Bab 13
AWAL pagi lagi Ariq sudah tercongok di hadapan banglo Tan Sri Arman. Bila dia
sampai, Hafiya pula masih sibuk bersiap. Lambat bangun katanya. Sementara
menunggu Hafiya bersiap, Ariq sempat menjamah sedikit sarapan yang disiapkan
oleh Mak Mah. Itu pun setelah didesak oleh Mak Mah.
“Hmm, sedap Mak
Mah masak,” puji Ariq sambil menyua nasi goreng kerang ke dalam mulutnya.
Masakan Mak Mah
memang sedap. Mungkin kerana pengalamannya yang sudah bertahun-tahun kerja di
banglo tersebut.
“Biasa saja, Ariq.
Umi ni masih belajar lagi memasak hingga sekarang,” ujar Mak Mah merendah diri.
“Tapi, memang
sedap Mak Mah. Lebih-lebih lagi nasi goreng ni.”
Mak Mah senyum. “Kalau
Ariq nak tahu. Nasi goreng kerang ni kegemaran Hafiya tahu.”
“Oh, yakah?
Ingatkan dia cuma pandai makan makanan barat.”
“Eh, Ariq jangan
tak tahu. Si Hafiya tu minat juga makanan kampung. Kalau dia jumpa gulai ayam,
memang tak pandang kiri kanan dah.”
Ariq angguk. Oh,
suka makanan kampung rupanya. Nampak saja rambutnya keperangan.
“Selamat pagi, Tan
Sri.” Mak Mah tunduk hormat menegur majikannya yang baru sahaja muncul di muka
pintu.
Ariq berpaling ke
arah Tan Sri Arman yang masih mengenakan tongkat untuk bergerak.
“Tuk, selamat
pagi, tuk.” Ariq bangun dan membantu Tan Sri Arman untuk duduk.
Berseri wajah Tan
Sri Arman menyambut kedatangan bakal cucu menantunya itu. Huluran kopi O panas
yang dibancuh oleh Mak Mah terus dihirup perlahan. Memang sejak dulu Tan Sri
Arman amat menggemari kopi O. Kebiasaannya Mak Mah akan menyediakan khas kopi O
panas hanya untuk Tan Sri Arman, kerana anak cucu Tan Sri Arman memang kurang
minum kopi.
“Hafiya tak siap
lagi ke?” soal Tan Sri Arman.
“Sekejap lagilah
tu, atuk. Ariq tak kisah. Boleh saja tunggu.” Ariq turut sama menghirup minuman
panasnya.
“Perempuan, Ariq.
Memang lama kalau bersiap. Buat itulah, buat inilah,” bebel Tan Sri Arman lagi.
Ariq hanya senyum.
Memang itulah kenyataannya. Dia bukan tidak ada ibu dan adik-beradik perempuan.
Adiknya si Anis itu, kalau bersiap memang sejam. Alih-alih, sama saja jadinya.
“Pukul berapa nak
berangkat ni?”
“Dalam pukul 9.00
macam tulah, atuk.”
Tan Sri Arman
angguk.
“Baguslah tu,
Ariq. Kenalkan Hafiya dengan keluarga Ariq di sana. Tak adalah kekok nanti.
Lagipun, Ariq dengan Hafiya dah nak kahwin. Biar Hafiya biasa sikit dengan
keluarga Ariq.”
“Memang itu pun
tujuan Ariq, tuk. Saudara-mara Ariq memang nak sangat berkenalan dengan Hafiya.
Masa bertunang hari tu, tak ramai yang ikut,” jelas Ariq lagi. Ibunya juga yang
memintanya untuk membawa Hafiya balik ke kampung. Boleh kenal cara hidup
kampung.
“Bagus tu.
Pandai-pandailah kamu berurusan dengan si Fiya tu. Dia tu degil sangat.”
“Ehem! Fiya dengar
orang mengata Fiya saja ni.” Hafiya tiba-tiba muncul entah dari mana.
Serentak Tan Sri
Armand dan Ariq menoleh. Hafiya sudah siap dengan mengenakan baju kurung cotton berwarna hijau putih. Tersenyum
Tan Sri Arman memandang cucunya yang berpakaian sopan tersebut. Memang susah
untuk melihat Hafiya mengenakan baju kurung jika bukan ke majlis formal.
Ariq pula diam. Namun,
hatinya terusik melihat kecantikan Hafiya saat itu.
“Pandang Fiya
macam tu, kenapa? Fiya lapar ni. Nak makan dulu.” Hafiya mengambil tempat di
sebelah Tan Sri Arman. Beg tangan diletakkan di kerusi sebelah kanan.
“Cucu atuk ni
nampak cantik sangat bila sesekali guna baju kurung macam ni.” Tan Sri Arman
mula memuji. Kemerahan muka Hafiya dibuatnya. Lebih-lebih lagi bila dipuji di
depan Ariq.
“Pandai saja atuk
ni.”
“Betullah. Tak percaya
tanya Ariq. Betul tak Ariq?” Giliran Ariq pula yang disoal.
Mati kata
dibuatnya. Takkan nak memuji Hafiya depan-depan? Jatuh air mukanya nanti!
“Tuk, dahlah tu.
Kami nak cepat ni. Nanti lambat pula sampai kampung Ariq. Kan Ariq, kan?”
Hafiya menukar topik. Cepat dia menghirup teh susu dan sekeping roti terus
digigit.
“Jom, Ariq. Lambat
dah ni.” Hafiya pula yang terkocoh-kocoh. Beg tangan di sebelahnya dicapai.
Cepat dia menyalami tangan datuknya dan terus berlalu menuju ke muka pintu.
Malu pula bila disakat oleh datuknya di depan Ariq.
Tan Sri Arman dan
Ariq hanya mampu tersenyum.
“Kami pergi dulu,
tuk,” ujar Ariq sambil turut menyalami tangan Tan Sri Arman.
“Ya, hati-hati
memandu,” pesan Tan Sri Arman.
Ariq terus
melangkah keluar dari banglo. Dari jauh lagi dia melihat Hafiya sudah berdiri
di hadapan kereta Nissan Skylinenya. Menggeleng Ariq. Memang degil! desis Ariq
geram.
“Kali ni naik
kereta saya, ya? Sebab kita nak jalan jauh. Kereta awak tu...”
“Aku dah ulang-alik
dari Terengganu ke KL ni banyak kali. Setakat ni, alhamdulillah. Sampai saja
aku.”
Hafiya buat muka
marah. Ariq memang tidak pernah menurut kata-katanya. Ada sahaja bantahan
sekiranya dia memberi cadangan. Hafiya merengus geram menunjukkan protes.
“Boleh tak, jangan
rosakkan mood saya yang tengah baik
ni? Saya ikut awak balik kampung awak pun dah kira baik tahu.” Hafiya bercekak
pinggang. Mencerlung memarahi Ariq.
Tersenyum Ariq
sambil berpeluk tubuh. Kata Tan Sri Arman, harus bersabar meladeni perangai
degil Hafiya. Yang penting jangan terus melenting. Ariq tahu benar dengan
perangai orang yang degil begini. Lawannya hanyalah diam. Harus bijak untuk
menundukkan kedegilan itu. “Kereta Kancil aku tu, aku dah baiki air-cond dan cermin tingkapnya. Selamat
dan selesa dipakai.”
Hafiya mendengus.
Dia dah agak, Ariq akan membangkang kehendaknya. “Bukan soal tu. Saya cuma nak
guna kereta saya saja. Salah ke?”
Hafiya enggan
berganjak bila Ariq mula bergerak menuju ke kereta Kancilnya. Bonet belakang
dibuka. Beberapa bungkus barang yang diberi oleh Mak Mah dimasukkan ke dalam
bonet tersebut.
“Hafiya, kereta ni
aku dah isi minyak penuh-penuh dah. Senang. Tak payah singgah mana-mana stesen
minyak untuk isi minyak,” balas Ariq tanpa memperdulikan wajah Hafiya yang mencuka. Bila
dia menghulur tangan untuk membantu Hafiya membawa beg berisi pakaian ke dalam
kereta Kancilnya, Hafiya enggan dan hanya buat muka bersahaja.
“Habis tu, awak
ingat kereta saya ni tak ada minyaklah?!”
“Hafiya, kenapa
melenting tak tentu pasal ni? Dari dalam atuk dengar suara Fiya.”
Hafiya terus
mengunci mulutnya. Namun, wajahnya masih masam mencuka.
“Atuk ingatkan dah
bertolak. Kenapa ni? Ada apa-apa masalah ke?” tanya Tan Sri Arman. Melihat daripada
riak wajah cucunya itu, tahulah dia yang Hafiya memang buat perangai. Wajah
Ariq pula hanya tenang melayan sikap Hafiya yang degil.
“Ariq ni tuk. Fiya
ajak naik kereta Fiya. Dia tak nak pula,” adu Hafiya.
Tan Sri Arman
memandang wajah Ariq yang hanya tersenyum. Alahai, kasihan pula dia melihat Ariq.
“Kenapa tak boleh naik kereta Ariq saja, Fiya?”
“Tuk, naik kereta
Fiya selesa lagi.”
“Semua kereta sama
saja. Jangan nak cerewet sangat. Ariq dah masukkan semua barang-barang dalam
kereta tu. Naik sajalah. Cepat bertolak, cepat sampai nanti.”
“Atuk!”
Tan Sri Arman
merapati cucunya. Bahu Hafiya dipaut dan dibawa menuju ke kereta Kancil Ariq
yang sudah dihidupkan enjinnya.
“Hati-hati
memandu, Ariq,” pesan Tan Sri Arman setelah Hafiya dan Ariq mula duduk di dalam
kereta.
“Ya. Jangan risau,
tuk. Ariq kan pemandu lori.” Sempat lagi Ariq bergurau.
“Eleh, lori dengan
kereta awak ni mana sama!” kata Hafiya sinis. Sempat dia menjeling ke arah Ariq
yang tersenyum memandangnya. Seronoklah tu kerana Tan Sri Arman menyebelahinya.
DALAM perjalanan Ariq dan Hafiya tidak banyak berbual. Ariq pula tidak berani
memulakan perbualan memandangkan Hafiya hanya diam dari tadi. Mata Hafiya tika
itu hanya tertumpu pada permandangan yang dilewati sepanjang perjalanan ke
Terengganu. Sempat lagi Ariq mencuri pandang cincin yang dibelinya, terletak
kemas di jari manis Hafiya. Tersenyum sendiri Ariq dibuatnya.
Siapa sangka,
gadis yang garang dan sombong ini sudah bergelar tunangnya. Dan, tidak lama
lagi akan bergelar isterinya. Sejujurnya, Ariq sendiri tidak tahu untuk
menggambarkan perasaannya tika ini. Hendak dikatakan dia bahagia, namun pertunangan
yang tiba-tiba ini membuatkan dirinya sendiri keliru. Lebih-lebih lagi bila
melihat Hafiya seolah-olah terseksa dengan hubungan mereka ini.
“Ehem!” Ariq berdeham
tiba-tiba. Rasa kekok pula bila perjalanan yang panjang ini hanya diisi dengan
bunyi DJ radio yang berceloteh dari tadi. Ariq pun sudah naik bosan
mendengarnya.
Hafiya diam. Masih
tidak menunjukkan sebarang reaksi.
“Ehem!” Ariq
berdeham lagi. Kali ini lebih kuat dari tadi.
Hafiya menoleh
sedikit. Namun, selepas itu mengalih semula pandangannya ke luar cermin kereta.
“Awak nak apa?”
soal Hafiya perlahan.
“Kau lapar ke?
Kita boleh singgah mana-mana nanti,” tanya Ariq. Cuba untuk berbual mesra.
“Awak lupa ke yang
kita dah sarapan dekat rumah tadi? Atau, awak masih lapar? Cakap sajalah,
jangan nak kaitkan saya.”
“Aku dah kenyang.”
“Saya pun. So, awak memandu saja. Jangan bercakap
masa memandu. Kata pemandu berhemah.”
Sindiran Hafiya
membuatkan Ariq ketawa besar.
“Gila!” sambung
Hafiya, terus dia berpaling daripada Ariq yang masih galak ketawakannya.
“Kau ni
kadang-kadang memang lawak, kan?”
“Apa yang
lawaknya? Awak tu yang tak betul. Tak ada angin, tak ada ribut. Tiba-tiba
ketawa.” Hafiya menjeling Ariq tajam.
Perjalanan ke
Terengganu terasa sangat jauh bila ditemani oleh Ariq. Tidak sampai setengah
jam dia berada di dalam kereta Kancil Ariq. Namun, panjangnya terasa
berjam-jam.
“Cuba tengok
cermin depan tu. Ada sesuatu yang melekat di gigi kau,” ujar Ariq sambil masih
diringi tawa.
Hafiya kerut dahi.
Berubah air mukanya.
“Jangan nak tipu
sayalah!” balas Hafiya, namun dia mula rasa tidak selesa. Bagaimana kalau
betul-betul ada sesuatu yang melekat di giginya? Kalau dia lihat cermin
sekarang, sudah tentu Ariq akan lebih mengetawakannya.
“Betullah. Jangan tengok
kalau kau tak percaya.” Sambil menukar gear, Ariq menyambung lagi. Stereng
kereta dipusing. Kereta Kancil kecilnya dibelok ke kiri.
Kesempatan itu Hafiya
gunakan untuk mencapai bedak kompak dari beg tangannya. Tanpa mempedulikan
Ariq, bedak kompaknya dibuka. Terus dia melihat giginya pada cermin.
“Tak ada pun!”
jerit Hafiya tiba-tiba. Kepalanya digerakkan ke kiri dan ke kanan. Habis pelosok
giginya ditilik. Namun, tiada tanda giginya terlekat sesuatu.
“Tak ada? Cuba
tengok betul-betul,” balas Ariq.
“Dah memang tak
ada. Awak ni nak kenakan saya ke?” Hafiya mula naik angin.
Ariq senyum. “Oh,
tak adalah ya? Ingatkan ada, sebab dari tadi kau senyap saja. Cakap pun tak
nak.”
Hafiya senyap.
Bedak kompaknya dilempar kasar ke dalam beg tangannya. Ariq mengenakannya
rupanya!
“Erk, marah ke?”
“Eh, taklah. Happy sangat kena dengan awak.” Hafiya
melemparkan senyum tidak ikhlas. Kalau ikutkan hati, mahu saja dia mencekik
Ariq tika ini. Tidak pasal-pasal dia malu di depan lelaki itu.
“Gurau saja pun.
Tak elok muka masam nak jumpa keluarga mertua tahu.”
“Ariq, awak diam
boleh tak?” Hafiya menyergah tiba-tiba dengan nada yang tegas.
Ariq diam. Wajah
Hafiya dikerling seketika. Berubah juga muka Ariq saat itu. Namun, tidak lama
selepas itu Ariq cuba mengukir senyuman.
“Kalau kau penat.
Kau rehatlah. Bila dah sampai, aku bagi tahu,” ujar Ariq perlahan.
Hafiya memandang
Ariq sekejap. Ada rasa bersalah yang bertandang di hatinya. Namun, cepat-cepat
dia tepis jauh. Bila melihat Ariq senyap dan hanya menumpukan perhatian pada pemanduan,
Hafiya memandang jauh ke tingkap, meladeni perasaannya.
SETELAH beberapa jam menempuh perjalanan yang sibuk Ariq dan Hafiya sampai ke
tempat yang dituju. Dari jauh Hafiya dapat melihat rumah kayu tradisional yang
tersergam cantik di tengah-tengah sawah. Tergamam seketika Hafiya dibuatnya.
Belum pernah lagi dia merasai suasana kampung yang tenang begini.
Sebaik saja Hafiya
turun dari kereta. Angin sawah mula bertiup lembut. Hafiya memejam matanya
mengamati permandangan yang indah itu.
“Mak ngah!”
Hafiya terkejut.
Kakinya terasa dipeluk oleh seseorang. Segera Hafiya membuka matanya. Bulat
matanya menjamah seorang budak perempuan yang cantik dan berambut kerinting.
Tersenyum Hafiya dibuatnya.
“Mimi.” Ariq
menegur dari belakang.
Hafiya tunduk. Rambut
Mimi dielus lembut.
“Hai, Mimi... Cantiknya
rambut,” puji Hafiya. Mimi terus dipeluk erat. Melekat jari kecil itu di bahu
Hafiya.
“Dah sampai pun
orang jauh. Ibu, ni ha, anak bujang ibu dah sampai ni,” laung Aisyah, kakak
sulung Ariq. Aisyah mendekati anaknya yang nombor tiga itu.
Hafiya turut
menyalami insan yang dipanggil kak long oleh Ariq itu. Aisyah seorang ibu
beranak tiga. Patutlah wajah Mimi cantik. Rupanya Aisyah sendiri cantik
orangnya.
“Ibu, abah mana, kak
long?” soal Ariq setelah tidak melihat kelibat orang tuanya.
“Ibu ada saja di
dapur tu. Sibuk siapkan makan tengah hari untuk angah dan bakal bini angah ni.
Siapa namanya hari tu, ngah? Lupa pula kak long.”
“Hafiya kak long.
Panggil saja Fiya.” Hafiya cepat memperkenalkan dirinya.
“Oh, Fiya. Ibu tu
Fiya, bukannya Fiya yang dia bagi tahu hari tu. Piya katanya. Hairan kak long.”
Hafiya dan Ariq
ketawa. Piya? Macam nama Hindustan pula, desis Hafiya.
“Mari masuk. Ibu
dah tunggu tu. Abah ke kebun belakang tu, ngah. Ambil pisang, dia suruh ibu
buat pengat pisang petang nanti,” ujar Aisyah, bersahaja mencapai tangan Hafiya
yang kelihatan malu-malu itu. Cantik benar bakal isteri angah, berbudi bahasa
orangnya. Sempat Aisyah memuji dalam diam.
“Masuk, Fiya. Kak long
ke dapur sekejap siapkan air.”
Hafiya angguk.
Ariq terus ke bilik dengan membawa beg berisi pakaian.
“Kau duduklah dulu
dengan kak long. Aku nak ke belakang tengok abah,” ujar Ariq kepada Hafiya.
Langkah Hafiya
terhenti di hadapan pintu. Sekali lagi dia terpegun dengan hiasan dalaman rumah
kampung keluarga Ariq. Memang penuh ciri-ciri kekampungan seperti yang dia
bayangkan. Tingkap kayu dua daun mengelilingi setiap pelosok rumah. Kerusi kayu
pula kelihatan cantik bila dihias di ruang tamu. Dari tingkap kayu tersebut,
dapat dilihat dengan jelas permandangan sawah padi yang menghijau.
“Duduk, Fiya. Kak long
buatkan air.”
“Eh, tak apa, kak long.
Fiya boleh ambil sendiri. Boleh jumpa ibu sekali.” Hafiya terus membuntuti
langkah Aisyah yang menuju ke dapur di tingkat bawah.
Rumah tersebut
bukanlah rumah dua tingkat, cuma bahagian dapur dipisahkan dengan tiga anak
tangga. Sampai saja di dapur, hidung Hafiya sudah menangkap bau gulai yang
membangkit selera makannya.
“Ibu, dengar tak kak
long panggil tadi? Ni ha, bakal menantu ibu datang ni.”
Aminah terus
menoleh memandang Aisyah dan Hafiya yang berada di belakangnya. Tersenyum
gembira Aminah melihat Hafiya di hadapannya.
Tanpa menunggu,
Hafiya terus tunduk menyalami tangan bakal ibu mertuanya itu. Sekali lagi wajah
itu dapat mengembalikan rasa rindu Hafiya kepada arwah ibunya. Tanpa sedar
Hafiya mula menangis, bila terasa badannya dipeluk erat oleh Aminah.
“Eh, kenapa
menangis ni?” tanya Aminah hairan.
“Fiya rindukan
arwah mummy Fiya,” jawab Hafiya tanpa
berselindung.
Aminah senyum. Air
mata Hafiya terus diseka.
“Mulai hari ni,
ibulah mama Fiya. Jangan menangis, ya. Kalau rasa rindu tu, jumpa saja ibu,” ujar
Aminah ikhlas. Kasihan pula dia melihat Hafiya yang begitu dahagakan kasih
sayang seorang ibu.
“Alahai, manjanya
dia. Dah, jangan nangis. Ni, ibu ada buat gulai ayam untuk Fiya. Angah kata Fiya
suka gulai ayam.”
Berkerut dahi
Hafiya mendengarnya. Mana Ariq tahu yang dia sukakan gulai ayam?
“Maaflah, susahkan
ibu saja,” ujar Hafiya.
“Apa pula susahnya?
Tak susahlah, setakat gulai ayam ni,” balas Aminah lagi. Sempat dia mengacau
sedikit gulai ayam di kuali. “Kalau Fiya nak tahu, semalam angah call ibu tahu. Suruh ibu buat gulai ayam
untuk Fiya. Lewat malam pula tu.”
Hafiya hanya
tersenyum. Namun, hatinya mula berlagu rancak. Betulkah Ariq begitu memikirkan
tentangnya?
“Sayang sangatlah
tu dengan Fiya,” sambung Aisyah lagi dengan tersengih-sengih.
Dialah orang yang
paling gembira bila Ariq memberitahu yang dia bakal berkahwin. Bukan apa, dia
bimbang adiknya itu akan mendapat gelaran bujang terlajak. Ariq itu, bukan
tidak ada yang berkenan. Cuma terlampau memilih sangat! Mungkin saja jodohnya
kuat dengan gadis cantik di hadapannya ini.
“Kak long ni Fiya,
banyak sangat benda nak tanya dengan Fiya ni. Nak tanya tentang perkahwinan.
Semua sekalilah! Ni, lagi satu. Angah bagi tahu dia kenal Hafiya Fiya baru
sekejap, tapi dah namanya jatuh cinta pandang pertama, dia terus ajak Fiya
kahwin. Dan Fiya pun terus setuju. Romantiklah, Fiya. Seronok kak long dengar.
Nak harapkan abang long kamu, memang sampai ke sudah tak merasa romantik macam
tu.” Rancak sungguh Aisyah bercerita.
“Aisyah, dari tadi
ibu tengok kamu menempel dengan Piya tu. Cubalah bagi dia rehat sekejap. Anak
bongsu kamu tu mana? Dari tadi mak tak jumpa.”
Aisyah dan Hafiya
sama-sama ketawa,
“Ibu, bukan
Piyalah. Tapi Fiya. F.I.Y.A. Fiya...”
“Alah, samalah tu.
Asal ada bunyi saja.”
Aisyah menggeleng.
Tak guna bertegang urat dengan ibunya itu. Memang tak mahu kalah!
“Yalah, ibu. Piya
pun Piyalah.” Aisyah menggamit sedikit Hafiya yang turut sama ketawa.
“Piya, pergi rehat
sana. Dalam bilik angah tu. Sekejap lagi, ibu panggil makan.”
“Betul tu, Piya.
Pergi rehat sana,” Aisyah pula mengajuk kata-kata ibunya.
Hafiya senyum.
Bahagianya keluarga Ariq. Dalam diam Hafiya diterpa cemburu. Dia hanya punya
datuk untuk berkongsi rasa. Hafirda dan mak su pula semakin menjauhkan diri
bila dia setuju dengan rancangan Tan Sri Arman untuk berkahwin dengan Ariq.
Hubungannya dengan keluarga tidak seperti keluarga Ariq.
“Ibu, kak long!” Satu
suara menjerit tiba-tiba dari arah depan.
Terkejut Hafiya,
Aisyah dan Aminah.
“Ibu, mana kak ngah?!”
Seorang gadis bertudung tiba-tiba muncul di muka pintu dapur.
Ketawa sakan
Aisyah dibuatnya. Itu adik bongsu mereka. Anis namanya. Budaknya memang kelam-kabut
begitu.
“Allahuakbar.
Anis, kamu tu anak dara. Jangan menjerit macam tu. Nanti tak ada seorang pun
yang nak dengan kamu,” bebel Aminah.
“Kak ngah mana,
bu?” soal Anis lagi, tidak memperdulikan bebelan ibunya.
“Itu. Inilah kak ngah
kamu. Sibuk memanjang saja,” ujar Aisyah.
Serentak itu, Anis
terus berlari dan menghampiri Hafiya tiba-tiba. “Alahai, cantiknya bakal isteri
abang ngah. Macam film star.”
Pipi Hafiya
tiba-tiba dicubit oleh Anis. Terkejut Hafiya dibuatnya. Adik Ariq yang seorang
ini, terlebih ramah pula!