TEKSI yang
dinaiki oleh Yuhana berhenti tepat di hadapan pintu masuk Bukit Impian. Yuhana menarik nafas panjangnya lantas
dihembus perlahan. Tujuannya kemari hanya untuk manjalankan misinya. Bukan atas
sebab lain! Ya, Yuhana tetapkan matlamat. Perlahan, Yuhana melangkah ke tepi
pagar. Butang ditekan. Memaklumkan kedatangannya.
Selang
beberapa minit, pintu gerbang terbuka luas dengan sendirinya. Yuhana menarik
nafas lega. Perlahan dia memasuki ruang halaman tersebut. Mengamati suasana
persekitaran di Bukit Impian. Tempat yang indah ini menyimpan seribu satu
cerita. Cerita yang akan dia gali untuk bertahan dalam dunia kewartawanan.
Mata
Yuhana terus menangkap deretan rumah tumpangan yang tersergam indah di sebelah
kanan Villa. Yuhana meliarkan pandangannya memandang ke sekeliling. Apabila dia
yakin tiada sesiapa di situ, Yuhana terus mengatur langkah senyapnya untuk ke
rumah tumpangan tersebut. Siapa tahu dia akan mendapat petunjuk di situ? Duga
Yuhana sendiri. Belum jauh dia melangkah, Yuhana terkejut apabila namanya
dipanggil tiba-tiba.
“Yuhana?” Yuhana terkejut. Pantas dia menoleh.
Salmah sedang berdiri di belakangnya sambil tersenyum menyambut kedatangannya.
“Kak,
terkejut Hana,” balas Yuhana dengan senyuman.
“Maaf,
akak tak sengaja. Dari jauh akak tengok Hana sampai. Mari, akak tunjukkan bilik
Hana. ” pelawa Salmah kepada pekerja baru majikannya itu. Yuhana hanya
mengangguk. Diturutkan sahaja permintaan Salmah. ‘Tak apa, Hana. Kau masih ada
masa dua bulan lagi.’ Pujuk hati kecilnya.
Langkah
Salmah dibuntuti hingga ke pintu besar sebuah villa milik Hakim. Jantung Yuhana
mula berdegup kuat. Sebaik sahaja dia menginjakkan kaki ke villa tersebut
hatinya mula kacau. Di ruang matanya mula membayangkan wajah Hakim yang serius
dan bengis. Ya! Sememangnya Hakim seorang lelaki kasar yang kedekut dengan
senyuman. Kalau tidak, mana mungkin ada manusia yang hidup dengan mengasingkan
diri daripada masyarakat?
Yuhana
berlari kecil menyamai langkah Salmah di hadapannya.
“Kenapa,
Hana?” soal Salmah hairan.
“Err,
akak dah lama ke kerja sini?” soal Yuhana tiba-tiba.
Salmah
senyum sedikit.
“Lama
jugaklah. Dekat 20 tahun rasanya. Yalah, akak ni sekolah pun setakat darjah 3.
Kerja apa aje yang akak boleh buat.” Yuhana angguk perlahan. Bermakna, Salmah
mungkin tahu tentang rahsia di Bukit Impian. Ya, peluangnya semakin terbuka
luas.
“Kenapa
Hana tanya?” soal Salmah.
“Eh,
saja aje. Senanglah Hana nak tahu apa-apa tentang Villa ni, atau apa-apa aje.”
jawab Yuhana serba salah.
“Kak,
Hana nak tanya sesuatu, boleh?” Yuhana memulakan visinya.
“Boleh.
Insya-Allah, kalau akak boleh jawab, akak jawab.” Yuhana tersenyum.
“Rumah
Tumpangan sebelah Villa ni, Encik Hakim juga ke yang punya?”
“Oh,
Rumah Tumpangan tu, yalah. Dah tua dah usia Rumah Tumpangan tu. Sejak arwah...”
“Kak!” Hakim menyapa dari belakang. Pandangan
tajamnya terus dihalakan ke arah Yuhana dan Salmah.
Hakim
melangkah perlahan menghampiri Yuhana.
“Akak
ke belakang dulu buatkan air. Hana duduklah,” ujar Salmah pantas lalu
meninggalkan Yuhana dengan Hakim.
“Err,
assalamualaikum Encik Hakim. Apa khabar,
sihat ke?” Yuhana cuba berbasa-basi. Pandangan dingin Hakim dibalas sepintas
lalu. Hakim tidak menjawab, sebaliknya dia melangkah ke hadapan menghampiri
Yuhana yang masih berdiri kaku di ruang tamu. Sampai sahaja di hadapan gadis
itu. Hakim menghentikan langkahnya. Dia menunduk sambil mengamati wajah Yuhana.
“Boleh
tahan kau ya,” ujar Hakim tiba-tiba.
“Huh?”
Mata Yuhana sudah terkebil-kebil. Tidak memahami maksud di sebalik kata-kata
lelaki itu. Yuhana tunduk. Untuk membalas pandangan itu, Yuhana cuak.
Ketakutannya bersisa. Lelaki itu punya kuasa untuk mematahkan setiap sendinya.
Hakim
berdiri tegak. Dia terus membelakangi Yuhana.
“Kak!”
jerit Hakim. Terkocoh-kocoh wanita itu berlari mendapatkan majikannya. Salmah tegak
berdiri di hadapan Hakim dan menanti arahan daripada lelaki itu. Yuhana
mengerling sedikit. Tidak mahu mencampuri urusan Hakim dan pekerjanya.
“Ya,
Hakim,” balas Salmah.
“Akak
tolong bagi tahu dia apa-apa kerja yang patut dibuat. Lagi satu, jangan lupa
ingatkan dia supaya jangan sesekali mendekati dua bilik saya di atas. Faham,
kak?” Hakim tegas memberi arahan. Kepala Yuhana spontan mendongak ke atas.
Mencari dua bilik yang dimaksudkan oleh Hakim. Agaknya apa yang berada di dalam
bilik tersebut ya? Yuhana berteka-teki sendiri.
“Kau
pandang apa?” Yuhana terpana. Sekelip mata sahaja wajah Hakim sudah berada di
hadapannya. Yuhana hilang kata. Lidahnya kelu tanpa secara tiba-tiba. Kening Hakim bertaut. Dia sedia menanti
jawapan daripada gadis itu.
“Err...
Encik Hakim, dua bilik tu tak perlu dikemas ke? Yalah...”
“Tak
perlu. Ingat arahan aku. Jangan sesekali kau dekati bilik tu.” Hakim pantas
memotong. Pandangan tajamnya sudah dihalakan ke arah Yuhana. Perlahan Yuhana
angguk. Hatinya kuat mengatakan ada sesuatu yang disembunyikan di bilik itu.
“Bagus.
Sebelum tu, aku ada kerja untuk kau. Mari ikut aku!” Hakim terus berlalu.
Meninggalkan Yuhana dan Salmah yang masih terkulat.
“ENCIK
HAKIM, biar betul?” Kepala Yuhana mendongak tinggi ke atas. Ya! Ini bukan
mimpi. Di hadapannya adalah sebatang pokok kelapa yang tinggi melangit. Yuhana
menelan air liurnya yang terasa pahit. Mahu gugur jantungnya dengan arahan gila
Hakim.
Yuhana
mengeluh perlahan. Sekali lagi dia mendongak ke atas. Ada berbiji-biji buah
kelapa di situ. Kalau dibuat minum masa panas terik ini memang sedap. Tapi,
yang tak syoknya bila teringatkan Hakim yang seronok berpeluk tubuh di
belakangnya. Yuhana sudah mengelap peluhnya yang sudah mula pecah di dahi,
apalah nasibnya. Hendak saja dia meraung sepuasnya. Melahirkan rasa geramnya
itu.
“Macam
mana, Yuhana?” suara Hakim kedengaran lagi.
Yuhana terus menoleh. Memandang geram ke arah
Hakim yang sudah tersenyum sinis.
“Saya tak nak!” tegas Yuhana dengan lantang.
Serentak itu Hakim menoleh memandang ke arah Yuhana.
“Kau
tak nak?” Hakim menyoal lagi sekali.
Serentak
itu Yuhana menggeleng, dia belum gila lagi hendak menurut permintaan gila si
Hakim Bukit Impian itu.
“Okey,
keluar dari Bukit Impian!” arah Hakim dengan tegas.
“Tidak!”
Tiba-tiba Yuhana menjerit. Hakim tergamam. Jeritan Yuhana itu mampu
menggegarkan Bukit Impian. Yuhana tersedar. Aduh, sempat pula dia melamun
saat-saat begini. Perhatiannya kembali tertumpu ke arah Hakim yang masih setia
menanti jawapan darinya.
“Macam
mana, Yuhana?” Yuhana tertunduk hampa.
“Encik Hakim nak sangat minum air kelapa tu ke?”
Yuhana beralih ke arah Hakim. Sengaja dia melontarkan soalan begitu kepada
Hakim. Nampak beria-ia benar si Hakim Bukit Impian itu,
“Bila
masa aku kata aku nak minum air kelapa tu? Aku tak hairanlah dengan buah kelapa
tu!” Suara Hakim sudah memecah keheningan di petang itu.
“Habis
tu?” Yuhana sudah berdiri tepat di hadapan Hakim.
“Suka
hati akulah nak suruh buat apa pun!” Hakim bersuara perlahan. Pandangannya
dialihkan ke arah lain.
Yuhana
mencebik. Dia sudah agak. Lelaki itu memang sengaja mempermainkannya.
“Hesy,
Encik Hakim ni!” Yuhana mendengus kecil. Punggungnya mula dilabuhkan di atas
rumput yang menghijau itu. Mengikat tali kasutnya yang sudah terbuka. Tetapi,
belum sempat dia melabuhkan punggung di atas rumput tersebut, suara Hakim
bergema lagi. Yuhana mendengus geram. Dasar lelaki senget!
“Siapa
suruh kau duduk? Bangun, bangun! Rumput itupun hak milik aku. Selagi aku tak
suruh kau sentuh apa-apa, selagi tu kau jangan nak pandai-pandai ya!” Hmm,
kedekut! Yuhana mengomel tidak henti.
“Hesy,
berkira sangat! Bukannya luak pun. Ni ha! Tali kasut saya terbuka” desis Yuhana
kasar. Dia bangun lalu menjeling tajam ke arah majikannya itu. Mahu gila dia
kalau hari-hari menghadap perangai Hakim begini.
“Kau
cakap apa?” tanya Hakim geram sambil bercekak pinggang.
“Tak
ada apa-apa, saya tanya mana awak import
rumput ni? Cantik,” Jari telunjuk Yuhana sudah diarahkan ke arah hamparan
rumput yang menghijau di sekitar Bukit Impian.
“Bukan
urusan kau. Kalau aku bagi tahu sekali pun, bukan kau mampu beli. Dah, jom ikut
aku,” Lelaki sewel itu terus terusan mengarah. Yuhana mencebik, namun
diturutkan juga langkah lelaki itu. Yuhana lantas mengangkat tangan
mengacah-acah untuk memukul belakang tubuh Hakim. Cukup sekadar memuaskan rasa
sakit hatinya itu. Misinya sudah ditanam kuat ke dlaam hati. Sikap dan perangai
Hakim tidak akan mampu melunturkan semangatnya.
“Kau
jangan nak buat sesuatu yang akan mendatangkan kemarahan aku, silap-silap
hilang kerja kau hari ni,” ugut lelaki itu tiba-tiba. Yuhana menutup mulutnya. Dia ni dapat baca fikiran orang ke? Gumam
Yuhana sendiri.
“Hesy,
dasar Hakim Bukit Impian!” omel Yuhana tidak berhenti. Tanpa dia sedari dahinya
sudah terhantuk di belakang tubuh Hakim yang tiba-tiba menghentikan langkahnya. “Ops, sorry!” Dahinya
digosok perlahan.
“Kau
cakap apa tadi? Hakim Bukit Impian?” Mencerlung mata Hakim memanah pandangan
Yuhana yang tidak berkelip-kelip itu. Yuhana jadi leka seketika. Kacaknya
pandangan mata dia. Kalaulah aku tak tahu perangai dia yang tiga suku ni, mahu
aku jatuh cinta! Sempat lagi Yuhana memasang angan.
“Aku
up lagi tiga biji. Totalnya...” Hakim
menghitung jari jemarinya di hadapan Yuhana. Tidak berkelip matanya melihat
Hakim bersahaja di hadapannya.
“Lima
belas biji,” sambung Hakim lantas berlalu meninggalkan Yuhana yang masih
terkulat. Lima belas biji?
Beg
sandang yang kemas tersangkut di bahunya, sudah jatuh menyembah bumi. Yuhana
masih tergamam tanpa kata.
“Silakan,
Yuhana,” ujar Hakim dengan seulas senyuman yang meleret. Hakim sudah menunjukkan dua batang lagi pokok kelapa yang
terletak di sebelah kanan Rumah Tumpangan miliknya.
“Biar
betul? Lima belas biji? Tiga biji pun belum tentu dapat. Saya ni perempuan ayu tau!” tungut Yuhana
geram. Sengaja meraih simpati lelaki itu.
“Perempuan
ayu? Kau perempuan ayu?” Hakim sudah pecah ketawa, mahu tergoleng-goleng dia
ketawa dengan kata-kata Yuhana. Yuhana di sebelah hanya mampu menjeling Hakim
dengan pandangan tajamnya. Kalau tidak difikirkan misinya, sudah lama lelaki
itu dia ketuk dengan buah kelapa!