Tuesday, February 18, 2014

Bab 3

BAB 3
Aira menjengul sedikit kepalanya, memandang kearah ruang banglo tiga tingkat yang hanya dihuni oleh dia dan Tan Sri Megat Miqdad bersama tiga orang gaji. Jam di tangan dipandang sekilas, hampir menunjukkan pukul sepuluh malam. Setelah yakin Tan Sri Megat Miqdad tidak ada di ruang tamu, Aira menerobos masuk. Pintu utama dikunci perlahan. Aira menghembus nafas lega, nasib baik papanya dah terlena di atas, kalau tak memang kena dengar ceramah dulu. Aira yakin mamat sengal bernama Mikhail itu sudah memaklumkan semuanya pada papanya.
            Langkah diatur menuju ke lif untuk ke biliknya di tingkat tiga.
            “Aira Qaisara!” Laung satu suara dari belakang. Langkah Aira terhenti, namun masih belum berani menoleh ke  belakang. Jantungnya mula berdegup kuat. Aduh, ingatkan papa dah tidur, apa nak jawab ni.
            “Err..ingatkan..” Aira menoleh, wajah merah padam Tan Sri Megar Miqdad menakutkannya.
            “Ingatkan papa dah tidur ke?” Sambung Tan Sri Megat Miqdad dengan serius. Wajah satu-satunya anak perempuannya dipandang.
            “Mana ada Tan Sri, Tan Sri tak tidur lagi ke?” Aira menapak kearah Tan Sri Megat Miqdad, lengan papanya dipeluk erat. Sehabis manis senyuman cuba diukirkan. Tan Sri Megat Miqdad hanya berdehem, cair pulak rasa marahnya melihat senyuman manis anaknya itu.
            “Beg apa ni?” soal Tan Sri Megat Miqdad, beg di tangan Aira dicapai. Satu persatu barang di dalam beg tersebut dipunggahnya. Aira menutup matanya dengan kedua belah tangannya. Tak sanggup rasanya melihat kemarahan papanya.
            “Aira buat lagi?” Tan Sri Megat Miqdad menggeleng melihat perangai manja anaknya itu.
            “Aira, kamu ni..”
            “Itulah papa, Aira tak naklah kahwin dengan mamat sengal tu..” Potong Aira, dia memuncungkan bibirnya.
            “Belum kenal lagi Aira, Aira pandai-pandai je nak menilai orang. Mikhail tu baik budaknya. Kerja bagus. Apalagi yang Aira nak cari..?” Rungut Tan Sri Megat Miqdad.
            “Aira buat macam ni saja je nak uji calon-calon menantu papa tu. Papa tengok, mereka tu cuma nak cantik je, yang buruk tak nak..macam tu ke nak buat suami. Papa bayangkan kalau Aira dah tua nanti, muka dah tak cantik..memang sahlah Aira kena tinggal.” Jelas Aira. Tangannya melingkar ke pinggang papanya. Kepalanya direbahkan di dada tua milik Tan Sr Megat Miqdad.
            Tan Sri Megat Miqdad hanya mampu menggeleng, pandai je anaknya ini menjawab setiap kata-katanya. Perlahan pipi munggil anaknya itu dicubit perlahan.
            “Papa, tak naklah cari suami untuk Aira lagi. Apa kata Aira cari isteri untuk papa..” ujar Aira.
            “Jangan nak memandai. Papa dah serik, nantilah papa risik lagi siapa-siapa untuk anak manja papa ni.” Wajah Aira ditatap, tidak seceria tadi.
            “Kenapa tiba-tiba monyok ni?” soal Tan Sri Megat Miqdad, dagu anaknya yang memeluknya erat diangkat. Cepat betul berubah mud anaknya itu.
            “Papa rindukan mama ke? Sebab tu papa tak nak kahwin lagi. Betulkan papa?” ujar Aira. Terpenpam seketika Tan Sri Megat Miqdad, sudah lama anaknya itu tidak bertanya perihal bekas isterinya itu.
            “Papa nak masuk tidur dulu. Aira pun cepat masuk tidur, papa dah suruh Kak Ti buatkan susu.” Tan Sri Megat Miqdad bingkas bangun meninggalkan Aira yang masih termanggu. Aira mengeluh perlahan, papanya itu selalu mengelak bercerita soal ibunya, apa yang nak dirahsiakan sangat.
            “Aira, susu dah siap. Nak Kak Ti bawak ke atas ke?” Kak Ti yang muncul entah dari mana mencantas lamunan Aira.
            “A'aa Kak Ti, bawak ke atas je nanti. Saya nak mandi dulu.” Aira memasuki pintu lif. Butang ditekan, namun fikirannya masih melamun entah kemana. Seingatnya sewaktu umurnya menjangkau sepuluh tahun papa dan mamanya bercerai, entah apa sebabnya Aira kurang pasti. Sejak itu dia terpaksa mengikut papanya, manakala Akmal..abangnya mengikut mama.
            Aira yang baru balik dari sekolah tika itu, hanya terpaku di hadapan pagar besar rumahnya. Riuh rendah suara tangisan ibunya mengejutkannya. Tak lama selepas itu muncul papanya dengan membawa keluar beberapa beg besar lalu membuangnya ke tanah, dia masuk semula ke dalam dan kembali dengan mengheret ibunya pula. Aira mula sebak.
            “Papa!” Laung Aira, dia menerpa kearah ibunya. Perlahan tubuh ibunya dipeluk erat. Tangisannya juga mula pecah.
            “Pergi kau dari rumah ni! Aku tak nak tengok muka kau lagi. Perempuan Murah!” Tengking Tan Sri Megat Miqdad penuh marah.
            “Mengucap bang, dengar dulu apa yang Lia nak cakap..” Sendu suara Marlia, isteri Tan Sri Megat Miqdad. Aira hanya memeluk ibunya, semakin kuat tangisannya kini.
            “Papa, janganlah marah mama..” Aira turut merayu.
            “Aira, masuk!” Arah Tan Sri Megat Miqdad. Tangan kecil itu ditarik dari memeluk ibunya.
            “Tak nak! Aira nak mama!” Bantah Aira.
            “Abang, tolonglah..” Marlia enggan berputus asa, kaki suaminya dipeluk memohon diberi peluang untuk menjelaskan segala salah faham.
            “Pergi kau dari rumah ni. Mulai hari ni aku ceraikan kau dengan talak satu!” ucap Tan Sri Megat Miqdad tanpa berfikir. Terkaku seketika Marlia mendengar ucapan suaminya, perlahan tangannya yang mengenggam kuat kaki suaminya dileraikan. Kelu sungguh lidahnya tika itu. Tidak pernah menyangka rumah tangga yang dibina atas nama cinta itu putus di tengah jalan.
            “Papa..” Suara anak perempuannya mengembalikan Marlia dari lamunan. Ya, dia kini bukan lagi bergelar isteri lelaki angkuh itu, lelaki yang terlalu ego!
            “Masuk, Aira!” Tengking Tan Sri Megat Miqdad lagi.
            “Tak nak! Aira benci papa!”
            “Masuk aku kata!” Tan Sri Megat Miqdad enggan mengalah, tangan anaknya ditarik kuat. Meraung Aira memanggil nama ibunya.
            “Terima kasih bang atas penghinaan ini. Lia takkan pernah lupa apa yang berlaku hari ni. Halalkan makan minum Lia sepanjang Lia bergelar isteri abang. Jaga Sara dan Akmal dengan baik.” Airmata yang kian mengalir diseka buat sekian kali. Wajah sayu anak perempuannya dipandang penuh kasih.
            “Maafkan mama Sara..”
            Aira tersedar dari lamunan bila pintu biliknya diketuk berulang kali. Dengan malas dia bangun. Susu dari tangan Kak Ti diambil. Kakinya dibawa ke sudut katil, bingkai gambar yang terselit gambar keluarganya ditatap sayu. Wajah papa, mama dan Abang Akmal. Airmata Aira mengalir juga buat sekian kali, puas dipaksa dirinya untuk melupakan detik hitam itu, namun tiap kali itu juga kenangan itu muncul dalam tidur malamnya, detik di mana dia dipisahkan dari mama dan Abang Akmal. Siapa yang harus dipersalahkan? Adakah Papa yang terlalu mengikut perasaan? Atau Mama yang telah pergi meninggalkannya? Tapi, Papa yang memutuskan ikatan itu. Aira mengeluh perlahan, dia Nampak kesengsaraan Tan Sri Megat Miqdad bila terpaksa melepaskan isterinya, dia menjadi saksi bila papanya menangis seharian setelah menghalau mama keluar dari rumah.
                                                *************
AIRA QAISARA pantas berlari mendapatkan Mila yang sedia menunggu di luar pagar. Kereta Volkswagen berwarna merah hadiah dari papanya segera di buka.
            “Sorry Kak Mila, Aira lewat bangunlah.” Aira mengemaskan rambutnya. Mila yang berada di tempat duduk pemandu hanya memandang wajah anak majikannya itu penuh senyuman.
            “Tak pa, jomlah, dah lewat ni.” Ujar Mila, tali pinggang keledar sedia dipasang.
            “Lewat? Nak pergi mana?” soal Aira kehairanan.
            “Aksara Group. Dah lewat ni, mahu Tan Sri bising nanti.” Balas Mila.
            “Aira tak nak.”
            “Tak nak apanya?” Mila mula kebinggungan. Perangai Aira ni bukan boleh dijangka.
            “ Tak nak masuk office la kak, boring!” Bebel Aira. Dia masih memandang kedepan dengan muncung panjang sedepa.
            “Mulalah tu, Cik Aira, nanti Tan Sri bom saya nak jawab apa?”
            “Cakap je lah Aira tak nak. Apa susah!”
            “Cik Aira senang lah cakap, yang nak menanggungnya nanti saya. Saya!” Tekan Mila. Makin pening dengan perangai anak majikannya itu. Kalau tak difikirkan keluarga di kampung, memang dah lama dia blah dari jadi pembantu peribadi anak perempuan Tan Sri Megat Miqdad ni.
            “Kak, tak apa, kali ni biar Aira yang jawab okey.” Aira mula menyengih.
            Mila hanya mampu menggeleng, tak guna membuang tenaga bercakap dengan Aira yang tak reti bahasa ni. Kalau dia nak juga, tak ada sesiapa yang boleh halang!
            “Ermm, nak pergi mana?” soal Mila malas, keretanya telah membelok ke kanan.
            “Pergi mana ya? Jap, Aira fikir ya..”
            “Sebelum tu, kita breakfast dulu. Saya lapar.” Putus Mila. Kereta sudah diberhentikan di hadapan kedai makan.
            Aira hanya menurut, perutnya pun sudah berkeroncong minta di isi. Pantas kakinya menyaingi langkah Mila yang sudah berada di depannya.
            Langkah Aira terhenti bila terpandangkan sesuatu, dia ingat lagi wajah itu.
            “Kak, akak masuk dulu ya. Aira nak pergi beli barang jap.” Bohong Aira sambil kakinya pantas mengejar lelaki yang mula meninggalkan kedai makan tersebut.
            “Tunggu!” Laung Aira agak kuat. Lelaki tersebut masih enggan berhenti,  makin pantas langkahnya menuju ke tempat parkir. Aira mempercepatkan langkahnya.
            “Wei! Tunggulah!” jerit Aira lagi, kali ini lebih lantang.
            Jemy menoleh, dari tadi dia mendengar orang terjerit-jerit dari belakangnya. Berkerut dahi Jemy memerhati kearah seorang gadis yang tercungap-cungap menghampirinya.
            “Huh! Penatnya..” Aira berhenti tepat dihadapan Jemy. Dia menghela nafas seketika, tanpa disangka tangannya memaut sedikit lengan Jemy. Terangkat sedikit kening Jemy melihat telatah gadis di hadapannya kini, namun dia sempat tersenyum.
            “Jap, saya nak ambil nafas. Panjang sungguh langkah awak.” Jemy hanya menggeleng, ada sahaja tingkah gadis ini mencuit hatinya. Jemy menyandar tubuhnya di tepi tiang berdekatan sambil berpeluk tubuh, melalui cermin mata hitam yang dipakainya, dia ralit memerhati Aira. Penampilan gadis itu hari ini berlainan sungguh pada kali pertama pertemuan mereka seminggu yang lalu. Lupa kot gadis itu bahawa dia adalah lelaki yang dimarahinya beberapa hari lepas.
            “Okey, Bak sini kamera awak!” Ujar Aira tiba-tiba. Tangan kanannya ditadah di hadapan Jemy.
            “Apa?” Jemy kehairanan. Pelik! Apa kes nak minta kamera aku pulak?
            “Saya tahu hari tu awak ambil gambar saya. Bawak sini kamera awak, biar saya sendiri yang delete.” Jemy tersenyum sinis. Cermin mata hitamnya ditanggalkan. Sengaja matanya menjamah Aira dari kepala sampai kaki.
            “Awak tengok apa?” Soal Aira penuh curiga. Tajam matanya menjeling Jemy.
            “Kau ingat kau dah make over macam ni, kau dah cukup cantik. Tak ada maknanya aku nak ambik gambar kau.” Ulas Jemy, dia memasang kembali cermin matanya lalu melangkah meninggalkan Aira yang jelas kalut.
            Aira dengan pantas mengejar Jemy, lengan Jemy dipaut.
            “Apa lagi?” soal Jemy, matanya diarahkan kearah tangan Aira yang masih mengenggam kuat lengannya.
            “Sorry..” Aira segera melepaskan genggamannya. Macamlah aku nak pegang sangat tangan dia. Sempat dia mengata Jemy.
            “Kalau betul awak tak ambik gambar saya, buktinya?” Aira menunjukkan keberaniannya yang hanya sejengkal. Seketika Jemy memandang kearah Aira, pandangan Aira sengaja dibalas. Comel pulak dia ni, bisik Jemy.
            “Betul kau nak bukti?” Jemy merapatkan dirinya dengan gadis itu, semakin rapat sehingga Aira terdorong ke belakang.
            “A..Awak nak buat apa?” Aira mula takut, namun hanya diberanikan dirinya membalas pandangan Jemy.
            “Okey. Jom ikut aku!” Jemy menarik tangan Aira dengan kuat, segera Aira dibawa ke keretanya.
            “Awak nak buat apa?” Aira kehairanan. Jemy membuka tempat duduk penumpang untuknya.

            “Kau kan nak bukti. Aku nak tunjuk bukti lah ni. Kamera aku dekat studio.” Balas Jemy.

2 comments: