Wednesday, November 18, 2015

Pandu Arah Ke Hati(Bab 13)

Bab 13

AWAL pagi lagi Ariq sudah tercongok di hadapan banglo Tan Sri Arman. Bila dia sampai, Hafiya pula masih sibuk bersiap. Lambat bangun katanya. Sementara menunggu Hafiya bersiap, Ariq sempat menjamah sedikit sarapan yang disiapkan oleh Mak Mah. Itu pun setelah didesak oleh Mak Mah.
“Hmm, sedap Mak Mah masak,” puji Ariq sambil menyua nasi goreng kerang ke dalam mulutnya.
Masakan Mak Mah memang sedap. Mungkin kerana pengalamannya yang sudah bertahun-tahun kerja di banglo tersebut.
“Biasa saja, Ariq. Umi ni masih belajar lagi memasak hingga sekarang,” ujar Mak Mah merendah diri.
“Tapi, memang sedap Mak Mah. Lebih-lebih lagi nasi goreng ni.”
Mak Mah senyum. “Kalau Ariq nak tahu. Nasi goreng kerang ni kegemaran Hafiya tahu.”
“Oh, yakah? Ingatkan dia cuma pandai makan makanan barat.”
“Eh, Ariq jangan tak tahu. Si Hafiya tu minat juga makanan kampung. Kalau dia jumpa gulai ayam, memang tak pandang kiri kanan dah.”
Ariq angguk. Oh, suka makanan kampung rupanya. Nampak saja rambutnya keperangan.
“Selamat pagi, Tan Sri.” Mak Mah tunduk hormat menegur majikannya yang baru sahaja muncul di muka pintu.
Ariq berpaling ke arah Tan Sri Arman yang masih mengenakan tongkat untuk bergerak.
“Tuk, selamat pagi, tuk.” Ariq bangun dan membantu Tan Sri Arman untuk duduk.
Berseri wajah Tan Sri Arman menyambut kedatangan bakal cucu menantunya itu. Huluran kopi O panas yang dibancuh oleh Mak Mah terus dihirup perlahan. Memang sejak dulu Tan Sri Arman amat menggemari kopi O. Kebiasaannya Mak Mah akan menyediakan khas kopi O panas hanya untuk Tan Sri Arman, kerana anak cucu Tan Sri Arman memang kurang minum kopi.
“Hafiya tak siap lagi ke?” soal Tan Sri Arman.
“Sekejap lagilah tu, atuk. Ariq tak kisah. Boleh saja tunggu.” Ariq turut sama menghirup minuman panasnya.
“Perempuan, Ariq. Memang lama kalau bersiap. Buat itulah, buat inilah,” bebel Tan Sri Arman lagi.
Ariq hanya senyum. Memang itulah kenyataannya. Dia bukan tidak ada ibu dan adik-beradik perempuan. Adiknya si Anis itu, kalau bersiap memang sejam. Alih-alih, sama saja jadinya.
“Pukul berapa nak berangkat ni?”
“Dalam pukul 9.00 macam tulah, atuk.”
Tan Sri Arman angguk.
“Baguslah tu, Ariq. Kenalkan Hafiya dengan keluarga Ariq di sana. Tak adalah kekok nanti. Lagipun, Ariq dengan Hafiya dah nak kahwin. Biar Hafiya biasa sikit dengan keluarga Ariq.”
“Memang itu pun tujuan Ariq, tuk. Saudara-mara Ariq memang nak sangat berkenalan dengan Hafiya. Masa bertunang hari tu, tak ramai yang ikut,” jelas Ariq lagi. Ibunya juga yang memintanya untuk membawa Hafiya balik ke kampung. Boleh kenal cara hidup kampung.
“Bagus tu. Pandai-pandailah kamu berurusan dengan si Fiya tu. Dia tu degil sangat.”
“Ehem! Fiya dengar orang mengata Fiya saja ni.” Hafiya tiba-tiba muncul entah dari mana.
Serentak Tan Sri Armand dan Ariq menoleh. Hafiya sudah siap dengan mengenakan baju kurung cotton berwarna hijau putih. Tersenyum Tan Sri Arman memandang cucunya yang berpakaian sopan tersebut. Memang susah untuk melihat Hafiya mengenakan baju kurung jika bukan ke majlis formal.
Ariq pula diam. Namun, hatinya terusik melihat kecantikan Hafiya saat itu.
“Pandang Fiya macam tu, kenapa? Fiya lapar ni. Nak makan dulu.” Hafiya mengambil tempat di sebelah Tan Sri Arman. Beg tangan diletakkan di kerusi sebelah kanan.
“Cucu atuk ni nampak cantik sangat bila sesekali guna baju kurung macam ni.” Tan Sri Arman mula memuji. Kemerahan muka Hafiya dibuatnya. Lebih-lebih lagi bila dipuji di depan Ariq.
“Pandai saja atuk ni.”
“Betullah. Tak percaya tanya Ariq. Betul tak Ariq?” Giliran Ariq pula yang disoal.
Mati kata dibuatnya. Takkan nak memuji Hafiya depan-depan? Jatuh air mukanya nanti!
“Tuk, dahlah tu. Kami nak cepat ni. Nanti lambat pula sampai kampung Ariq. Kan Ariq, kan?” Hafiya menukar topik. Cepat dia menghirup teh susu dan sekeping roti terus digigit.
“Jom, Ariq. Lambat dah ni.” Hafiya pula yang terkocoh-kocoh. Beg tangan di sebelahnya dicapai. Cepat dia menyalami tangan datuknya dan terus berlalu menuju ke muka pintu. Malu pula bila disakat oleh datuknya di depan Ariq.
Tan Sri Arman dan Ariq hanya mampu tersenyum.
“Kami pergi dulu, tuk,” ujar Ariq sambil turut menyalami tangan Tan Sri Arman.
“Ya, hati-hati memandu,” pesan Tan Sri Arman.
Ariq terus melangkah keluar dari banglo. Dari jauh lagi dia melihat Hafiya sudah berdiri di hadapan kereta Nissan Skylinenya. Menggeleng Ariq. Memang degil! desis Ariq geram.
“Kali ni naik kereta saya, ya? Sebab kita nak jalan jauh. Kereta awak tu...”
“Aku dah ulang-alik dari Terengganu ke KL ni banyak kali. Setakat ni, alhamdulillah. Sampai saja aku.”
Hafiya buat muka marah. Ariq memang tidak pernah menurut kata-katanya. Ada sahaja bantahan sekiranya dia memberi cadangan. Hafiya merengus geram menunjukkan protes.
“Boleh tak, jangan rosakkan mood saya yang tengah baik ni? Saya ikut awak balik kampung awak pun dah kira baik tahu.” Hafiya bercekak pinggang. Mencerlung memarahi Ariq.
Tersenyum Ariq sambil berpeluk tubuh. Kata Tan Sri Arman, harus bersabar meladeni perangai degil Hafiya. Yang penting jangan terus melenting. Ariq tahu benar dengan perangai orang yang degil begini. Lawannya hanyalah diam. Harus bijak untuk menundukkan kedegilan itu. “Kereta Kancil aku tu, aku dah baiki air-cond dan cermin tingkapnya. Selamat dan selesa dipakai.”
Hafiya mendengus. Dia dah agak, Ariq akan membangkang kehendaknya. “Bukan soal tu. Saya cuma nak guna kereta saya saja. Salah ke?”
Hafiya enggan berganjak bila Ariq mula bergerak menuju ke kereta Kancilnya. Bonet belakang dibuka. Beberapa bungkus barang yang diberi oleh Mak Mah dimasukkan ke dalam bonet tersebut.
“Hafiya, kereta ni aku dah isi minyak penuh-penuh dah. Senang. Tak payah singgah mana-mana stesen minyak untuk isi minyak,” balas Ariq tanpa memperdulikan wajah Hafiya yang mencuka. Bila dia menghulur tangan untuk membantu Hafiya membawa beg berisi pakaian ke dalam kereta Kancilnya, Hafiya enggan dan hanya buat muka bersahaja.
“Habis tu, awak ingat kereta saya ni tak ada minyaklah?!”
“Hafiya, kenapa melenting tak tentu pasal ni? Dari dalam atuk dengar suara Fiya.”
Hafiya terus mengunci mulutnya. Namun, wajahnya masih masam mencuka.
“Atuk ingatkan dah bertolak. Kenapa ni? Ada apa-apa masalah ke?” tanya Tan Sri Arman. Melihat daripada riak wajah cucunya itu, tahulah dia yang Hafiya memang buat perangai. Wajah Ariq pula hanya tenang melayan sikap Hafiya yang degil.
“Ariq ni tuk. Fiya ajak naik kereta Fiya. Dia tak nak pula,” adu Hafiya.
Tan Sri Arman memandang wajah Ariq yang hanya tersenyum. Alahai, kasihan pula dia melihat Ariq. “Kenapa tak boleh naik kereta Ariq saja, Fiya?”
“Tuk, naik kereta Fiya selesa lagi.”
“Semua kereta sama saja. Jangan nak cerewet sangat. Ariq dah masukkan semua barang-barang dalam kereta tu. Naik sajalah. Cepat bertolak, cepat sampai nanti.”
“Atuk!”
Tan Sri Arman merapati cucunya. Bahu Hafiya dipaut dan dibawa menuju ke kereta Kancil Ariq yang sudah dihidupkan enjinnya.
“Hati-hati memandu, Ariq,” pesan Tan Sri Arman setelah Hafiya dan Ariq mula duduk di dalam kereta.
“Ya. Jangan risau, tuk. Ariq kan pemandu lori.” Sempat lagi Ariq bergurau.
“Eleh, lori dengan kereta awak ni mana sama!” kata Hafiya sinis. Sempat dia menjeling ke arah Ariq yang tersenyum memandangnya. Seronoklah tu kerana Tan Sri Arman menyebelahinya.

DALAM perjalanan Ariq dan Hafiya tidak banyak berbual. Ariq pula tidak berani memulakan perbualan memandangkan Hafiya hanya diam dari tadi. Mata Hafiya tika itu hanya tertumpu pada permandangan yang dilewati sepanjang perjalanan ke Terengganu. Sempat lagi Ariq mencuri pandang cincin yang dibelinya, terletak kemas di jari manis Hafiya. Tersenyum sendiri Ariq dibuatnya.
Siapa sangka, gadis yang garang dan sombong ini sudah bergelar tunangnya. Dan, tidak lama lagi akan bergelar isterinya. Sejujurnya, Ariq sendiri tidak tahu untuk menggambarkan perasaannya tika ini. Hendak dikatakan dia bahagia, namun pertunangan yang tiba-tiba ini membuatkan dirinya sendiri keliru. Lebih-lebih lagi bila melihat Hafiya seolah-olah terseksa dengan hubungan mereka ini.
“Ehem!” Ariq berdeham tiba-tiba. Rasa kekok pula bila perjalanan yang panjang ini hanya diisi dengan bunyi DJ radio yang berceloteh dari tadi. Ariq pun sudah naik bosan mendengarnya.
Hafiya diam. Masih tidak menunjukkan sebarang reaksi.
“Ehem!” Ariq berdeham lagi. Kali ini lebih kuat dari tadi.
Hafiya menoleh sedikit. Namun, selepas itu mengalih semula pandangannya ke luar cermin kereta.
“Awak nak apa?” soal Hafiya perlahan.
“Kau lapar ke? Kita boleh singgah mana-mana nanti,” tanya Ariq. Cuba untuk berbual mesra.
“Awak lupa ke yang kita dah sarapan dekat rumah tadi? Atau, awak masih lapar? Cakap sajalah, jangan nak kaitkan saya.”
“Aku dah kenyang.”
“Saya pun. So, awak memandu saja. Jangan bercakap masa memandu. Kata pemandu berhemah.”
Sindiran Hafiya membuatkan Ariq ketawa besar.
“Gila!” sambung Hafiya, terus dia berpaling daripada Ariq yang masih galak ketawakannya.
“Kau ni kadang-kadang memang lawak, kan?”
“Apa yang lawaknya? Awak tu yang tak betul. Tak ada angin, tak ada ribut. Tiba-tiba ketawa.” Hafiya menjeling Ariq tajam.
Perjalanan ke Terengganu terasa sangat jauh bila ditemani oleh Ariq. Tidak sampai setengah jam dia berada di dalam kereta Kancil Ariq. Namun, panjangnya terasa berjam-jam.
“Cuba tengok cermin depan tu. Ada sesuatu yang melekat di gigi kau,” ujar Ariq sambil masih diringi tawa.
Hafiya kerut dahi. Berubah air mukanya.
“Jangan nak tipu sayalah!” balas Hafiya, namun dia mula rasa tidak selesa. Bagaimana kalau betul-betul ada sesuatu yang melekat di giginya? Kalau dia lihat cermin sekarang, sudah tentu Ariq akan lebih mengetawakannya.
“Betullah. Jangan tengok kalau kau tak percaya.” Sambil menukar gear, Ariq menyambung lagi. Stereng kereta dipusing. Kereta Kancil kecilnya dibelok ke kiri.
Kesempatan itu Hafiya gunakan untuk mencapai bedak kompak dari beg tangannya. Tanpa mempedulikan Ariq, bedak kompaknya dibuka. Terus dia melihat giginya pada cermin.
“Tak ada pun!” jerit Hafiya tiba-tiba. Kepalanya digerakkan ke kiri dan ke kanan. Habis pelosok giginya ditilik. Namun, tiada tanda giginya terlekat sesuatu.
“Tak ada? Cuba tengok betul-betul,” balas Ariq.
“Dah memang tak ada. Awak ni nak kenakan saya ke?” Hafiya mula naik angin.
Ariq senyum. “Oh, tak adalah ya? Ingatkan ada, sebab dari tadi kau senyap saja. Cakap pun tak nak.”
Hafiya senyap. Bedak kompaknya dilempar kasar ke dalam beg tangannya. Ariq mengenakannya rupanya!
“Erk, marah ke?”
“Eh, taklah. Happy sangat kena dengan awak.” Hafiya melemparkan senyum tidak ikhlas. Kalau ikutkan hati, mahu saja dia mencekik Ariq tika ini. Tidak pasal-pasal dia malu di depan lelaki itu.
“Gurau saja pun. Tak elok muka masam nak jumpa keluarga mertua tahu.”
“Ariq, awak diam boleh tak?” Hafiya menyergah tiba-tiba dengan nada yang tegas.
Ariq diam. Wajah Hafiya dikerling seketika. Berubah juga muka Ariq saat itu. Namun, tidak lama selepas itu Ariq cuba mengukir senyuman.
“Kalau kau penat. Kau rehatlah. Bila dah sampai, aku bagi tahu,” ujar Ariq perlahan.
Hafiya memandang Ariq sekejap. Ada rasa bersalah yang bertandang di hatinya. Namun, cepat-cepat dia tepis jauh. Bila melihat Ariq senyap dan hanya menumpukan perhatian pada pemanduan, Hafiya memandang jauh ke tingkap, meladeni perasaannya.

SETELAH beberapa jam menempuh perjalanan yang sibuk Ariq dan Hafiya sampai ke tempat yang dituju. Dari jauh Hafiya dapat melihat rumah kayu tradisional yang tersergam cantik di tengah-tengah sawah. Tergamam seketika Hafiya dibuatnya. Belum pernah lagi dia merasai suasana kampung yang tenang begini.
Sebaik saja Hafiya turun dari kereta. Angin sawah mula bertiup lembut. Hafiya memejam matanya mengamati permandangan yang indah itu.
“Mak ngah!”
Hafiya terkejut. Kakinya terasa dipeluk oleh seseorang. Segera Hafiya membuka matanya. Bulat matanya menjamah seorang budak perempuan yang cantik dan berambut kerinting. Tersenyum Hafiya dibuatnya.
“Mimi.” Ariq menegur dari belakang.
Hafiya tunduk. Rambut Mimi dielus lembut.
“Hai, Mimi... Cantiknya rambut,” puji Hafiya. Mimi terus dipeluk erat. Melekat jari kecil itu di bahu Hafiya.
“Dah sampai pun orang jauh. Ibu, ni ha, anak bujang ibu dah sampai ni,” laung Aisyah, kakak sulung Ariq. Aisyah mendekati anaknya yang nombor tiga itu.
Hafiya turut menyalami insan yang dipanggil kak long oleh Ariq itu. Aisyah seorang ibu beranak tiga. Patutlah wajah Mimi cantik. Rupanya Aisyah sendiri cantik orangnya.
“Ibu, abah mana, kak long?” soal Ariq setelah tidak melihat kelibat orang tuanya.
“Ibu ada saja di dapur tu. Sibuk siapkan makan tengah hari untuk angah dan bakal bini angah ni. Siapa namanya hari tu, ngah? Lupa pula kak long.”
“Hafiya kak long. Panggil saja Fiya.” Hafiya cepat memperkenalkan dirinya.
“Oh, Fiya. Ibu tu Fiya, bukannya Fiya yang dia bagi tahu hari tu. Piya katanya. Hairan kak long.”
Hafiya dan Ariq ketawa. Piya? Macam nama Hindustan pula, desis Hafiya.
“Mari masuk. Ibu dah tunggu tu. Abah ke kebun belakang tu, ngah. Ambil pisang, dia suruh ibu buat pengat pisang petang nanti,” ujar Aisyah, bersahaja mencapai tangan Hafiya yang kelihatan malu-malu itu. Cantik benar bakal isteri angah, berbudi bahasa orangnya. Sempat Aisyah memuji dalam diam.
“Masuk, Fiya. Kak long ke dapur sekejap siapkan air.”
Hafiya angguk. Ariq terus ke bilik dengan membawa beg berisi pakaian.
“Kau duduklah dulu dengan kak long. Aku nak ke belakang tengok abah,” ujar Ariq kepada Hafiya.
Langkah Hafiya terhenti di hadapan pintu. Sekali lagi dia terpegun dengan hiasan dalaman rumah kampung keluarga Ariq. Memang penuh ciri-ciri kekampungan seperti yang dia bayangkan. Tingkap kayu dua daun mengelilingi setiap pelosok rumah. Kerusi kayu pula kelihatan cantik bila dihias di ruang tamu. Dari tingkap kayu tersebut, dapat dilihat dengan jelas permandangan sawah padi yang menghijau.
“Duduk, Fiya. Kak long buatkan air.”
“Eh, tak apa, kak long. Fiya boleh ambil sendiri. Boleh jumpa ibu sekali.” Hafiya terus membuntuti langkah Aisyah yang menuju ke dapur di tingkat bawah.
Rumah tersebut bukanlah rumah dua tingkat, cuma bahagian dapur dipisahkan dengan tiga anak tangga. Sampai saja di dapur, hidung Hafiya sudah menangkap bau gulai yang membangkit selera makannya.
“Ibu, dengar tak kak long panggil tadi? Ni ha, bakal menantu ibu datang ni.”
Aminah terus menoleh memandang Aisyah dan Hafiya yang berada di belakangnya. Tersenyum gembira Aminah melihat Hafiya di hadapannya.
Tanpa menunggu, Hafiya terus tunduk menyalami tangan bakal ibu mertuanya itu. Sekali lagi wajah itu dapat mengembalikan rasa rindu Hafiya kepada arwah ibunya. Tanpa sedar Hafiya mula menangis, bila terasa badannya dipeluk erat oleh Aminah.
“Eh, kenapa menangis ni?” tanya Aminah hairan.
“Fiya rindukan arwah mummy Fiya,” jawab Hafiya tanpa berselindung.
Aminah senyum. Air mata Hafiya terus diseka.
“Mulai hari ni, ibulah mama Fiya. Jangan menangis, ya. Kalau rasa rindu tu, jumpa saja ibu,” ujar Aminah ikhlas. Kasihan pula dia melihat Hafiya yang begitu dahagakan kasih sayang seorang ibu.
“Alahai, manjanya dia. Dah, jangan nangis. Ni, ibu ada buat gulai ayam untuk Fiya. Angah kata Fiya suka gulai ayam.”
Berkerut dahi Hafiya mendengarnya. Mana Ariq tahu yang dia sukakan gulai ayam?
“Maaflah, susahkan ibu saja,” ujar Hafiya.
“Apa pula susahnya? Tak susahlah, setakat gulai ayam ni,” balas Aminah lagi. Sempat dia mengacau sedikit gulai ayam di kuali. “Kalau Fiya nak tahu, semalam angah call ibu tahu. Suruh ibu buat gulai ayam untuk Fiya. Lewat malam pula tu.”
Hafiya hanya tersenyum. Namun, hatinya mula berlagu rancak. Betulkah Ariq begitu memikirkan tentangnya?
“Sayang sangatlah tu dengan Fiya,” sambung Aisyah lagi dengan tersengih-sengih.
Dialah orang yang paling gembira bila Ariq memberitahu yang dia bakal berkahwin. Bukan apa, dia bimbang adiknya itu akan mendapat gelaran bujang terlajak. Ariq itu, bukan tidak ada yang berkenan. Cuma terlampau memilih sangat! Mungkin saja jodohnya kuat dengan gadis cantik di hadapannya ini.
“Kak long ni Fiya, banyak sangat benda nak tanya dengan Fiya ni. Nak tanya tentang perkahwinan. Semua sekalilah! Ni, lagi satu. Angah bagi tahu dia kenal Hafiya Fiya baru sekejap, tapi dah namanya jatuh cinta pandang pertama, dia terus ajak Fiya kahwin. Dan Fiya pun terus setuju. Romantiklah, Fiya. Seronok kak long dengar. Nak harapkan abang long kamu, memang sampai ke sudah tak merasa romantik macam tu.” Rancak sungguh Aisyah bercerita.
“Aisyah, dari tadi ibu tengok kamu menempel dengan Piya tu. Cubalah bagi dia rehat sekejap. Anak bongsu kamu tu mana? Dari tadi mak tak jumpa.”
Aisyah dan Hafiya sama-sama ketawa,
“Ibu, bukan Piyalah. Tapi Fiya. F.I.Y.A. Fiya...”
“Alah, samalah tu. Asal ada bunyi saja.”
Aisyah menggeleng. Tak guna bertegang urat dengan ibunya itu. Memang tak mahu kalah!
“Yalah, ibu. Piya pun Piyalah.” Aisyah menggamit sedikit Hafiya yang turut sama ketawa.
“Piya, pergi rehat sana. Dalam bilik angah tu. Sekejap lagi, ibu panggil makan.”
“Betul tu, Piya. Pergi rehat sana,” Aisyah pula mengajuk kata-kata ibunya.
Hafiya senyum. Bahagianya keluarga Ariq. Dalam diam Hafiya diterpa cemburu. Dia hanya punya datuk untuk berkongsi rasa. Hafirda dan mak su pula semakin menjauhkan diri bila dia setuju dengan rancangan Tan Sri Arman untuk berkahwin dengan Ariq. Hubungannya dengan keluarga tidak seperti keluarga Ariq.
“Ibu, kak long!” Satu suara menjerit tiba-tiba dari arah depan.
Terkejut Hafiya, Aisyah dan Aminah.
“Ibu, mana kak ngah?!” Seorang gadis bertudung tiba-tiba muncul di muka pintu dapur.
Ketawa sakan Aisyah dibuatnya. Itu adik bongsu mereka. Anis namanya. Budaknya memang kelam-kabut begitu.
“Allahuakbar. Anis, kamu tu anak dara. Jangan menjerit macam tu. Nanti tak ada seorang pun yang nak dengan kamu,” bebel Aminah.
“Kak ngah mana, bu?” soal Anis lagi, tidak memperdulikan bebelan ibunya.
“Itu. Inilah kak ngah kamu. Sibuk memanjang saja,” ujar Aisyah.
Serentak itu, Anis terus berlari dan menghampiri Hafiya tiba-tiba. “Alahai, cantiknya bakal isteri abang ngah. Macam film star.”

Pipi Hafiya tiba-tiba dicubit oleh Anis. Terkejut Hafiya dibuatnya. Adik Ariq yang seorang ini, terlebih ramah pula!

Friday, November 13, 2015

Pandu Arah Ke Hati (Bab 12)

Bab 12

DENGAN langkah perlahan, Hafiya merapati kubur arwah Nizam yang terletak tidak jauh dari bahu jalan. Hatinya yang kian sebak lantas mengundang deraian air mata di pipinya. Majlis risik sudah menjadi majlis pertunangan. Tidak sampai sebulan dia mengenali lelaki bernama Ariq yang kini sudah bergelar tunangannya. Ariq, si pemandu lori itu adalah tunangnya.
Biarpun sukar untuk Hafiya menerima hakikat yang berada di depan matanya kini, tetapi cincin bermata satu di jarinya membuktikan segalanya. Ibu Ariq sendiri yang menyarungkan cincin tersebut di jari manisnya.
Sampai saja dia hadapan kubur arwah Nizam, Hafiya bersimpuh. Rumput hijau yang mula tumbuh dicabut. Batu nisan disentuh. Tertera nama Nizam di atas batu tersebut. Bagaikan sebuah mimpi ngeri bila dia kehilangan Nizam dalam sekelip mata. Lalu cincin tunang yang melekat kemas di jari manisnya dipandang.
“Zam, hari ni hari pertunangan Fiya.” Hafiya tersenyum hambar. Namun digagahkan diri untuk meluahkan isi hatinya.
“Fiya akan berkahwin bulan depan. Dengan lelaki pilihan atuk. Dia yang selamatkan atuk. Atuk pun suka sangat dengan dia. Fiya terima dia sebagai suami Fiya demi atuk.” Air mata Hafiya tiba-tiba mengalir. Satu per satu episod kisahnya diceritakan kepada Nizam seolah-olah lelaki itu berada di hadapannya.
“Maafkan Fiya sebab terpaksa mungkir janji kita. Fiya terpaksa. Fiya kena teruskan hidup demi atuk. Fiya janji, takkan ada sesiapa yang akan gantikan tempat Zam di hati Fiya. Hanya akan ada Zam seorang di sini.” Hafiya menekan dadanya yang terasa sebak tiba-tiba. Air matanya semakin deras mengalir.
Kenangan dan janji-janji yang telah terpatri antara dia dan Nizam semakin menggoncang tembok ketabahannya. Jika dia tahu ini adalah takdir yang tertulis buatnya, mustahil dia akan membiarkan dirinya mencintai Nizam dan akhirnya hanya mampu meratapi pemergian lelaki itu.
Hafiya menundukkan wajahnya. Cermin mata hitam terus dipasang ke mata. Menutupi matanya yang sedikit sembap. Air mata yang masih bersisa terus diseka. Selepas membaca surah Yasin dan beberapa ayat al-Quran, Hafiya bangun dan berlalu meninggalkan kubur arwah Nizam.
“Fiya pergi dulu. Fiya akan sentiasa doakan Zam,” ujar Hafiya sebelum terus berlalu.
Sebaik sahaja memasuki kereta, telefom bimbitnya dicapai. Tergamam seketika Hafiya apabila melihat gerangan yang menghantar mesej buatnya.

Selamat bertunang. Semoga Allah memberkati ikatan kita. - Ariq

Hafiya diam. Setiap bait kata-kata itu hanya dipandang kosong. Perlu ke dia membalas mesej tersebut?

Terima kasih.

Butang send terus ditekan. Malas untuk melengahkan masa, Hafiya menghidupkan enjin kereta. Tidak sampai beberapa minit, telefon pintarnya berbunyi. Kali ini bukan mesej yang datang, tapi panggilan daripada encik tunang. Sekali deringan. Hafiya masih belum menjawab. Bila Ariq menelefon buat kali kedua barulah Hafiya menjawab panggilan tersebut. Namun, kedengaran agak dingin!
“Nak apa? Saya tengah memandu ni.” Hafiya menekan kasar.
“Aku pun tengah memandu. Aku pergi Seremban. Mungkin lusa baru balik,” jawab Ariq dari hujung sana.
“Kenapa nak bagi tahu saya pula? Awak pergi saja mana awak nak pergi. Saya tak ambil kisah pun.” Hafiya masih kekal dingin.
“Kau memang tak ambil kisah. Tapi, kalau atuk tanya pasal aku dengan kau, sekurang-kurangnya kau tahu nak jawab apa,” tempelak Ariq.
Hafiya diam. Ariq memang sentiasa ada modal untuk menyindirnya.
“Ibu aku kata, kau cantik. Cantik sangat,” sambung Ariq tiba-tiba.
Hafiya terpanar. Ya, tadi ibu Ariq yang menyarungkan cincin di jarinya. Ibu Ariq sempat memeluk dan mencium dahinya. Hafiya jadi rindu tiba-tiba kepada arwah mummy dan daddynya.
“Terima kasih.” Hafiya menjawab seringkas mungkin.
Bila status mereka berubah begini, ada rasa kekok yang bertandang. Untuk seketika hanya senyap yang mengisi ruang antara mereka. Ariq mahupun Hafiya langsung tiada tanda mahu memanjangkan perbualan.
“Okeylah, kau kan tengah memandu. Hati-hati. Assalamualaikum.”
Belum sempat Hafiya menjawab, Ariq sudah memutuskan talian. Tersenyum sendiri Hafiya dibuatnya.

LIDIA dan Hafiya sama-sama merehatkan diri setelah penat bertarung dalam permainan badminton. Itulah aktiviti mereka untuk menghilangkan tekanan setelah penat berkerja. Gelanggang badminton menjadi tempat mereka melepaskan segala-galanya.
“Huh! Penatnya. Dah lama kut kita tak bermain badminton ni,” ujar Lidia. Air mineral botol besar terus diteguk. Menghilangkan rasa dahaganya.
Setelah hampir setengah jam menghilangkan peluh, Hafiya dan Lidia duduk berehat di sebuah kerusi yang disediakan khas.
“Lama juga kut, dekat nak dua bulan rasanya.” Hafiya turut meneguk habis air mineralnya.
“Hilang tekanan aku. Kau tahulah, kakak kau tu. Ada saja salah aku.” Lidia meluahkan perasaan selama hampir sebulan bekerja mengantikan tempat Hafiya buat sementara waktu.
Bukan Lidia tidak tahu yang Hafirda memang anti dia sejak dulu lagi. Sejak mula lagi, Hafirdalah orang yang menentang kuat bila dia dibawa masuk oleh Hafiya ke Arman Group.
Hafiya senyum. Bahu Lidia dipaut.
“Maaf ya sebab susahkan kau. Aku janji, lepas saja aku kahwin nanti, aku akan masuk ofis semula,” balas Hafiya.
“Aku ni tak kisah, Fiya. Selagi aku mampu, aku akan tolong kau. Tapi, kakak kau tu... memang seram aku dibuatnya. Lebih-lebih lagi kalau bergabung dengan mak su kau,” adunya lagi.
Galak Hafiya ketawakan Lidia.
“Hesy, kau ni. Tak elok gelakkan aku. Resign baru tahu.” Lidia sudah menarik muncung itiknya.
“Alah, gurau saja pun. Kalau kau resign, aku pun hantar surat resign tahu.”
“Aku gurau sajalah! Tapi, kau kena cepat sikit masuk ofis, taklah aku sunyi sangat. Boringlah kalau kau tak ada.”
Hafiya senyum lagi sambil membelek-belek telefon di tangannya. “Itu kau jangan risau, selepas saja aku kahwin nanti, keesokan harinya terus aku masuk ofis.”
Tersedak Lidia mendengarnya. Wajah sahabatnya itu terus dipandang pelik.
“Dah kenapa muka kau macam tu?” Hafiya pula menyoal pelik.
“Aku tak salah dengar kan bila kau kata kau akan masuk ofis awal? Eh, baru kahwin kut. Tak nak honeymoon ke, sayang?” Berkerut dahi Lidia. Seperti masalah itu masalah besar baginya.
Tiba-tiba terdengar Hafiya ketawa mengekek.
“Helo, Lia. Aku ni bukan kahwin kerana cinta tahu. Tak ada maknanya nak honeymoon bagai.” Hafiya masih ketawa sakan.
“Kut ya pun. Si Ariq tu tak nak honeymoon ke?”
“Entah.” Hafiya jawab pendek.
“Entah? Itu saja ke jawapan kau?”
“Dah tu? Kau nak aku jawab apa? Nak aku pujuk si Ariq tu nak pergi honeymoon sama?” tanya Hafiya.
“Memang itulah yang kau kena buat. Pasangan pengantin baru ni, paling kurang pun kenalah pergi honeymoon. Tak romantiklah kau dengan Ariq ni.”
“Cik Lidia, kalau Ariq tu nak pergi honeymoon, dia pergilah sorang-sorang. Aku tak kisah pun. Tak payah ajak aku.”
Mendengar itu, serta-merta Lidia memukul perlahan bahu Hafiya.
“Aduh! Sakitlah, Lia!” Hafiya menggosok-gosok bahu kanannya.
“Mana ada istilah honeymoon sorang-sorang. Kau ni betul ke tidak?”
“Betullah. Kau ingat aku nak pergi honeymoon dengan dia ke? Tak nak aku!”
Lidia geleng kepala. Pening memikirkan perangai sahabatnya itu. Memang degil!
“Kasihan Ariq...” ujar Lidia tiba-tiba.
“Kenapa pula? Aku ni yang patut kau kasihan. Aku ni kawan kau, bukan dia.”
“Yalah, kasihan Ariq sebab dapat isteri degil macam kau ni!”
“Bakal isteri, okey? Belum jadi isteri lagi.” Hafiya terus mencapai raket badmintonnya. Sempat lagi dia menggamit Lidia supaya mengikutinya. 10 minit rehat sudah mencukupi.
Sebaik sahaja Lidia memasuki padang, Hafiya terus mencapai bulu tangkis. Kuat dia memukul bulu tangkis dan passing kepada Lidia.
“Tak lama lagi, kau tetap juga bergelar isteri dia.” Lidia membalas dan memukul kembali bulu tangkis tersebut.
“Tak lama lagi tu ada sebulan lagi. Sekarang aku single. Bukan milik sesiapa.”
“Tapi kau kena ingat, sekarang kau tu tunang Ariq!”
Bap!! Hafiya tidak dapat menangkis serangan Lidia. Bulu tangkis jatuh ke tanah. Hafiya berhenti, cuba mencari nafasnya yang kian tercungap-cungap. Wajah Lidia terus dipandang. Hilang fokusnya bila mendengar tentang statusnya kini. Hafiya memejam matanya. Ya, dia kini sudah bergelar tunangan orang!

“APA?” Bulat mata Hafiya memandang Ariq yang sudah berada di depan rumahnya. Bermodal datuk sebagai jaminannnya, Ariq berani mengajaknya untuk balik ke kampung keluarganya di Terengganu.
Hafiya mengurut dadanya supaya dapat menenangkan dirinya yang tengah kepanasan saat ini. Hampir seminggu tidak bersua dengan wajah itu, kali ini Ariq datang dengan tujuan yang kononnya sangat penting. Balik ke kampung keluarganya!
“Kenapa?” Ariq pelik.
“Kenapa awak tanya? Kenapa tak bagi tahu awal yang awak nak bawa saya pergi jumpa keluarga awak?” Hafiya melampiaskan rasa tidak puas hatinya.
“Kenapa pula?” soal Ariq selamba.
Hafiya geleng kepala.
“Saya tak nak pergi. Bukan sekarang. Saya tak bersedia lagi,” putus Hafiya, dia terus berlalu dari taman mini kecil yang terletak di sebelah kanan banglo datuknya.
“Hafiya, 2 dua minggu lagi kau dengan aku akan berkahwin. Sedia macam mana lagi yang kau nak?”
“Ariq, awak boleh tak jangan terlalu memaksa saya? Saya perlukan masa untuk terima semua ni. Segalanya begitu cepat bagi saya. Boleh awak bayangkan yang tak sampai sebulan kita kenal, awak dan saya terus bertunang. Dan, dua minggu lagi saya akan berkahwin. Dengan awak, lelaki yang saya baru kenal. Awak fikir tak apa yang saya rasa?!” Hafiya mula memberontak. Melampiaskan segala rasa yang bermain di mindanya sejak dulu lagi. Biar Ariq tahu apa yang dia rasa saat ini.
Ariq diam tanpa sebarang kata. Hanya panahan matanya saja lekat memandang Hafiya. Mata gadis itu sudah mula berkaca. Terlalu memaksakah dia, andai dia hanya ingin merapatkan lagi hubungannya dengan Hafiya? Tanpa berlengah, Ariq tunduk mencapai kunci kereta Kancilnya. Sebelum berpaling sempat dia memandang kejap wajah itu.
“Aku akan call kau. Pergi solat. Tenangkan diri tu.” Ariq senyum hambar. Tanpa menunggu balasan daripada Hafiya, Ariq terus berlalu.
Hafiya terduduk sebaik sahaja Ariq pulang. Rasa menyesal mula bertandang. Terlalu berkasarkah dia?
“Eh, Ariq dah balik ke?” Mak Mah datang menyapa tiba-tiba besama sedulang minuman petang.
“Baru saja balik, umi. Dia ada kerja sikit,” bohong Hafiya, sedangkan dia tahu yang Ariq mungkin berkecil hati dengan sikapnya.
“Umi ada bekalkan dia kek pisang ni. Ariq kata tadi dia suka.”
Mata Hafiya terus terpandang bungkusan kek pisang yang diletak Mak Mah di atas meja.
“Fiya tolong hantarkan, ya? Kasihan pula umi tengok dia,” sambung Mak Mah lagi.
Hafiya terus memandang muka Mak Mah yang tersenyum lebar itu. “Ya, umi. Nanti Fiya tolong hantarkan.”
“Ni kenapa muka monyok saja ni?” Mak Mah mencubit sedikit pipi Hafiya.
“Eh, tak ada apa-apalah, umi. Mungkin penat kut...”
Mak Mah melabuhkan punggung di sebelah Hafiya. Setelah teh panas dituang ke dalam cawan Hafiya, cawan tersebut dihulurkan kepada gadis itu. “Fiya, umi ni dah lama kenal Fiya tahu. Suka, sedih, kecewa di muka Fiya tu, semua umi tahu. Dah terpahat dalam hati umi ni. Kenapa? Cuba cerita kat umi.”
Hafiya tersenyum hambar sedikit sebelum menjawab. “Umi ni, memang tak boleh Fiya nak berbohong sikit, kan?”
“Kenapa? Bagi tahu umi.”
Hafiya diam sekejap lalu menghembus nafas kepenatan. “Umi tahu kenapa atuk nak sangat kahwinkan Fiya dengan dia tu?”
“Kenapa pula? Tak suka ke dengan Ariq? Hafiya, kalau umi masa muda-muda dulu, memang dah lama umi jatuh cinta dengan Ariq tu. Budaknya baik, berbudi bahasa. Yang penting, agamanya. Dia tak tinggal solat tahu.”
Hafiya diam dan hanya menjadi pendengar.
“Sebab mata tua kami ni tak pernah menipu, Hafiya. Umi dan Tan Sri nampak keikhlasan dalam mata Ariq. Dia bukan lelaki yang tamak, yang gilakan harta.”
“Mana umi dan atuk tahu? Kita baru saja kenal dia, umi.”
“Hafiya, percayalah. Pilihan orang tua ni, sentiasa yang terbaik. Insya-Allah. Berdoa kepada Allah. Minta petunjuk daripada-Nya.”
“Insya-Allah, umi.”
“Jadi, tadi bergaduh dengan Ariqlah ni?” tukas Mak Mah.
Hafiya terus menggeleng, menafikan. “Mana ada, umi. Kami okey saja.”
“Tadi, umi dengar Ariq minta izin atuk nak bawa Hafiya balik kampung dia. Katanya nak kenalkan Fiya dengan keluarga di sana.”
“Ya, dia ada bagi tahu,” jawab Hafiya lemah. Rasa serba salahnya mula menyerang.
“Pergilah, Fiya. Kenal-kenal dengan keluarga dia.”
Hafiya diam. Tiada tanda mahu membalas. Perlukah dia mengikut Ariq balik ke kampung dan berdepan dengan keluarga besar lelaki itu? Mengenangkan perkara itu, Hafiya jadi kecut perut. Kalau nak diikutkan hati, memang dia belum bersedia. Namun, tidak adillah untuk Ariq nanti.
“Fiya pergi ya. Tolong umi hantar sekali kek ni untuk Ariq,” pesan Mak Mah lagi.

Jumpa tempat penyanyi jalanan yang guna topi dekat kaki lima malam nanti. - Hafiya.

Terkeluar balik teh tarik yang baru dihirup oleh Ariq. Penyanyi jalanan yang guna topi? Siapa lagi? Hanya dia seorang penyanyi yang menggunakan topi di kaki lima tersebut.
“Pengotornya!” ujar Basri.
Ariq terus mencapai tisu. Mulutnya dilap bersih.
“Aku pergi dulu. Bye!” Sempat Ariq menghirup teh tariknya sebelum berlalu meninggalkan sahabatnya yang hanya terkebil-kebil.


ARIQ memandang dari jauh. Hafiya duduk tepat di hadapan tempat dia selalu bernyanyi. Tersenyum sendiri Ariq dibuatnya. Entah kenapa dia suka melihat wajah Hafiya dalam diam. Tanpa membuang masa, Ariq berjalan perlahan menghampiri Hafiya dari arah belakang.
“Assalamualaikum.” Ariq menyapa dari belakang. Ucapan salam tersebut dibisikkan dekat di telinga Hafiya.
Hafiya mengurut dadanya. Mahu gugur jantungnya. “Waalaikumussalam. Hesy, buat terperanjat saja.”
Ariq senyum, lalu melabuhkan punggung di sebelah Hafiya.
“Kau tunggu apa di sini?” Ariq saja bertanya.
“Tu, penyanyi jalanan yang selalu bernyanyi di sini. Malam ni tak ada pula,” bebel Hafiya.
Ariq hanya mampu menyembunyikan senyuman.
“Dia pergi dating kut. Biasalah.” Selamba saja Ariq menjawab.
“Dating? La... Dah berpunya ke? Melepaslah saya,” gurau Hafiya.
“Kau berminat dengan dia ke?”
Hafiya cepat angguk.
“Minat suaranya saja.” Cepat-cepat Hafiya menjawab.
“Ni, kenapa nak jumpa aku malam-malam macam ni?” tanya Ariq apabila melihat Hafiya mula diam.
“Umi, dia minta saya bagi kek pisang ni kat awak. Awak suka makan kek pisang ke?” Hafiya menyerahkan bungkusan kek pisang kepada Ariq.
“Oh, umi. Ingat lagi rupanya dia. Cakap kat umi terima kasih ya.”
Sekali lagi Hafiya angguk. Suasana mula senyap di antara mereka. Ariq dan Hafiya leka memerhati pengunjung yang lalu-lalang di hadapan kaki lima tersebut.
“Err, maaf pasal siang tadi,” ujar Hafiya tiba-tiba.
“Oh, pasal tu. Tak ada hallah. Benda kecil saja, aku tak ambil hati.”Ariq tenang menjawab.
“Saya pun lupa, yang awak pun terpaksa dalam perkahwinan ni. Saya saja yang terlebih sikit.”
“Aku ikhlas terima kau. Istilah terpaksa tu, memang tak ada.” Cepat Ariq menyangkal.
Hafiya menghela nafas lelah. Sedikit sebanyak, hati kecilnya tersentuh melihat kesungguhan Ariq. Namun, ada satu sudut dalam hatinya tidak merelakan. “Walaupun awak tahu yang saya tak cintakan awak?”
Ariq angguk.
“Walaupun sikap saya akan buat hidup awak huru-hara nanti?”
Ariq angguk lagi.
“Okey, lulus!” Hafiya bingkas bangun dari kerusi.
Ariq mula memandang Hafiya pelik. “Lulus?”
Yup. Esok kita balik kampung awak. Nak kenalkan saya dengan keluarga awak, kan? Esok, awak datang ambil saya. Okey?”
Ariq sudah senyum lebar. “Okey, esok pukul 9.00 pagi.”
Ariq dan Hafiya saling berbalas senyum.
“Ehem, sayangnya penyanyi tu tak ada malam ni. Kalau tak, boleh saya request lagu.” Hafiya cuba melarikan pandangan. Rasa tidak selesa pula berlaga pandang dengan lelaki itu. Resah gelisah hati dibuatnya.
Request lagu? Lagu apa? Aku boleh tolong nyanyikan.”

Hafiya memandang Ariq tidak percaya. “Awak nak menyanyi? Tak payahlah!”

Monday, November 9, 2015

Pandu Arah Ke Hati (Bab 11)

Bab 11

Setelah disahkan pulih sepenuhnya, Tan Sri Arman dibenarkan pulang. Hafiyalah orang yang paling gembira. Hampir sebulan dia berulang-alik dari hospital ke rumah demi menjaga datuknya itu, akhirnya dia boleh menarik nafas lega.
Tan Sri Arman pula terlalu sibuk menguruskan urusan kahwin cucunya itu. Tempahan hotel, kad kahwin, hantaran kahwin dan sebagainya hampir separuh siap. Nasib baik ada bantuan Amalin, pembantu peribadi Tan Sri Arman yang sedikit sebanyak membantu menguruskan majlis kahwin cucunya itu. Hendak diharapkan Hafiya, sedikit pun dia tidak campur tangan dalam urusan kahwinnya sendiri.
Hafiya membantu datuknya untuk duduk di sebuah kerusi kayu yang terletak berhampiran pintu gelangsar di bilik Tan Sri Arman. Langsir berwarna putih ditarik dan diikat tepi. Pintu gelangsar terus dibuka. Memberi pengudaraan di bilik datuknya itu. Angin mula masuk dan pemandangan kota mula terlihat.
“Okey, atuk rehat ya. Fiya nak ke dapur kejap. Umi tengah masak tadi.”
Tan Sri Arman hanya angguk.
“Lagi satu. Kalau nak apa-apa, call tau. Fiya letak telefon atuk dekat tepi ni, ya?” Hafiya meletakkan telefon bimbit datuknya di atas laci, bersebelahan tempat datuknya duduk.
“Ya, Fiya. Atuk tahu.”
Hafiya terus senyum, tunduk sekejap dia menyentuh jemari datuknya. “Fiya lupa nak ucapkan terima kasih kat atuk.”
Tan Sri Arman diam, menanti bicara Hafiya sepenuhnya.
“Terima kasih sebab sembuh dan kembali sihat macam ni,” sambung Hafiya.
Tan Sri Arman menyentuh rambut panjang Hafiya dan dielus lembut. “Terima kasih juga sebab Hafiya sudi tunaikan permintaan atuk.”
Hafiya hanya membalas dengan senyuman hambar. Bercakap tentang perkahwinannya, sudah hampir seminggu dia tidak berjumpa dengan lelaki bernama Ariq itu.
“Semalam Ariq ada datang berjumpa dengan atuk.”
Panjang umur, desis hati kecil Hafiya.
Tan Sri Arman menyeluk poket bajunya. Sebuah kotak baldu berwarna merah dibuka dan diserahkan kepada Hafiya. Terkejut Hafiya dibuatnya. Cincin?
“Cincin apa pula ni?” soal Hafiya pelik.
Tan Sri Arman tidak terus menjawab. Kotak baldu berisi cincin tersebut diletak ke dalam genggaman Hafiya. “Ini cincin risik. Keluarga Ariq akan datang lusa untuk risik Fiya. Cincin ni Ariq bagi sebagai tanda.”
Terkejut Hafiya mendengarnya. Kelu lidahnya seketika. Cincin di tangannya hanya dipandang kosong.
“Hafiya...”
“Tuk...”
“Pakai cincin ni sebagai tanda Hafiya hormat dia. Dia beli cincin ni daripada hasil titik peluh dia sendiri. Esok, Fiya dengan Ariq ikut Amalin untuk ukur baju pengantin ya.”
Semakin gusar hati Hafiya mendengarnya. Ya, dia hampir lupa yang perkahwinanya tinggal sebulan sahaja lagi. Hafiya menggenggam kemas cincin di tangannya. “Ya, tuk. Fiya turun dulu. Siap nanti, Fiya panggil turun makan ya.”
Tan Sri Arman mengangguk. Langkah Hafiya yang berlalu dipandang hingga hilang di balik pintu. Hatinya sentiasa berdoa semoga perkahwinan Hafiya dan Ariq berjalan lancar seperti yang dirancang.

HAFIYA tidak berganjak dari kereta Nissan Skyline miliknya. Wajah Ariq yang hanya tenang dijeling tajam. Dia tidak peduli! Mahu ataupun tidak Ariq perlu menuruti kata-katanya. Sudah kira bernasib baik dia setuju untuk pergi ukur baju hari ini. Kalau nak diikutkan rasa hati, dia langsung tidak ingin!
“Sampai bila kita nak berdiri di sini Cik Hafiya?” Ariq sudah bersuara setelah dia hanya menjadi pemerhati pada perangai Hafiya yang seperti kanak-kanak.
“Sampai bila-bila!” Hafiya menjawab kasar.
Ariq mengeluh. “Salah ke guna kereta aku?”
“Saya tak kisah. Tapi awak fikirlah sendiri. Dengan air-cond rosak, tingkap sebelah penumpang tak boleh buka, macam mana nak naik?” Hafiya merungut. Ada sahaja yang tidak kena di matanya.
“Itu saja?”
“Itu saja awak cakap? Eh, helo! Saya tak suka warna kuning, tahu tak?!”
Ariq mahu menghamburkan tawanya. Hanya kerana kereta Kancilnya berwarna kuning, Hafiya menolak untuk naik bersama. Tapi, apalah dayanya. Hafiya bakal isterinya, sudah tentu dia perlu melatih Hafiya untuk hidup dengan cara hidupnya. Guna kereta Kancil, kadang-kadang naik lorinya yang besar gedabak, duduk di bilik kecil dan makan-makanan yang biasa sepertinya. Jika tidak sekarang, bila dia mahu melatih Hafiya?
“Okey, untuk kali ini saja. Aku akan baiki air-cond dan tingkap tu. Pasal warna kereta itu...” Ariq terhenti. Kepalanya digaru.
“Aku tak janji. Tapi, kalau ada duit lebih, aku spray serupa dengan warna Nissan Skyline kau tu. Boleh?” Jari telunjuk Ariq pantas menuding ke arah Nissan Skyline Hafiya yang berwarna merah hati itu.
Hafiya mencebik tanda belum berpuas hati. Namun, dia diam. Tiada tanda mahu membalas kata-kata Ariq. Kasihan pula dia melihat wajah Ariq yang seolah-olah berharap.
“Tapi, tak salah kan kalau naik kereta saya saja?” balas Hafiya masih belum berputus asa.
“Tak salah. Siapa cakap salah? Jadi, tak salah juga untuk kau naik kereta Kancil aku tu.”
Hafiya menghentak kakinya. Ada saja yang dibalas oleh si Ariq ni! Hafiya akhirnya mengalah. Beg tangannya dicapai, segera dia bergerak menghampiri kereta Kancil Ariq yang berwarna kuning terang itu. Bila tangannya ingin membuka pintu, Ariq terlebih dahulu membantunya.
“Pintu sebelah ni memang tak boleh kasar-kasar kalau nak buka.”
“Rosak juga ke?” Hafiya seolah-olah tidak percaya.
“Nampaknya, macam itulah.”
Menggeleng kepala Hafiya dibuatnya.
“Baik buang dalam laut ajelah kereta ni!” omel Hafiya geram.
Ariq hanya senyum. Selepas menutup kembali pintu kereta Hafiya, dia terus ke tempat duduk pemandu. Enjin kereta dihidupkan dan dia mula keluar dari pekarangan rumah banglo Tan Sri Arman.
“Tak elok kau suruh aku buang kereta ni. Kereta ni aku beli cash tau. Murah saja. Second-hand. Sebab aku memang tak suka bayar installment. Kiranya, kereta ni merupakan hasil titik peluh petama akulah. Jadi, memang tak boleh nak buang walau tak boleh berjalan sekalipun. Minta maaflah ya.”
“Ada saya tanya ke?” Sinis soalan Hafiya. Sudahlah dia kepanasan. Terpaksa menyejukkan diri dengan kipas tangan sahaja. Ariq pula sibuk bercerita tentang asal usul keretanya.
“Kan tadi kau suruh aku buang.”
Hafiya mendengus geram. Kalau kereta Kancil ini memang keretanya, sudah lama timbang besi buruk agaknya. Nasib baik bukan dia yang punya.
“Mana jalan nak pergi butik tu?” soal Ariq, malas untuk mengganggu mood Hafiya yang sememangnya tidak elok saat itu.
“Jalan depan sikit. Lepas lampu isyarat tu belok kiri. Hollywood Bridal.”
Setelah hampir 20 minit memandu, kereta Kancil Ariq diparkir kemas di hadapan Hollywood Bridal yang terletak di Kajang. Hafiya keluar dari kereta tersebut setelah Ariq membuka pintu kereta itu untuknya.
“Mana pula Kak Lin ni?” Hafiya menilik jam di tangannya.
“Maaf, Fiya. Akak lambat. Ada hal di ofis tadi.” Amalin muncul tiba-tiba dari arah belakang. Terkocoh-kocoh Amalin berlari menghampiri cucu majikannya itu.
“Jom, kak. Dah lambat ni.” Hafiya cepat melangkah.
“Bakal suami Fiya...” Amalin mergerling sedikit ke arah Ariq yang diam dari tadi.
Hafiya tidak jadi melangkah. Lupa pula nak kenalkan Ariq dengan Amalin. “Ni, Ariq. Ariq, kenalkan, permbantu peribadi atuk, Amalin. Panggil saja Kak Lin.”
Ariq senyum sambil tunduk tanda hormat. Manis juga wajah gadis yang bernama Amalin itu. Bertudung dan berkarisma.
“Jom, Kak Lin.” Hafiya terus melangkah tanpa memperdulikan Ariq dan Amalin yang mengejar langkahnya.
Hafiya membuka pintu kaca butik Hollywood Bridal. Kedatangan mereka disambut oleh Mr. Kay, salah seorang pereka pakaian pengantin yang terkenal di dalam kalangan artis dan orang-orang kenamaan.
Hi. Miss Fiya from Arman Group?” Hafiya hanya mengangguk dan terus mengambil tempat di sebuah kerusi.
Hi, Mr. Kay. Dah siap ke baju yang ditempah hari tu? Itulah bakal pengantin baru tu. Cik Fiya dan Encik Ariq,” kenal Amalin dengan ramah.
Mr. Kay atau nama sebenarnya Kamil terus bergerak ke arah Hafiya dan Ariq. Pantas saja tangan lelaki itu mencapai lengan Ariq.
Wow! Abang sado you all! Mengancam! I like...” Mr. Kay sudah seperti ulat bulu naik daun.
Hafiya hanya ketawa kecil mendengarnya. Mahu tak sado kalau sudah hari-hari angkat tong gas. “Janganlah nak sado-sado sangat, Mr. Kay. Baik you ambil ukuran dulu. Apa-apa nanti boleh ubah saja.”
Ariq menggaru kepalanya. Ini pertama kali dia buat baju di butik. Butik mahal pula tu. Kekok sedikit rasanya.
“Yalah! Miss, you boleh cuba baju yang I dah sediakan tepi sana. Pembantu I akan tolong you. Dan you abang sado, guna fitting room sebelah sana. Ke nak share satu fitting room?”
“Asingkan!” Serentak Ariq dan Hafiya menjawab, membuatkan kedua-duanya saling berpandangan.
“Alahai, so sweet! Macam gula-gula kapas. Memanglah kena asing fitting room sebab you all tak kahwin lagi. Haram! Saja saja nak test tadi.”
Hafiya dan Ariq sama-sama mendengus geram.
“Memang nak kena juga si sotong ni!” Sempat Ariq merengus sebelum meloloskan diri ke dalam bilik persalinan. Sempat lagi mata Ariq memandang ke arah Hafiya yang berlalu dengan baju pengantinnya. Bila pandangan mereka bertaut, Hafiya ukir senyum.

Mr. Kay membantu Ariq memperkemaskan keris di pinggang. Baju pengantin berwarna putih bersih kena betul dengan Ariq yang berkulit sawo matang. Bentuk tubuh badan Ariq nampak segak bila mengenakan sepersalinan baju pengantin ala-ala zaman kesultanan Melayu Melaka itu.
“Eh, Lin. Kena benarlah baju ni. Handsomenya abang sado kita ni!” puji Mr. Kay.
“Gila tak kacak. Pilihan Tan Sri tau.” Amalin membalas gurauan Mr. Kay.
“Pengantin perempuannya mana...”
Tidak sempat ayat Mr. Kay habis, pintu bilik persalinan sebelah kanan terbuka, tiga pasang mata mula terpandang Hafiya yang baru keluar dari bilik persalinan tersebut.
Tergamam Ariq seketika. Hafiya begitu cantik bila mengenakan baju pengantin labuh berwarna putih tersebut. Terlalu cantik sehingga Ariq tidak mampu mengalihkan matanya. Cantiknya...
“Err, tapi Mr. Kay... kasut ni...” Hafiya rasa tidak selesa bila kasut tumit tingginya mula memijak-mijak kaki baju pengantinnya. Entah di mana silapnya, kakinya tersalah pijak, hinggalah dia merasakan dirinya mula melayang.
Namun, ada satu lengan yang menahannya daripada jatuh tersembam ke lantai. Bila Hafiya membuka mata, wajah Ariq mengisi ruang penglihatannya. Kelu lidahnya. Bibirnya seolah-olah terkunci dengan pandangan mata Ariq yang berlainan sungguh saat itu.
Ariq dan Hafiya sama-sama tersedar bila pancaran lensa kamera mengena wajah mereka. Rupa-rupanya Mr. Kay sempat ambil gambar. Itulah gambar pertama mereka bersama!

HAFIRDA menghempas fail yang berisi laporan kewangan di hadapan suaminya. Membuak marah Hafirda tika itu. Jika perkara tersebut sampai ke telinga datuknya, lumat dia dikerjakan. Fail tersebut diserahkan kepada suaminya sebagai tanda meminta penjelasan. Di mana lesapnya wang syarikat sebanyak seratus ribu ringgit yang sepatutunya disalurkan kepada cawangan mereka di Shah Alam? Suaminya pula hanya bekerja sambil lewa!
“Jelaskan pada Fida, mana pergi wang sebanyak seratus ribu ringgit tu?” Hafirda bertanya tegas.
Shahrul hanya buat muka seolah-olah tiada apa yang berlaku. Fail di tangannya pula hanya dipandang sepintas lalu dan diletakkan semula di atas meja.
“Laporan tu salah. Nanti abang arahkan Rozi buat lagi. Fida jangan risau.” Tenang sahaja Shahrul menjawab. Yang berapinya adalah Hafirda.
“Abang, kalau atuk tahu tentang ni, matilah kita. Baik abang terus terang dengan Fida, abang ke yang ambil duit tu?”
Shahrul sudah mencerlung memandang isterinya itu. Merah matanya membalas pandangan tajam Hafirda. “Awak tuduh abang ke?”
Hafirda menarik nafas sebelum menjawab semula pertanyaan suaminya. “Fida tak tuduh abang. Cuma, Fida takut kalau atuk dapat tahu. Abang dengan Fida kena tau nanti.”
Shahrul sudah mencapai fail dari atas meja dan dihempas kuat. Terkejut Hafirda dibuatnya.
“Ini semua salah Fida tau. Kalau Fida tak cuai masa kat hospital hari itu, kita takkan ketakutan macam ni!” Shahrul menengking marah.
“Jadi, betullah abang ambil duit tu?” teka Hafirda.
“Ya! Memang abang ambil. Awak nak repot polis? Buatlah! Sebab semua ni gara-gara kecuaian awak. Abang suruh awak letak habis ubat tu, awak tak dengar. Sekarang, datuk awak sihat walafiat di rumah sana. Dan, tak lama lagi, dia akan bawa cucu dan budak hingusan tu datang ke sini. Padanlah dengan muka kita!”
Hafirda diam mendengar amarah suaminya. Ada betulnya seperti yang dikatakan oleh suaminya itu. Entah esok atau lusa, pasti datuk akan membawa Ariq ke Arman Group dan diberikan jawatan besar. Hafiya pula akan kembali ke tempatnya sebagai pengurus operasi di Arman Group. Dia dan ibu saudaranya akan terus disisihkan.
“Jadi, Fida jangan jadi bodoh. Bila ada kesempatan, kita kena guna. Termasuk...”
“Ambil duit syarikat?” potong Hafirda.
Shahrul terus bergerak menghampiri isterinya. Tangan Hafiya diraih dan digenggam kemas.
“Fida, duit tu ada. Abang simpan. Takkan ada sesiapa yang tahu. Andai apa-apa terjadi pada kita, duit tu ada. Fida jangan risau.”
Hafirda diam mendengar pengakuan suaminya.
“Sekarang Fida tak perlu risau soal ni. Tahulah abang nak uruskan. Cuma, sekarang kita kena fikir macam mana nak halang si pemandu lori tu daripada masuk dalam keluarga kita?!”
“Maksud abang?”

“Kita akan halang perkahwinan mereka.”