
“Argh..sakit!”
“Seronok ketawa?” sinis
Aira, tajam matanya menjeling Jemy. Akmal di sebelah sudah ketawa, seronok
melihat kegembiraan adiknya itu. Kini dia bertambah yakin, adiknya itu dan Jemy
memang mempunyai hubungan istimewa.
Aira terdiam sejenak,
sedar dia sudah melebihi batas. Wajah Akmal yang asyik memandangnya dikerling
sekilas. Abangnya itu kelihatan lebih matang berbanding lima belas tahun lalu.
Aira tersenyum dalam hati, jika dulu dialah yang paling rapat dengan abangnya
itu, biarpun kerap bergaduh namun hubungan mereka akrab. Rindunya dia pada saat
itu, tapi kenapa bila ada di depan mata dia tinggikan ego untuk mendakap tubuh
itu? Ermm..kacak jugak abangku ni, agaknya dah ada makwe tak? Aira tersenyum
sendiri, tanpa dia sedar dari tadi dia ralit memerhati abangnya.
Jemy mengangkat keningnya
pada Akmal sekilas, melihat reaksi Aira hatinya tersenyum puas. Berharap plannya yang satu ini berjaya. Dia
sengaja mengajak Aira dengan cara begitu, mungkin hati Aira belum kuat
menerima, biarlah dulu Aira mengenali dua insan yang lama terpisah darinya.
Ralit sungguh dia pandang Akmal, alahai Aira..kalau tidak tahu yang Akmal ni
abang kandungnya, mahu dia merajuk seminggu dengan Aira.
“Assalamualaikum..” suara
salam dari luar rumah mematikan khayalan Aira. Segera dia menoleh ke muka
pintu, kelibat seorang gadis ayu bertudung menjadi tumpuan semua.
“Waalaikumsalam” serentak
Jemy dan Akmal menjawab. Aira hanya menjawab dalam hati, masih tertanya-tanya
siapa gerangan yang bertandang di rumah ibu dan abngnya. Isteri Abang Akmal ke?
“Eh, Jemy pun ada sekali.”
Sapa Tiara tiba-tiba. Terkesima Aira, perempuan ni kenal kekasih aku?
Alahai..dia punya senyuman manisnya. Desis Aira sendiri, tajam matanya
memandang Jemy. Jemy yang tersedar pandangan cemburu Aira hanya mampu
menyembunyikan senyumannya, apa-apa pun kena layan pelanggan dengan baik.
“Hi Tiara..” tegur Jemy
dengan ramah, makin membahang Aira dibuatnya. Oh..patutlah pakai smart hari ni, nak jumpa kekasih baru.
Aira mendengus geram.
“Eh, ini bukan Aira
Qaisara ke? Model tu..” Tiara menyoal hairan. Kalau betul, kenapa model yang
baru meningkat naik namanya itu boleh berada di sini. Aira tersenyum kelat,
siap kenal lagi aku ni model. Aira menggeleng perlahan, menahan rasa je ni. Siaplah
si mamat sengal ni aku kerjakan, depan mata boleh pulak main kayu tiga.
“Sara, inilah Tiara client saya dari JB yang saya cakap hari
tu. Dia ni kawan Akmal.” Jelas Jemy, geli hati pun ada melihat reaksi Aira tika
itu.
“Hi, saya Tiara, tak
sangka boleh jumpa di sini. Awak lebih cantik dari gambar..” puji Tiara ikhlas,
tangannya dihulurkan bersalam dengan kekasih jurugambar itu. Perlahan Aira
menyambut dengan senyuman kelat.
“Aira.” Balas Aira
ringkas. Makin membukit persoalan di benaknya.
“She’s my little sister. My one and only sister.” Sampuk Akmal penuh
senyuman. Ternganga mulut Tiara. Adik Akmal? Model terkenal ni adik Akmal?
“Saya akan ceritakan
nanti..” sambung Akmal bila melihat Tiara yang sudah tak terkata, tekejut
sangat lagaknya. Di satu sisi, Aira masih memandang wajah abangnya tanpa henti.
Terkejut dengan kata-kata abangnya itu, tersenyum sendiri Aira dibuatnya,
tersentuh sebenarnya.
“Okay, mak cik Lia mana?” soal Tiara lagi.
“Dapur. Sibuk sangat
sediakan makanan kegemaran anak kesayangannya tu.” jawab Akmal.
“Dah datang pun Tiara,
mari minum sekali. Maaflah, sebab mak cik susahkan Tiara untuk hantar baju tu.”
Marlia tiba dari dapur dengan membawa sedulang minuman petang.
“Tak susah pun mak cik,
kebetulan Tiara pergi kedai hujung sana.” Pantas kakinya menuju ke dapur
menolong Marlia mengangkat dua pinggan lagi cucur udang. Aira hanya mampu
memandang ibunya tanpa riak, bau cucur udang kegemarannya sudah tajam menusuk
hidungnya. Lama sudah tak merasa air tangan ibunya itu.
“Jemy, Sara mari minum.
Mal ajak Tiara minum sekali.” Jemput Marlia, sepinggan cucur udang sengaja
disuakan di hadapan anak perempuannya itu.
“Sara, makan ya. Mama buat
khas untuk Sara” secawan air berisi teh susu di serahkan pada Aira. Dengan
keluhan nafas berat, Aira menyambut juga. Tanpa kata Aira hanya mengangguk,
diambil cucur udang dan digigit perlahan.
“Jemput minum Jemy.” Ajak
Akmal. Sempat tangan kanannya menepuk lembut bahu lelaki itu.
“Ya,” balas Jemy ringkas,
teh susu tersebut turut dihirup perlahan. Aira yang berdiam tak berkutik di
sebelah hanya dikerling, lain benar riak wajah gadis itu. Marlia dari tadi
sesekali memandang wajah anak gadisnya itu. Aira membesar dengan cantik, dan
kini bergelar model. Dalam diam Marlia bangga dengan anaknya itu.
Satu persatu cucur udang
disuap tanpa henti, hatinya yang dari tadi berdebar-debar ditahan sedaya yang
boleh. Berdepan dengan ibu dan abangnya membuatkan jiwanya keliru, ingin saja
dia pergi dari sini, namun entah kenapa kakinya berat untuk melangkah. Perasaan
apakah ini? Tidak memperdulikan yang lain, cucur udang tersebut disuap buat
sekian kali, sudah kembung mulutnya. Ahh..!dia tidak perduli, yang penting rasa
tidak senang yang singgah di hatinya dari tadi harus dinyah pergi!
“Ohukk!” dia tersedak
tiba-tiba. Cepat cepat tangannya mencapai teh susu di hadapannya dan diteguk
rakus.
“Itulah makan tak ingat
dunia..” suara Jemy di sebelahnya hanya dibiar sepi, Marlia menghampiri
anaknya.
“Macam mana boleh tersedak
ni” belakang anaknya diurut perlahan. Tanpa sengaja Aira menepis sedikit tangan
ibunya, Jemy dan Akmal sudah terpempan dengan tindakan Aira yang tiba-tiba.
Wajah Marlia sudah berubah, adakah sudah terlambat untuk dia memiliki hati
anaknya itu.
“Adik!” suara Akmal mula
naik senada, matanya masih memanah ke arah Aira. Jemy lantas berpaling apabila
mendengar suara Akmal yang mula meninggi.
“Maaf, toilet mana?” soal Aira, hatinya sudah
tak keruan. Perlahan Akmal mengangkat tangannya ke sebelah kiri, wajahnya
dipalingkan ke arah lain.
Jemy menghembus nafas perlahan,
tangan Marlia terus digapai dan dibawa duduk di sebelahnya. Wajah Marlia yang
masih murung dipandang simpati.
“Maafkan Sara mak cik, dia
tak sengaja. Akmal, maaf ya..” ujar Jemy. Titisan airmata mula membasahi pipi
Marlia itu, hatinya sedikit terusik dek sikap anaknya tadi.
“Mak cik faham kenapa dia
bencikan mak cik, mak cik dah tinggalkan dia.” Sendu masih menyelimuti hati
Marlia tika itu, serentak itu airmata makin membasahi pipi.
“Dia tak pernah bencikan
mak cik dan Akmal, cuma di perlukan sedikit masa.” Sambung Jemy lagi. Dia
sendiri tidak menyangka tindakan Aira yang menepis tangan ibunya tadi. Mungkin
saja dia tak sengaja, Aira yang dia kenal bukan begitu.
“Mama jangan fikirkan
sangat, mama macam tak kenal dengan perangai manja anak mama tu. Nanti okeylah dia, Sara tu kan kuat merajuk”
pujuk Akmal. Jemy hanya tersenyum hambar, dia tahu Akmal hanya berniat memujuk
hati tua itu.
“Kalau mama nak pujuk
Sara, mama masaklah ayam masak merah kegemaran dia, yang tu Mal confirm dia memang cair habislah.” Akmal
mula tergelak, Marlia lantas menyeka sedikit airmatanya. Ya, dia tidak boleh
berputus asa begitu saja. Hati anaknya itu akan dimiliki lagi.
“Mama nak masak, nanti
Tiara malam nanti makan di sini ya.” Tiara yang hanya berdiam dari tadi terus
dikerling sekilas.
“Maaf mak cik, malam nanti
Tiara dah janji dengan umi nak makan malam di rumah.” Tolak Tiara lembut.
Marlia hanya tersenyum lantas mengangguk.
“Jemy, hari macam nak
hujan je tu, Jemy dan Sara bermalam di sini je lah ya.” Ajak Marlia. Hari yang
bertukar mendung dipandang melalui cermin tingkapnya.
“Ya mak cik, nanti saya
bagitahu Sara.” Jemy lantas bersetuju, semuanya dalam perancangannya. Dia sudah
membatalkan jadual shooting untuk
esok dan lusa, semuanya kerana kekasih hatinya itu, Aira Qaisara!