Wednesday, March 20, 2019

Bab 1

Bab 1
YUHANA bersembunyi di sebalik sepohon pokok. Tubuhnya yang kecil itu tidak kelihatan apabila berdiri di sebalik sepohon pokok yang besar itu. Dari kejauhan, Yuhana jelas melihat seorang lelaki sedang duduk melutut di hadapan pusara. Yuhana mula diselubungi sebak. Selama ini, dia tidak pernah melihat lelaki itu menjadi sebegitu rapuh. Hari ini dan di saat ini, Yuhana melihat lelaki tua itu menitiskan air mata di hadapan pusara yang tidak ketahui pemiliknya.
Kamera di tangannya tidak jadi dibuka. Yuhana mula serba salah. Situasi begini tidak pernah dia jangka. Siapa sangka lelaki bengis seperti Tuan Hariz akan melutut dan menangis di hadapan pusara. Yuhana tunduk seketika, memikirkan kemungkinan yang akan terjadi andai dia meneruskan niatnya untuk menyiarkan cerita tentang ahli perniagaan terkenal itu.
Yuhana memasukkan semula kamera jenama Canon tersebut ke dalam beg sandangnya, membatalkan hajatnya untuk mengambil gambar lelaki itu. Langkahnya diatur untuk meninggalkan tanah perkuburan tersebut. Namun, dia terhenti apabila melihat susuk tubuh seorang lelaki sedang berdiri tidak jauh daripadanya.
Lelaki yang berkaca mata hitam itu leka memandang tanah perkuburan tersebut. Dahi Yuhana mula berkerut, cuba mengorek ingatannya. Siapakah lelaki itu? Apa hubungannya dengan Tuan Hariz?
“Saya tak sangka, hati uncle busuk sangat. Sedarlah uncle, uncle dah tua. Dah tak ada sesiapa di sisi uncle sekarang. Cuba uncle tanya diri uncle, kenapa isteri dan anak uncle pergi daripada hidup uncle? Sebabnya uncle sedikit pun tak ada rasa kasih dan sayang. Uncle tamak. Uncle sanggup buang saudara hanya kerana perasaan tamak uncle tu!”
Yuhana melopong. Jika benar tekaannya, mungkin sahaja lelaki itu adalah anak Tuan Hariz. Yuhana membatalkan hasratnya untuk meninggalkan tanah perkuburan tersebut. Dia mengeluarkan semula kamera dari beg sandangnya. Dia berpaling semula, menoleh ke arah Tuan Hariz yang sedang berbual dengan seorang lelaki tua.
Ya, dia cukup kenal dengan lelaki itu. Hampir setengah tahun dia ke hulu ke hilir menyiasat tentang lelaki bernama Tuan Hariz itu. Dia sudah mengenali sesiapa sahaja yang rapat dengan ahli perniagaan itu.
Kamera diarahkan ke arah Tuan Hariz yang sedang tunduk menangis itu. Sekelip mata sahaja Yuhana berjaya menangkap gambar kedua-dua orang sahabat baik tersebut, Tuan Hariz dan Dato’ Fadzil. Dua sahabat baik yang bersengketa kerana sebuah syarikat.
Setelah selesai menangkap gambar tersebut, Yuhana palingkan tubuhnya menghadap lelaki yang berkaca mata itu. Kameranya terus diangkat, lalu merakam figura lelaki tersebut.
Yuhana tersenyum senang. Dia ada misi baru. Misinya untuk mencari di mana anak Tuan Hariz. Semuanya akan terungkai sebaik sahaja dia menemui anak Tuan Hariz. Dia akan menulis sebuah artikel yang bakal menggegarkan Malaysia. Yuhana mula membayangkan namanya yang akan tertulis di bawah sebuah artikel yang bertajuk ‘Kisah silam di sebalik kejayaan seorang ahli perniagaan terkenal’.
Sekali lagi bibir Yuhana mengukir senyum. Kariernya sebagai seorang wartawan akan terjamin sebaik sahaja dia menyiarkan berita panas itu. Gambar yang telah diambil, ditatap semula. Bibir yang dihiasi senyuman itu serta-merta berubah apabila terpandang gambar lelaki tersebut.
“Kacaknya dia.” Tanpa sengaja Yuhana memuji seraut wajah yang serius itu.
Yuhana mendongakkan pandangannya. Serentak pandangannya bertemu dengan pandangan lelaki berkaca mata itu. Terkebil-kebil mata Yuhana dibuatnya. Ada debar di dadanya yang membuatkan dia tiba-tiba tidak keruan. Walaupun dilindungi cermin mata, Yuhana tahu sepasang mata itu sedang menikam seluruh wajahnya.


YUHANA terkocoh-kocoh berlari sambil menjinjing beg galasnya. Beberapa fail yang dibawa sejak tadi terus dipeluk kemas. Yuhana mempercepat lariannya menuju ke pintu lif yang masih terbuka. Sesekali mata itu mengerling kejap jam di tangannya. Kurang lima minit lagi menunjukkan pukul 8.30 minit pagi. Matilah dia kalau dia terlewat. Sudahlah dia kerap mendapat amaran keras daripada ketuanya.
“Tidak!” Yuhana menjerit lantang. Kaki kanannya terus disilangkan ke arah pintu lif yang semakin tertutup.
Yuhana mengeluh lega. Mujur dia sempat menahan lif tersebut daripada tertutup. Yuhana melirik senyum sedikit ke arah beberapa orang pekerja yang turut berada di dalam lif itu. Malunya diletakkan ke tepi. Yang penting, dia tidak akan dimarahi oleh Encik Hadi jika dia terlambat masuk kerja lagi.
“Awal kau hari ni?” sapa satu suara wanita dari arah belakang.
Yuhana terkejut. Cepat-cepat dia menoleh ke arah suara tersebut. Bibirnya terus mengukir senyum sebaik sahaja terpandang wajah rakannya, Tini yang turut berdiri di belakangnya.
“Kau ni! Suka kejutkan aku. Aku tak perasan pula kau ada di sini,” balas Yuhana sambil mengurut dadanya. Nasib baik dia tidak menghidap penyakit jantung. Kalau tidak, mahu mati katak dibuatnya.
“Mana nak perasan kalau kau sibuk jadi Spiderman tadi. Itulah, lambat lagi!” marah Tini.
Yuhana pula sudah menayangkan barisan gigi hadapannya. Tersengih memandang wajah rakan seperjuangannya itu. Ya, Tinilah rakan seperjuangannya sepanjang dia mula berkhidmat selama dua tahun di salah sebuah syarikat media cetak dan elektronik.
“Ha, senyum lagi! Padanlah kena marah dengan big boss,” ujar Tini geram.
“Alah, Encik Hadi tu sebenarnya tak faham. Yalah, kerja dia duduk terperap dalam ofis. Yang nak berjalan ke hulu ke hilir cari bahan tu, kita. Bukan dia! Dia tahu nak kompelin aje!” desah Yuhana dengan geram.
Sudah dua hari berturut-turut dia dimarahi Encik Hadi kerana datang lewat ke tempat kerja. Bukannya Encik Hadi tahu kesusahan yang dialami semasa bekerja di luar.
Ting!
Yuhana dan Tini serentak mendongak. Pintu lif sudah terbuka luas. Belum sempat Yuhana dan Tini melangkah keluar, suara deham Encik Hadi terlebih dahulu mengejutkan mereka.
“Jumpa saya selepas ni, Hana.”
Mata Yuhana sudah membuntang luas. Jantungnya sudah tercabut daripada tangkainya. Encik Hadi melemparkan senyuman sinis sebelum keluar dari perut lif. Yuhana dan Tini saling berpandangan. Air liur yang ditelan terasa pahit melalui saluran kerongkong.
“Hana, matilah kau,” ujar Tini dengan mata yang masih terkebil-kebil.
“Hmm, aku tahu.” Yuhana pasrah. Nasibnya memang sentiasa buruk sejak kebelakangan ini.


YUHANA tunduk memandang hujung kakinya. Sepatah perkataan pun tidak terkeluar dari mulutnya. Tidak pula dia berani mengangkat wajah memandang muka bengis ketuanya itu. Siapa tidak kenal dengan Encik Hadi, ketua jabatan yang paling tegas. Lihat sahaja dengan perutnya yang sedikit boroi itu.
“Awak pandang apa, Yuhana?” Suara garau Encik Hadi bergema tiba-tiba.
Serentak Yuhana mendongakkan wajahnya. Muka bengis Encik Hadi terus menghiasi matanya. Perlahan-lahan Yuhana menggeleng, tidak berani menjawab apa-apa.
“Awak kata saya cuma duduk di ofis dan tak tahu kesusahan kamu semua di luar sana?”
Mata Yuhana terus terpejam rapat. Mengutuk keterlanjuran kata-katanya.
“Maaf, Encik Hadi. Saya tak sengaja,” pohon Yuhana.
“Awak tak tahu, bagaimana susahnya saya hendak menjawab dengan pihak atasan apabila wartawan-wartawan macam awak tak ada berita untuk disiarkan. Awak juga tak tahu, bagaimana susahnya saya nak jaga sepuluh orang wartawan yang berperangai macam awak? Tahu tak?” Encik Hadi sinis dengan soalan-soalan cepumasnya itu.
Yuhana hanya mampu menahan rasa. Hendak menjawab, lidahnya terasa kelu.
“Okey, beritahu saya berita apa yang awak dapat setelah berapa hari datang lewat?” Encik Hadi sudah menyandarkan belakang tubuhnya di bahu kerusi. Tangannya disilangkan ke dada. Wajah wartawannya itu terus dipanah tajam.
Sekali lagi Yuhana kematian kata. Berita apa yang hendak dia persembahkan, andai berita yang hendak disiarkan belum lengkap sepenuhnya?
“Err... Encik Hadi, berita tu...” Yuhana tergagap-gagap.
“Ya, saya tunggu. Mana berita yang awak kata gempak sangat tu?” sindir Encik Hadi lagi.
“Sebenarnya, berita tu tak lengkap lagi,” beritahu Yuhana perlahan. Dia sudah bersedia menerima tembakan demi tembakan daripada Encik Hadi sekejap lagi.
“Yuhana!”
“Ya, Encik Hadi!”
Semua mata pekerja yang berada di dalam bilik itu memandang Yuhana dan Encik Hadi. Masing-masing sudah menjangkakan ribut taufan pasti akan melanda andai Yuhana dan ketua mereka itu bersua muka.
Encik Hadi memegang belakang lehernya yang tiba-tiba terasa sengal. Naik darahnya dek sikap Yuhana yang sering menguji kesabarannya itu. Antara semua pekerja yang berada di bawah pengawasannya, Yuhanalah yang paling banyak mencabar kesabarannya.
“Tak siap? Berapa...”
Tiba-tiba telefon bimbit Yuhana berdering. Tanpa mempedulikan kemarahan ketuanya itu, dia menjawab panggilan tersebut.
Encik Hadi mula membahang. Keluar asap berkepul-kepul dari telinga itu.
“Oh, ya. Helo?” jawab Yuhana. Lega kerana berjaya melepaskan diri daripada mendengar bebelan Encik Hadi.
“Hana, Tuan Hariz serah diri,” beritahu suara dari hujung sana.
Yuhana terkejut.
“Apa?!” Tanpa sedar, Yuhana menjerit kecil. Terkejut Encik Hadi dibuatnya.
“Okey! Aku datang sekarang. Balai polis mana?” Yuhana terus bangun dan mencapai beg sandang dari tempat duduknya. Pantas dia berlari keluar dari ruang pejabat itu.
“Yuhana! Hana!” Encik Hadi menjerit kuat memanggil nama Yuhana. Sakit hatinya apabila Yuhana langsung tidak mempedulikan panggilannya.


KERETA Axia putih miliknya terus diparkirkan di salah satu kotak parking yang masih kosong. Mata Yuhana liar memandang kawasan di sekitar balai polis tersebut. Tiba-tiba pandangannya terhenti ke arah sekumpulan wartawan yang sedang mengerumuni seorang lelaki. Mata Yuhana terus terbuka luas.
Sekali lagi dia akan menjadi orang yang terakhir mendapat maklumat. Tanpa menunggu, Yuhana terus mencapai beg sandangnya. Buku nota dan pen pantas dikeluarkan. Telefon bimbitnya dikeluarkan dari poket seluarnya. Butang rakaman ditekan. Yuhana pantas meluru ke arah sekumpulan wartawan yang sedang berasak-asak ingin merakamkan berita sensasi itu.
“Tepi! Tepi!” jerit Yuhana.
Sesekali dia turut menolak beberapa orang wartawan yang berhimpit-himpit untuk menemu bual seorang ahli perniagaan yang pernah menerima tuduhan membunuh keluarga sahabatnya sendiri. Yuhana tidak berputus asa. Sudah hampir setengah tahun dia menyiasat kes lelaki itu. Mustahil detik kemuncak begini dia lepaskan. Namun, tiba-tiba Yuhana hilang imbangan. Badannya ditolak kasar. Akhirnya, Yuhana tertolak ke belakang dan jatuh.
“Aduh!” Yuhana menggosok tapak tangannya yang melecet apabila bergesel dengan permukaan jalan yang kasar.
Yuhana mendongak. Keluhan beratnya terluah apabila menyedari yang dia kini sudah jauh tertinggal di belakang.
“Aduh, sia-sia aje!” marah Yuhana geram.
Apabila Yuhana cuba untuk bangkit, dia terkejut melihat huluran tangan daripada seseorang yang tidak dikenali. Terkebil-kebil mata Yuhana dibuatnya. Dia mengangkat wajahnya, memandang pemilik tangan itu. Yuhana terkedu. Dunianya seakan-akan terhenti buat seketika. Di hadapan matanya kini adalah lelaki yang pernah dia jumpa di tanah perkuburan dua hari yang lepas.
Si dia masih menghulurkan tangan, menanti Yuhana menyambutnya. Tiada sepatah kata pun yang terkeluar. Hanya pandangan mata yang dihantar.
Yuhana menarik nafas dalam. Berbekalkan keberanian yang bersisa, dia turuti juga kata hatinya. Perlahan-lahan Yuhana menyambut huluran tangan itu. Dia bangun semula dengan bantuan daripada lelaki asing itu. Sebaik sahaja Yuhana bangun, pandangan matanya dan mata lelaki itu bertemu. Tanpa sengaja, mereka berbalas pandang. Mata yang dahulunya dilindungi kaca mata hitam, kini menampakkan rupa. Dan, panahan mata itu seakan-akan menjeratnya ke dunia yang hanya ada mereka.
Lelaki itu terus mengukir senyum kecil di bibirnya. Lidah Yuhana pula kelu untuk menjawab. Pegangan erat lelaki itu masih utuh di jemarinya.
“Hati-hati,” pesan lelaki itu tiba-tiba. Jemari Yuhana perlahan-lahan dilepaskan. Dia terus berlalu meninggalkan Yuhana yang masih kematian kata.
Entah kenapa Yuhana seakan-akan hilang upaya apabila memandang panahan mata itu. Yuhana mula menanam tekad. Lelaki misteri itu akan didekati. Hanya lelaki itu sahaja yang akan dapat menjawab semua persoalan yang berlegar dalam kepalanya sekarang. Dan, hanya lelaki itu sahaja yang akan melengkapkan kes yang sedang ditulis ketika ini.
“Yuhana!”
Yuhana tersentak. Sekilas dia menoleh. Riak wajahnya terus berubah. Hilang sudah rasa debarnya, diganti pula dengan rasa marah yang seakan-akan tiada penghujungnya. Yuhana cuba lari daripada keadaan itu. Langkahnya mati tanpa sebarang halangan apabila namanya meniti semula di bibir itu. Dunianya turut sekali terbawa pada luka lama yang masih berdarah. Kepalanya mendongak, memandang semula wajah itu.


Setahun yang lalu...
BUNYI deringan telefon yang tidak henti-henti sejak tadi mengganggu tumpuan Yuhana pada novel yang dibacanya. Yuhana hanya pandang sekilas ke arah telefon bimbit kekasih hatinya itu. Sesekali mata itu meliar mencari kelibat Wildan yang masih berada di sebuah kedai serbaneka.
Selang beberapa saat, bunyi mesej yang masuk pula kedengaran. Yuhana berdecit. Novel di tangannya terus diletakkan ke tepi. Telefon bimbit Wildan yang berada di atas dashboard dicapai. Satu mesej diterima daripada si pemanggil yang bernama ‘Epal’. Yuhana terus diterpa rasa hairan. Hatinya mula diselubungi rasa sangsi.
Siapakah ‘Epal’? Yuhana berteka-teki.
Tidak lama kemudian, panggilan telefon daripada ‘Epal’ itu muncul kembali. Yuhana memandang sekejap ke arah Wildan yang masih berada di dalam kedai. Teragak-agak Yuhana menyentuh tanda hijau pada skrin telefon tersebut. Perlahan-lahan, Yuhana mendekatkan telefon tersebut ke telinganya.
Fikirnya, mungkin sahaja ada panggilan kecemasan. Jika tidak, mengapa si pemanggil asyik menghubungi Wildan sejak tadi? Yuhana cuba memujuk hati dengan berfikiran positif.
“You! You kat mana ni? Lama I tunggu. Kata sekejap aje hantar Hana balik. Ni dah dekat sejam dah!”
Yuhana terkedu. Mulutnya melopong. Suara itu... Suara itu... Tidak! Tak mungkin! Yuhana menggeleng berulang kali, cuba menidakkan kata hatinya.
“Mulalah tu. Jumpa aje dengan girlfriend kesayangan you tu, terus lupakan I. You kena ingat, I ni girlfriend you juga tau!”
Yuhana memegang dadanya yang terasa mahu pecah. Air mata yang cuba ditahan tiba-tiba mengalir. Kenyataan itu tidak dapat dielak. Hakikatnya dia benar-benar dikhianati!
“Dilla?” Yuhana memberanikan diri memanggil sebaris nama itu, berharap tekaannya salah.
Keadaan berubah menjadi sunyi seketika. Tiada tanda si pemanggil tersebut membalas panggilan Yuhana. Serentak itu, Yuhana menangkap kelibat Wildan yang baru keluar dari kedai serbaneka itu. Langkah lelaki itu dipandang. Lelaki yang amat dia cintai. Dan, lelaki itu juga yang tega mengkhianati cintanya.
Sebaik sahaja Wildan memasuki kereta, Yuhana terus melemparkan senyuman sinis. Sengaja dia menunjukkan telefon yang masih melekap di telinganya.
“Maaf, sebab aku angkat panggilan kau. Aku tertanya-tanya, siapa dia ‘Epal’ yang asyik menghubungi Wildan sejak tadi. Aku tak tahu pula orang tu kau. Terima kasih, Dilla. Terima kasih atas segala-galanya.”
Riak wajah Wildan serta-merta berubah. Tidak lepas dia memandang wajah Yuhana yang kelihatan keruh.
“Hana?” Wildan teragak-agak untuk memanggil sebaris nama itu.
Yuhana membuang pandang ke sekeliling sebelum dia menoleh semula ke arah lelaki itu. Yuhana menggeleng, tidak percaya. Wildan dan Dilla tega mengkhianati kepercayaannya. Wildan kekasih hatinya dan Dilla, sahabat baiknya!
Dalam mindanya mula berlegar-legar tingkah Wildan dan Dilla sejak kebelakangan ini. Patutlah Wildan sering tiada masa untuknya. Malah, Dilla sendiri asyik sibuk saja apabila diajak keluar. Rupa-rupanya mereka menjalinkan hubungan di belakangnya.
“Terima kasih Wildan, atas hadiah sehebat ni. Terima kasih banyak-banyak!” Yuhana membuka pintu kereta, lantas berlari pantas meninggalkan Wildan, meninggalkan kisah cintanya.

Tuesday, August 23, 2016

Bab 5













TEKSI yang dinaiki oleh Yuhana berhenti tepat di hadapan pintu masuk Bukit Impian.       Yuhana menarik nafas panjangnya lantas dihembus perlahan. Tujuannya kemari hanya untuk manjalankan misinya. Bukan atas sebab lain! Ya, Yuhana tetapkan matlamat. Perlahan, Yuhana melangkah ke tepi pagar. Butang ditekan. Memaklumkan kedatangannya.
            Selang beberapa minit, pintu gerbang terbuka luas dengan sendirinya. Yuhana menarik nafas lega. Perlahan dia memasuki ruang halaman tersebut. Mengamati suasana persekitaran di Bukit Impian. Tempat yang indah ini menyimpan seribu satu cerita. Cerita yang akan dia gali untuk bertahan dalam dunia kewartawanan.
            Mata Yuhana terus menangkap deretan rumah tumpangan yang tersergam indah di sebelah kanan Villa. Yuhana meliarkan pandangannya memandang ke sekeliling. Apabila dia yakin tiada sesiapa di situ, Yuhana terus mengatur langkah senyapnya untuk ke rumah tumpangan tersebut. Siapa tahu dia akan mendapat petunjuk di situ? Duga Yuhana sendiri. Belum jauh dia melangkah, Yuhana terkejut apabila namanya dipanggil tiba-tiba.
“Yuhana?” Yuhana terkejut. Pantas dia menoleh. Salmah sedang berdiri di belakangnya sambil tersenyum menyambut kedatangannya.
            “Kak, terkejut Hana,” balas Yuhana dengan senyuman.
            “Maaf, akak tak sengaja. Dari jauh akak tengok Hana sampai. Mari, akak tunjukkan bilik Hana. ” pelawa Salmah kepada pekerja baru majikannya itu. Yuhana hanya mengangguk. Diturutkan sahaja permintaan Salmah. ‘Tak apa, Hana. Kau masih ada masa dua bulan lagi.’ Pujuk hati kecilnya.
            Langkah Salmah dibuntuti hingga ke pintu besar sebuah villa milik Hakim. Jantung Yuhana mula berdegup kuat. Sebaik sahaja dia menginjakkan kaki ke villa tersebut hatinya mula kacau. Di ruang matanya mula membayangkan wajah Hakim yang serius dan bengis. Ya! Sememangnya Hakim seorang lelaki kasar yang kedekut dengan senyuman. Kalau tidak, mana mungkin ada manusia yang hidup dengan mengasingkan diri daripada masyarakat?
            Yuhana berlari kecil menyamai langkah Salmah di hadapannya.
            “Kenapa, Hana?” soal Salmah hairan.
            “Err, akak dah lama ke kerja sini?” soal Yuhana tiba-tiba.
            Salmah senyum sedikit.
            “Lama jugaklah. Dekat 20 tahun rasanya. Yalah, akak ni sekolah pun setakat darjah 3. Kerja apa aje yang akak boleh buat.” Yuhana angguk perlahan. Bermakna, Salmah mungkin tahu tentang rahsia di Bukit Impian. Ya, peluangnya semakin terbuka luas.
            “Kenapa Hana tanya?” soal Salmah.
            “Eh, saja aje. Senanglah Hana nak tahu apa-apa tentang Villa ni, atau apa-apa aje.” jawab Yuhana serba salah.
            “Kak, Hana nak tanya sesuatu, boleh?” Yuhana memulakan visinya.
            “Boleh. Insya-Allah, kalau akak boleh jawab, akak jawab.” Yuhana tersenyum.
            “Rumah Tumpangan sebelah Villa ni, Encik Hakim juga ke yang punya?”
            “Oh, Rumah Tumpangan tu, yalah. Dah tua dah usia Rumah Tumpangan tu. Sejak arwah...”
“Kak!” Hakim menyapa dari belakang. Pandangan tajamnya terus dihalakan ke arah Yuhana dan Salmah.
            Hakim melangkah  perlahan menghampiri Yuhana.
            “Akak ke belakang dulu buatkan air. Hana duduklah,” ujar Salmah pantas lalu meninggalkan Yuhana dengan Hakim.
            “Err, assalamualaikum  Encik Hakim. Apa khabar, sihat ke?” Yuhana cuba berbasa-basi. Pandangan dingin Hakim dibalas sepintas lalu. Hakim tidak menjawab, sebaliknya dia melangkah ke hadapan menghampiri Yuhana yang masih berdiri kaku di ruang tamu. Sampai sahaja di hadapan gadis itu. Hakim menghentikan langkahnya. Dia menunduk sambil mengamati wajah Yuhana.
            “Boleh tahan kau ya,” ujar Hakim tiba-tiba.
            “Huh?” Mata Yuhana sudah terkebil-kebil. Tidak memahami maksud di sebalik kata-kata lelaki itu. Yuhana tunduk. Untuk membalas pandangan itu, Yuhana cuak. Ketakutannya bersisa. Lelaki itu punya kuasa untuk mematahkan setiap sendinya.
            Hakim berdiri tegak. Dia terus membelakangi Yuhana.
            “Kak!” jerit Hakim. Terkocoh-kocoh wanita itu berlari mendapatkan majikannya. Salmah tegak berdiri di hadapan Hakim dan menanti arahan daripada lelaki itu. Yuhana mengerling sedikit. Tidak mahu mencampuri urusan Hakim dan pekerjanya.
            “Ya, Hakim,” balas Salmah.
            “Akak tolong bagi tahu dia apa-apa kerja yang patut dibuat. Lagi satu, jangan lupa ingatkan dia supaya jangan sesekali mendekati dua bilik saya di atas. Faham, kak?” Hakim tegas memberi arahan. Kepala Yuhana spontan mendongak ke atas. Mencari dua bilik yang dimaksudkan oleh Hakim. Agaknya apa yang berada di dalam bilik tersebut ya? Yuhana berteka-teki sendiri.
            “Kau pandang apa?” Yuhana terpana. Sekelip mata sahaja wajah Hakim sudah berada di hadapannya. Yuhana hilang kata. Lidahnya kelu tanpa secara tiba-tiba.  Kening Hakim bertaut. Dia sedia menanti jawapan daripada gadis itu.
            “Err... Encik Hakim, dua bilik tu tak perlu dikemas ke? Yalah...”
            “Tak perlu. Ingat arahan aku. Jangan sesekali kau dekati bilik tu.” Hakim pantas memotong. Pandangan tajamnya sudah dihalakan ke arah Yuhana. Perlahan Yuhana angguk. Hatinya kuat mengatakan ada sesuatu yang disembunyikan di bilik itu.
            “Bagus. Sebelum tu, aku ada kerja untuk kau. Mari ikut aku!” Hakim terus berlalu. Meninggalkan Yuhana dan Salmah yang masih terkulat.


ENCIK HAKIM, biar betul?” Kepala Yuhana mendongak tinggi ke atas. Ya! Ini bukan mimpi. Di hadapannya adalah sebatang pokok kelapa yang tinggi melangit. Yuhana menelan air liurnya yang terasa pahit. Mahu gugur jantungnya dengan arahan gila Hakim.
            Yuhana mengeluh perlahan. Sekali lagi dia mendongak ke atas. Ada berbiji-biji buah kelapa di situ. Kalau dibuat minum masa panas terik ini memang sedap. Tapi, yang tak syoknya bila teringatkan Hakim yang seronok berpeluk tubuh di belakangnya. Yuhana sudah mengelap peluhnya yang sudah mula pecah di dahi, apalah nasibnya. Hendak saja dia meraung sepuasnya. Melahirkan rasa geramnya itu.
            “Macam mana, Yuhana?” suara Hakim kedengaran lagi.
Yuhana terus menoleh. Memandang geram ke arah Hakim yang sudah tersenyum sinis.
“Saya tak nak!” tegas Yuhana dengan lantang. Serentak itu Hakim menoleh memandang ke arah Yuhana.
            “Kau tak nak?” Hakim menyoal lagi sekali.
            Serentak itu Yuhana menggeleng, dia belum gila lagi hendak menurut permintaan gila si Hakim Bukit Impian itu.
            “Okey, keluar dari Bukit Impian!” arah Hakim dengan tegas.
            “Tidak!” Tiba-tiba Yuhana menjerit. Hakim tergamam. Jeritan Yuhana itu mampu menggegarkan Bukit Impian. Yuhana tersedar. Aduh, sempat pula dia melamun saat-saat begini. Perhatiannya kembali tertumpu ke arah Hakim yang masih setia menanti jawapan darinya.
            “Macam mana, Yuhana?” Yuhana tertunduk hampa.
“Encik Hakim nak sangat minum air kelapa tu ke?” Yuhana beralih ke arah Hakim. Sengaja dia melontarkan soalan begitu kepada Hakim. Nampak beria-ia benar si Hakim Bukit Impian itu,
            “Bila masa aku kata aku nak minum air kelapa tu? Aku tak hairanlah dengan buah kelapa tu!” Suara Hakim sudah memecah keheningan di petang itu.
            “Habis tu?” Yuhana sudah berdiri tepat di hadapan Hakim.
            “Suka hati akulah nak suruh buat apa pun!” Hakim bersuara perlahan. Pandangannya dialihkan ke arah lain.
            Yuhana mencebik. Dia sudah agak. Lelaki itu memang sengaja mempermainkannya.
            “Hesy, Encik Hakim ni!” Yuhana mendengus kecil. Punggungnya mula dilabuhkan di atas rumput yang menghijau itu. Mengikat tali kasutnya yang sudah terbuka. Tetapi, belum sempat dia melabuhkan punggung di atas rumput tersebut, suara Hakim bergema lagi. Yuhana mendengus geram. Dasar lelaki senget!
            “Siapa suruh kau duduk? Bangun, bangun! Rumput itupun hak milik aku. Selagi aku tak suruh kau sentuh apa-apa, selagi tu kau jangan nak pandai-pandai ya!” Hmm, kedekut! Yuhana mengomel tidak henti.
            “Hesy, berkira sangat! Bukannya luak pun. Ni ha! Tali kasut saya terbuka” desis Yuhana kasar. Dia bangun lalu menjeling tajam ke arah majikannya itu. Mahu gila dia kalau hari-hari menghadap perangai Hakim begini.
            “Kau cakap apa?” tanya Hakim geram sambil bercekak pinggang.
            “Tak ada apa-apa, saya tanya mana awak import rumput ni? Cantik,” Jari telunjuk Yuhana sudah diarahkan ke arah hamparan rumput yang menghijau di sekitar Bukit Impian.
            “Bukan urusan kau. Kalau aku bagi tahu sekali pun, bukan kau mampu beli. Dah, jom ikut aku,” Lelaki sewel itu terus terusan mengarah. Yuhana mencebik, namun diturutkan juga langkah lelaki itu. Yuhana lantas mengangkat tangan mengacah-acah untuk memukul belakang tubuh Hakim. Cukup sekadar memuaskan rasa sakit hatinya itu. Misinya sudah ditanam kuat ke dlaam hati. Sikap dan perangai Hakim tidak akan mampu melunturkan semangatnya.
            “Kau jangan nak buat sesuatu yang akan mendatangkan kemarahan aku, silap-silap hilang kerja kau hari ni,” ugut lelaki itu tiba-tiba. Yuhana menutup mulutnya. Dia ni dapat baca fikiran orang ke? Gumam Yuhana sendiri.
            “Hesy, dasar Hakim Bukit Impian!” omel Yuhana tidak berhenti. Tanpa dia sedari dahinya sudah terhantuk di belakang tubuh Hakim yang tiba-tiba menghentikan langkahnya.  “Ops, sorry! Dahinya digosok perlahan.
            “Kau cakap apa tadi? Hakim Bukit Impian?” Mencerlung mata Hakim memanah pandangan Yuhana yang tidak berkelip-kelip itu. Yuhana jadi leka seketika. Kacaknya pandangan mata dia. Kalaulah aku tak tahu perangai dia yang tiga suku ni, mahu aku jatuh cinta! Sempat lagi Yuhana memasang angan.
            “Aku up lagi tiga biji. Totalnya...” Hakim menghitung jari jemarinya di hadapan Yuhana. Tidak berkelip matanya melihat Hakim bersahaja di hadapannya.
            “Lima belas biji,” sambung Hakim lantas berlalu meninggalkan Yuhana yang masih terkulat. Lima belas biji?
            Beg sandang yang kemas tersangkut di bahunya, sudah jatuh menyembah bumi. Yuhana masih tergamam tanpa kata.
            “Silakan, Yuhana,” ujar Hakim dengan seulas senyuman yang meleret. Hakim sudah  menunjukkan dua batang lagi pokok kelapa yang terletak di sebelah kanan Rumah Tumpangan miliknya.
            “Biar betul? Lima belas biji? Tiga biji pun belum tentu  dapat. Saya ni perempuan ayu tau!” tungut Yuhana geram. Sengaja meraih simpati lelaki itu.
            “Perempuan ayu? Kau perempuan ayu?” Hakim sudah pecah ketawa, mahu tergoleng-goleng dia ketawa dengan kata-kata Yuhana. Yuhana di sebelah hanya mampu menjeling Hakim dengan pandangan tajamnya. Kalau tidak difikirkan misinya, sudah lama lelaki itu dia ketuk dengan buah kelapa!


Bab 4

BUAH RAMBUTAN dan buah manggis yang dibawa balik dari Bukit Impian sudah terletak elok di atas meja Encik Hadi. Yuhana masih menundukkan wajahnya. Hampir 10 minit dia hanya membatu di dalam bilik ketuanya itu. Satu patah ayat pun tidak mampu dia keluarkan apabila melihat wajah Encik Hadi yang kelihatan sangat serius daripada biasa.
            “Nur Yuhana!” jerit Encik Hadi. Geram.
            “Oh mak kau!” Yuhana terkejut. Wajah tegang Encik Hadi tidak berani dibalas. Sungguh dia takut untuk berterus terang dengan ketuanya itu. Sudahlah prestasi kerjanya semakin merosot. Sekarang, dia dengan bersahaja memohon cuti tanpa gaji selama dua bulan. Semuanya gara-gara ingin menyelesaikan misinya.
            “Yuhana,” panggil Encik Hadi lagi. Kali ini lebih lembut.
            “Maafkan saya, Encik Hadi,” balas Yuhana pula.
            Encik Hadi hanya mengeluh berat. Pening dengan olah Yuhana yang semakin menyesakkan dadanya. Pendek umurnya kalau berterusan begini.
“Apa saya nak jawab dengan pihak atasan?” soal Encik Hadi lagi.
“Err... Encik Hadi cakaplah yang saya ada masalah keluarga. Please, Encik Hadi.” pinta Yuhana bersungguh-sungguh.
“Awak ajar saya ke, Yuhana?” Cepat Yuhana menggeleng.
“Mana ada! Encik Hadi juga yang minta pendapat saya. Saya jawab ajelah...” balas Yuhana bersahaja.
“Hesy, awak ni!” Encik Hadi menggeleng geram. Jawapan Yuhana itu benar-benar menguji kesabarannya.
            “Encik Hadi, tolonglah saya,” ujar Yuhana buat sekian kali.
            Encik Hadi sekali lagi mengeluh berat. Mempertimbangkan keputusan pekerjanya itu. Yang sebenarnya, Yuhana adalah seorang wartawan yang berpotensi. Mungkin sahaja, kes yang sedang disiasat oleh Yuhana sekarang terlalu rumit.
            “Encik Hadi...”
            “Awak nak buat apa dengan cuti yang panjang tu? Cuba awak terus terang dengan saya.” tanya Encik Hadi tiba-tiba.
            Yuhana tunduk. Berfikir sama ada mahu memberitahu kepada ketuanya itu atau tidak?
            “Yuhana?” panggil Encik Hadi. Masih enggan berputus asa.
            “Saya ada hal penting. Tolonglah. Encik Hadi... saya benar-benar perlukan cuti tu. Saya janji, balik aje dari bercuti nanti, saya akan siarkan berita terhangat untuk company ni. Janji!” Yuhana mengangkat tangan kananya untuk berjanji.
            “Banyaklah awak punya terhangat. Sekarang ni saya yang kepanasan tau!” desah Encik Hadi. Tali lehernya dilonggarkan sedikit. Keluhan berat dilepaskan. Wajah pekerjanya itu dipandang buat sekian kali.
            Yuhana memanjangkan muncungnya. Wajah Kasihan sengaja ditunjukkan. Dia tahu Encik Hadi akan berlembut hati padanya.
            “Baiklah, saya cuba. Tapi, saya tak janji.” Akhirnya Encik Hadi mengalah. Melihat kesungguhan Yuhana, dia jadi serba salah pula. Yuhana terus mengukir senyum.
            “Terima kasih Encik Hadi, makanlah buah-buah tu. Saya beli khas untuk Encik Hadi,” ujar Yuhana pula.
            “Ini rasuah ke?” sindir Encik Hadi tiba-tiba.
            “Eh, tak elok rasuah-rasuah. Buah ini saya beli ikhlas tau!” Senyuman Yuhana semakin melirik ke bibirnya. Bungkusan buah rambutan dan mangis disorong sedikit rapat ke arah Encik Hadi.




“PAGI, mak, ayah.” Yuhana pantas saja menuruni anak tangga. Menghampiri ibu dan ayahnya yang sedang sarapan pagi. Secawan teh susu yang masih panas terus dihirup.
“Aduh!” Yuhana menjerit kecil. Hampir saja terlepas cawan di tangannya. Dia mula menyengih memandang kedua-dua orang tuanya yang hanya menggeleng kepala.
“Bagus sangat tu,  Hana. Minum sambil berdiri. Nanti sampai ke sudah kamu tak kahwin. Jadilah anak dara tua.” Mulut Marina pula mula membebel. Hampir setiap pagi ada saja yang menjadi topik pergaduhan dua beranak itu. Kalau bukan pasal teh susu, penampilan Yuhana pula yang menjadi topik. Yang pasti akan berakhir dengan isu perkahwinan.
“Apa mak ni? Apa kena-mengena minum berdiri dengan kahwin pulak? Tak ada kaitan langsung,” balas Yuhana.
“Ha, menjawab. Tengok tu, penampilan entah apa-apa. Cubalah sekali-sekali tu, guna baju kurung ke, gaun ke? Ini tak, hari-hari pakai jean dengan baju-T tu. Bila nak dapat jodoh macam tu?” Marina membebel lagi sambil menuang kembali teh susu ke cawan suaminya yang sudah kosong.
Yuhana mencebik. Skrip maknya itu memang sama setiap hari. Kahwin, kahwin dan kahwin! “Mak, tak ada kena-mengena semua tu. Mak percayalah cakap Hana ni mak. Lelaki, kalau betul-betul sukakan kita, dia takkan pandang paras rupa ni mak. Yang penting, hati.” Yuhana bermadah pujangga. Keluar semua ayat-ayat cinta yang dipelajari daripada novel.
Berbaloi juga dia khatam beratus-ratus buah novel. Bolehlah dia berbahas menegakkan hak-hak wanita bujang sepertinya.
“Banyaklah kau punya hati. Kerana prinsip kau tulah kau nak jadi dara tua dah.”
“Hesy, mak ni. Sampai hati doakan yang bukan-bukan. Kalau Hana jadi dara tua, mak juga yang sedih.” Yuhana sudah mengeluarkan muncungnya. Siapa yang tak nak kahwin mak oi? Semua orang nak kahwin. Dah jodoh yang belum sampai, nak buat macam mana?
“Awak ni, Mar, tak habis-habis cerita pasal kahwin. Daripada awak sibuk nak carikan jodoh si Hana ni, baik awak carikan jodoh untuk saya pula. Tak ada awak pening kepala sangat. Saya ni ikut aje pilihan awak.” Mahmud menyampuk tiba-tiba setelah lama menjadi pemerhati dan pendengar setia dua beranak itu. Tak boleh nak disampuk sangat, makin menjadi nanti.
“Amboi, Mahmud oi, ada hati rupanya nak pasang dua. Tu, anak tu. Dah terlajak dah usia, sampai sekarang tak ada ura-ura nak kahwin.” Yuhana menggaru kepalanya. Dari tadi hanya dia yang dijadikan topik.
“Ha! Yang ni kenapa tak siap lagi? Tak kerja ke hari ni?” tegur Marina tiba-tiba. Anak tunggalnya itu dipandang. Yuhana masih belum bersiap-siap untuk ke tempat kerja.  Yuhana terus menghadiahkan senyuman manis buat ibunya. Cawan yang berisi teh susu diletakkan ke tepi. Yuhana bangun dari kerusi dan menuju ke arah ibunya itu.
“Mak...” panggil Yuhana dengan lembut. Bahu ibunya pula dipeluk erat dari belakang.
“Ada apa-apalah ni? Emm, kenapa?!” soal Marina kasar, namun masih ada kelembutannya.
Yuhana menarik nafas panjang sebelum berterus terang dengan kedua-dua orang tuanya itu. Yuhana kena pandai mencipta ayat supaya ibu dan ayahnya tidak membantah.
“Sebenarnya, Hana ditugaskan bekerja di luar kawasan mulai esok,” Yuhana terpaksa berbohong. Ibu dan ayahnya tidak akan bersetuju andai mereka tahu yang dia sebenarnya menjadi orang gaji di rumah seorang lelaki semata-mata untuk mendapatkan maklumat. Mahu kena cincang lumat-lumat oleh ayahnya.
“Hah!” Marina menjerit kecil.
“Terkejut, Hana. Mak ni...” Yuhana mengurut dadanya.
“Luar kawasan tu, di mana, Hana?” soal Mahmud pula. Yuhana terus menggaru kepalanya.
“Di Johor. Sebuah kawasan pedalaman di Johor. Ya, di Johor, ayah.” jawab Yuhana tanpa ragu-ragu.
“Kamu seorang ke yang ditugaskan ke sana?” tanya Marina risau.
“Eh, taklah mak. Ada lagi kawan-kawan Hana yang lain. Mak janganlah risau, 2 bulan aje,” pujuk Yuhana.
Marina dan Mahmud masing-masing mendiamkan diri. Berat untuk melepaskan anak tunggal mereka itu.
“Hmm, hati-hati di tempat orang. Jangan lupa solat. Jangan lupa telefon mak dan ayah.” Akhirnya Marina memberi kata setuju. Anaknya itu sudah dewasa. Sudah tiba masanya dia membiarkan Yuhana berdikari sendiri.

“KAU gila ke, Hana?!” Tanpa sengaja, Tini menjerit kecil. Terkejut dengan keputusan teman baiknya itu. Dia sedikit pun tidak menyangka yang Yuhana akan mengambil keputusan sebegitu. Yuhana sanggup menjadi orang gaji di rumah lelaki misteri di Bukit Impian itu semata-mata untuk menyelesaikan laporannya. Sekali lagi Tini menggeleng tidak percaya. Yuhana benar-benar sudah gila agaknya!
            Yuhana memberi isyarat tangan supaya rakannya itu menutup mulutnya. Mahu didengar dek orang. Gagal rancangannya nanti! Sudahlah dia bersusah payah hendak masuk ke Bukit Impian. Kesalahan-kesalahan kecil akan membuatkan rancangannya berantakan. Tidak! Yuhana tidak sanggup. Dia sudah pergi sejauh ini. Mana mungkin dia mahu mengundur diri di saat-saat akhir.
            “Kau nak cakap aku gila ke, cakaplah. Aku tak peduli. Yang penting, aku kena tamatkan juga laporan aku tu,” balas Yuhana bersahaja.
            Tini di sebelah sudah menggeleng.
            “Habis tu, kau duduk di sana ke?” tanya Tini lagi.
            “Ya. Aku ni kan orang gaji dia. Kenalah duduk sana.” Sekali lagi Tini menggeleng. Yuhana memang benar-benar menempah bahaya.
            “Hana, kau sedar tak apa yang kau buat sekarang? Ini namanya menempah maut. Kau tahu tak?!” Tini menjerit buat sekian kali.
            “Tini, janganlah jerit-jerit. Kau tu perempuan. Mak aku cakap, susah dapat jodoh kalau perempuan suka jerit-jerit macam tu!” Yuhana sengaja mengalih topik. Siapa tidak cuak jika berada di tempatnya sekarang? Cuma, dia yang tiada pilihan.
            “Banyaklah kau punya jodoh! Ni, kau tahu tak kau duduk dengan siapa di Bukit Impian tu? Kalau benar tekaan kau hari tu, lelaki yang bernama Hakim tu berkemungkinan besar adalah anak kepada Tuan Hariz. Anak pembunuh kut!” Nafas Tini turun naik menahan marah. Olah Yuhana memang tidak boleh dijangka. Bukan dia tidak tahu yang Yuhana akan buat apa sahaja untuk dapatkan maklumat.
            “Tini, kau ni janganlah bising sangat! Nanti tak pasal-pasal ada telinga yang mendengar. Benda ni sulit. Jangan sesekali kau bocorkan rahsia aku. Ingat! Biar pecah di perut, jangan pecah di mulut. Mati aku nanti!” pesan Yuhana bersungguh-sungguh. Tini pula hanya mampu mengeluh berat.
            “Kau dah fikir masak-masak ke?” soal Tini kembali mengendur.
            Yuhana hanya angguk.
            “Eh, si Hakim Bukit Impian tu, handsome ke?” Yuhana melopong. Sempat lagi Tini bergurau di saat-saat begini. Tini mula ketawa kecil, begitu juga dengan Yuhana. Akhirnya, kedua-dua sahabat itu mula ketawa. Yuhana terus menaikkan ibu jarinya lalu dibawa ke bawah.
            “Aku dengan ini mengisytiharkan yang si Hakim Bukit Impian itu bukan jenis lelaki pilihan aku. Mana ada handsome. Handsome lagi ayah aku,” Yuhana dan Tini menyambung semula tawa mereka.
            “Kau jangan, jatuh cinta baru tahu!” beritahu Tini lagi.
            “Aku? Jatuh cinta dengan lelaki macam tu? Memang taklah!” ujar Yuhana dengan angkuh. Tiba-tiba dia terbayangkan wajah serius milik Hakim. Debar di dadanya kembali berlagu. Pandangan mata itu yang menjeratnya.
            “Eh, Hana. Semalam ada orang cari kau tau.” Tini bersuara tiba-tiba. Yuhana tersedar. Hilang bayangan Hakim dari  ruang matanya.
            “Hmm, siapa?” soal Yuhana acuh tak acuh.
            “Kau jangan marah kalau aku bagi tahu ya?” Tini mula serba salah.
            “Yalah, jangan kau cakap Hakim Bukit Impian aje. Itu aku memang terkejut. Okey, siapa yang datang?” tanya Yuhana lagi. Sempat dia selitkan nama lelaki itu di dalam gurauannya.
            “Wildan. Wildan Asyfar,” Mendengar sebaris nama itu, serta-merta riak wajah Yuhana berubah. Bibirnya terus mengukir senyum sinis. Untuk apa lelaki itu datang kembali kedalam hidupnya?
            “Okey, dia nak apa?” Yuhana bersahaja. Tidak mahu terkesan dengan kemunculan lelaki itu semula.
            “Dia nak nombor telefon kau,” balas Tini perlahan.
            “Oh, okey. Kau tak berikan?” soal Yuhana lagi. Tini terus mempamerkan riak wajah bersalah. Yuhana menggeleng. Cuba untuk tidak mempercayai hakikat itu.
            “Tini!”
            “Sorry, Hana. Dah dia desak aku. Aku terpaksa.” Yuhana  hanya mampu menggeleng bersama keluhan berat. Tiada guna memarahi sahabatnya itu. Yuhana kenal Wildan. Lelaki itu akan buat apa sahaja untuk dapatkan apa sahaja.