Friday, October 30, 2015

Pandu Arah Ke Hati

Bab 8

KAHWIN? Ariq tersenyum sendiri. Sesiapa pun pasti ada impian untuk mendirikan rumah tangga. Dia pun turut sama. Pernah mengimpikan impian itu. Namun, tidak pernah terlintas di fikirannya untuk menikahi gadis sehebat Hafiya. Cucu seorang jutawan. Sekali lagi Ariq tersenyum. Dia dan Hafiya, bagai langit dengan bumi. Enggang dengan pipit.
Bagaimana mungkin untuk dia setuju menikahi Hafiya dan membiarkan gadis itu hidup dengannya sebagai isteri pemandu lori? Jangan beranganlah, Ariq!
“Sudikah Ariq mengambil cucu atuk ni sebagai isteri?” Hampir terjatuh rahang Ariq dibuatnya.
“Tuk!” Serentak Hafiya dan Ariq bersuara.
Kedua-duanya terkejut dengan keputusan Tan Sri Arman. Ariq dan Hafiya saling berpandangan seketika.
“Ariq, atuk harap Ariq tak terbeban dengan permintaan atuk ni. Ariq fikir dulu. Bila Ariq dah buat keputusan, bagi tahu saja atuk.”
Hafiya mula panik. Cepat dia menghampiri Ariq. “Tak payah fikir-fikir lagi. Saya tak nak kahwin dengan awak. Awak balik sekarang dan jangan datang lagi!”
Hafiya terus menolak tubuh Ariq sehingga hilang dari muka pintu.

Serentak itu lamunan Ariq terhenti bila Abang Imam datang menepuk bahunya. “Tak ada gas nak dihantar ke, Riq?”
Ariq hanya senyum hambar sambil menghulurkan fail kepada Abang Imam.
“Banyak pula gas kau kali ni. Kena bawa dua orang attendant ni, Riq.”
“Dah, Abang Imam. Aku dah minta Salleh dan Man tu temankan aku.”
“Jauh jugak kali ni. Sampai ke Seremban sana. Bermalamlah nampaknya.”
Ariq senyum lagi tanpa membalas soalan Abang Imam. Kusut. Kusut benar jiwanya kini.
“Kau ni kenapa, Riq? Muram saja abang tengok.” Abang Imam menegur. Jarang benar dia melihat Ariq termenung begitu.
“Entahlah Abang Imam. Mak dekat kampung tu membebel aje suruh kahwin.” Selepas menuturkan ayat itu, Ariq dan Abang Imam sama-sama ketawa.
“Kalau mak tu dah suruh kahwin, kahwin sajalah Riq. Susah apa?” Abang Imam masih lagi dengan tawanya yang masih bersisa.
Ariq mengeluh. Setiap hari maknya di kampung pasti bising menanyakan tentang status bujangya.
“Susah-susah Riq, kahwin saja dengan gadis pilihan mak kau tu. Habis cerita. Pilihan orang tua ni selalunya yang terbaik.”
Alahai, Abang Imam, bukan tak nak kahwin. Macam mana nak kahwin kalau ekonominya sendiri masih belum stabil. Tinggal pun masih di rumah flat yang disewa daripada orang. Lebih-lebih lagi berada di zaman GST, semua barang meningkat. “Tak apalah Abang Imam. Aku saja saja nak main-main. Tak pening pun soal jodoh. Kalau ada, adalah. Kalu tak ada, Allah kan masih ada.”
“Abang tahu, Riq. Atau kau masih pening dengan gadis pujaan kau tu? Siapa tu, cucu jutawan?”
Pantas Ariq menoleh. Cucu jutawan dan pemandu lori seperti dia? Sememangnya tidak layak bergandingan.
“Hesy, ada pula fikir sampai ke situ. Ni, Abang Imam, jangan percaya sangat budak Man tu. Melebih saja dia!”
“Kalau betul apa salahnya, Riq?” Abang Imam bersuara lagi.
Ariq pula hanya mampu tersenyum. Dengan Hafiya? Rasanya tak tercapai dek akal. Dia tidak pernah termimipi sejauh itu. Tidak mungkin juga untuk dia menunaikan permintaan Tan Sri Arman jika cucunya sendiri menentang keras permintaannya itu. Mahu berantakan rumah tangganya nanti.

TERLEPAS sudah garpu di tangan Kuza bila mendengar kata-kata anak saudaranya itu. Kahwinkan Hafiya dengan Ariq? Budak pemandu lori treler tu?
“Fida ni biar betul? Mana Fida dengar cerita tu?” Kuza seolah-olah tidak percaya. Mana mungkin ayahnya itu sanggup menjodohkan cucu kesayangannya dengan pemandu lori treler macam itu. Bukan Kuza tidak tahu, betapa sayangnya ayahnya itu kepada Hafiya.
“Ya mak su. Fida dengar sendiri dari mulut Fiya. Dia memang tak nak kahwin dengan pemandu lori tu.” Hafirda meyakinkan lagi. Dia sendiri terkejut bila diberitahu tentang berita itu.
Kuza terdiam sekejap seolah-olah berfikir sesuatu. Banyak persoalan yang berlegar dalam fikirannya sekarang. Kenapa ayahnya itu sanggup membuat keputusan sedrastik itu?
“Mak su fikir apa tu?” soal Hafirda. Namun soalannya tidak berjawab. Teh susu yang masih panas dikacau dan dihirup perlahan. Sempat dia mengunyah roti berinti kacang.
“Kejap, bagi mak su fikir.”
“Fida?” panggil Kuza tiba-tiba.
“Ya, mak su.”
“Budak lelaki tu kerja apa?” soal Kuza seolah-olah berminat.
“La... Kan dah cakap, dia tu cuma pemandu lori treler. Bukan sesiapa,” tekan Hafirda lagi. Naik berbuih sudah mulutnya menyebut pemandu lori treler sejak semalam. Ini semua gara-gara Hafiya yang mengadu bahawa datuk memintanya mengahwini pemandu lori treler tersebut.
“Keluarga dia? Tak, maksud mak su, dia tu anak orang ‘ada-ada’ ke?”
“Mak su, kalau dia anak orang berada, takkan punya dia kerja jadi pemandu lori treler tu. Tolonglah mak su, kerja tu menjijikkan kut. Angkat tong-tong gas, bawa lori siang malam. Kalau Fida jadi Fiya, Fida pun tak nak kahwin dengan orang yang kerja macam tu. Baik Fida kahwin dengan pegawai bank saja. Okey lagi daripada pemandu lori treler,” bebel Hafirda tiba-tiba.
Kuza ketawa sikit. Namun, bila difikirkan semula, ada betulnya kata-kata anak saudaranya itu.
“Jadi, mak su memang tak boleh fikir kenapa atuk nak kahwinkan dia dengan Fiya. Buntu mak su ni, Fida.” Kuza sudah garu kepala. Malas berfikir panjang dia menyuapkan kembali bihun goreng ke dalam mulutnya.
“Jangan-jangan lelaki itu saudara-mara jauh atuk kut,” teka Hafirda.
“Mustahil Fida. Kalau ya, mak su memang dah tahu.” Kuza pula menyangkal.
Hafirda diam.
“Mak su, Fida ni sebenarnya tak kisah langsung si Fiya tu nak kahwin dengan lelaki tu. Bagus apa. Dia akan ikut lelaki itu, hidup susah sebagai isteri pemandu lori treler. Cuma, apa yang Fida risaukan, atuk tu. Atuk macam... baik sangat dengan lelaki tu. Sikit-sikit, Ariq. Itu, Ariq. Ini, Ariq! Nanti, silap hari bulan, semuanya Ariq. Termasuk harta dia.” Hafirda mula meluahkan kerisauannya sejak tadi.
Membuntang mata Kuza memandang anak saudaranya.
“Betul juga tu, Fida. Apa kita nak buat sekarang?” Kuza mula panik.
“Shahrul ada beri rancangan. Dia kata, kita kena cari calon suami untuk Fiya.”
Kuza melopong mendengarnya. Calon suami? “Siapa pula kita nak cilok ni, Fida?”
“Itu mak su yang uruskan. Fida mana tahu. Fida dan Shahrul akan uruskan yang lain.”
“Yang lain?” Kuza mula sangsi.
“Yalah, mak su. Nasib baik tau suami Fida itu sanggup membantu.”
“Bercakap pasal suami kamu. Mak su dari tadi tak nampak dia. Tak masuk ofis lagi? Atau pergi menyimpang mana-mana.” Kuza mula membebel.
Dia memang tidak ada masalah dengan Shahrul, suami anak saudaranya itu. Cuma sikap Shahrul yang tidak serius dalam berkerja itu yang menyakitkan matanya.
“Mak su, Shahrul pergi branch kita dekat Shah Alam tulah.”
“Ha, mak su memang dah hafal benar dengan jawapan kamu. Bila ditanya, mesti kamu jawab si tu Shahrul pergi branch kita dekat Shah Alam. Naik boring dah mak su dengar jawapan kamu.”
Hafirda hanya mencebik. Tidak kisah dengan pandangan ibu saudaranya itu.

PHEWITTT!!” Man Acong bersiul. Mengusik gadis-gadis yang baru melintasi meja mereka.
Si Salleh pula lain cerita. Hanya matanya yang dikenyitkan untuk menyakat gadis-gadis tersebut. Alahai, memang mata keranjang.
Fuhyo, Salleh. Gadis-gadis Minangkabau ni memang cantik-cantik,” ujar Man Acong penuh semangat.
“Itulah pasal. Naik sakit kening aku ni asyik kenyit-kenyit dari tadi.” Salleh pula menyokong. Sejurus itu mereka berdua turut sama ketawa.
Salleh dan Man Acong memang tidak boleh bertemu. Bagai isi dengan kuku. Perangai yang sama. Si Man Acong memang tidak boleh nampak perempuan dahi licin sikit. Salleh pula, walaupun pemalu, boleh tahan juga perangai mata keranjangnya itu. Tawa mereka mati tiba-tiba bila Ariq yang dari tadi bercakap telefon mula mengeluh berat. Man Acong mengerling sedikit ke arah Salleh.
“Siapa yang call tadi, Riq? Sampai muka kau macam ayam berak kapur,” tanya Man Acong. Teh tarik terus dihirup sedikit.
“Tan Sri,” jawab Ariq pendek. Rambutnya diraup ke belakang. Air sirap yang dipesaannya tadi disisip sedikit sebelum pandangannya dihalakan ke sekeliling, mengamati kesibukan di kedai tepi jalan tersebut.
“Datuk minah Nissan Skyline yang sombong tu ke?” Salleh menyampuk. Dia memang tidak pernah bersua muka dengan gadis yang sering diceritakan oleh Man Acong itu. Namun, sejak kebelakangan ini semakin kerap pula dia mendengar nama itu.
“Siapa lagi,” jawab Man Acong.
“Kenapa Tan Sri tu call kau, Riq?” Cawan teh tarik diangkat untuk dihirup.
“Dia nak jodohkan aku dengan cucu dia.” Ariq jawab ringkas.
Namun, teh tarik yang diminum Man Acong sudah tersembur keluar. Tepat mengena muka Salleh yang berada di hadapan.
“Oi! Agak-agaklah!” Salleh sudah naik angin.
Ariq pula hanya mampu meyembunyikan senyumannya. Memang kena sangatlah Man Acong dan Salleh tu.
“Maaf, maaf, tak sengaja. Aku terkejut beruk ni, Leh.” Man Acong mencapai tisu dan diberikan kepada Salleh.
Kasar Salleh meyambut. Sekitar mukanya yang dimandikan dengan teh tarik Man Acong dilap bersih.
“Sekali lagi, Riq. Kau kata, Tan Sri, si jutawan tu, nak kau kahwin dengan cucu dia? Yang mana satu? Yang nombor satu ke minah Nissan Skyline yang sombong tu?” Semakin berminat pula Man Acong dengan topik tersebut sampai kerusinya ditarik dekat ke sebelah Ariq.
“Yang nombor satu tu dah kahwin. Kau nak laki dia sembelih aku ke apa?!” tempelak Ariq. Aduhai, si Man Acong ni. Sudahlah kepalanya sedia kusut, dia kusutkan lagi keadaan.
“Okey... Maknanya Riq, kau kena kahwin dengan Minah Nissan Skyline yang sombong tulah?” Salleh menyampuk setelah selesai kerjanya.
Ariq diam. Angguk pun tidak, menggeleng pun tidak. Man Acong dan Salleh saling berpandangan. Tidak lama selepas itu mereka berdua tiba-tiba menjerit.
“Durian runtuh!” Serentak mereka berdua menjerit.
Terkejut Ariq dibuatnya. Pengunjung yang datang menjamu selera di kedai tepi jalan tersebut turut menumpukan perhatian kepada mereka.
“Kau orang ni dah, kenapa?”                          
“Tak lama lagi, minah Nissan Skyline yang sombong tu jadi kakak ipar kamilah?” ujar Salleh penuh semangat. Senyum sampai ke telinga lagi.
Ariq geleng kepala.
“Bila masa aku cakap aku setuju nak kahwin dengan dia?” Ariq mendengus rimas. Boleh sakit jantung dek Man Acong dan Salleh ini.
“Riq, tuah ayam nampak di kaki. Tuah manusia, siapa tahu Riq? Ini rezeki kau. Jangan tolak rezeki. Bak kata nenek aku, bala jangan dicari, rezeki jangan ditolak. Eh, betul ke tak peribahasa aku ni?” Man Acong mulalah dengan falsafahnya.
“Aku tak kahwin dengan dia kerana duit dia yang bertimbun tu.”
“Siapa cakap macam tu? Kami dah tahu, Riq. Kau sebenarnya sudah lama tangkap cintan dengan minah Nissan Skyline tu,” sambung Man Acong lagi.
“Bila masa pula aku tangkap cintan dengan dia? Kau ni kan, memang pandai-pandai buat cerita, kan?”
“Riq, mata tak boleh menipu tau.” Salleh pula bersuara.
“Eh, dahlah. Tak habis kerja aku layan kau orang berdua ni. Jom sambung kerja. Tinggal satu tempat lagi nak hantar gas-gas tu. Selepas ni, kita balik KL.” Ariq pantas berjalan menuju ke lori treler yang diparkir di bahu jalan.
Ya, dia akan balik ke KL malam ini dan akan berjumpa dengan Tan Sri Arman di atas permintaan lelaki itu tadi. Entah kenapa Ariq tidak mampu mengatakan tidak pada permintaan itu. Sejujurnya, setelah dia menolak permintaan Tan Sri Arman, hatinya seolah-olah meronta-ronta. Dia sendiri semakin keliru. Namun, bila mengenangkan dirinya yang tidak punya apa-apa dan tidak layak untuk bergandingan dengan Hafiya, dia jadi nekad untuk membantah keputusan tersebut.
Ya, aku tak nak. Aku tak nak perkahwinan ni! Ariq membulatkan hati. Tiada guna memaksa hati dalam perhubungan tanpa cinta.

SHAHRUL tunduk menyelimuti Tan Sri Arman dengan perlahan. Satu senyuman terukir di bibirnya. Dia yakin Tan Sri Arman sedang tidur dengan lenanya.
“Bang, kenapa abang bawa Fida ke sini malam-malam macam ni? Jomlah kita balik. Dah lewat sangat ni. Esok Fida kerja tau.” Hafirda medengus geram. Jam di tangan ditilik. Sudah hampir menunjukkan pukul 10.00 malam. Tadi dia terpaksa akur bila Shahrul membawanya ke hospital untuk melawat Tan Sri Arman.
“Kita jenguk atuklah sayang. Lagipun, sejak atuk kemalangan hari itu. Abang baru sekarang ada masa nak jenguk,” balas Shahrul dengan senyuman.
Hafirda jadi pelik. Sejak bila pula suaminya ini jadi penyayang sangat? “Esoklah kita datang balik. Sekarang ni kita balik tidur saja.”
Shahrul diam sambil memandnag Tan Sri Arman yang sedang lena tidur. “Kita tak boleh tunggu esok, sayang.”
Hafirda kerut dahi.
“Apa maksud abang ni?” Hafirda menyoal sedikit kasar.
“Datuk serius dengan rancangannya untuk kahwinkan Fiya dengan budak lori treler tu. Kita kena cepat bertindak sebelum semuanya musnah,” jelas Shahrul.
Hafirda semakin buntu. Dia masih tidak dapat menangkap maksud di sebalik kata-kata suaminya. “Maksud abang?”
“Kalau Fida tak nak merempat nanti. Fida kena lakukan jugak.”
“Abang, kan Fida dah cakap, mak su sekarang tengah carikan jodoh untuk Fiya. Kita tak perlu risau. Fiya takkan kahwin pun dengan budak tu. Mana Fiya nak kahwin dengan pemandu lori,” ujar Hafirda dengan yakin.
“Sayang, dengar apa yang abang nak cakap. Fiya akan ikut segala kemahuan atuk. Kerana dia sayangkan atuk dia ni. Lambat-laun, dia akan setuju jugak. Kita betul-betul tak ada masa sekarang. Sayang kena buat jugak. Letak ubat ni dalam saluran ni.”
Mulut Hafirda terlopong. Besar mataya melihat jarum suntikan di tangan suaminya.
“Abang nak bunuh datuk ke?” soal Hafirda separuh berbisik.
“Tak. Gila ke? Datuk tak boleh mati dulu selagi dia belum tukar wasiat dia. Ubat ni cuma untuk lumpuhkan atuk,” jelas Shahrul.
Hafirda diam seribu bahasa. Tangannya bergetar menahan rasa takut. Tidak pernah terlintas di fikirannya untuk bertindak sejauh ini.
“Sayang...” panggil Shahrul.
Hafirda geleng kepala. Tidak sanggup!
Shahrul menggeleng kesal. Lengan Hafirda terus dipaut.
“Sayang dengar sini. Kalau kita tak bertindak seperti ini, datuk akan serahkan semua hartanya kepada cucu kesayangannya tu. Fida dan mak su takkan dapat apa-apa. Ini untuk masa depan kita, masa depan anak-anak kita nanti. Abang lakukan semua ni, untuk sayang.” Shahrul cuba meyakinkan isterinya.
“Bagaimana dengan Fiya?” soal Hafirda perlahan.
“Selepas atuk tukar wasiat, baru kita selesaikan Fiya dan datuk. Sayang tak perlu risau.”
Hafirda diam sekejap. Memikirkan baik buruk apa yang akan dia lakukan.
“Betul ubat ni hanya akan lumpuhkan atuk?” tanya Hafirda.
Shahrul angguk.
Hafirda menarik nafas perlahan lalu dihembus untuk menghilangkan rasa gentarnya. Perlahan dia menghampiri Tan Sri Arman yang masih berbaring. Maafkan Fida, tuk.
“Atuk!” Satu suara tiba-tiba menyergah dari belakang.
Cepat-cepat Hafirda memasukkan jarum suntikan berisi ubat itu ke dalam beg tangannya.
Ariq memandang dua wajah di hadapannya tanpa sebarang riak. Tajam pandangannya menikam wajah Shahrul yang kemerahan memandangnya.
Hafirda berdeham.
“Kau buat apa di sini?” soal Hafirda takut-takut, namun ada getar di setiap nafasnya.
Ariq melangkah perlahan sambil mengeluarkan telefon bimbit dari poket seluarnya.
“Atuk yang telefon aku petang tadi, minta aku datang,” ujarnya sambil menayangkan telefon bimbit Nokia model lamanya.
Hafirda dan Shahrul saling berpandangan.
“Atuk dah tidur. Jangan ganggu dia. Kau boleh datang esok saja,” balas Shahrul lagi.
Ariq mengangguk faham. “Tak apa, aku boleh tunggu. Lagipun, aku dah lama tak jenguk dia.”
“Tapi...”
“Sayang, jom kita balik. Lagipun, sayang dah tolong tidurkan atuk tadi, kan?” Shahrul terus menarik lengan Hafirda mengikutinya.
Ariq hanya menghantar langkah mereka dengan pandangan yang sukar untuk ditafsirkan. Betul ke apa yang baru dia dengar seketika tadi? Mereka merancang untuk bunuh Tan Sri Arman dan Hafiya?
“Sekarang Ariq faham kenapa atuk berkeras nak Ariq kahwin dengan Hafiya?” Suara Tan Sri Arman mencelah tiba-tiba.
Mata Ariq terus memanah segenap ruang wajah Tan Sri Arman yang jelas dengan riak kecewanya. Siapa tidak kecewa andai keluarga bermusuhan kerana harta duniawi?
Ariq memejam matanya. Sungguh, dia benar-benar keliru sekarang. Rambut depannya sudah dikuak ke belakang. Pandangan mata Tan Sri Arman benar-benar menyesakkan jiwanya. Wajah itu benar-benar mengharapkan sesuatu daripadanya. Perlukah dia menikahi Hafiya hanya untuk melindungi gadis itu? Bagaimana dengan hati dan perasaan mereka? Bahagiakan rumah tangga mereka nanti?
Tan Sri Arman bangun sedikit dan bersandar pada bahu katil. Dia sebenarnya belum tidur sewaktu Hafirda dan suaminya datang. Ya, dia tahu yang dia telah membahayakan nyawanya. Andai kata Ariq tiada tadi, sudah semestinya nyawanya sudah bercerai daripada badan. Sekali lagi Ariq menyelamatkannya.
“Lambat atau cepat Ariq akan tahu perkara ni. Banyak lagi rahsia dalam keluarga atuk yang Ariq akan tahu. Buat masa sekarang, dengan keadaan atuk yang tak berapa sihat, atuk tak boleh nak melindungi Hafiya. Sebab itu bila dulu dia katakan hasrat nak mengahwini arwah Nizam, atuk terus beri restu. Atuk nak ada seseorang yang sentiasa berada di sisi dia, untuk jaga dan lindungi dia.” Panjang lebar ujaran Tan Sri Arman membuatkan Ariq bingung sendiri. Apa yang perlu dia lakukan?
“Hafiya tahu?” Sepatah Ariq bertanya namun jelas kerutan di dahinya.
Tan Sri Arman menggeleng perlahan. “Pada Hafiya, dia punya keluarga yang bahagia. Seorang kakak dan ibu saudara yang sentiasa memberi semangat dan kasih pada dia. Dia tidak pernah tahu siapa mereka sebenarnya.”
Ariq memejam mata. Dalam diam dia mengasihani gadis naif bernama Hafiya itu. “Kenapa atuk bezakan mereka? Maksud saya Hafirda dan Hafiya?”
Tan Sri Arman berdeham panjang.
“Suatu hari nanti, Ariq akan tahu kenapa.” Tan Sri Arman masih berteka-teki.
Ariq menghembus nafas panjang. Wajah Tan Sri Arman dipandang tanpa kelip. “Saya setuju, tuk.”
Ariq menunduk, namun dia sempat berdoa semoga keputusan itu adalah keputusan yang terbaik dia buat. Bukan saja demi Hafiya bahkan untuk dirinya juga. Maafkan aku, Hafiya.

Monday, October 26, 2015

Pandu Arah Ke Hati

Bab 7

“PAK CIK tak apa-apa? Kalau tak baik lagi, saya boleh tolong hantarkan ke hospital.” Ariq bertanya lagi selepas beberapa minit dia membantu pak cik tersebut untuk makan ubat kerana tiba-tiba terkena serangan jantung.
Pak cik tersebut hanya mengangguk sambil tangannya masih memegang bahagian dada yang terasa perit.
Ariq memandang penuh kerisauan. Mujur saja mata Ariq cepat menyapa sebuah kereta Mercedes yang sudah tersadai di bahu jalan. Bila Ariq turun untuk membantu, panik dia dibuatnya bila melihat keadaan pak cik tersebut sudah tercungap-cungap mencari nafas. Ariq melirik sedikit ke wajah yang sudah dimamah usia tersebut. Kelihatan tenang walaupun tadi dilanda sesak nafas.
“Pak cik betul-betul dah okey ke?” soal Ariq hanya untuk memanstikan keadaan pak cik tersebut semakin membaik.
“Pak cik okey, nak.”
Ariq menghembus nafas lega bila pak cik tersebut sudah mula bersuara.
“Selepas ini, pak cik kena terus ke hospital. Pak cik nak saya tolong hubungi keluarga pak cik ke?” Ariq sekali lagi menawarkan diri untuk membantu.
Pak cik itu hanya senyum sambil membetulkan duduknya. Terasa lapang sedikit dadanya. Mujur saja tidak banyak kenderaan yang lalu di kawasan itu, kalau tidak dia tidak tahu apa nasibnya.
“Terima kasih sebab tolong pak cik,” ujar pak cik itu bersungguh-sungguh.
“Eh, tak apa pak cik. Saya cuma tolong berikan ubat saja.” Ariq bersikap merendah diri.
“Tak tahu pula tiba-tiba terkena serangan jantung ni. Selalunya sakit pak cik ni tak selalu datang menyerang. Kalaulah cucu pak cik tahu memang tak dapatlah pak cik nak memandu sendiri.”
Ariq tersenyum. Sempat lagi pak cik itu bergurau di saat bagitu. “Terima kasih banyak-banyak ya. Kalau tidak keberatan, jom kita sarapan sama-sama.”
“Tak mengapa pak cik. Lagipun saya tengah berkerja sekarang.” Ariq menolak lembut.
“Kerja?”                     
Ariq angguk, lalu tangannya menunjukkan sebuah lori treler yang penuh berisi tong gas yang masih diparkir di bahu jalan.
Pak cik tersebut hanya mengangguk tanda faham. Tidak lama selepas itu dia mengeluarkan sekeping kad dan dihulurkan kepada Ariq. “Ini kad pak cik. Kalau perlu apa-apa pertolongan atau kerja yang lebih baik, telefon saja pak cik. Insya-Allah, pak cik akan bantu.”
Ariq kehairanan, namun disambut juga huluran kad pak cik tersebut.

ARIQ tersedar bila terasa bahunya dilanggar oleh seseorang. Tangan kirinya terus menggosok bahu kananya yang terasa pedih.
“Eh, buta ke?” Serentak itu juga telinganya menangkap suara nyaring dari arah belakang.
“Apa...” Terlopong kedua-duanya. Hanya pandangan mata yang berbicara.
Gadis itu tersenyum sinis. Riak yang sering dia pamerkan kepada lelaki bernama Ariq itu. “Awak lagi? Buat apa pula ke mari?”
Kali ini giliran Ariq pula yang tersenyum. Soalan jenis apakah yang ditanya oleh perempuan sombong itu? Ariq meliarkan matanya memandang ke sekeliling. Dia kini berada di hospital. Tempat di mana datuk perempuan sombong itu dirawat. Ariq merapatkan sedikit dirinya ke arah gadis tersebut. Bila Ariq merapat, gadis itu pula semakin mengundur.
“Boleh ulang tak soalan kau tadi? Kau tanya, aku buat apa ke sini?” Ariq mencerlungkan biji matanya.
Hafiya mati kata. Dia hampir lupa yang dia menelefon lelaki tersebut semalam.
“Kau nak aku jawab soalan ‘bijak’ kau tu?” Ariq senyum senget. Seronok rasanya melihat riak bersalah gadis itu.
“Tak, maksud saya, kenapa datang hari ini? Saya call awak semalam, kan? Sepatutnya semalam awak kena datang.” Yes! Hafiya ketawa dalam hati. Gembira kerana dapat mencari alasan untuk mengalahkan lelaki itu.
Ariq diam. Jauh pandangannya memandang wajah Hafiya. Tanpa sebarang mekap. Sedikit lesu, namun masih lagi ada serinya. Sempat pula Ariq menilik wajah itu.
“Kenapa diam?” Dengan sombong Hafiya bertanya sambil berpeluk tubuh.
“Aku diam, sebab seingat aku, tak ada pun kau kata nak aku datang dengan segera. Kau cuma cakap, yang datuk kau nak jumpa aku saja. Aku yang pelupa atau kau yang sengaja mencipta alasan nak jumpa aku sangat?”
Membuntang biji mata Hafiya memandang Ariq. Menggeleng Hafiya dibuatnya, sama sekali dia tidak menyangka yang Ariq boleh menuturkan ayat begitu. “Execuse me! Jangan nak perasan boleh tak? Awak tu cuma pemandu lori treler. Siapa yang nak sangat jumpa dengan awak?”
Ariq senyum tenang. Tiada tanda bahawa dia terasa dengan kata-kata Hafiya.
“Kau jangan pandang rendah dengan pemandu treler seperti aku. Sebab, kau tak tahu, yang aku juga boleh pandu hati kau ke hati aku.” Ariq senyum sinis sebelum melangkah laju meninggalkan Hafiya yang masih terkulat.
Terbakar Hafiya dibuatnya. Pandu hati aku ke hati kau? Huh, mimpilah! desis Hafiya geram.
                                                                                     
TERSENYUM Tan Sri Arman melihat Ariq yang sudi datang melawatnya. Rupa-rupanya, dia adalah lelaki sama yang pernah menyelamatkannya setahun yang lalu. Kecil sungguh dunia ini. “Sepatutnya pak cik yang datang jumpa dengan Ariq dan ucapkan terima kasih. Ini terbalik, Ariq pula yang datang jumpa dengan pak cik.”
Ariq yang masih berdiri di kaki katil hanya tunduk mengangguk. Hanya sesekali dia menjawab apabila ditanya oleh lelaki itu.
“Ariq...” panggil Tan Sri Arman lagi.
“Ya, Tan Sri.”
Tan Sri Arman senyum lalu menggeleng perlahan.
“Tak payah nak bertan Sri sangat. Panggil saja macam dulu. Panggil pak cik. Tapi lebih bagus kalau panggil datuk. Mesra sikit.” Rancak sungguh Tan Sri Arman berbual.
Hafiya yang turut berdiri di sebelah kanan katil hanya tersenyum hambar.
“Dah kenal kan dengan Hafiya? Cucu atuk yang bongsu,” soal Tan Sri Arman lagi.
“Ya, dah kenal semalam.”
Tan Sri Arman tersenyum. “Baguslah kalau dah kenal. Ariq, atuk nak ucapkan terima kasih. Masuk kali ini, dah dua kali Ariq selamatkan nyawa atuk. Atuk benar-benar terhutang budi.”
“Tak mengapa...”                               
“Atuk, panggil saja atuk.”
Hafiya menjeling Ariq. Berbulu pula dia melihat layanan mesra datuknya kepada Ariq yang baru sahaja dia kenal.
“Datuk, tak apa. Tak menyusahkan pun. Lagipun, orang lain pun akan berbuat perkara yang sama kalau berada di tempat saya.”
“Ha, betul tu tuk. Sesiapa pun boleh buat begitu. Kan Ariq, kan?” Hafiya sengaja memaniskan mulut.
Tan Sri Arman memegang sekejap jemari Hafiya.
“Fiya, tak elok cakap begitu. Dia dah selamatkan atuk dua kali tau. Fiya kalau sayang atuk, kena banyak-banyak berterima kasih dengan dia,” nasihat Tan Sri Arman.
Hafiya sudah menarik muncung sedepa. Apatah lagi apabila melihat senyuman yang terlirik pada wajah Ariq ketika itu. Macam memerlinya saja.
“Ariq sekarang masih berkerja bawa lori treler tu ke?” tanya Tan Sri Arman lagi.
“Ya, tuk.”
Tan Sri Arman mengangguk lagi. Entah kenapa dia suka dengan perwatakan Ariq. Hormat orang tua. Yang paling utama rajin berkerja. Berkerja sebagai pemandu lori treler bukannya senang. Kadang-kadang siang malam terpaksa bekerja. Apatah lagi bila terpaksa menghantar pesanan di luar kawasan.
“Maaflah kalau atuk nak tanya lagi. Ariq ni dah kahwin ke?”
Melopong Hafiya dan Ariq mendengarnya.

“FIYA tak nak!” Keras Hafiya membantah.
Terkejut juga Tan Sri Arman dibuatmya. Tidak pernah dia melihat Hafiya sekeras itu.
“Fiya,” tegur Tan Sri Arman.
Mendengar suara datuknya itu, Hafiya mengeluh berat. Sedar akan keterlanjurannya.
“Maafkan Fiya tuk. Tapi, Fiya memang tak nak kahwin dengan dia. Atuk boleh minta apa saja dengan Fiya. Tapi, bukan ini. Bukan kahwin dengan pemandu lori tu!” Hafiya mendengus geram sambil menghentak kaki. Nampak sangat dia menentang keras keputusan datuknya itu. Tiba-tiba sahaja. Tidak pernah datuknya bersikap begitu.
“Inilah permintaan atuk Fiya. Atuk nak Fiya bahagia.” Tan Sri Arman masih bertegas dengan keputusannya.
“Tuk... Fiya akan bahagia kalau tidak kahwin dengan dia. Apa ni tuk? Atuk tak sayangkan Fiya ke? Sanggup ke atuk biarkan Fiya kahwin dengan pemandu lori treler tu? Tak naklah tuk!”
Tan Sri Arman mengeluh berat. Bagaimana untuk dia yakinkan cucunya itu bahawa keputusan ini dibuat demi kebaikannya juga? Demi keselamatan dan masa depan Hafiya. Tan Sri Arman yakin bahawa Ariq mampu melindungi cucunya itu nanti. Tidaklah dia susah hati walaupun selepas ketiadaannya nanti.
Tan Sri Arman memandang jauh ke wajah Hafiya yang jelas tidak setuju dengan permintaannya. Atuk lebih rela membiarkan Fiya kahwin dan hidup susah bersama pemandu lori daripada terpaksa hidup penuh dengan harta kekayaan, tetapi nyawa terancam.
“Tuk!” Hafiya sedikit menjerit memandang datuknya.
“Ya, sayang.”
“Atuk dengar tak? Fiya tak nak kahwin dengan pemandu lori tu.”
“Fiya, Fiya percayakan atuk tak? Pernahkah atuk buat keputusan yang menyusahkan hidup Fiya?”
Hafiya diam. Benar. Memang datuknya sentiasa membuat yang terbaik untuknya. Bahkan, setiap apa yang datuknya lakukan, adalah demi kebaikannya. Tetapi, kenapa kali ini, datuknya itu sanggup nak kahwinkannya dengan pemandu lori?
“Jangan pandang rendah pada orang lain Fiya. Kita tidak tahu apa masa depan dia. Atuk percaya, dia mampu bahagiakan Fiya.”
Buat sekian kalinya, Hafiya menggeleng perlahan. Dia memalingkan wajahnya daripada memandang wajah datuknya yang penuh harapan. “Maafkan Fiya tuk. Fiya tak mampu nak terima orang lain dalam hidup Fiya sedangkan hati Fiya ni masih mencintai arwah Nizam.”
Hafiya mencapai beg tangannya lalu berlalu pergi meninggalkan Tan Sri Arman yang kelihatan hampa.

Friday, October 23, 2015

Pandu Arah Ke Hati

Bab 6

SEPERTI biasa, Ariq memulakan tugasnya sabagai penghibur jalanan di kaki lima tersebut. Kereta kancil 850cc diparkir di tempat biasa. Sebelum keluar dari kereta, topi berwarna hitam dipasang dan cermin mata yang berwarna sama dilekat kemas di matanya. Itulah imejnya sebagai penghibur jalanan.
Ariq mencapai gitar cabuknya dari tempat duduk belakang. Langkah diatur menuju ke satu sudut. Jika diimbas kembali, sudah hampir lima tahun dia menjadi penghibur di kaki lima tersebut. Sebagai pendapatan tambahannya. Mujur saja dia bernasib baik kerana dikurniakan bakat memetik gitar. Jika diikutkan suaranya, tidaklah sesedap mana. Sedap telinga mendengar saja. Buktinya, sepanjang lima tahun dia di sini, belum pernah lagi dia dibaling dengan telur kerana nyanyiannya.
Selang beberapa minit, lagu nyanyian kumpulan ungu Tercipta Untukku mula berkumandang. Barisan lirik lagu mula didendangkan. Tidak sampai beberapa saat, sudah ada pengunjung yang berdiri di sekelilingnya. Itulah kebahagiaannya setelah bergelar penghibur di kaki lima tersebut. Ya, dia bukanlah sesiapa. Sekadar penghibur jalanan yang mendendangkan lagu sebagai punca pendapatan sahaja.
“Sepatutnya saya faham kenapa awak berperangai macam tu. Tak cukup jumlah seribu tu kalau dibahagi dua. Tak apa, ini saya naikkan lagi jumlahnya. Lima ribu ringgit. Cukup, kan?”
Petikan gitar Ariq tiba-tiba terhenti. Jarinya terluka dek tali gitar tersebut. Mata pengunjung mula memandang kepadanya. Tidak pernah lagi dia cuai begini. Entah kenapa, tiba-tiba sahaja wajah angkuh cucu orang kaya tersebut muncul di ruang matanya dan suara angkuh itu membunuh penghayatannya.
Pengunjung mula berpecah. Ariq mengambil kesempatan itu untuk duduk di sebuah bangku. Petikan gitar mula kedengaran, namun sumbang bunyinya. Tanpa sebarang nada.
“Eh, Riq, awal rehat malam ni?” Man Acong menegur.
Ariq menoleh sekejap sebelum memetik kembali gitarnya.
“Yang lain mana?” soal Ariq perlahan.
“Ada, dia orang dekat kedai mamak depan tu.” Man Acong memuncungkan mulutnya ke arah rakan-rakan mereka yang sedang menjamu selera di sebuah kedai mamak di seberang jalan.
“Kau pula tak pergi?” soal Ariq lagi.
Man Acong sengih sampai ke telinga. Melihat wajah itu Ariq terus menggleng kepala.
“Kali ini berapa pula?” tanya Ariq lagi seolah-olah faham dengan senyuman Man Acong itu.
“Kejap ya Riq, aku kira kejap. Milo ais, dua ringgit. Roti kosong empat keping. Dalam 10 ringgit macam tulah.”
Ariq menggeleng. Poket seluarnya diseluk sebelum mengeluarkan dua keping not 10 ringgit dan diserahkan kepada Man Acong.
Pantas saja tangan Man Acong mengambilnya. “Terima kasih Ariq. Kaulah kawan aku dunia dan akhirat. Hujung bulan kira ya.”
“Yalah tu. Yang bulan lepas ada baki lagi tahu.”
“Alah... Ya ke Riq? Ada lagi?” Man Acong pamer muka yang menjengkelkan.
“Kau nak kena hempuk dengan gitar aku ni ke?” Ariq sengaja mengugut.
“Kau ni sensitif sangat kenapa? Teringat kat minah sombong tu ke?”
Ariq terus memandang muka Man Acong.
“Jadi, betullah kau ingat kat dia?” Melopong mulut Man Acong. Matilah jika benar Ariq sudah tangkap cintan dengan minah sombong itu.
“Bagi balik duit aku.”
Man Acong terkebil-kebil.
“Ya? Ha... Tu Salleh panggil aku. Aku pergi dululah!” Man Acong terus berlari pantas menghampiri sekumpulan gengnya. Namun, tidak sampai beberapa langkah dia berhenti semula dan menoleh ke arah Ariq.
“Tapi Riq, perempuan sombong dan angkuh tu memang awesome Riq. Kau tak nak, aku nak!” Sempat lagi Man Acong menyakat. Pantas dia berlari sebelum gitar cabuk Ariq mengena kepalanya.
Ariq menggeleng sebelum meletakkan gitarnya ke tepi. Langsung dia tiada mood untuk menyanyi pada malam itu. Keluhan kedengaran. Di mana pergi semangatnya selama ini? Segalanya semakin kucar-kacir. Akhirnya, Ariq membawa tapak tangannya ke dada sambil menepuk-nepuk perlahan.
“Ada sesuatu yang sedang berlaku di sini,” ujar Ariq sendiri.
Selang beberapa ketika, telefon bimbit jenama Nokia berdering. Ariq terus menyeluk poketnya. Sebaris nombor yang tidak dikenali terpapar pada skrin kecil tersebut.
“Assalamualaikum,” sapa Ariq.
“Waalaikumussalam.”
Mendengar suara itu cukup membuatkan Ariq terjaga daripada ‘lena’ panjangnya.
“Jangan salah faham. Saya dapat nombor ni dari kaunter depan. Datuk saya dah sedar dan dia nak jumpa awak.”
Ariq tersedak. Datuk si sombong ni nak berjumpa dengannya? Tapi, kenapa?
“Saya telefon ni bukan nak minta persetujuan awak atau tak. Datang sini jumpa datuk saya.” Selepas menuturkan ayat tersebut, talian terus dimatikan.
Terkebil-kebil Ariq dibuatnya. Namun, panggilan tersebut membuatkan Ariq tersenyum sendiri. Tanpa sedar, gitar di sebelahnya ditarik ke dalam pelukan, lalu satu per satu tali gitar dipetik.

HAFIYA memandang datuknya yang masih terbaring kaku walaupun sudah sedarkan diri. Melihat keadaan datuknya yang tidak bermaya, Hafiya dirundung rasa sebak. Pipi tua itu disentuh. Sebuah senyuman diberikan buat datuknya itu. Sedikit sebanyak dia menyalahkan dirinya sendiri. Kerana dia datuknya kemalangan. Dia tahu, datuknya menyembunyikan rasa sedih atas keputusannya.
“Tuk...” panggil Hafiya perlahan sambil jemari menyentuh jemari datuknya yang sudah berkedut.
Tan Sri Arman membuka sedikit matanya. Wajah sembap cucunya dipandang. Pasti seharian cucunya itu menangis. Kasihan Hafiya!
“Fiya...” panggil Tan Sri Arman.
“Ya, tuk.”
“Ma... maafkan atuk,” ujar Tan Sri Arman dengan tergagap-gagap.
Hafiya menggeleng. Lantas dia mengusap rambut datuknya. “Fiya yang patut minta maaf.”
“Fiya tak salah.”
“Atuk pun tak salah. Fiya cuma nak atuk sihat semula.” Air mata Hafiya jatuh berderai sebaik sahaja menuturkan ayat tersebut. Sebak hatinya. Apa yang dia pasti, dia tidak mampu untuk harungi kehilangan datuknya itu.
“Tuk, atuk kena kuat. Atuk jangan tinggalkan Fiya. Fiya tak boleh kalau atuk tak ada.” Hafiya merintih lagi.
Tersentuh jiwa tua Tan Sri Arman mendengarnya. Laju jemarinya dibawa menyeka air mata di pipi itu.
“Atuk takkan tinggalkan Fiya. Insya-Allah, atuk takkan tinggalkan Fiya di saat begini.” Hafiya mendongak memandang wajah datuknya.
“Ayah!” Kuza datang tiba-tiba bersama Hafirda.
Tan Sri Arman menoleh, melihat anak dan cucu sulungnya. Berubah terus riak wajahnya.
“Syukurlah ayah dah sedar. Risau Kuza dibuatmya. Maaf Kuza tak dapat jaga ayah semalam. Kuza ada meeting dengan pembekal,” jelas Kuza panjang lebar.
Hafiya bergerak ke tepi, berdiri di sebelah kakaknya.
“Tak apa, ayah pun dah sedar,” jawab Tan Sri Arman ringkas.
“Tuk, kenapa sampai boleh jadi macam ni?” Hafirda pula bertanya.
Tan Sri Arman berdeham sekejap. Sempat lagi matanya menjamah wajah Hafiya yang kepenatan.
“Atuk tak apa-apa Fida. Jangan risau. Tolong jaga syarikat untuk atuk,” pesan Tan Sri Arman. Mendengar itu, Hafirda terus tersenyum lebar sampai ke telinga.
“Atuk jangan risau. Serahkan pada Fida dan mak su. Kan, mak su?” Hafirda menggamit emak saudaranya pula.
“Ya ayah, jangan risaukan Arman Group. Yang penting ayah sihat,” sokong Kuza pula.
“ Eh, Fiya, flight kamu ke England macam mana?” soal Kuza tiba-tiba.
“Fiya tangguhkan, mak su. Fiya nak tunggu sampai atuk benar-benar sihat,” balas Hafiya dengan nada penuh risau.
Kuza dan Hafirda saling berpandangan. Ada riak tidak senang pada wajah mereka. Tan Sri Arman hanya diam, namun sempat mata tuanya menangkap riak wajah anak dan cucu sulungnya.
Kuza bergerak menghampiri anak saudaranya itu.
“Fiya, pasal atuk Fiya janganlah risau. Mak su dan Kak Fida ada. Kami bolehlah tolong tengok-tengokkan atuk. Yang penting Fiya tu, kena pulihkan semangat itu kembali,” jelas Kuza panjang lebar. Tangan Hafiya digenggam erat.
Hafiya memandang wajah datuknya. “Tak apalah mak su, Fiya nak jaga atuk dulu.”
“Tapi, Fiya...”
“Sudahlah tu, Kuza. Kan bagus Fiya nak duduk sini dulu dengan kita? Lagipun ayah memang tak setuju Fiya duduk jauh daripada kita,” bangkang Tan Sri Arman lagi.
Kuza hanya mampu tersenyum dan akur dengan keputusan ayahnya. Memang dari dulu lagi ayahnya itu akan melebihkan Hafiya, cucu kesayangannya!
“Fiya, kamu dah telefon orang yang selamatkan atuk ke?” Tan Sri Arman bertanya tiba-tiba.
Kuza dan Hafirda terus menumpukan perhatian kepada Hafiya.
Hafiya hanya angguk. “Ya, tuk. Insya-Allah, dia akan datang.”
“Siapa yang ayah maksudkan?” Kuza bertanya, langsung tidak tahu hujung pangkal cerita.
“Orang yang selamatkan ayah hari itu. Ayah berhutang nyawa dengan dia. Kalau tiada dia, ayah tak tahu apa yang akan jadi dengan ayah,” jelas Tan Sri Arman dengan perlahan walaupun dalam keadaan sedikit lemah.
“Siapa Fiya?” soal Hafirda pula.
“Entah, kak. Fiya tak pasti siapa. Fiya pun tak berapa kenal. Atuk yang nak sangat jumpa dia.”

“UHUK! Ariq pantas mencapai cawan yang berisi teh tarik. Air yang masih bersisa setengah terus diteguk rakus. Roti canai kosong yang dikunyahnya tadi terasa melekat di kerongkongnya.
“Itulah Ariq, makan tak baca bismillah,” ejek Salleh sambil ketawa besar.
“Mat, kau nak tahu kenapa abang kau ni tersedak? Semuanya gara-gara minah Nissan Skyline yang sombong tu!” sakat Man Acong diiringi gelak tawa besarnya.
“Minah Nissan Skyline yang sombong?” Abang Imam pula menyampuk.
“Abang Iman jangan dengarlah cakap Cina kapur tu. Pandai saja!” sangkal Ariq lagi.
Abang Imam merupakan orang yang paling tua dalam geng mereka. Sudah punya anak dua orang. Dua-dua lelaki. Basri pula muda dua tahun daripada Abang Imam. Sudah berkahwin, tapi belum punya anak. Man Acong dan Salleh pula muda daripada Ariq.
“Tunggu kejap. Aku pun nak tahu siapa minah Nissan Skyline yang sombong tu? Cantik ke? Bolehlah kenalkan kat geng kita. Betul tak Man?” Salleh pula menyampuk dan mengiakan kata-kata Man Acong. Rugi kalau tidak mengorek rahsia sekarang. Bukan selalu mendengar Ariq digosipkan dengan mana-mana perempuan.
“Salleh, jangan percayakan si Man tu. Lebih-lebih saja dia. Bukannya kenal sangat pun dengan perempuan tu,” sangkal Ariq lagi. Namun, figura gadis sombong dan wajah garang Hafiya mula bermain di ruang matanya. Tanpa sedar tersenyum sendiri Ariq dibuatnya.
“Eh, ni senyum-senyum sendiri ni, kenapa? Adalah tu...” sakat Abang Imam. Mula menyertai Man Acong dan yang lain untuk mengusik Ariq. Mencukupkan korum.
“Eh, tak ada apa-apalah Abang Imam.” Ariq sudah garu kepala. Malu pula apabila disergah oleh Abang Imam begitu.
“Ariq, kalau dah suka tu, bagi tahu saja. Nanti melepas, disambar orang, kau juga yang gigit jari.”
Man Acong dan geng yang lain sudah ketawa terbahak-bahak. Selalu Ariqlah yang akan menyakat mereka. Namun, apabila melihat Ariq yang menjadi mangsa lucu pula jadinya. Muka Ariq sudah kemerahan dibuatnya. Tahu malu!
“Tak adalah sampai macam tu sekali, Abang Imam. Si Man Acong ni saja yang lebih-lebih.”
“Tak salah Ariq kalau dah jodoh.”
“Dengar tu Riq, tak salah kalau hati dah berkenan,” sampuk Salleh, memeriahkan lagi suasana.
“Ni Riq, satu soalan saja abang nak tanya kau. Siapa aje si gadis bertuah yang dah berjaya mencairkan hati kau tu?” Abang Imam bertanya lagi.
“Siapa lagi Abang Imam, kalau bukan cucu jutawan yang diselamatkan oleh Ariq tempoh hari,” ujar Man Acong.
Melopong mulut semuanya. Tinggi juga taste si Ariq ni. Bukan calang-calang orang yang dipujanya. Cucu jutawan? Abang Imam hanya mampu menggelengkan kepala.

Tuesday, October 20, 2015

Pandu Arah ke Hati

Bab 5

ARIQ dan Man Acong masih lagi duduk di ruang menunggu. Orang yang diselamatkan oleh mereka tadi masih lagi berada dalam unit kecemasan. Dalam perjalanan menghantar pesanan tong-tong gas kepada pelanggan, Ariq dan Man Acong melihat kereta yang tersadai di bahu jalan. Rupa-rupanya, kereta Mercedes yang dipandu oleh warga emas itu terbabas apabila melanggar penghadang jalan.
“Riq, Mr. Alex call dari tadi ni. Macam mana ni?” Man Acong pula tidak senang duduk bila Mr. Alex tidak berhenti menghubungi mereka dari tadi. Tidak dapat menghubungi Ariq, dia pula yang menjadi mangsa.
Dahi Ariq masih berkerut dari tadi. Dia masih cuba mengingati di mana dia pernah jumpa lelaki itu? Wajahnya seperti pernah dia jumpa, tapi lupa pula di mana.
“Ariq!” panggil Man Acong sedikit kuat.
“Ya!” Ariq tiba-tiba menjerit.
“Kita kena gerak sekarang sebelum Mr. Alex bertukar jadi raksasa,” sambung Man Acong.
“Aku ingat dah.”
Man Acong kerut dahi. Hairan dengan tingkah Ariq.
“Dialah pak cik yang aku cakap dulu,” sambung Ariq lagi.
Dahi Man Acong masih lagi berkerut. “Pak cik mana pula ni, Riq?” Man Acong garu kepala. Sudahlah dia pening dengan deringan telefon yang tidak berhenti dari tadi.
“Ingat lagi tak aku pernah bagi tahu yang aku terserempak dengan seorang pak cik yang terkena serangan jantung? Bagi aku kad dan tawarkan aku kerja yang lebih baik sebagai tanda terima kasih. Ingat lagi tak?” Ariq cuba mengorek sejarah setahun yang lalu.
Dia masih ingat lagi wajah ramah lelaki tua yang masih bertarung nyawa dalam unit kecemasan tersebut. Dialah lelaki sama yang terkena serangan jantung setahun yang lepas. Patutlah dia rasa dia pernah jumpa lelaki itu.
“Riq, jomlah kita sambung balik kerja kita. Nurse itu pun dah hubungi keluarga dia.” Man Acong berbicara lagi.
Matilah nanti kena dengan penyelia mereka yang cekik darah itu. Ada saja salah yang dicari untuk memotong gaji mereka. Sudahlah gaji mereka bulan lepas kena potong dek cermin sisi lori yang dipecah oleh gadis Nissan Skyline yang cun itu.
“Atuk saya mana? Awak yang bawa atuk saya ke hospital, kan?” Satu suara cemas mencelah tiba-tiba.
Serentak Ariq dan Man Acong menoleh. Terlopong mulut kedua-duanya.
Man Acong membeliakkan sepasang matanya. Gadis Nissan Skyline, gumam Man Acong dalam hati.
Begitu juga dengan Hafiya. Wajah cemasnya jelas terkekejut melihat dua raut wajah di hadapan mereka. Ariq pula beriak selamba walaupun sepasang matanya tidak dapat dilarikan daripada menatap wajah di hadapannya itu. Hafiya melepaskan nafas berat.
“Atuk saya mana?” Hafiya bertanya lagi, namun lebih tenang daripada tadi. Sempat matanya menangkap Man Acong yang menyiku lengan Ariq.
“Atuk? Lelaki dalam tu, atuk awak ke?” Man Acong pantas mencelah. Alang-alang Ariq tidak menjawab, baik dia yang mengatur langkah untuk mengurat gadis Nissan Skyline ni.
“Tan Sri mana? Macam mana dengan keadaan dia?” Lidia mencelah apabila melihat Hafiya seolah-olah begitu lelah bersoal jawab dengan dua jejaka di hadapan mereka.
“Tan Sri? Atuk? Yang mana satu ni?” Man Acong dengan dungunya bertanya lagi. Kepalanya digaru tidak henti.
Hafiya sudah berdesit geram.
“Masih dalam ICU. Nurse tak bagi tahu ke?” tempelak Ariq tiba-tiba.
Sempat Hafiya mendongak membalas pandangan Ariq menikam pandangannya.
Lidia memeluk bahu Hafiya. Menenangkan sahabatnya itu. Tubuh itu terus ditarik menuju ke sebuah kerusi berhadapan dengan Ariq dan man Acong. Sampai saja di tempat duduk, Hafiya terus menyandarkan kepalanya ke dinding. Tanpa sedar air matanya mengalir sedikit demi sedikit. Lelaki asing yang berada di hadapannya seolah-olah ghaib dalam penglihatannya.
“Fiya, dahlah tu. Insya-Allah, Tan Sri tak apa-apa,” pujuk Lidia sambil menggenggam erat tangan Hafiya.
“Aku tak sanggup Lia. Aku tak sanggup nak tanggung rasa ini lagi.” Hafiya mangadu tiba-tiba, seperti anak kecil lagaknya.
Ya, sememangnya itulah yang dia rasakan kini. Bagaimana kalau ada sesuatu yang menimpa datuknya? Kuatkah dia untuk menerima satu lagi kehilangan dalam hidupnya? Dia tidak sekuat itu! Tidak selepas dia kehilangan kekasih hatinya!
“Fiya...” Lidia mengelus lembut rambut Hafiya. Dia tahu benar apa yang Hafiya maksudkan.
“Aku dah kehilangan Nizam dan aku tak sanggup kehilangan atuk.”
“Bawa istighfar banyak-banyak. Insya-Allah, takkan ada apa-apa yang berlaku pada Tan Sri,” pujuk Lidia lagi.
Ariq hanya tunduk mendengar sambil berpeluk tubuh. Namun setiap bait ayat yang keluar dari mulut gadis itu meresap jauh ke dalam hatinya. Entah kenapa rintihan itu turut merenggut sekeping hatinya.
“Riq...” Suara Man Acong berbisik tiba-tiba.
“Hmm...”
“Masa inilah kalau nak masuk daun,” balas Man Acong lagi.
Ariq mula pamer muka pelik.
Man Acong mendekatkan lagi mulutnya ke telinga Ariq. “Orang tua-tua cakap, perempuan ni, hatinya lembut bila time-time sedih ni. Kalau kau masuk jarum, pasti menjadilah!”
Sekarang baru Ariq faham. Ariq tersenyum sedikit sebelum menunjukkan penumbuknya ke arah Man Acong. Masa genting inilah Man Acong buka falsafah mengarutnya itu.
“Encik?” Lidia memanggil Ariq tiba-tiba.
Ariq mendongak.
“Tak perlu berencik-encik. Panggil saja Ariq. Yang ini kawan saya, Man Acong.” Ariq memperkenalkan diri. Sempat dia mengerling sedikit ke arah Hafiya yang masih menyandarkan kepalanya sambil menutup mata. Kasihan pula Ariq melihatnya.
“Maaf saya nak bertanya. Teruk ke kecederaan Tan Sri?” tanya Lidia sopan dengan seulas senyuman di bibirnya.
“Saya yang turun dulu dari lori bila nampak kereta dia terbabas. Nama cik adik manis ni apa?” Man Acong pantas saja memintas.
Terkejut juga Lidia dibuatnya. “Lidia Rayana. Panggil Lia pun boleh.”
Man Acong tersengih. “Cantik nama tu, macam rama-rama.”
Gurauan Man Acong membuatkan Lidia ketawa kecil.
Ariq terus menyiku lengan Man Acong. Pantang nampak perempuan cantik sikit!
“Maaf Cik Lia. Kecederaan Tan Sri tak berapa teruk. Kita tunggu dulu doktor cakap apa,” balas Ariq sambil matanya memandang sedikit ke Hafiya yang langsung tidak menunjukkan sebarang reaksi.
Secara jujurnya, Ariq tidak dapat memastikan keadaan Tan Sri Arman memandangkan Tan Sri Aman sudah tidak sedarkan diri setelah dibawa ke hospital.
“Fiya, kau dengar kan dia cakap apa? Insya-Allah, atuk kau tak apa-apa.”
Hafiya hanya mengangguk. Dia mengerling sedikit Ariq yang turut memandangnya. Pandangan mereka berlaga sebelum masing-masing menoleh ke arah lainn.
Ariq memangang dadanya. Ada sesuatu yang bergetar dalam hatinya.

SELANG hampir sejam Tan Sri Arman berada dalam unit kecemasan, lampu merah bertukar hijau. Pantas Hafiya menghampiri seorang lelaki yang mengenakan jubah putih doktor yang baru sahaja kelaur dari bilik tersebut.
“Datuk saya macam mana doktor?” Wajah panik Hafiya jelas kelihatan. Pegangan tangan Lidia semakin dieratkan.
Ariq dan Man Acong hanya memandang dari kejauhan. Sesekali mata hitam mengerling wajah putih itu. Ada sesuatu pada wajah itu membuatkan sepasang mata Ariq tidak mampu lari.
“Cik ni keluarga pesakit ke?” Doktor tersebut sopan bertanya.
“Ya, saya cucunya. Kakak dan mak su saya dalam perjalanan.”
Doktor muda tersebut mengangguk.
“Alhamdulillah, pesakit dan melepasi tahap kritikal. Kami akan pantau keadaan pesakit dari masa ke semasa. Cuma, degupan jantung pesakit masih lemah,” jelas doktor itu lagi.
“Alhamdulillah.” Lidia dan Hafiya serentak mengucap syukur.                                 
“Pesakit belum sedarkan diri. Kami akan pindahkan dia ke wad biasa. Kamu semua boleh melawatnya nanti. Saya minta diri dulu.”
Hafiya angguk. Mujur tiada apa-apa yang berlaku. Cuma sakit jantung datuknya itu yang merisaukannya sejak dulu.
“Alhamdulillah Fiya. Kan aku dah cakap atuk kau tak apa-apa.”
Hafiya senyum. Bila matanya menjamah seraut wajah Ariq, senyumannya mati. Setapak demi setapak langkahnya diatur menghampiri Ariq dan Man Acong. Sempat pula Man Acong menyiku lengan Ariq. Petanda baik baginya bila Hafiya melangkah ke arah mereka.
“Awak kan yang selamatkan atuk saya?” tanya Hafiya.
Ariq dan Man Acong tidak terus menjawab. Ariq pula hanya membalas pandangan Hafiya yang tidak menggambarkan sebarang rekasi. Man Acong menyiku Ariq bila suasana tegang yang mengelilingi mereka.
Hafiya mengeluh sekejap. Pelik pun ada dengan tingkah Ariq. Memandangnya seolah-olah dia ada berhutang berjuta-juta dengan lelaki itu.
“Ya, ya. Kami yang selamatkan atuk awak!” Pantas Man Acong menjawab dengan senyuman.
Hafiya tersenyum sinis. Dia membuka beg tangannya. Sebuah buku cek dikeluarkan. Laju tangannya menulis sesuatu di atas sekeping cek.
Tidak berkelip mata Ariq memandang tingkah Hafiya, lalu kepalanya digelengkan perlahan.
Lidia mula tidak senang hati. Lengan Hafiya dipegang kejap.
“Fiya kau buat apa ni?” Lidia menegur. Dia dapat melihat riak tidak senang di pada wajah lelaki yang bernama Ariq itu.
Hafiya enggan mempedulikan sahabatnya itu. Cek yang siap ditandatangan dihulurkan kepada dua orang lelaki itu.
“Bila saya tanya awak soalan dan awak hanya buat bodoh saja tanpa menjawab apa-apa, jadi saya anggap, awak tunggu sesuatu daripada saya. Ini ganjarannya sebab selamatkan atuk saya. Sekarang, atuk saya tak apa-apa. Kamu berdua bolehlah balik sekarang.”
Melopong mulut Man Acong mendengarnya. Ariq pula bersahaja sambil tajam matanya memandang Hafiya.
“Fiya...” Lidia kebingungan.
“Kenapa? Tak cukup?”
“Terima kasih kerana selamatkan datuk saya. Sekurang-kurangnya itu yang patut aku dengar. Bukan soalan dan perangai bodoh yang pasti kau dah tahu jawapannya.” Sinis Ariq menembak dan kata-kata pedasnya membuatkan Hafiya jadi kelu.
Man Acong dan Lidia sudah tergamam.
Hafiya dan Ariq sama-sama membalas pandang. Tidak lama kemudian kedengaran tawa Hafiya memenuhi ruang antara mereka.
“Okey. Saya tahu kenapa. Maaflah, salah saya.” Ariq tersenyum, dibiarkan saja bila Hafiya membuka satu lagi cek dengan jumlah yang lebih tinggi.
“Sepatutnya saya faham kenapa awak berperangai macam tu. Tak cukup jumlah seribu tu kalau dibahagi dua. Tak apa, ini saya naikkan lagi jumlahnya. 5 Lima ribu ringgit. Cukup, kan?” Sekali lagi Hafiya menyerahkan cek kepada Ariq.
Tanpa membuang masa, Ariq menyambut huluran cek tersebut. Itu sudah cukup membuatkan Hafiya tersenyum kemenangan.
“Lima ribu?” Ariq memandang cek tersebut.
“Kenapa? Tak cukup?” Pantas Hafiya menjawab.
Ariq senyum. “Sikit. Terlalu sedikit,” jawab Ariq.
Hafiya kehairanan. “Saya dah agak...”
“Ini saja ke jumlah harga nyawa datuk kau? Kasihan, harap muka saja cantik, tapi budi bahasa tak ada!” Tanpa sebarang isyarat, cek tersebut dilempar tepat mengena wajah Hafiya.
Besar mata Hafiya memandang Ariq. Marah mungkin.
“Ariq...” Giliran Man Acong menegur. Dia tahu, Ariq sekarang tengah panas. Dia kenal benar dengan Ariq. Pantang jika ada orang merendahkan maruahnya.
Hafiya tersenyum sekejap sebelum tunduk mencapai cek dari kakinya.
“Kalau tak cukup, bagi tahu saja. Jangan berlagak macam ni.” Sinis ayat Hafiya, membautkan mata Ariq kemerahan menahan marah.
“Hafiya, datuk kau tak sihat lagi. Janganlah buat hal,” nasihat Lidia.
“Aku tak hadaplah duit kau!”
Hafiya terus memandang Ariq. Berani sungguh lelaki ini mencabar kesabarannya.
“Hafiya!” tegur satu suara dari belakang. Serentak mereka semua menoleh.

SEJURUS selepas Ariq dan rakannya beredar, Hafiya terus memulas tombol kunci pintu bilik datuknya.
Kuza dan Hafirda pula saling berpandangan. Masing-masing keliru dengan apa yang menyapa pandangan mereka seketika tadi.
“Apa hubungan Fiya dengan lelaki tu, mak su?” Hafirda masih tidak berpuas hati selagi belum mendapat jawapan.
Kuza hanya jongket bahu.
“Lelaki itulah yang selamatkan Tan Sri,” sampuk Lidia yang turut mengikuti langkah Hafiya ke dalam bilik rawatan.
Hafirda mempamer muka muncung, mengajuk kata-kata Lidia, sahabat baik adiknya itu. Hafirda memang sudah lama tidak berkenan dengan Lidia. Gadis itu begitu lantang mengkritiknya tanpa peduli siapa dirinya.
“Kenapa Fida nampak dia bagi cek kat lelaki tu, mak su?”
“Manalah mak su tahu. Ganjaran kut,” teka Kuza.

“Jomlah kita jenguk atuk.” Kuza terus menarik lengan anak saudaranya itu.